Cempedak goreng paling mahal.
Suatu masa, semasa saya hamil anak kedua, waktu itu kami tinggal di Selayang. Masih jelas di ingatan, rumah kondo yang kami sewa.
Rumah penuh dengan perabot, 3 bilik tidur, 2 bilik air, 1000 kaki persegi, sewanya baru RM750.
Waktu itu saya sedang bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Perubatan Dalaman atau Internal Medicine di Hospital Selayang.
Walaupun kerja teramatlah sibuk, yang agak best adalah, selepas bertugas atas panggilan atau oncall, kami akan mendapat "PM off". Selepas membuat "ward round petang", kami boleh serah tugas kepada kawan dan balik ke rumah.
Sewaktu hamil anak kedua itu, antara yang paling saya idamkan adalah cempedak goreng.
Balik dari hospital, saya pergi ke pasar malam di Selayang. Oleh kerana masih awal, hanya ada beberapa gerai yang sudah buka.
Puas saya pusing, tiada satu pun gerai yang menjual cempedak goreng.
Tetapi saya berjumpa sebuah gerai menjual buah pisang dan cempedak.
Waktu itu harga cempedak RM5 sekilogram.
Oleh kerana takut terlalu banyak, saya bertanya kepada penjual jika ada cempedak yang kecil.
Jawabnya, " Akak ambil yang separuh ni, kak. Elok ni, Akak tengok. Buah pun cantik".
Saya belek buah cempedak yang sudah dipotong separuh itu, dan bersetuju untuk membelinya.
Kebetulan beratnya hanya 1kg. Cukuplah untuk saya melepaskan rasa mengidam.
Sampai di rumah, saya pun membancuh tepung gandum dan tepung beras, seperti yang diajar oleh ibu saya.
Siap membancuh tepung, baru saya belah cempedak itu.
Itu dia, melenting-lenting ulat cempedak keluar dari buah!
Terkejut saya dibuatnya.
Geram memang geram. Tetapi iyalah, kita nak salahkan penjual pun, mana dia tahu. Di kawasan yang terpotong tadi memang nampak elok.
Bau cempedak sudah semerbak dalam dapur kondo yang kecil itu.
Air liur saya dah bertakung dalam mulut.
Minyak masak pun sudah panas di dalam kuali!
Saya pun nekad, saya belah cempedak busuk itu, saya cari juga kalau ada beberapa ulas yang elok.
Alhamdulillah, rezeki saya, dapatlah 5 ulas yang elok, tidak terusik dek koloni ulat buah.
Saya basuh, dan celupkan ke dalam tepung, dan gorengkan!
Petang itu, dapatlah saya makan, cempedak goreng paling mahal dalam hidup saya. Untuk zaman itu, RM1 untuk satu ulas cempedak goreng, kira mahal lah kan?
Sampai sekarang, kalau makan cempedak goreng, mesti saya teringat kisah itu.
Nak jadi cerita, sampai sekarang juga, anak kedua itu, memang makanan kegemarannya adalah cempedak goreng. Kalau ke pasar malam, gerai cempedak jauuuuuh pun dia boleh bau, dan minta saya belikan.
Semalam ada cempedak goreng di rumah, dari tingkat 3 rumah saya dengar dia berkata, "bau cempedak!", lantas pantas dia turun ke bawah.
Alhamdulillah rezeki juga, sampai sekarang tak pernah lagi beli cempedak, dapat yang ada ulat. Semuanya manis-manis, semanis kenangan beli cempedak pakej dengan ulat melenting, 15 tahun yang lalu.
#drazlindarita
#kisahkehidupanDrAzlindarita
No comments:
Post a Comment