Tuesday 26 September 2017

Langkawi hari ke tiga dan ke empat: Kilim Geoforest Park, Laman Padi dan Pantai Cenang

Hari ke tiga di Langkawi, kami bangun pagi dan melihat cuaca yang cerah. Alhamdulillah. Anak-anak berebut-rebut mahu “tasmik” atau saya menyemak hafazan Al-Quran mereka kerana mahu segera keluar berjalan.



Berkongsi roti telur
Kami bersarapan di sekitar kawasan Laman Padi. Roti canai yang garing dan enak, dimakan bersama minuman teh tarik. 

Sedang saya berangan-angan, “Alangkah seronoknya jika pergi island hopping bila cuaca cerah begini”, tiba-tiba hujan turun dengan tersangat lebat. 

Ma shaa Allah. 

Saya ketawa sendiri.Saya pujuk hati , ‘Tidak mengapalah, mungkin kurang sesuai pun nak pergi island hopping kerana ada baby.” Sarapan pagi kami iaitu 3 roti canai dan 2 roti telur,serta 5 minuman, harganya RM 26

Masing-masing muram bila hari hujan 


Selesai sarapan, kami pulang ke apartment. Sebagaimana tiba-tibanya hujan turun, begitu juga ia berhenti. Melihat cuaca agak cerah kembali, anak ketiga saya meminta untuk mandi kolam di apartment kami. 

Ma shaa Allah tersangat sejuk airnya! Mungkin kerana baru lepas hujan. Baby saya menangis tak mahu masuk ke dalam kolam. Hahahah.. saya pun hanya mampu bertahan 5 minit sebelum naik dan menukar pakaian semula. Anak-anak yang lain terus bermandi manda dengan ditemani Abi mereka

Kolam renang di Adina Motel 

Jam 11 pagi, kami bergerak ke Pekan Kuah untuk membeli belah. Cuaca cerah dan agak terik, tetapi pemandangan di sepanjang jalan sangat cantik. Laut kelihatan biru, dengan pulau-pulau yang indah di kejauhan

Langkawi adalah syurga membeli belah pinggan mangkuk. Saya memang kurang minat pinggan mangkuk, tetapi ibu saya mengirim periuk Vision. Apalah sangat permintaan seorang ibu begitu berbanding jasanya membesarkan kita , betul kan?

Kami memilih untuk ke Haji Ismail Group di Pandak Mayah. Selesai memilih periuk yang sesuai, saya membeli satu set sudu garfu bersama tempat letaknya yang berharga RM42 sahaja, serta beberapa helai tuala untuk kegunaan keluarga. Tuala juga murah dan berkualiti, dari RM12.90 hingga RM30 sahaja.

Anak-anaklah yang paling teruja melihat coklat yang banyak dan murah! Saya paling suka coklat Whittaker, jika di Kuala Lumpur satu bar adalah RM29.90, di sini hanya RM14.90! SYURGA DUNIA buat saya! Anak-anak pun turut membeli coklat dan gula-gula untuk kawan-kawan mereka di sekolah


Dari kedai Haji Ismail Group, kami ke Dataran Lang pula untuk makan tengahari. Pasti saya tidak mahu melepaskan peluang merasa laksa Penarak yang terkenal itu. Saya memesan laksa dan nasi serta lauk pauk untuk anak-anak. Sambil menunggu hidangan siap, kami memberi makan ikan di tasik di hadapan restoran ini . tidak lama kemudian, hujan mula turun dengan lebat.


Laksa utara Penarak 



RM 60 untuk semua ni termasuk air satu jug. Murah kan 

Hujan mencurah-curah 

Sambil menyuap makanan, hati terdetik, macam mana nak ke Kilim Geoforest Park jika hujan ? Tetapi kerisauan itu terlenyap seketika dek keenakan makanan di kedai Laksa Penarak ini. Harga untuk set makanan untuk 5 orang, adalah RM60 sahaja. Ada sup daging, telur dadar, sotong goreng tepung, ikan siakap 3 rasa dan air sirap satu jug . Sangat berpatutan!

Dari Laksa Penarak, kami singgah di Masjid Al-Hana di pekan Kuah untuk solat Zuhr. Alhamdulillah selesai solat, hujan pun sudah semakin reda.

Dari pekan Kuah, ia mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk sampai ke Kilim Geoforest Park. Kehadiran kami disambut dengan monyet yang berkeliaran.

Sampai di jeti, saya hanya beritahu yang saya sudah membuat tempahan melalui Ina Dayang Biru, dan kami terus di bawa ke bot. Perjalanan ini akan mengambil masa 2 jam

Sampai saja di jeti, hati saya tidak henti mengucapkan subhanalllah melihat pemandangan yang terbentang di depan mata. Ternyata Kilim Geoforest Park ini terlalu indah. Dengan suasana nyaman selepas hujan dan berkabus, kehijauan pepohon bakau yang redup saujana mata memandang, hati dibaluti ketenangan yang luar biasa. Bunyi riang-riang di kiri kanan sungai, mengucapkan tasbih kepada Allah dalam bahasa mereka seolah mengingatkan saya kepada surah Al-Insan yang mana Allah janjikan pakaian sutera berwarna hijau buat ahli syurga, kerana sememangnya fitrah seorang manusia itu sukakan kehijauan.


Anak-anak juga pakai terpesona dengan keindahan alam, disulami perasaan teruja menaiki bot, masing-masing senyap melayan perasaan.

Perhentian pertama kami adalah Gua Kelawar. Bayaran untuk masuk adalah RM1 untuk kanak-kanak dan RM2 untuk dewasa. Namun bayaran ini sudah termasuk di dalam pakej, jadi kami tidak perlu membayar lagi. Kami hanya perlu membayar sewa RM1 untuk satu lampu suluh bagi membolehkan kami melihat kelawar-kelawar yang sedang tidur








Perjalanan masuk ke gua agak menyeramkan. Namun hati menjadi seronok melihat puluhan kelawar-kelawar yang bergantung di bumbung gua . Anak sulung saya sibuk berpesan, “Ummi pastikan adik tak nangis ya. Nanti adik buat bising, kelawar semua terbang sebab pendengaran kelawar sensitif!”

Dari gua, kami berjalan-jalan melihat paya bakau di sekitar gua, sebelum balik ke bot

Seterusnya kami dibawa ke sangkar ikan. Sungguh pun tidak banyak ikan di sini, apa yang paling menarik adalah dua ekor ikan pari yang diberi nama Ali dan Abu, yang sangat manja hingga boleh diberi makan dengan tangan, dan ia boleh diusap-usap. Umar dan Dina tidak melepaskan peluang, saya juga begitu. Sepatah kata Umar, “badan ikan pari macam ada pasir” kerana kulitnya agak menggerutu

Antara ikan lain yang ada di sini adalah ikan siakap yang garang (hampir digigitnya tangan penjaga yang memberi makan), ikan buntal, ikan tongkol dan ikan marin . Uwais yang baru setahun lebih usianya, juga gembira memberi makan ikan marin dengan roti yang kami bawa
Dina memberanikan diri menyentuh ikan pari

Umar menyentuh ikan pari

Ikan buntal 

Ikan marin



Dari sangkar burung, kami menelusuri sungai ke Gua Buaya, yang katanya suatu masa dahulu didiami seekor buaya. Namun Alhamdulillah sekarang sudah tiada buaya, jadi boleh lah kami masuk ke gua ini. Hebat kemahiran pemandu bot kami hingga boleh mengemudi bot di dalam gua yang sempit

Seterusnya kami ke kemuncak pakej ini iaitu memberi makan helang. Pemandu bot kami membawa kulit ayam, yang dicampakkan ke dalam air, dan kemudian enjin bot dihidupkan dengan kuat supaya kulit ayam itu tersebar di atas permukaan air.

Dari atas pokok, berbelas-belas ekor helang terbang menyambar makanannya, dan terus terbang sambil memakan kulit-kulit ayam itu .Ma shaa Allah, tiadalah yang memegang burung-burung itu dari jatuh kecuali Ar-Rahman iaitu Allah Subhanahuwataala (Surah Al-Mulk ayat 19)

Cantik sungguh pemandangan melihat burung-burung helang merah melayari angkasa. Tidak hairanlah burung yang hebat ini diambil menjadi lambang atau burung rasmi Pulau Langkawi .








Dari tempat memberi makan helang, kami ke papan tanda besar KILIM GEOFOREST yang terkenal itu, dan sebuah batu yang berupa seekor penyu di atas papan tanda itu



Seterusnya kami terus ke Pulau Kasut. Aneh tetapi indah, itulah yang dapat saya gambarkan tentang pulau kecil yang bentuknya betul-betul seperti kasut. Dari sini, kami dapat melihat tanah besar Thailand di kejauhan. Teruja sungguh anak kedua kami, Dina melihat Thailand. In shaa Allah satu hari nanti kami akan bawa dia ke Thailand, jika ada rezeki

Pulau Kasut

Happy baby 

Dari Kilim Geoforest Park, selepas solat Asar di sana, kami terus pulang ke Pantai Cenang. Kami berhenti seketika di Beras Terbakar dan Padang Matsirat untuk membeli baju tidur anak-anak yang murah di sini iaitu dalam RM 12 (bayi) hingga RM30 sepasang untuk kanak-kanak.

Oleh kerana anak-anak kelihatan letih, jika pulang ke rumah pasti sukar untuk keluar semula untuk makan malam. Maka kami singgah di Laman Padi untuk makan malam di dalam pondok di tepi sawah. 

Alhamdulillah melihat matahari terbenam sambil menikmati rendang itik, sememangnya menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan. 



Makanan di sini agak mahal , setiap satunya adalah dalam bentuk set contohnya nasi lauk ayam/itik/daging dalam bentuk digoreng atau direndang. Set termasuk nasi putih, ulam-ulaman, sambal belacan dan keropok ikan. Satu set untuk dua orang (tiada set untuk seorang) dalam Rm35-45 , set untuk 3 orang RM 60 dan begitulah seterusnya

Rendang itik yang kami pesan agak liat sedikit, tetapi ayam gorengnya enak. Kami memesan nasi lauk ayam goreng untuk 2 orang, nasi lauk itik rendang untuk 3 orang dan satu jug jus tembikai, semuanya RM130. Set untuk dua orang sebenarnya agak banyak jadi jika anak-anak bolehlah berkongsi. Makanan kami pun banyak berlebih dan terpaksa dibungkus untuk dibawa balik.



Malam itu anak-anak semua tidur awal kerana keletihan. Sebelum tidur sempat Dina bertanya, “macam mana nak balik ni Ummi, barang kita banyak”. Lucu juga ya, risau sebab barang tak sempat kemas lagi tetapi sudah nak tidur. Hahaha

*****
Hari terakhir di Langkawi, kami bersarapan di sebuah warung di kawasan apartment kami , harganya agak mahal, semuanya RM45 walaupun sarapan biasa sahaja nasi lemak dan bihun goreng. Dari warung itu, kami terus ke Pantai Cenang

Alhamdullillah hari ini cuaca cerah. Anak-anak pun seronok bermain pasir, mandi pantai dan berkejar-kejaran. Si kecil Uwais pun sudah berani bermain di gigi air. 









Selepas setengah jam, matahari semakin terik dan kami pulang ke apartment. Sementara saya memandikan si kecil dan berkemas, anak-anak yang lain sambung mandi di kolam renang pula.

Alhamdulillah kami check out pada pukul 11.15 pagi, dan sampai di lapangan terbang awal. Sempat juga berjumpa Ina di sana, dengan anaknya Aisyah. Mudah-mudahan persahabatan ini berkekalan in shaa Allah.

Selepas check in dan makan tengahari di Marrybrown, kami bersiap untuk menaiki pesawat. Nak jadi cerita, beg sandang Umar terpaksa ditahan untuk di “check in” kerana ada 3 pucuk pistol mainan! Kelam kabut suami saya patah balik untuk menghantar beg itu, sambil saya cuba mengawal 4 orang anak termasuk Uwais yang sudah mula meragam kerana mengantuk.

Tatkala berkumandang pengumuman meminta semua penumpang penerbangan kami masuk ke pesawat, hinggalah barisan penumpang kian habis, tiada kelibat suami saya. Saya mula panik. Saya memberitahu petugas yang menunggu di gate bahawa suami saya masih beratur untuk check in barang. Petugas itu terus berlari ke tempat check in dengan serta merta, dan membantu suami saya untuk check in.

Lega saya melihat suami saya diiringi petugas tadi, dengan dia sendiri membawa beg Umar. Beliau terus mengiringi kami sekeluarga untuk masuk ke pesawat, dan 10 minit selepas kami duduk di dalam pesawat, pesawat terus berlepas. Berjurai-jurai air mata Umar kerana kesal membuatkan semua orang terlambat, tetapi saya memujuknya, “Tidak mengapa, ini semua pengalaman untuk kita belajar.”

Alhamdulillah kami selamat sampai ke KLIA jam 2.45 petang. Sampai di kereta, bateri habis pula hingga tidak boleh menghidupkan enjin. Allahu Akbar. Mujur syarikat insuran kami segera menghantar bantuan. Sementara menunggu , kami solat jamak Zuhr dan Asar dahulu di terminal, dan selesai menukar bateri, kami pun pulang.

Alhamdulillah

Alhamdulillah

Alhamdulillah


Satu pengalaman yang amat menyeronokkkan, bercuti dengan anak-anak walaupun hanya di dalam negara. Pada pandangan saya, ketika melancong ini yang penting adalah aktiviti yang menarik, tempat tinggal yang selesa, makanan halal yang mudah didapati dan yang paling penting tempat itu selamat. Jika berkemampuan untuk ke luar negara, apa salahnya. Tetapi jika belum mampu, seperti kami, tiada salahnya melancong di dalam negara kita yang indah dan permai ini Alhamdulillah 


No comments:

Post a Comment