Pendidikan tak penting?
Ramai orang kaya "drop out" dari sekolah?
SPM kantoi pun OK?
Mak saya yang saya kasihi, membesarkan kami dengan menoreh getah. Saya masih ingat semasa berusia 6 tahun, ada kala saya rindu sangat dengan Mak, Nenek akan kendong adik saya yang masih bayi, dan pimpin tangan saya hingga ke tepi kebun getah.
Bayang Mak pun tak nampak, tapi nenek akan laungkan "Uuiiii". Nanti Mak akan sahut, "Uuiii". Sayup saja suara Mak, tanda Mak berada jauh di tengah kebun.
Nanti lembut Nenek berkata, "Itu, suara Mak. Nanti pukul 11 Mak balik, ya? Jom kita balik, kita makan dulu. Sini banyak nyamuk. "
Mak tak belajar tinggi, kerana berkorban untuk adik-adik. Atuk dan Nenek orang susah.
Tetapi Mak orang yang cerdik. Sampai ke tua, Mak tak pernah berhenti belajar. Hingga ke hari ini Mak belajar bahasa Arab, tafsir Al Quran dan sebagainya.
Saya rasa kalau Mak berpeluang bersekolah dahulu, pasti paling kurang Mak dapat jadi Guru Besar sekolah.
Mak sangat pentingkan pendidikan.
4 daripada 5 beradik kami, ada ijazah. 3 daripadanya, lulusan luar negara.
Mak bersekolah sampai darjah 3 sahaja, nak ajar kami matematik pun Mak tak pandai, tapi kerja rumah kami tak pernah tak siap.
Kalau dapat tahu cikgu marah kerana nakal di sekolah, balik rumah Mak tambah sesah lagi.
Mak memang garang, sebab Mak tahu, tanpa pendidikan, anak-anak Mak tak boleh ubah kehidupan.
Alhamdulillah kami semua lancar mengaji Al Quran seawal usia 7-8 tahun, semua Mak ajar sendiri. Dari alif baa taa, hingga khatam.
Mak tak pernah jejakkan kaki ke sekolah menengah, apatah lagi ke menara gading , tetapi Korea, Tokyo, Sydney, Paris, London, Turki, Mak pernah pergi, hasil Mak didik anak-anak Mak.
Alhamdulillah Ayah pun sama, walaupun 11 tahun duduk berjauhan, bertugas di Kuala Lumpur kerana mencari nafkah membesarkan kami 5 beradik , apabila pulang, pasti bertanya tentang persekolahan kami.
Maka, saya tidak setuju langsung pendidikan tidak penting. SPM tidak penting.
Bukankah ayat Al Quran yang pertama turun juga adalah Iqra' iaitu bacalah. Daripada jutaan perkataan yang boleh Allah turunkan, pasti ada sebab Allah pilih BACALAH sebagai perkataan pertama yang turun dari langit untuk manusia.
BACALAH, untuk mendapat ilmu.
Dalam Surah Ar Rahman, surah kasih sayang Allah. Apakah petanda kasih sayang Allah yang pertama?
Ya, Al Quran yang penuh dengan ilmu.
Kerana itu jugalah tanda kasih sayang utama ibu saya kepada kami, adalah memberikan pendidikan kepada kami.
Alhamdulillah.
Ya Allah, Kau rahmatilah kedua ibu bapa kami, dan kasihanilah mereka sentiasa sebagaimana mereka mengasihani kami semasa kami kecil.
Amin.
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Tak pernah tak sayang Mak.
No comments:
Post a Comment