Wednesday, 29 July 2020

Antara sebiji mata dan air mata


12 Julai 2018

Hari bersejarah, kali pertama saya terpaksa membedah mata seorang kanak-kanak setahun setengah.

Ya saya membuang mata seorang budak .

Tak usah cerita air mata mak dan ayah budak comel itu.

Di hadapan ibu bapa budak itu, saya, Prof dan doktor yang lain berulang kali menerangkan yang ia perlu demi mengelakkan kanser di dalam matanya merebak ke otak .

Jika tidak dibuang matanya, budak itu akan mati dalam masa beberapa tahun.

Si Ibu mendakap anaknya erat, teresak-esak menangis.

Anak perempuan sulung yang comel, tidak tahu apa-apa. Baru pandai bercakap, berbaju berbunga penuh gaya.

Ayahnya melihat anaknya penuh simpati.

Kami bertegas dalam empati.

Selepas lebih sejam kaunseling, akhirnya keluarga itu setuju.

Mungkin, nampak macam kami kejam

Nampak macam tak ada perasaan

Nampak macam kami robot

Hakikatnya, seminggu yang berlalu menjelang pembedahan itu, hati saya tidak tenteram, gundah gulana

Beberapa hari sebelum hari pembedahan, saya rasa nak muntah, rasa nak pitam, semua ada.

Sebelum pembedahan bermula, rasa nak marah saja. Serba tak kena.

Panik, gelisah.

SEDIH.

Saya mengambil bidang subkepakaran Pakar Mata Kanak-Kanak untuk membantu kanak-kanak melihat.

Tetapi hari ini, saya akan “membutakan” mata seorang kanak-kanak.

Prof kata, “ That eye is blind, already, Aisyah. This is a life saving procedure”.

Saya diam.

Selesai mencuci dan mensterilkan tangan , saya mengenakan gaun pembedahan.

Saya berkata pada Prof, “Prof, let me apologise in advance, if I cry during the surgery.”

Tegas Prof menjawab, “Don’t you dare cry on me! I need you during that surgery!”

2 jam pembedahan berlangsung.

Bola mata yang penuh dengan kanser kami buang, diganti dengan mata tiruan.

Letih badan selepas membedah, ditambah dengan emosi yang bercelaru, saya melangkah keluar Dewan Bedah.

Tiada kekuatan rasanya untuk memandu merempuh jem untuk pulang, walaupun jam sudah pukul 6 petang.

“Aku perlu debrief. I need coffee.”

Dalam pada saya melangkah ke gerai kopi, tiba-tiba saya mendapat pesanan whatsapp di telefon . Kawanku Azura memberitahu , “Didi, dah habis OT ke? Zoe ada di wad KWKK ni”.

Baru saya teringat, ada seorang sahabat yang sedang menjalani kemoterapi akibat kanser, sedang dirawat di PPUM.

Minggu sebelum, semasa saya selesai berjumpa ibu bapa pesakit saya, saya terserempak dengan Azura di koridor. Agaknya beliau perasan wajah saya yang seperti hendak menangis , cepat-cepat beliau tegur saya. Padahal saya pun perasan, beliau pun baru mengelap air mata.

Dalam pertemuan yang sebentar, sempat saya beritahu serba sedikit, yang saya perlu membedah budak itu minggu depan. Azura pula memberitahu yang dia pun akan masuk ke wad untuk rawatan , pada hari yang sama. Ujarnya Ketika itu, “Kalau Didi habis awal, nanti datanglah wad Zoe lepak.”

Petang itu, pesanannya sampai, tepat pada waktunya.
Saat saya keletihan dan kesedihan, Azura mengajak saya bersamanya.

Masih saya ingat, saya membeli 2 gelas kopi, dan 2 biji pastri, lantas berjalan ke wad Azura.

Senja itu, saya yang sihat, meminta kekuatan dari Azura yang sedang berjuang menghadapi kanser

Saya yang duduk di kerusi, menumpang aura positif dari Azura yang di atas katil.

Sayu mata saya mengenangkan pesakit saya, sedikit demi sedikit , semakin ceria mendengar kata-kata Azura.

Kata beliau, “It’s Ok Didi. It’s OK to feel sad. It makes you human. You are a mother. Tapi apa yang Didi buat tu untuk masa depan budak tu. In shaa Allah kita doalah supaya dia OK nanti.”

Alhamdulillah saya berjaya untuk tidak menangis di hadapan beliau, kerana saya tahu beliau juga ada satu beban yang sedang digalas.

Saya bertanya keadaan beliau. Jawapan beliau, sentiasa, “Zoe OK,” sambil tersenyum.

Itulah Azura Zoe Azlee yang saya kenal.

Sepanjang 24 tahun perkenalan kami, 2 tahun beliau berjuang dengan kanser, puluhan kali melalui perit kemoterapi yang melalui salur darahnya, hanya sekali yang saya dengar beliau mengeluh sakit.

Sekali.

Hari ini, 29 Julai 2020, berakhir sudah penderitaan sahabat saya itu.

Sahabat yang mengelap airmatanya, untuk memujuk sahabat yang lain yang dalam kesedihan, kerana baru membedah mata anak orang lain.

Hari ini, beliau kembali menemui penciptaNya.
Meninggalkan kami yang pasti merinduinya .

Saya teringat kelas tadabbur Al Quran beberapa minggu lalu. Ustaz menghuraikan surah Ash-Syahr.

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ - 94:4
Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?
Surah Ash- Syarh ayat 4

Rasulullah SAW di angkat dengan sebutan kemuliaan , hingga ke hari akhirat.

Zoe, Didi mahu kebaikan Zoe disebut-sebut selepas pemergianmu, kerana itulah salah satu lambang husnul khatimah.

Didi mahu anak-anak Zoe mengetahui yang mereka ada seorang ibu yang hebat.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhmu, dan mengampuni dosa-dosamu dan dosa-dosa kita semua in shaa Allah.

Ustaz kata, jika kita orang hebat, kita mesti sentiasa doakan semua saudara kita yang telah pergi dengan doa ini. In shaa Allah , mulai hari ini, Didi akan ingat Zoe bila baca doa ini.

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansor), mereka berdoa: “Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.”
(Surah Al Hasyr ayat 10)

Pergilah dahulu, kami juga pasti akan menyusul.
Semoga pemergian kami nanti juga, dikenang dengan kenangan yang baik-baik, dan kebaikan yang diterima oleh Allah.

Amin.

Belasungkawa buat Azura Azlee

29072020

Dari sahabatmu
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

No comments:

Post a Comment