Tuesday, 4 August 2020

Apa yang lebih menyakitkan daripada keguguran berulang kali?

Alhamdulillah kebelakangan ini banyak dapat berita gembira, sahabat-sahabat yang sudah lama berumah tangga, mendapat cahaya mata.

Ma shaa Allah Subhanallah saya sangat gembira mendengarnya.

Ada yang pernah kehilangan anak yang baru lahir, ada yang sudah IVF berulang kali, ada yang sudah bernikah 10 tahun.

Alhamdulillah akhirnya Allah kurniakan dengan anak.

Mungkin ramai yang tidak tahu, saya juga pernah melalui perjalanan itu.

Selepas bernikah, saya ada endometriosis, terpaksa menjalani pembedahan di Ireland, mengalami keguguran dan menempuh 3 tahun yang amat memeritkan sebelum Allah kurniakan kami dengan anak sulung kami.

Selepas 3 orang cahayamata, Allah uji lagi dengan 6 tahun yang agak sukar, saya kembali subfertile dan perlu menjalani rawatan kesuburan, melalui 2 kali  keguguran sebelum lahirnya Uwais yang keletah itu.

Tetapi tahukah anda, apa yang lebih memeritkan berbanding keguguran berulang kali, merasakan kegembiraan melihat 2 garis pada ujian kehamilan dan kemudian selang beberapa minggu, melalui pendarahan yang menandakan berakhirnya satu sinar harapan?

Itulah kata-kata sinis dan pedih dari orang sekeliling yang kurang sensitif.

Memang ada kala, kita boleh melawak saja bila ada yang kata, "Eh dah lama kahwin, bila nak ada anak?," kita pun jawab, "Nak honeymoon dulu!" sambil sengih.

Atau ada yang kata, "Eh, tiga je anak? Mana cukup. Tengok sepupu kau tu anak dah berderet!"

Tapi ada kala, terhiris juga hati bila ada yang kata, "Kau ni doktor, suami pun doktor, takkan tak tahu nak buat anak?"

Soal jodoh, pertemuan, anak, itu kan semua di tangan Allah.

Saya setuju, kita tidak boleh hanya berharap dan  bertawakkal tanpa usaha.

Semasa mencuba untuk mendapatkan Uwais, saya sedar saya sudah 34 tahun, saya dapatkan rawatan dari Pakar O&G. Saya tidak pergi rujuk makcik urut, makan herba kayu, ikut petua semata-mata.

Kerana di dalam Al Quran, Allah kata tanya pada yang ahli. Saya pergi dapatkan rawatan dari yang Pakar. Dan dengan izin Allah, Dia anugerahkan kami dengan Uwais.

Tetapi pertuturan yang tidak berlapik itu saya rasa langsung tidak perlu dan tidak membantu.

Tips saya untuk pasangan  yang sedang berusaha mendapatkan cahayamata

1) YAKIN hanya Allah yang mampu memberi. Hanya Allah yang Maha Kuasa. Yang lain hanya membantu. Maka banyakkan istighfar, solat awal waktu (saya ingatkan diri saya). Jauhi dosa.

2) Dapatkan rawatan dari doktor Pakar. Jika anda sudah berusia lebih 30 tahun dan sudah berusaha lebih 6 bulan, dapatkan rawatan. Jangan berharap sahaja miracle will happen.

Saya sudah ada anak 3 orang pun boleh kembali subfertile kerana saya obese ketika itu. BMI saya 28.

3) Gaya hidup sihat! Jangan obese atau overweight. Berhenti merokok.

Ketika dapatkan rawatan untuk Uwais, sebelum saya dibenarkan untuk mulakan rawatan dengan O&G, saya diminta turun kan berat badan dahulu 5% dari berat saya, dari 73kg, kepada 70kg sahaja. Baru boleh mulakan rawatan. 

4) Elakkan stress termasuk jauhi orang yang negatif. Usah teragak-agak untuk deactivate socmed jika ia menambahkan stress anda.

Surround yourself with positive people and positive vibes. It helps.

Itu sahaja tips saya sebagai seorang wanita yang pernah melalui subfertiliti 2 kali, bukan sebagai seorang doktor.

In shaa Allah saya doakan mudah-mudahan jika seorang zuriat itu yang terbaik buat iman kalian, semoga Allah permudahkan in shaa Allah

Jika tidak, yakinlah Saidatina Aisyah RA isteri Rasulullah SAW dan isteri Firaun RA, kedua-duanya tiada anak kandung, tetapi mereka sudah pasti kedudukannya di syurga Allah.

Allah knows best in shaa Allah.

Salam sayang,
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Memahami dan mendoakanmu.


No comments:

Post a Comment