Monday 31 August 2020

Pulau Perhentian, Maldives Semenanjung Malaysia . Percutian pasca PKP.

 

Masih jelas dalam ingatan saya, pada tahun 2018. Waktu itu saya sedang menjalani latihan subkepakaran Oftalmologi Kanak-kanak, selama 2 tahun. Setiap hari sibuk tidak terkira. Suatu hari saya membedah satu kes yang amat mencabar di Dewan Bedah PPUM. Punyalah stress saya berhadapan dengan kes itu, sehingga saya terpaksa meminta bantuan Prof saya.

Selesai sahaja kes itu, saya hampir menangis. Terus saya menghubungi suami saya, mengatakan , “ I need a holiday. Dalam negara pun tak apa. Stress sangat ni!” .

Alhamdulillah suami saya, walaupun tidaklah kaya harta, amat pemurah dengan kasih sayang. Masih saya ingat balasan whatsapp beliau, “Book lah mana yang nak pergi tu, awak bayar flight, Abang bayar hotel. Kita share”. Saya pun memahami kami ni bukannya orang berada, berkongsi kos itu biasa.

Maka ketika itu yang saya terfikir, pada bulan Ogos yang sesuai adalah ke pantai Timur. Saya Google Pulau Perhentian, agen pelancongan yang pertama keluar, saya terus book Pakej Premium 3 hari 2 malam iaitu untuk “ground arrangement” airport transfer, boat transfer, hotel , makan dan pakej snorkeling untuk satu hari. Harganya kalau tak silap saya RM980 seorang.

Saya terus booking juga tiket Air Asia, harganya agak berpatutan ketika itu kerana bukan cuti sekolah. Jika melancong berdua, saya tidak kisah sangat dengan Air Asia, tetapi jika dengan anak-anak , saya lebih suka dengan Malaysia Airlines kerana lebih selesa dan tidak risau jika terlebih muatan bagasi.

Secara ringkas, percutian kami ketika itu, amat menarik kerana pada saya PLUS point Pulau Perhentian sangat banyak iaitu

-          Pulau yang sangat cantik
-          Jarak tidak terlalu jauh dari KL
-          Penerbangan KL ke Kota Bharu sejam sahaja
-          Perjalanan dari Kota Bharu ke jeti Kuala Besut sejam 15 minit sahaja dengan van

-          Air laut yang sangat jernih
-          Hidupan laut yang banyak dan bervariasi

-          Dan paling best adalah TERUMBU KARANG yang indah. Poin ini saya rasa Maldives pun kalah! Ahaa in sebab saya sudah ke Maldives pada 2019 , malah dibandingkan dengan Lombok, Bali, Phi Phi Island di Thailand, terumbu karang di Pulau Perhentian sangat cantik!

Poin-poin ini menyebabkan saya dan suami memutuskan untuk datang lagi ke Pulau Perhentian, kali ini dengan anak-anak pula!



Tetapi kali ini oleh kerana saya sudah kenal dengan agen lokal, maka saya tidak lagi memilih untuk mengambil pakej dengan agen terdahulu. Saya kongsikan beberapa sebab.

  1. -          Resort dahulu di Pulau Perhentian Kecil, jauh dari pantai. Resortnya terletak di atas bukit dan private beachnya kecil. Apabila membawa anak-anak pastinya mereka mahu mandi pantai setiap hari, dan pantai harus landai. Maka kami memilih Pulau Perhentian Besar, di The Barat Perhentian.
  2. -          Wifi di resort terdahulu sangatlah lemahnya. 3G pun tenggelam timbul. Di The Barat 3G laju kecuali pada waktu subuh hingga sekitar jam 9 pagi. Wifi ada di restoran, reception, malah sampai di bilik kami di Deluxe Sea View room.
  3. -          Makanan di resort dahulu biasa sahaja, walaupun termasuk dalam pakej. Apabila bawa anak-anak, selera mereka lain sedikit. Biarlah mereka enjoy sedikit memilih makanan. Di The Barat, restoran makanan agak mahal sedikit, contohnya roti canai RM10 (sekeping besar bersama kuah kari), cornflakes RM8 semangkuk, spaghetti carbonara RM22 dan sebagainya, tetapi servis memang tip top dan sedap.
  4. -          Di resort dahulu, kami sampai jam 3.30 petang, lunch sudah tiada walaupun kami sudah bayar. Sedangkan kami lewat kerana perkhidmatan bot dihentikan untuk solat Jumaat, dan office resort di Kuala Besut sudah maklumkan kitchen resort. Apabila saya komplen, baru mereka masakkan. Check in pula, jam 4.50 petang, baru boleh check in sedangkan di website kata jam 3 petang . Lebih dua jam kami terpaksa menunggu di lobi hotel. 
  5. - Paling sadis , kami pilih pakej honeymoon tapi diberi bilik dengan 2 katil single. Bila saya refuse, reception staff pun tarik muka. Walaupun akhirnya kami diberikan bilik yang ada satu katil saiz queen dan satu katil single, tak henti-henti kami diingatkan yang ini adalah bilik upgrade dan esoknya kami diminta menukar bilik ke bilik lain. Dah menambahkan kerja kami pula terpaksa balik tengahari di tengah-tengah snorkeling trip kami, untuk pindah barang kami dari bilik asal ke bilik baru. Memang kami pangkah lah resort itu dan travel agent itu untuk trip akan datang. Serik rasanya. Di The Barat, check in tepat jam 2 petang, bilik bersih, water pressure ok, staff reception semua muka manis, cakap lemah lembut. Sejuk hati memandang!
  6. -          Pakej dahulu katanya premium, tetapi airport transfer, boat transfer, dan pakej snorkeling semua berkongsi dengan orang lain. Tak kisah lah tu sebab itu standard. Kali ini saya kenal dengan agen lokal, kami charter van sendiri untuk airport transfer dan bot untuk snorkeling kerana mahu mengekalkan penjarakan fizikal. Tambahan pula lebih selesa apabila berjalan dengan anak-anak. Cuma saya nak charter bot transfer dari jeti Kuala Besut ke pulau tidak dapat kerana bot tersebut rosak, maka terpaksa berkongsi. Percaya atau tidak, kos untuk 4 dewasa dan 2 kanak-kanak, untuk ground arrangement ini, termasuk makan minum, kurang dari RM980 seorang seperti dengan travel agent dahulu itu.

OK saya kongsikan itinerari perjalanan kami

Hari 1 (Khamis 20/8/2020)

Kami bertolak dari rumah jam 2 petang selepas solat Zuhr, terus ke KLIA. Terkejut juga melihat KLIA yang lengang. Sayu hati saya melihatnya. Kami sudah check in dari rumah, maka drop bag sahaja di kaunter.



Penerbangan jam 4.45 petang itu agak penuh , tetapi Alhamdulillah Uwais dan anak kedua kami dapat duduk di tepi tingkap. Uwaislah yang sudah meratib berminggu-minggu nak naik kapal terbang untuk melihat awan. Kira-kira 2 minit selepas melihat awan, dia pun tertidur!



Hormat dan kagum saya dengan MAS, mereka memberikan pek kebersihan diri yang mengandungi pelitup muka, pencuci tangan alkohol dan tisu basah bagi setiap penumpang.

Sampai di Kota Bharu, selepas penerbangan selama 50 minit, kami dijemput sahabat lama kami kak Ja & Abang Fahisham, terus ke apartment mereka di Wakaf Che Yeh. Asalnya perancangan saya nak tinggal di pulau selama 4 hari 3 malam, tetapi MAS hanya ada satu penerbangan sehari, dan tidak sempat kami nak mengejar bot petang itu, maka kami bermalam di Kota Bharu dahulu.

Malam itu, kami berjalan-jalan di pasar Wakaf Che Yeh. Ada juga kakitangan yang menjaga pintu masuk dan mengesan suhu, tetapi selepas 10 minit, kami melihat semakin ramai orang yang bersesak, pasti sukar mengekalkan penjarakan fizikal, saya membeli buah dan kami terus balik.



Hari 2 (Jumaat 21/8/2020)

Seawal pukul 9 pagi, selepas sarapan pagi, kami bertolak ke jeti Kuala Besut dengan van charter. Asalnya saya request untuk bertolak jam 9.30 pagi, tetapi pihak van yang meminta untuk bergerak awal. Kesian juga pada anak-anak, cuti sekolah pun kena bangun awal. Kami dimaklumkan perlu bergerak segera kerana bot terakhir adalah jam 10.30 pagi dan selepas itu bot akan berhenti untuk solat Jumaat

Kami juga dimaklumkan , semalam iaitu cuti Awal Muharram, jeti jem! Mujur anak-anak memang sudah terbiasa tidak tidur semula selepas Subuh, maka mudahlah mereka bersiap awal pagi.

Ketika kami di Bachok, staff di pejabat bot Sealife sudah menelefon di mana kami. Ketika jam pukul 10 pagi. Pemandu van kami bernama Yusri memaklumkan kedudukan kami, dan meminta bot menunggu kami. Berdebar juga saya takut tertinggal bot, kesian pula nanti anak-anak kena tunggu bot beroperasi semula selepas solat Jumaat jam 2 petang!

Alhamdulillah kami sampai di pejabat Sealife iaitu syarikat yang menguruskan bot transfer pada jam 10.35 pagi. Selesai mengimbas suhu, scan MySejahtera, menulis nama dan sebagainya, kami diminta menunggu. Saya lihat di luar pejabat, ada beberapa keluarga lain yang turut menunggu .



Jam 11 pagi, saya bertanya, “Bot pukul berapa ya?”

Staf menjawab dengan muka agak bersalah, “ Itulah kak, bot kami rosak. Kami tak ada bot ni, kena tumpang bot orang lain.”

Ah sudah.

Saya tak sedap hati

Mujur anak-anak good mood sahaja

Alhamdulillah juga staff Sealife baik hati membenarkan kami menunggu di dalam pejabat yang ada aircond.

Pukul 11.20 pagi, salah seorang staff meminta bayaran RM20, untuk tiket Taman Marine (RM5 untuk seorang dewasa)  . Kata beliau oleh kerana semalam jeti sangat sesak dengan pengunjung yang mahu ke pulau, hari ni pihak KKM dan pihak Marine sangat tegas dalam menjalankan SOP. Selagi bot belum sampai, kami tidak dibenarkan ke jeti langsung. Kata beliau, “Biar saya saja belikan tiket Akak." Saya pun ok sahaja.



15 minit kemudian, staff tersebut datang semula dan memberitahu , “ Kak, minta maaflah, bot pukul 12.30 nanti baru ada, boleh ke?” . Saya nak kata apa? Saya pun jawab , “ Nak kata tak  boleh pun, bukan ada pilihan kan? Boleh saja lah.”

Anak-anak mula restless, yang mana lapar kami beri makan. Ada yang makan bekalan roti canai, ada yang saya belikan waffles.

Di jeti Kuala Besut, ada banyak kedai-kedai yang menjual cenderahati. Saya dan anak-anak perempuan menghabiskan masa di kedai-kedai tersebut, mencari cenderahati untuk sahabat handai. Umar dan Uwais terpaksa kami benarkan bermain dengan handphone.

Jam 12.30 tengahari, masih tiada berita bot kami. Saya menelefon kawan yang memperkenalkan saya kepada Syarikat Sealife ini. Apa yang saya risaukan adalah perkhidmatan bot dihentikan semasa solat Jumaat, maka kami anak beranak terpaksa pula menunggu berjam-jam lagi. Kasihan melihat anak-anak saya , sudahlah digesa bangun awal, terpaksa pula menunggu lebih 2 jam untuk menaiki bot.

Selepas berkali-kali saya bertanya dengan staff Sealife, akhirnya pada 12.50 tengahari, bot kami pun sampai. Pintu masuk utama jeti ditutup, kami terpaksa berasak masuk dengan penumpang yang baru turun dari bot. Bot juga agak padat, tetapi Alhamdulillah saya amat bersyukur kami dapat menaiki bot setelah hampir 2 jam setengah menanti.

Perjalanan selama 30 minit ke Pulau Perhentian agak mendebarkan kerana laut sedikit bergelora, namun pemandangan laut biru yang menyambut ketibaan kami, ternyata tidak menghampakan. Terlihat kegembiraan di wajah anak-anak , terutamanya Uwais. Oleh kerana bot ke Pulau Perhentian Kecil dahulu, ia menjadikan anak-anak tambah teruja untuk menanti ketibaan kami ke jeti resort tempat kami menginap.



Alhamdulillah The Barat Perhentian mempunyai jetinya tersendiri. Pemandangan Masjid Pulau Perhentian yang indah, betul-betul berhadapan dengan resort ini, amat mendamaikan jiwa. Sedikit mencabar untuk membawa beg yang besar dari jeti ke reception resort, tetapi ini hanya sekali, kerana ketika balik, porter akan membawakan beg tersebut dari reception hinggalah ke jeti. Semasa ketibaan, jeti ini yang dikongsi oleh ramai pengunjung, tidak memungkinkan staff The Barat mengenalpasti siapakah penginap di resort mereka, bagi membolehkan menghantar porter untuk membantu .



Saya ingin memuji pihak pengurusan The Barat. Kami tiba jam 1.50 petang, jam 2 petang tepat, kami sudah masuk ke dalam bilik-bilik kami. Urusan pengurusan kunci amat lancar, bilik-bilik amat bersih, luas, selesa dan dekat dengan pantai dan restoran.





Petang itu kami solat, makan di restoran The Barat dan kemudian menemani anak-anak mandi di pantai . Seakan hilang penat lelah perjalanan dari KL petang semalam, hingga ke saat itu, melihat senyuman dan mendengar gelak tawa anak-anak di sana. Alhamdulillah, haza min fadhli Rabbi.






Hari 3 (Sabtu 22 Ogos 2020)

Sesudah Subuh, kami ingin mencuba untuk bersarapan di restoran di sebelah resort kami iaitu Restoran Mama. Istimewa restoran ini, tiada menjual alkohol. Untuk sarapan pagi, pilihan tidak terlalu banyak, harga murah sedikit berbanding restoran di The Barat, kami makan sekeluarga jumlah RM75 , dan servis sangat cepat.









Selesai sarapan, kami bersiap untuk trip snorkeling . Sempat Uwais bermain pasir dan Umar bermandi pantai sebentar di sekitar resort.

Untuk snorkeling trip ini, kami mengambil charter bot (kecil) untuk keluarga kami sahaja. Harganya saya tidak ingat kerana dibayar sekali dengan ground arrangement yang lain, tetapi saya rasa sekitar RM700-RM800. Mungkin sedikit mahal, jika ambil secara berkumpulan, mungkin boleh dapat harga RM50-75 seorang sekali dengan sewaan peralatan snorkeling. Tetapi pengalaman dahulu, satu bot hampir 20 orang , pasti anak-anak perempuan saya yang pemalu itu, kurang selesa. Tambahan pula kami ada anak kecil, tak tahu ragam Uwais tu nanti bagaimana. Maka kami pun ambil bot sendiri sahaja.

Alhamdulillah kami pun mendapat guide yang sangat baik bernama Solah, beliau turut mengambil upah mengambilkan gambar kami sekeluarga, termasuk gambar underwater, untuk upah RM150 sehari. Solah ini sangat sabar dengan kerenah Uwais yang tak reti letih itu! Ada kala kami tak larat nak melawan ombak, Solah akan membantu membawa Uwais ke bot, agak memudahkan kami berenang.

Kami ke 3 poin iaitu poin pertama untuk mempelajari deep water confidence, poin ke dua untuk melihat penyu, dan poin ke tiga untuk mencari jerung, tetapi sayangnya sekarang musim mengawan, maka tiada penyu yang kelihatan di kawasan itu. Kawasan poin ke tiga ini ombaknya agak kuat, keletihan kami berenang melawan ombak. Kagum saya melihat anak-anak saya yang Alhamdulillah sangat enjoy dan langsung tidak takut untuk berenang di laut dalam, termasuk Uwais .








Selesai 3 poin ini, kami berhenti makan di perkampungan nelayan. Nasi campur di sini, lauk pauknya tersangatlah sedapnya. Sotong bakar sangat fresh, tetapi boleh tahan harganya. Kami makan sekeluarga, RM100+ . Selesai makan, Uwais pun terlentuk.





 Saya ingat, dah keletihan tu, dia nak balik lah. Bila terjaga ketika didukung balik ke bot, selepas sejam berehat, saya tanyalah, “Uwais letih ya? Jom kita balik?” . Uwais jawab, “No! Nak berenang!” Kuat semangat betul!

Selepas makan tengahari, kami dibawa ke poin ke 4 iaitu light house. Di sini ada banyak ikan badut atau clown fish iaitu nemo dan ada batu besar yang mana kita boleh berdiri di atasnya. Agaknya efek selepas makan, saya keletihan betul melayan Uwais semasa di poin ini.

Mujur poin ke 5 adalah pantai! Tetapi sebelum itu, Solah membawa kami bergambar dengan nemo dan belut laut dahulu.




Selepas itu, Solah membiarkan kami sekeluarga berkelah sepuas hati di tepi pantai Romantic Beach yang sangai indah.

Saya kongsikan video pengalaman kami snorkeling di Pulau Perhentian .


Link YouTube : Video Snorkeling di Pulau Perhentian   

Kami pulang semula ke resort pada jam 5 petang. Selesai solat jamak Zuhr dan Asar, kami makan malam di Restoran Mama, kerana saya ingin mengambil cucian yang saya hantar di dobi semalam. Cucian laundry adalah RM10 sekilo di sini dan akan siap dalam masa sehari. Petang itu, servisnya sedikit kurang memuaskan kerana kami terpaksa menunggu lama . Namun makanannya memang enak, dan jumlah bilnya adalah RM100 untuk sekeluarga. Antara menu yang kami pesan adalah Nasi Paprik, Nasi Goreng Special, Nasi Goreng Daging, Hawaiian Pizza (regular), Coconut Shake, Manggo Shake, Air sirap bandung 2. Saya rasa harganya sangat berpatutan memandangkan ais pun mereka perlu bawa dari jauh, bukan dibuat di pulau ini.  

Hari 4 (Ahad 23 Ogos 2020)

Hari terakhir, kami bersarapan di The Barat sahaja kerana malas nak berjalan. Ternyata rasanya sangat menyelerakan, dan harganya tidak banyak jauh beza dengan Restoran Mama iaitu RM85 untuk sekeluarga.











Selesai sarapan, suami saya menemani anak-anak lelaki bermain di pantai , sementara saya mengemaskan pakaian.




Jam 11 pagi, kami check out dan bergambar di sekitar resort. Jam 12.40 bot kami sampai di jeti, dan beg kami di hantar ke hujung jeti oleh porter. Kami adalah keluarga ke dua yang menaiki bot, dan tiket ini diberikan kepada kami semasa kami datang. Situasi agak mendebarkan semasa bot berhenti di Pulau Perhentian kecil, apabila saya lihat semakin ramai orang menaiki bot kami, hingga 30 orang sedangkan kapasiti adalah 24 orang sahaja! Tiada penjarakan sosial langsung !

Pemandu bot pun bising, mula meminta tiket penumpang yang naik. Siapa yang tiada tiket, diminta turun semula. Yang mana ada tiket, diminta berganjak dan memberi ruang kepada orang lain.

Berdebar sungguh saya, risau risiko jangkitan covid, risau bot terlebih muatan, risau ada 2 pemuda yang tiada tempat duduk. Alhamdulillah kami sekeluarga dapat tempat duduk.

Saya pastikan kami sekeluarga memakai life jacket, dan peliput muka.

Apabila bot bergerak, saya hanya mampu berdoa.

Semakin jauh pulau , semakin laju bot, semakin laju pula doa saya. Mudah-mudahan Allah lindungi kami semua.

Alhamdulillah perjalanan 40 minit itu, berakhir juga.

Sampai sahaja di Jeti Kuala Besut, saya mengucapkan Alhamdulillah berulang kali.

Kami terus berhenti makan tengahari di sana, dan menaiki van yang membawa kami terus ke lapangan terbang. Sempat saya berhenti di kedai keropok Z untuk membeli sedikit keropok lekor.

Alhamdulilah kami sampai di lapangan terbang jam 4 petang, sempat berjumpa Kak Ja seketika, beliau menyampaikan hadiah hari lahir untuk anak ke dua kami. Alhamdulillah penerbangan pulang ke Kuala Lumpur kami berjalan dengan lancar. Kami berlepas jam 6.50 petang, tiba di KLIA jam 7.50 malam. 



Kami bersolat Maghrib dan Isyak jamak di KLIA yang serba sunyi sepi, dan kemudian pulang ke rumah.

Kami tiba di rumah tepat jam 10 malam, dan keesokan harinya, jam 9.30 pagi saya terus bertugas dan terus meeting dengan Dato N CEO hospital.

Alhamdulillah walaupun percutian ini terasa sangat singkat, mudah-mudahan ia menjadi satu kenangan manis buat anak-anak in shaa Allah. Ada rezeki in shaa Allah kami akan ke Terengganu lagi.

 




No comments:

Post a Comment