"Kau dengar tak, sejak dua menjak ni, bilik bersalin belakang tu selalu aku dengar bunyi orang menangis. Asal pukul 3-4 petang camni, ada je bunyi orang nangis.
Hish, seram aku. Dah lah bilik belakang tu jarang orang pakai. Aku rasa" keras" bilik tu! ," kata seorang jururawat Dewan Bedah Hospital Selayang kepada kawannya.
" Ha ah, aku pun ada lalu semalam. Dengar jugak. Ni sejak batch houseman baru ni masuk. Yang aku pelik tu, malam tak ada pulak," kata kawannya itu.
Tak lama lepas itu, mereka sambung cerita kisah pontianak, wanita meninggal semasa melahirkan anak dan sebagainya.
Saya yang sedang duduk di kaunter jururawat, sambil menyiapkan laporan houseman sebelum habis bertugas jam 11 malam hari itu, senyap sahaja.
Iyalah, takkan nak beritahu diorang, yang bunyi orang menangis tu sebenarnya bukan hantu, tetapi saya.
Kenapa pukul 3 petang?
Sebab sekitar November 2006 itu, saya sedang menjalani tagging housemanship.
Setiap hari saya perlu bertugas dari jam 7 pagi hingga 11 malam selama 2 minggu. Anak saya baru berusia 4 bulan.
Anak yang saya nantikan selama 3 tahun selepas bernikah, yang tidak pernah saya tinggalkan walau sehari selama 3 bulan, yang saya susukan sepenuhnya dengan susu ibu, tiba-tiba saya kena tinggalkan selama 16 jam sehari selama 14 hari berturut-turut!
Pada pukul 3 petang, biasanya saya sudah terlalu letih, makan pun kadang sempat kadang tidak, pam susu pun tidak menentu, dan waktu itu saya akan sudah terlalu rindu pada bayi saya.
Jadi jam 3 hingga 4 petang, waktu selesai ward round petang, adalah waktu saya akan lari sebentar untuk melepaskan perasaan saya di bilik bersalin yang kosong di bahagian belakang Dewan Bersalin.
Waktu itu suami saya juga seorang houseman di hospital yang sama. Jika beliau tidak oncall, jam 6 petang, beliau akan pulang ke rumah dan ambil bayi saya, dan bawa ke Dewan Bersalin untuk berjumpa dengan saya sebentar untuk saya susukan.
Mengapa saya teringat kisah ini malam ini?
Kerana saya pasti ketika ini ada bekas pelajar-pelajar saya yang sedang melalui kepayahan housemanship juga.
Dan keperitan itu pastinya lebih berat bagi yang sudah berumah tangga dan mempunyai cahaya mata.
Sebagai seorang sahabat, bertanyalah khabar sahabat-sahabat kita yang lain ya.
Ambil berat keadaan satu sama lain.
Jika ada terdengar sesiapa dalam kesusahan, cubalah bantu sedaya yang mampu.
Mudah-mudahan Allah meringankan beban kita pula kelak.
Namun ingatlah selalu, janji Allah:
فَإِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرًا
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
إِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرٗا
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
-Surah Ash-Sharh, Ayat 5-6.
In shaa Allah, selepas housemanship itu, pasti kalian boleh menoleh ke belakang, melihat semua ilmu yang telah diperolehi dan berbangga dengan pencapaian, jika kalian dapat tempuhi dengan baik.
In shaa Allah.
Yakinlah dengan janji Allah, tiada kepayahan yang tidak disertai dengan 2 kali kesenangan selepasnya.
Walaupun saya akui, selepas melalui zaman houseman itupun, masih ada fasa yang dilalui dengan air mata, namun terlalu sedikit berbanding fasa gembira dalam dunia perubatan ini.
Selepas masuk ke dunia Oftalmologi, dapat saya kata kan hampir 90% perjalanan hidup saya indah belaka.
Sungguh, janji Allah itu tidak pernah Dia mungkiri.
Selepas kesusahan itu, pasti ada banyak kesenangan.
Bertabahlah menghadapi housemanship wahai doktor-doktor muda. Saya doakan kalian semua sentiasa, in shaa Allah.
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
O & G houseman
November 2006 - Februari 2007
No comments:
Post a Comment