Tuesday 8 September 2020

Kenangan penerbangan pertama dalam hidup 9.9.99

 9 September 1999


21 tahun yang lalu, pada hari ini lah saya pertama kali naik kapal terbang komersial , pada usia 18 tahun. Iyalah zaman dulu mana ada Air Asia kan. Saya pula anak pesara tentera. Mana mampu nak naik kapal terbang. Orang kaya je naik kapal terbang.


Pulang dari Labuan ke Semenanjung dahulu, Mak kata naik pesawat tentera. Masa tu pun saya baru setahun, mana ada memori lagi. 


Penerbangan pertama saya 9.9.99 itu adalah ke London, Heathrow, bersama 13 orang pelajar Perubatan tajaan MARA yang lain.


Sampai di London, sesat barat dengan kawan-kawan nak cari terminal untuk connecting flight ke Dublin.


Bahasa Inggeris pun tak berapa fasih lagi masa tu, saya pun masih ada slang Jawa kahkahkah.


Alhamdulillah, akhirnya selamat juga naik penerbangan sejam lebih untuk ke Dublin.


Sampai saja di Dublin, dengar pengumuman, gate untuk penerbangan ke Galway akan ditutup.


Apa lagi, kami berenam, saya, Hafiz Adnan, Parvez Izzudin, Brian Christopher, Sumaiya Termizi dan Mardiana Abdul Aziz pun berlari macam tak cukup tanah berkejar ke gate. Sempat bye bye begitu saja pada sahabat-sahabat yang akan belajar di Dublin.


Mujur  Airport Dublin tu tak besar sangat.


Masuk saja pesawat Fokker tu, semua muka merah padam, nafas macam Usin Bolt baru menang pingat emas Olimpik. Orang Irish yang memang peramah, ketawa melihat kami.


Dalam penerbangan, barulah kami boleh menikmati pemandangan Ireland yang indah dari udara, umpama satu jigsaw puzzle yang besar. Serba hijau, dibatasi batu-batuan indah, dan banyak kambing biri-biri putih yang gebu. Nampak macam tompok-tompok kapas saja dari atas.


Sampai di Galway, fuuuuuh itu diaaaa punya lah sejuuuuk ma shaa Allah! Menggigil kepala lutut sampai tulang sum sum. Baju panas semua dalam beg, kapal terbang mendapat atas tarmac, kami kena jalan kaki ke terminal kerana Airport Galway tersangatlah kecilnya.


Mujur Kakak-kakak dan Abang-abang senior sudah menunggu dengan teksi. Hati kami punyalah gembira, melihat sudah ada wajah-wajah Melayu di celah-celah orang putih di sana.


Alhamdulillah, selamat juga kami menjejakkan kaki ke bumi Ireland the Emerald Isle, di penghujung benua Eropah. Hampir 11,000 km dari tanahair, membawa sebuah cita-cita.


Serius setahun yang pertama di Ireland tu saya langsung tak menangis homesick walaupun duduk di asrama semasa form 4  di Jasin tiap-tiap minggu nangis. Hahahah. Kerana saya sangat minat bidang Perubatan, dan sangat teruja tinggal di Ireland.


Alhamdulillah, itulah sedikit kenangan 9.9.99, yang tak mungkin saya lupakan seumur hidup.


Ayah saya pun tanamkan motivasi untuk saya jadi doktor sejak saya umur 9 tahun. Beliau kata, "Kalau jadi doktor, nanti boleh naik kapal terbang, boleh pergi London."


Hebat ayah saya, kan?


Haha!


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Rindu Ireland




No comments:

Post a Comment