Alhamdulillah
10 Julai 2020, bermula satu lagi “yang pertama” buat saya, iaitu Kelas Tadabbur
Al Quran yang pertama di Management and Science University.
Jika
sebelum ini saya sudah biasa mengikuti kelas tadabbur dengan Ustaz Abdul Muien
dari Pertubuhan Ghulam Al Dakwah iaitu sebuah NGO, kali ini saya tidak mahu
melepaskan peluang untuk menambah ilmu yang diharap dapat saya amalkan agar
menjadi mukmin yang mendapat redha Allah kelak in shaa Allah
Kelas kali
ini dihadiri lebih kurang 50 orang , dari kalangan Dekan, Timbalan Dekan,
Professor, Pakar-pakar Perunding dari MSU Medical Centre, pensyarah-pensyarah, serta
Tan Sri Mohd Shukri , Puan Sri Junainah dan Dato Sharifah Huda sendiri.
Saya kongsikan
sedikit ilmu yang saya perolehi semasa kelas tersebut, agar mudah-mudahan
menjadi sedikit ilmu yang bermanfaat buat semua.
Apakah
tujuan kita belajar Tadabbur Al Quran ?
1) Tadabbur Al Quran adalah maqasid
iaitu tujuan terbesar tafsir Al Quran , kerana kebanyakan ayat-ayat Al Quran adalah
berkaitan dengan ibrah dan pengajaran , yang menerangkan maksud ayat tersebut .
Salah
seorang yang hadir, bertanya kepada Ustaz, apakah beza “ibrah” dan “pengajaran”.
Ustaz menjawab:
Ibrah adalah apabila kita mencari pengajaran dari ayat tersebut, dan kita
mengadaptasikannya ke dalam kehidupan kita.
2) Apakah beza tafsir dan tadabbur?
Maksud asal tafsir adalah menerangkan makna dan maksud kalam Allah,
manakala tadabbur adalah mengambil pengajaran dan iktibar.
3) Tadabbur adalah TUJUAN Al Quran
diturunkan, iaitu untuk manusia mengambil manfaat dari ayat-ayat Allah itu.
Ustaz Azrul
memberikan contoh yang sangat menarik melalui satu surah yang pendek iaitu
Surah Al Kauthar
Surah yang
sangat pendek ini, ada sangat banyak pengajarannya
Asbabun
nuzul atau sebab turunnya surah ini adalah, Rasulullah SAW telah diuji oleh Allah,
dengan anak lelakinya dijemput oleh Allah Subhanahu wa Taala. Rasulullah SAW
yang tidak pernah merasai kasih sayang seorang ayah, hanya sempat merasai kasih
sayang seorang ibu sebentar cuma, pastinya apabila dikurniakan anak, amat-amat
menyayangi anaknya.
Namun Allah
menguji Baginda dengan anaknya itu diambil semula.
Jiran
Baginda iaitu bapa saudaranya sendiri, Abu Lahab, meraikan kematian anak
Baginda, iaitu cucu saudaranya sendiri, dengan mengatakan “ Abtar! Abtar!”
iaitu gelaran bagi lelaki Arab yang tiada anak lelaki , simbol mereka yang
tidak ada zuriat waris.
Maka bagi
menggembirakan hati Baginda, Allah menurunkan surah ini.
Secara
logiknya, apabila seseorang sedang sedih, dan disakiti hatinya, pasti kita akan
berkata ,”sabarlah”, kan?
Namun di
dalam surah ini, tiada satu pun perkataan sabar yang Allah gunakan.
Di dalam
ayat pertama :
إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ - 108:1
Sesungguhnya
Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di
dunia dan di akhirat)
Al Kauthar
ini ulama mengatakan ada 2 maksud iaitu
1) Nikmat yang melimpah ruah
2) Telaga di syurga
Perkataan الكوثر
adalah berasal dari perkataan katheer كثىر iaitu banyak.
Contohnya
air yang dituang ke dalam gelas, dan ia penuh, maka ia adalah katheer كثىر
Jika air
dituang hingga gelas itu melimpah, maka ia adalah kathuur كثور.
Namun perkataan
al kauthar الكوثر adalah tidak boleh
dibandingkan.
Pemilihan perkataan sahaja , di dalam Al Quran itu sudah sangat tepat, apatah lagi maksud dan makna di dalamnya .
Maka apakah
ibrah dari surah Al Kauthar ini?
1) Apabila ditimpa musibah, apa yang
harus kita lakukan pada fasa pertama adalah
BERTENANG, dengan cara kita mengenang NIKMAT ALLAH YANG BANYAK yang telah Allah
kurniakan kepada kita. Usahlah kita fokus kepada masalah yang kecil itu
2) Fasa ke dua , apa yang perlu
dilakukan adalah SEGERA BERSOLAT KEPADA ALLAH.
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ - 108:2
Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).
Bersolat sahaja tidak cukup, ia perlu dilakukan dengan segera dan tidak
bertangguh
Bersolat sahaja tidak memadai, ia perlu solat kepada Rabb , kerana ramai
manusia yang solat tetapi hati dan jiwa menerawang ke tempat lain
Rabb itu juga datang dari perkataan murabbi, iaitu pendidik.
Setiap kali musibah datang, yakinlah pendidik itu sedang melihat didikan
yang sedang kita lalui.
Bahagian kedua ayat ke dua ini :
An Har : berkorban , bersembelih dan bersedekah.
Apabila kita menggembirakan orang lain, Allah akan menggembirakan kita.
3) Ayat ke tiga menunjukkan, siapa yang
mencela Rasulullah itu abtar kerana terputus tiada waris, sebenarnya dialah
yang abtar kerana TERPUTUS dari RAHMAT ALLAH, dan itulah abtar yang sebenar-benar
rugi.
إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ - 108:3
Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).
Ibrahnya adalah, usahlah kita mengata keburukan orang lain, dikhuatiri
ia kembali kepada diri kita .
Ada banyak
ilmu-ilmu yang diperlukan untuk kita mempelajari tadabbur Al Quran, tetapi ini
shaa Allah Ustaz akan memasukkan ilmu-ilmu ini di dalam kelas tadabbur beliau.
Ustaz mengakhiri
kelas dengan meminta hadirin merenung ayat 20 surah Al Hadid
اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ
كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ
وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ - 57:20
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Allah
menggariskan dunia ini adalah
1) Permainan
2) Hiburan
3) Perhiasan
4) Sesuatu yang kita bermegah-megah
dengannya sesama kita
5) Menjadikan kita mengejar anak dan
harta
6) Ilusi
Dan hakikatnya
Allah menyediakan azab yang berat bagi golongan yang mengutamakan dunia, serta disediakan
juga keampunan dan keredhaanNya bagi golongan yang tidak mengutamakan dunia.
Semoga kita semua tidak tergolong dalam golongan yang tertipu dengan dunia, in shaa Allah.
Alhamdulillah
saya rasa sejam setengah yang amat bermakna. In shaa Allah mudah-mudahan Allah akan
memberi kesempatan untuk saya mengikuti lagi kelas tadabbur ini pada masa akan
datang , dan dapat memperbaiki akhlak dan iman saya in shaa Allah.
No comments:
Post a Comment