Alhamdullillah pada 12 September yang lalu , anak bongsu
saya Uwais telah selamat menjalani pembedahan membuang tonsilnya yang bengkak,
atau dalam istilah perubatannya adalah tonsillectomy.
Uwais yang lahir tidak cukup bulan, sememangnya mudah
terkena jangkitan kuman. Semasa kurang dari usia setahun sahaja, tiga kali
masuk ke hospital kerana jangkitan paru-paru. Selepas ulangtahun ke 2, dia
masuk ke wad dengan jangkitan virus yang agak teruk iaitu virus influenza, dan
kemudian bocavirus. Hampir sahaja dia masuk ke unit rawatan rapi. Alhamdulillah Uwais saya berikan suntikan
vaksin pneumococcal , maka kurang sedikit risiko terkena jangkitan bakteria
yang merbahaya.
Episod kali ini pula berlaku selepas hari raya. Dalam masa 6
minggu, 4 kali Uwais diserang jangkitan kuman atau Upper Respiratory Tract Infection
atau URTI , hingga terpaksa mengambil dua jenis antibiotik berbeza. Selepas
episod demam kali ke tiga, saya dan suami membawanya berjumpa seorang Pakar
kanak-kanak, tetapi menurutnya, tonsilnya bengkak tetapi mungkin hanya
jangkitan virus.
Apabila Uwais demam lagi selepas antibiotic habis, saya mula
susah hati . Badannya pun semakin kurus kerana tidak lalu makan. Bayangkan
beratnya hanya 10kg lebih bagi kanak-kanak 2 tahun setengah.
Ini Uwais, budaknya kecil sahaja tetapi idea banyaaaak. Entah kenapa sekarang ni musim dia nak jalan-jalan sambil pakai goggle walaupun bukan nak pergi swimming kahkahkahkah. Ikut suka awak laaaa |
Alhamdulillah di PPUM, klinik Mata bersebelah dengan klinik
Telinga, Hidung dan Tekak atau ENT. Saya terserempak dengan sahabat saya, yang
mengajak saya berbincang kes anak saya dengan Pakar ENT kanak-kanak iaitu Dr
Jeyanthi. Dr Jeyanthi terus meminta saya membawa Uwais ke hospital untuk
pemeriksaan.
Pada awal Ogos, selepas diperiksa, ternyata bukan sahaja
tonsil Uwais terlalu bengkak hingga hampir menutup tekaknya, adenoid atau
kelenjar di hidungnya juga bengkak , menyebabkan Uwais sukar bernafas dan tiada
fungsi menghidu. Apabila tiada deria bau, pastinya selera makan berkurang.
Ditambah pula dengan kesukaran menelan, ia menyebabkan Uwais sukar naik berat
badan.
Dr Jeyanthi terus memberikan antibiotik selama 6 minggu
sebagai persediaan untuk pembedahan, dan memberikan tarikh untuk pembedahan.
Terkejut juga saya, sampai saya bertanya, “Does he REALLY need the surgery? “
Dr Jeyanthi dan seorang lagi Pakar ENT Dr Azrina masing-masing berkata iya.
Maka bermulalah episod 6 minggu Uwais dengan antibiotic dan
spray hidung untuk mengurangkan bengkak di dalam hidungnya. Punyalah susah nak
beri spray hidung, macam nak berperang! Mujur Uwais senang nak minum ubat.
Dalam masa 6 minggu ini, Uwais tidak boleh ada demam, batuk
dan selsema langsung, jika tidak pembedahan perlu ditunda. Saya pun susah hati
juga. Iyalah saya pula sedang sambung belajar, tidak boleh cuti
panjang-panjang.
Tetapi Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Merancang.
Nak
dijadikan cerita, pada penghujung Ogos, saya tersepak hujung kabinet dapur dan
patah jari kaki! Maka saya pun dapatlah MC panjang dengan berkasut Robocop dan
bertongkat. Tetapi sekurang-kurangnya saya tak perlu ambil cuti . Ada
hikmahnya.
Siapa sangka tulang kecil pun kalau patah SAKIT OK. Ma shaa Allah. Harap-harap adalah dosa yang terampun dengan sakit ini. Amin |
2 minggu sebelum tarikh pembedahan, Uwais demam!
Aduh saya
dah susah hati. Saya whatsapp Dr Jeyanthi, dan beliau meminta saya menaikkan
dos antibiotik kepada dua kali sehari.
Alhamdulillah semasa berjumpa doktor
bius untuk “pre-operative assesement”, Uwais lulus. Walaupun bersusah payah
saya parking kereta di tempat OKU, bertongkat membawa di ke klinik anaesthesia,
Alhamdulillah dipermudahkan jua.
4 hari sebelum tarikh pembedahan, pada hari Jumaat, kami
datang ke hospital untuk kemasukan ke wad, walaupun pembedahan adalah pada hari
Rabu, kerana Isnin adalah cuti Umum sempena Keputeraan Agong, dan Selasa cuti
Awal Muharram.
Pagi-pagi kami sampai di Klinik ENT, Uwais terpaksa ditidurkan dengan ubat
Chlorhydrate untuk ujian pendengaran kerana dia tidak boleh bekerjasama. Ujiannya sekejap sahaja, tetapi dia punya meronta, mengalahkan apa sahaja. Hahahaa...
Kesian pula tengok dah lentok lepas minum ubat tidur hehe |
Selepas diperiksa, kami ke kaunter kemasukan dan mendaftar. Selepas mendaftar
dan menunggu lebih kurang setengah jam, kami ke Wad 8PB. Selepas berjumpa
doktor ENT, menandatangan borang kebenaran pembedahan, Encik Suami ke masjid
untuk Solat Jumaat, saya melayan Uwais di wad. Letih juga nak menolak stroller
dengan kasut Robocop saya yang berat itu.
Alhamdulilllah sekitar jam 4 petang Pakar Bius datang dan memeriksa Uwais, dan
selepas menandatangan borang kebenaran bius penuh, kami dibenarkan balik. Seram
juga mendengar penerangan, ada risiko kecederaan pada mulut, dalam pipi, gigi,
lidah dan sebagainya. Pakar Bius kata, jika pendarahan berlaku di dalam tekak,
mereka perlu tolak Uwais masuk semula ke Dewan Bedah dan Uwais akan perlu
bernafas dengan tiub pernafasan. Ma shaa Allah. Saya yang doktor pun ngeri
mendengarnya. Semoga Allah pelihara anak kecil kami ini.
Hari Selasa , sehari sebelum pembedahan, kami ke hospital
sekitar jam 5 petang. Mulanya merancang nak pergi awal, tetapi saudara kami
yang Pakar Bius kata, tak perlu terlalu awal. Cuma apabila kami sampai di
Kaunter Kemasukan Wad, sudah hampir jam 6, kaunter sudah tutup. Rupanya buka
hingga jam 4.35 petang sahaja jika hari cuti.
Saya pun tolakkan stroller dengan Uwais dari Menara Selatan ke Unit Kecemasan.
Pening kepala saya nak naik tangga di Kecemasan itu, dengan saya berkasut
Robocop, dengan stroller Uwais, tiada laluan OKU dan suami pula pergi parking
kereta. Mujur ada pemuda berbangsa Cina baik hati menolong saya Alhamdulillah.
Bangga saya semangat satu Malaysia.
Pendaftaran di Unit Kecemasan sekejap sahaja. Selepas daftar
terus ke Wad 8PB. Sampai di sana, doktor ENT sudah tunggu. Doktor kata perlu
ambil darah , untuk mengetahui jenis darah dan persediaan mana tahu Uwais
pendarahan banyak, perlu transfusi darah. Ma shaa Allah sekali lagi berderau
darah saya
Uwais pula punyalah kuat, susah betul doktor nak pasang
branula untuk infusi, hanya sempat ambil darah, kemudian dia meronta dan
branula tercabut. Kasihan pula melihatnya.
Sewaktu ini barulah saya mula
terdetik, begini perasaan seorang ibu, yang anaknya mahu dibedah. Selama ini
saya sebagai doktor yang membedah, saya tidak melalui semua ini. Mungkin inilah
antara hikmah Allah beri anak saya sakit supaya saya lebih empati kepada ibu
bapa pesakit selepas ini in shaa Allah.
Oleh kerana Uwais akan menjadi kes ke 4 esok, Uwais
dibenarkan minum susu hingga jam 2 pagi, dan boleh minum air kosong hingga 6
pagi. Maka doktor ENT tidak meletakkan branula lagi. Doktor bius juga berkata
akan dimasukkan selepas dia tidur esok di Dewan Bedah.
Malam itu, suami dan saya tinggal dengan Uwais. Uwais sangat
ceria, tidak tahu apa-apa yang berlaku. Sibuk makan cereal hingga jam 10 malam,
bergelak ketawa dengan ayahnya, minta disorong dengan stroller, hinggalah
mengantuk dan mahu tidur dengan saya di kerusi malas yang boleh ditukar menjadi
katil sementara. Walaupun sedikit sempit, alhamdulillah selesa. Selepas Uwais
tertidur, ayahnya mengangkatnya dan meletakkan ke atas katil, dan saya tidur di
kerusi malas. Suami saya balik ke rumah.
Malam sebelum pembedahan, masih dengan goofiness dia macam biasa |
Sebelum tidur, saya set jam di telefon sekitar jam 2 pagi
untuk memberi Uwais minum susu. Tetapi tidurnya nyenyak sungguh, langsung tidak
menguit.
Jam 6 pagi juga tidak mahu bangun untuk minum air. Saya yang tidak
boleh tidur sepanjang malam, kerana ada bayi yang baru lepas pembedahan
jantung, kerap bangun dan menangis setiap jam. Ma shaa Allah kasihan sungguh
saya melihatnya. Tidak dapat saya bayangkan betapa sakitnya dibedah jantung
pada usia sebulan. Kasihan juga pada ibunya yang masih dalam pantang dan
pastinya keletihan menjaga bayinya seperti setiap hari dan malam. Saya hanya
mampu mendoakan agar diberi kesembuhan kepada bayinya.
Sebelah katil saya pula,
adalah bayi anak Pengarah Filem terkenal Aziz M Osman, baik sahaja bayinya.
Langsung tidak berbunyi atau menangis. Katil satu lagi kosong tiada pesakit.
Jam 6.10 pagi ketika saya solat Subuh, Uwais bangun. Selepas
solat saya beri dia minum air kosong. Sepanjang pagi Uwais ceria sahaja, tidak
pula meminta susu atau berkata lapar. Sibuk berjalan ke sana ke mari,
melompat-lompat, panjat sana-sini dan sibuk bertanya “mana Abi.” Saya yang
berdebar takut dia lapar.
Selesai mandi, Dr Jeyanthi datang dengan team, dan berkata
dia jangkakan Uwais akan dipanggil sekitar jam 1 atau 2 petang, jadi boleh beri
minum air kosong hingga 10 pagi.
Sebelum Uwais adalah bayi-bayi yang lebih
muda, dan ada satu kes yang lebih kritikal dan perlukan katil di PICU. Saya
cuba sembunyikan wajah kecewa dan risau saya. Saya mengharapkan Uwais tidak
perlu puasa terlalu lama. Saya tersenyum dan ucapkan terima kasih kepada team
ENT.
Mereka berlalu pergi.
Uwais masih ceria.
Ayahnya sampai sekitar 9 pagi, selepas menghantar kakak-kakak dan abangnya ke sekolah.
Saya pula perlu pergi
ke Klinik Sports Medicine untuk rawatan susulan saya. Saya tinggalkan Uwais
seketika dengan berat hati. Saya pun belum bersarapan kerana tidak sampai hati
nak makan depan dia yang berpuasa.
Di Klinik Sports Medicine, sambil menunggu giliran, saya
teringat kata-kata Dr Muhammad Kamil (penulis buku Travelog Haji: Mengubah
Sempadan Iman) dalam salah satu bukunya, ketika beliau terkena stroke, beliau
meminta isterinya menghantar post di FB agar meminta sahabat-sahabat
mendoakannya.
Hadith Rasululah SAW :
Daripada Abu Darda’ r.a: Rasulullah s.a.w telah
bersabda:
"Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim tanpa
diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdo’a) akan ada didekatnya seorang
malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu)
akan berkata: Amin! Dan bagi engkau
kebaikan yang sama".
(Hadis diriwayatkan oleh Muslim)
Maka saya menggunakan waktu lapang itu untuk menghantar satu
post di FB memohon titipan doa buat anak kecil saya dari sahabat-sahabat FB
saya, mudah-mudahan ada yang makbul in shaa Allah . Saya masukkan juga di
whatsapp status saya.
Di klinik, saya berjumpa Pakar Sports Medicine, Dr Rahmani. X-ray menunjukkan tulang jari kaki
saya menunjukkan tanda-tanda akan sembuh tetapi masih terlalu awal dan oleh
kerana saya masih belum boleh berjalan tanpa rasa sakit, beliau menasihati saya
untuk terus memakai kasut Air Walker untuk seminggu lagi dan menyambung cuti
sakit saya bagi mengelakkan pergerakan yang keterlaluan.
Selesai sahaja di Klinik Sports Medicine, sekitar jam 11. 30
pagi, suami menelefon mengatakan Dewan Bedah sudah memanggil Uwais untuk turun
ke Dewan Bedah (OT) .
Ma shaa Allah!
Benarlah ada di antara doa sahabat-sahabat
yang baik hati, yang dimakbulkan Allah yang Maha Baik.
Oleh kerana Klinik Sports Medicine di Menara Selatan sudah
dekat dengan Dewan Bedah, saya menunggu sahaja di laluan.
Tidak lama kemudian
Uwais dan ayahnya sampai , diiringi seorang staff dari OT dan seorang jururawat
dari wad.
Masuk ke OT, saya diberikan baju untuk disarungkan. Aneh
rasanya, biasanya saya masuk sebagai pakar bedah, kali ini sebagai seorang ibu
. Jururawat -jururawat dan doktor-doktor yang mengenali saya juga kehairanan.
Apatah lagi saya dengan bertongkat dan terdengkut-dengkut. Saya hanya tersenyum
dan menerangkan yang anak saya perlu menjalani tonsillectomy.
Hanya seorang ibu bapa dibenarkan masuk, dan Uwais mahukan Ummi, maka saya buka kasut Air Walker saya, dan masuk dengan berselipar OT,
berbaju dewan bedah dan menemani Uwais di katilnya.
Lama juga menunggu giliran
kerana kes ke 3 baru sahaja masuk. Lebih kurang sejam, saya melayan Uwais
bertanya itu ini, bermain belon dari sarung tangan, berjalan-jalan, sambil
melayan perasaan yang silih berganti. Sekejap rasa berani, sekejap rasa sedih,
sekejap rasa takut. Muka saya sahaja ceria, dalam hati rasa nak menangis pun
ada. Terasa Uwais kecil sangat lagi dan perlu dibedah.
Saya ada satu habit yang saya sendiri tidak tahu sama ada
baik atau tidak. Untuk pesakit-pesakit congenital cataract saya, saya sering
memberikan nombor telefon peribadi saya kepada ibu mereka, untuk memudahkan
mereka menghubungi saya. Masalah congenital cataract tidak berakhir dengan
pembedahan. Rawatan susulan akan mengambil masa bertahun-tahun. Cuma syarat
saya kepada mereka adalah mereka tidak boleh menyebarkan nombor telefon saya
kepada orang lain.
Dalam saya menahan perasaan di ruang menunggu Reception di
Dewan Bedah , saya mendapat whatsapp dari beberapa ibu bapa pesakit-pesakit
saya , yang terbaca status whatsapp saya yang anak saya akan menjalani
pembedahan.
Ma shaa Allah. Hampir saya menitiskan air mata, terharu
dengan sokongan dari mereka. Tidak tergambar dengan kata-kata, apabila mereka
pula yang memberikan kekuatan kepada saya.
Tidak lama kemudian, masuk pula seorang pesakit bayi, dan
ibunya menegur saya, “Eh, Dr Aisyah!”
Subhanallah!
Seorang lagi pesakit saya
juga akan menjalani pembedahan minor pada waktu yang sama. Bayi ini kami sudah
merawat sejak dia berusia 6 bulan lagi, dan sekarang sudah 18 bulan. Saya
memohon izin bergambar dengannya, dan saya minta kekuatan darinya. Ibu muda
berbangsa Cina ini datang dari JB, dan berkata, walaupun anaknya sudah
menjalani banyak pembedahan, setiap kali pembedahan, dan anaknya semakin sihat,
beliau semakin kuat dan kuat! Subhanallah!
Sungguh, Allah memberi rezeki KEKUATAN ini dari sumber yang
saya tidak jangkakan, seperti dalam surah At-Talaq ayat 2- 3:
Dan sesiapa yang
bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala
perkara yang menyusahkannya) Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat
kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan
menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang
dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya
tiap-tiap sesuatu.
Alhamdulillah Ya Allah.
Pukul 12.45 Dr Jeyanthi datang berjumpa kami.
Katanya
“Jangan risau, Aisyah, it’ll be ok. I’ll do the surgery myself”.
Hati saya tenang
sedikit.
Tepat jam 12.50 tengahari , kami melangkah masuk ke Dewan
Bedah sambil saya mendukung Uwais. Saya melangkah perlahan dengan
terdengkut-dengkut, kaki kiri saya masih sakit apabila menapak, apatah lagi sambil mendukung anak. Macam- macam
ditanya Uwais, ditunjuk lampu, aircond, wifi dan sebagainya.
Di dalam Dewan Bedah, mulanya Uwais ceria sahaja di dalam
dakapan saya. Tetapi apabila dibaringkan, dia mula menangis dan berkata “Jangan
Ummi!!” sambil menjerit sekuat hati. Hati saya bagai diruntun.
Saya peluk dia sambil saya bacakan doa tidur
dan bacakan syahadah, tatkala doktor bius memegang topeng gas untuk
menidurkannya. Suaranya semakin perlahan, dan tidak sampai satu minit, Uwais
sudah tertidur. Saya cium pipinya, dan saya serahkannya kepada Allah.
Sambil saya menahan air mata melangkah keluar dari OT, saya kerling jam di
dinding. Tepat pukul 1 tengahari .
Suami saya menunggu di luar, mengajak saya makan.
Barulah
saya tersedar betapa laparnya perut saya yang langsung tidak makan sejak pagi,
hanya sesuap dua mihun goreng yang diberikan pihak hospital.
Kami segera makan di kafe Fakulti Perubatan, dan kemudian
suami saya ke Masjid Hospital untuk solat Zuhr. Saya pula solat di Jabatan
kerana ia dekat dengan Dewan Bedah.
Selesai solat jam 1.50 tengahari, baru saya perasan yang Dr
Jeyanthi sudah whatsapp saya jam 1.40 tengahari yang pembedahan telah selesai
dengan selamat tanpa sebarang komplikasi.
Subhanallah!
Tatkala saya menghadap
Allah, dalam sujud saya berdoa, Allah gerakkan tangan Doktor Pakar itu untuk
membedah anak saya dengan baik.
Alhamdulillah ya Allah.
Tidak lama kemudian, jururawat bahagian Recovery menelefon
saya dan memberitahu yang Uwais sudah terjaga dan menangis!
Kelam kabut saya
melipat telekung dan sejadah, dan berjalan ke Dewan Bedah.
Sampai sahaja di Recovery, mujur ada sahabat saya Jururawat
Ayum sedang memangku dan memeluk Uwais yang katanya mengamuk mencari Ummi .
Subhanallah .
Alhamdulilllah
Alhamdulillah
Setengah jam di Recovery, Uwais silih berganti antara
menangis ajak berjalan dan mencari Abi, dan tertidur.
Serak suara tangisannya akibat tiub pernafasan yang digunakan semasa pembedahan. Pakaiannya masih sama, dengan pakaian yang saya pakaikan pagi tadi. Tidak ditukar baju Dewan Bedah pun. Melihatnya tidur, umpama tiada apa yang berlaku sebentar tadi.
Sekitar jam 3 petang, staff dari wad datang menjemput kami dan kami
balik ke wad 8PB.
Uwais bangun dan minum Vitagen sedikit, dan tertidur semula.
Doktor ENT berpesan agar dia mula minum dan makan makanan yang sejuk agar
kurang sakit di tekaknya.
Sekitar jam 6 petang, datuk dan neneknya datang
dengan bubur, Uwais terjaga dan terus minta French fries!
Alhamdulillah Uwais memang anak yang kuat. Walaupun suara
masih serak, petang itu dia sudah makin ceria, sudah mahu makan dan minum susu.
Malam itu giliran Abi pula tidur dengan Uwais, kerana kebetulan katil di
hadapan kami itu ada pesakit baru masuk dan ditemani ayahnya. Jadi kurang manis
pula saya yang menjaga Uwais.
Menurut ayahnya, malam itu Uwais terjaga juga dua tiga kali mencari Ummi, dan sakit pada tekaknya, tetapi tertidur semula apabila ditepuk-tepuk. Selepas menghantar anak-anak ke sekolah, saya terus ke hospital, suami pula pulang ke rumah untuk berehat.
Alhamdulillah sehari selepas pembedahan, Uwais sudah boleh makan
biskut, nasi dan pisang. Kami pulang ke rumah pukul 4 petang, dengan dokor
berpesan agar Uwais makan ubat tahan sakit setiap 6 jam selama 2 minggu, bagi memastikan dia
tidak sakit, dan sentiasa makan. Jika tidak makan, slough atau fibrin akan
terbentuk di atas permukaan tempat pembedahan, dan boleh menyebabkan pendarahan
jika beralih kelak.
Dalam masa 2 minggu ini juga, Uwais perlu dijaga agar tidak
terkena sebarang jangkitan kuman kerana jangkitan sangat merbahaya. Maka kakak
dan abang serta pembantu rumah jika ada batuk selsema, perlu memakai mask.
Alhamdulillah , ini satu pengalaman yang berharga buat saya.
Allah mahu saya merasai perasaan seorang ibu yang anaknya menjalani pembedahan.
Merasai proses pergi membawa anak ke klinik bius, ke kaunter kemasukan, masuk
wad, melihat anak diambil darah, melihat anak puasa, melihat anak ditidurkan
untuk pembedahan.
Merasai debaran ketika anak dibedah, menanti detik dan ketika
anak selesai pembedahan, melihat anak kembali pulih selepas pembedahan. Itu
semua adalah tarbiyah dari Allah buat saya, seorang pakar bedah yang biasa
membedah anak-anak tetapi jarang-jarang melihat sebuah pembedahan dari
perspektif seorang ibu.
Alhamdulillah hari ini sudah 7 hari selepas pembedahan, Uwais pun sudah semakin sihat. Makan minum seperti biasa, cuma kami perasan suaranya berubah sedikit. Jika dahulu agak lantang, sekarang agak kecil seperti Chipmunk hahahah.
Alhamdulillah alaa kulli haal.
Semoga Uwais terus sihat dan tidak perlu
pembedahan lagi di masa akan datang in shaa Allah. Doakan ya.
Balik dari hospital, terus singgah beli Air Purifier Atmosphere sebab kakak-kakak dan abang semua tengah batuk dan selsema, takut berjangkit. Tak apalah mudah-mudahan Allah terima sebagai satu amalan baik, investment untuk anak. Udara lebih bersih, kurang risiko jangkitan virus melalui droplet. Thanks Charles & Pin sebab recommend ya . Kalau berminat silalah contact kawan kami 0177321718 .ya. Kami ni pengguna sahaja hehe |
No comments:
Post a Comment