Suatu masa dahulu, saya dan suami tiada anak.
Saya ada endometriosis maka doktor kata ada 15 peratus kemungkinan saya sukar hamil. Tambahan pula ovari saya rosak teruk akibat darah berkumpul di situ setiap kali haid.
Senggugut memang teruk. Pada usia 24 tahun saya menjalani pembedahan besar untuk rawatan endometriosis dan membuang darah beku yang berkumpul mengelilingi kedua-dua ovari saya.
Selepas dibedah, kami berdoa sungguh-sungguh untuk dikurniakan zuriat.
Doktor kata saya stress, jadi saya ambil cuti setahun tanpa gaji, menemani suami saya yang masih belajar di Indonesia.
Tiga tahun menahan perasaan setiap kali ada saudara mara yang bertanya,
"Bila nak ada baby?"
"Eh sedara kau tu dah 2 orang anak dah."
"Kawan kita tu, kahwin lambat dari kau, dah ada anak dah..Kau belum lagi?"
"Kau tak reti buat ke? Kan suami isteri doktor?"
Ada masa saya boleh sabar.
Ada masa saya melawak.
Ada masa saya laser balik .
Ada masa saya menangis.
Suami saya tak pernah penat memujuk dan ingatkan saya untuk minta pada Allah. Beliau ajak saya solat dan berdoa.
Paling saya tidak boleh lupa, semasa saya tawarkan untuk beliau ambil isteri kedua sebab saya tak mampu beri zuriat, beliau jawab, "Abang bernikah bukan niat nak dapat anak. Abang bernikah nak dapat redha Allah dan ikut sunnah Rasulullah. Kalau ada anak, itu bonus."
Alhamdulillah saya hargai kesetiaan beliau.
Saya berdoa dengan Allah , nak anak walaupun seorang, jadilah, sebagai penyambung zuriat suami saya , yang merupakan anak tunggal lelaki.
Alhamdulillah doa saya makbul, bulan Ramadhan 2005.
Februari 2006, suami saya selesai pengajian di Universitas Gadjah Mada. Beliau pulang dengan segulung ijazah, saya dengan bayi 5 bulan dalam kandungan.
Tak ada perkataaan yang dapat menggambarkan perasaan ketika pertama kali menatap wajah anak sulung kami pada Julai 2006. Alhamdulillah Allah dah izinkan untuk kami menjadi ibu bapa.
Alhamdulillah sekarang kami sudah ada 4 orang cahayamata.
Kalau saya cerita dengan orang saya dulu sukar hamil, orang pun susah nak percaya.
Alhamdulillah SEMUA , adalah dari Allah
Haza min fadhli Rabbi.
Kenapa saya nak kongsikan cerita ini malam ini, morale of the story
1) Allah Maha Pemberi. Kekayaan Allah itu , ada hadith qudsi yang sebut, jika seluruh manusia dari Nabi Adam hingga manusia terakhir berkumpul, dan meminta, lalu Allah tunaikan semua permintaan itu, kekayaan Allah itu tidak luak sedikit pun,umpama jarum yang dicelup di dalam lautan dan diangkat. Yang luak hanyalah titisan air yang melekat pada jarum, sedangkan kekayaan Allah seluas lautan itu lagi.
Ma shaa Allah
Maka mintalah dari Allah yang Maha Kaya, Maha Pemberi & Maha Pemurah.
Berdoa pun satu pahala. Seronok kan, lagi minta,lagi Allah sayang dan Allah beri pahala.
2) Perlu ada usaha, tiada boleh berserah sahaja. Alhamdulillah Allah ilhamkan kami untuk dapatkan rawatan, dan kami yakin ilmu yang pakar O&G itu ada juga semua dari Allah.
3) Sokongan dari pasangan itu tersangat penting. Semasa nikah lagi perlu ada niat dan "mindset" yang betul.
Perjalanan dan perjuangan subfertiliti itu sudah cukup memberi tekanan. Sangat tidak membantu jika pasangan berkata ," Awaklah ni, tak subur." Atau lebih menyakitkan ,"saya nak kahwin lagi satu lah, sebab awak tak boleh mengandung."
Jagalah hati pasangan kita yang sanggup bersusah payah bersama.
Mudah-mudahan Allah panjangkan jodoh kita dengan pasangan kita yang beriman hingga ke syurga in shaa Allah
4) Jagalah pertuturan kita. Tak perlu rasanya bertanya-tanya pada pasangan yang sudah lama bernikah tapi belum dikurniakan anak, "bila nak ada baby." Allah saja yang Maha Mengetahui.
Kita tak tahu mungkin ada kata-kata begitu yang boleh mengguris hati orang lain. Kalau dia tak maafkan kita,itu memang hak dia. Seram kan?
Tambahan pula tidak ada syarat masuk syurga mesti orang yang sudah bernikah/bersuami atau sudah ada anak saja layak masuk syurga.
Saidatina Maryam tidak ada suami, Saidatina Aisyah Radhiallahuanha tidak ada anak. Dua-dua ahli syurga in shaa Allah
5) saya nak didik hati sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah beri dan ingat ia adalah ANUGERAH ALLAH, atas rahmah dan kasih sayang Allah, bukan atas usaha atau kehebatan saya.
Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah
Saya titipkan doa dan kasih sayang saya ,malam ini buat para suami isteri yang sedang dalam usaha mendapatkan zuriat.
Saya kira hanya yang pernah melaluinya, benar-benar memahaminya.
May Allah make ease in shaa Allah ...
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Bekas pesakit endometriosis &-subfertiliti
No comments:
Post a Comment