Friday 2 February 2018

Suami mulakan gaya hidup sihat, apa kita nak buat?

Dua minggu lalu Encik Suami saya mula berdiet. Mungkin azam tahun baru beliau. Sungguh-sungguh beliau berusaha. Jaga kalori, kurangkan karbohidrat, banyakkan protein. Snek beliau adalah sayur salad satu mangkuk besar.

Setiap hari beliau bersenam 30 minit dan gunakan jam senaman beliau untuk pastikan cukup 10,000 langkah sehari.

Semasa beliau baru nak mula, saya pesan satu saja, "Abang jangan cranky ya".

Sebab saya dah pernah buat diet makan protein sahaja. Masuk seminggu memang rasa nak marah saja sebab tak dapat langsung karbohidrat. Walaupun turun beberapa kilogram, sengsara rasanya sampai saya taubat tak nak buat lagi.

Kembali kepada kisah Encik Suami saya, Alhamdulillah selepas 9 hari beliau turun 4kg! Terus kempis perut beliau!

Memang saya kagum sungguh dengan beliau. Selepas 9 hari beliau sudah boleh makan seperti biasa, cuma makan tengahari beliau ambil ambil susu dan protein sahaja.

Saya pun puji beliau, saya beritahu saya pun teringin nak cuba tapi rasanya tak cukup kuat.

Cuba teka apa beliau jawab.
Hehehe

Beliau kata, "Awak tak payah lah,bukannya nak kena turunkan berat badan banyak sangat pun . BMI 24 ok lah tu. Abang tak sanggup nak tengok awak gastritis. Awak dah ok".

Alhamdulillah.

Jadi mulai hari ini saya bertekad nak sokong suami saya untuk lebih sihat. Sambil itu saya pun boleh jaga pemakanan dengan lebih baik in shaa Allah.

Saya beli buah-buahan, masak untuk makan malam semua dimasak dengan airfryer , sayur-sayur di stim saja dengan sedikit minyak zaitun.

Alhamdulillah Encik Suami kata sedap, dan beliau kata," Para isteri kalau sayang suami, bukan masak sedap-sedap sampai suami obes dan diabetes. Kenalah masak yang sihat supaya jaga kesihatan satu sama lain."

Alhamdulillah Alhamdulillah

Jom para isteri kita buktikan sayang suami, dengan bantu mereka capai berat badan unggul dan badan lebih sihat in shaa Allah.

Semasa zaman Saidina Umar , kalau ada sahabat berbadan gendut, baginda marah dan berkata ," ini bukan berkah, tapi bala!"

Bagaimana nak jadi umat terbaik jika asyik sakit, kan? 


No comments:

Post a Comment