|
Bunga-bunga yang cantik sekitar Hong Kong Convention and Exhibition Centre |
Alhamdulillah dari 8 hingga 11 Februari yang lalu, saya
berpeluang ke Hong Kong sekali lagi selepas ke negara itu pada Oktober yang
lalu. Jika Oktober yang lalu adalah untuk menghadiri persidangan Asia Pacific Strabismus
and Paediatric Ophthalmology Conference (APSPOS), kali ini saya menghadiri persidangan
tahunan bagi semua pakar mata dari kawasan Asia Pasifik iaitu Asia Pacific Association
of Ophthalmology Conference (APAO 2018 )
Bertempat di Hong Kong Convention and Exhibition Centre
(HKCEC) di pulau Hong Kong, persidangan 4 hari ini dihadiri lebih 7000 orang
pakar mata dari seluruh dunia.
Persidangan bermula pada Khamis 8 Februari 2018, dan
penerbangan saya sampai tengahari hari itu. Jangkaan saya sempatlah
saya menghadiri sesi petang.
Untuk perjalanan ini, saya menempah tiket penerbangan
dengan Malaysia Airlines sekitar bulan November (3 bulan awal) , dan harga
tiket adalah RM890, berbanding RM770 jika menaiki Air Asia. Jika diberi
pilihan, pasti saya akan memilih MAS kerana pada saya ia lebih selesa, dan
tidak perlu bimbang tentang bagasi, kerana setiap penumpang dibenarkan membawa
30kg.
|
Pesawat MH72 |
|
Alhamdulillah dapat berkenalan dengan ketua pramugara, Encik Qismat yang sangat peramah. Subhanallah beliau ini adalah seorang "cancer survivor" Non Hodgkin Lymphoma. Beliau sangat positif orangnya
|
|
Banyak hiasan untuk Tahun Baru Cina kerana perayaan itu hanya beberapa hari lagi |
|
Pelekat ini diberikan semasa kami di kaunter imigresen. Oleh kerana kami akan menghadiri APAO2018, kami mendapat laluan khas dan tidak perlu beratur panjang |
Dari Lapangan Terbang Hong Kong, saya dan sahabat saya Dr
Menaha, mengambil keretapi laju Airport Express. Perjalanan satu hala adalah
HKD115, dan pergi balik adalah HKD205. Jika menaiki bas, tambang adalah lebih
murah iaitu sekitar HKD 40 seorang tetapi ia akan mengambil masa satu jam,
berbanding menaiki keretapi ekspress, hanya 24 minit. Teksi agak mahal iaitu
HKD 300 satu hala, jadi kami memilih menaiki keretapi
Kami disambut dengan angin dingin dengan suhu 17 darjah Celcius. Menurut orang Hong Kong, musim sejuk agak lewat tahun ini, maka bulan Februari masih sejuk. Mujur saya ada mencari maklumat di Google beberapa hari sebelum berlepas, dan saya sudah menyiapkan baju sejuk.
Di dalam Airport Express, perkhidmatan Wifi tersedia secara percuma, maka dapatlah saya mengirim khabar kepada suami yang saya sudah selamat sampai. Apa yang istimewa dengan Hong Kong, Wifi percuma terdapat di mana-mana sahaja, baik dari lapangan terbang, dalam keretapi, di restoran, taman-taman tema dan juga di tempat persidangan, maka tak perlulah kita membeli data dengan harga RM38 sehari, untuk 500 MB sahaja.
|
Suhu 17 darjah |
|
Tiket pergi balik menaiki Airport Express
|
|
Suasana dalam keretapi yang selesa |
Setibanya di stesen keretapi Hong Kong, kami menaiki bas khas yang disediakan percuma buat penumpang- penumpang Airport Express.
Sampai di HKCEC, saya terus menghadiri persidangan selepas
mendaftar, dan Dr Menaha pergi bersiar-siar. Sekitar jam 3.30 petang, perut
saya sudah berkeroncong kerana belum makan tengahari. Sukar mahu menumpukan perhatian
kepada seminar jika sedang lapar. Saya pun mengambil keputusan untuk pulang dan
check in di hotel , tambahan pula saya belum solat Zuhr dan Asar.
|
Terminal bas percuma dari stesen Hong Kong |
|
Alhamdulillah selamat sampai di tempat persidangan
|
|
Bukti kehadiran hehe |
|
Berjumpa pensyarah-pensyarah saya dari Universiti Malaya, Prof Dr Norlina dan Prof Dr Amir |
|
Plenary session |
Saya hubungi Dr Menaha, telefon beliau tidak aktif pula. Silap
saya juga sudah berpesan dengan beliau untuk berjumpa jam 5 petang. Saya pun
tawakkal sahaja, dan pulang dahulu ke hotel dan akan kembali ke tempat persidangan
jam 5 petang nanti untuk menjemput sahabat saya itu.
Nak mendapatkan teksi juga satu cabaran rupanya. Hotel
Holiday Inn Express Causeway Bay yang saya tempah itu, terletak di kawasan yang
sibuk. Sehingga 4 pemandu teksi saya bertanya, semua tidak mahu ke kawasan itu.
Tambah mencabar, tidak semua pemandu
teksi boleh berbahasa Inggeris. Mujur saya sudah cetak nama hotel saya dalam Bahasa
Cina juga, maka mudah untuk saya tunjuk sahaja kepada mereka.
Hampir 20 minit berlalu, belum ada teksi yang mahu mengambil
saya sebagai penumpang. Apatah lagi waktu itu sudah hampir waktu orang pulang
dari pejabat. Seorang wanita berbangsa Cina dan temannya dari negara Jerman
(menurut tanda nama beliau), nampak kesukaran yang saya hadapi dan beliau terus
menegur saya . Alhamdulillah rupanya mereka juga mahu ke Kawasan yang sama. Menurut
teman baru saya itu, Daisy Li dari Shanghai, patutnya saya masuk sahaja ke
dalam teksi, kemudian beri arahan untuk ke destinasi saya. Kata beliau, pemandu
teksi tidak boleh menolak , jika mengikut undang-undang. Baru saya perasan
memang ada papan tanda yang menunjukkan peraturan begitu.
Daisy Li segera mendapatkan satu teksi untuk kami kongsi, dan
Alhamdulillah seorang pemandu teksi bersetuju. Pastinya lebih mudah mereka
berkomunikasi dengan bahasa yang sama . Itupun beliau agak keberatan untuk
membawa kami, hinggalah Daisy menawarkan kami membayar dua kali ganda
tambangnya, barulah beliau bersetuju.
20 minit dalam perjalanan, baru saya faham mengapa wajah
pemandu teksi itu mencuka sahaja, walaupun ditawarkan tambang yang tinggi.
Kawasan Causeway Bay sesak! Sampai di kawasan hotel kami, kami terpaksa turun
di tepi jalan dan berjalan ke hotel kerana jalan raya terlalu sesak. Tambang
saya adalah HKD50.
|
Sahabat baru, Daisy Li dari Shanghai |
Sebelum ke hotel, saya yang sudah hampir menggigil kelaparan,
singgah di Times Square yang terletak di hadapan hotel, untuk mencari makanan.
Entah kenapa yang saya nampak hanya restoran-restoran eksklusif, tetapi kerana
sudah sangat lapar, saya pergi juga ke salah sebuah restoran yang menyediakan
makanan vegetarian. Harganya memang tinggi, HHKD 157 atau RM82 untuk sekeping
pizza saiz biasa, tetapi tiada pilihan, saya makan juga. Kemudian barulah saya
ke hotel.
|
Pizza termahal saya pernah makan hahahahah |
Alhamdulillah urusan check in saya di hotel tiada masalah. Jam
5.30 saya dapat bersolat jamak Zuhr dan Asar di bilik hotel. Bilik hotel pun
agak luas dan selesa, walaupun hanya bertaraf 3 bintang. Tidak lama kemudian,
Dr Menaha whatsapp saya dan berkata jangan bimbang kerana beliau boleh mencari
jalan ke hotel sendiri dengan menaiki MTR iaitu seperti LRT di negara kita.
Alhamdulillah saya menghela nafas lega. Lupa pula saya, Dr Menaha dari angkatan
tentera, pastinya “survival skill” beliau mantap!
|
Pemandangan dari bilik hotel di Holiday Inn Express Causeway Bay. |
Jam 6 petang, Dr Menaha sampai di bilik hotel. Selesai saya
bersolat Maghrib dan Isyak (Maghrib masuk jam 6.17 petang), kami bersiap-siap untuk
bersiar-siar di kota Hong Kong. Iyalah, dua hari berikutnya saya akan sibuk di
persidangan.
Kami menaiki MTR Causeway Bay iaitu stesen terdekat dengan
hotel kami, menuju ke seberang Kowloon iaitu stesen Tsim Sha Sui. Alhamdulillah
sempatlah kami menikmati Symphony of Light berdekatan Avenue of the Stars.
Sayangnya Avenue of the Stars sedang dalam proses pembaikan, maka tidak
dapatlah melawat tempat itu.
|
Peninsula Hotel dihias indah |
|
Symphony of Light |
|
Pose wajib di sini kalau datang berkunjung ke Hong Kong |
Dari Tsim Sha Sui, kami menaiki teksi ke restoran kegemaran
saya di Kawasan Kowloon iaitu Ma’s Restauran. Mee Tarik dengan daging halal
yang empuk dan enak, tidak tertanding dengan semua mee tarik di Malaysia. Selain
mee tarik, hidangan dim sum dan ghoulash juga sangat sedap. Harganya juga
berpatutan, untuk kami berdua, hanya HKD130.
|
Noodle with beef brisket |
|
Dr Menaha dan dumpling ayam |
Dari Ma’s Restaurant, kami berjalan kaki ke Ladies Market.
Tidak jauh, hanya sekitar 15 minit berjalan. Bagus juga membakar sedikit kalori
makan malam tadi. Seperti biasa, Ladies Market memang tempat yang sesuai untuk
membeli belah cenderahati, harganya boleh ditawar. Satu papan rantai kunci atau
pelekat magnet (6 biji) harganya HKD60 tetapi boleh ditawar hingga HKD40. Saya
juga membeli sebuah power bank dan sebuah bagasi sederhana kerana bagasi saya
terlalu kecil.
|
Bersiar-siar pada waktu malam |
|
Ladies Market |
|
Sebelum shopping , beli beg dahulu supaya senang nak isi barang. Itu tektiknya hehe |
Dari Ladies Market, kami menaiki sebuah bas awam, dengan
tambang HKD5 untuk ke stesen MTR terdekat. Tambang MTR dari Kawasan Mong Kok ke
Causeway Bay pula adalah sekitar HKD13.50.
Kami sampai ke hotel sekitar jam 11.30 malam. Badan pun
sudah letih, cepat saja kami sudah dibuai mimpi. Saya bersyukur katil di hotel
ini agak lembut, berbanding tilam di hotel dan apartment lain yang saya pernah
tinggal di Hong Kong. Sebelum tidur, saya tetapkan jam loceng di telefon jam
5.40 pagi untuk solat subuh, kerana subuh berakhir agak awal iaitu sekitar jam
6.45 pagi. Esok adalah hari yang menarik untuk saya menambahkan pengetahuan dalam
bidang Oftalmologi yang sangat saya minati.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment