Tuesday, 13 February 2018

Ocean Park Hong Kong pada musim dingin

Di Ocean Park Hong Kong 



Hari ke dua dan ke tiga di Hong Kong, hampir sepanjang hari saya menghadiri kuliah-kuliah yang disediakan. Pastinya pilihan saya kebanyakannya adalah sesi dari tajuk-tajuk Oftalmologi Kanak-kanank kerana itu adalah bidang yang amat saya minati. Namun saya juga mengambil peluang melihat video-video pembedahan katarak dari Pakar-pakar Mata dari seluruh dunia, untuk meningkatkan pengetahuan saya. Selain itu saya juga dapat mencuba menjalankan pembedahan LASIK dengan cara SMILE iaitu teknologi pembedahan refraktif yang canggih.

Bersedia untuk hari ke dua di APAO 2018



Mencuba LASIK SMILE

Alhamdulillah dapat belajar dari pakar pembedahan SMILE di Hong Kong
Hari ke tiga di APAO 2018

Singgah makan dim sum halal semasa makan tengahari di Masjid Osman Ramju 

Bersama beberapa Pakar Mata dari Malaysia, Dr Shuaibah dari Sabah, Dr Jamalia dari HKL & Dr Ken Fong dari Sunway Medical Centre

Bergambar kenangan di hadapan Hong Kong Convention dan Exhibition Centre

Menghadiri makan malam anjuran Swissmed

Alhamdulillah menu makanan laut, boleh lah saya makan 

Menu petola dan tauhu telur

Bebola kentang dan "jemput-jemput seafood" 

Hari ke empat iaitu hari terakhir kami di Hong Kong, saya memutuskan untuk ke Ocean Park. Tiket sudah saya beli melalui Klook, kerana harganya lebih murah (RM320+) berbanding jika beli di kaunter. Tambahan pula tak perlu beratur panjang. Kami mengambil tiket masuk dan juga tiket Fast Tract iaitu dibolehkan untuk tidak beratur apabila mahu menaiki sesebuah permainan atau pengangkutan di sana nanti.

Selesai bersarapan, jam 9.40 pagi kami check out dari hotel dan terus ke stesen keretapi Central Hong Kong. Tambang teksi yang biasanya sekitar HKD50, menjadi HKD 70 kerana kami meletakkan 2 buah beg besar di tempat penyimpanan barang.

Siap untuk check out

Bergambar kenangan di hotel 

Asalnya kami bercadang mahu meninggalkan beg di tempat bagasi dengan harga HKD69 untuk satu beg. Setibanya kami di stesen Hong Kong itu, yang juga merupakan terminal Airport Express, rupanya kami sudah boleh check-in beg kami. Syaratnya hanyalah mesti penerbangan dengan syarikat-syarikat penerbangan yang tersenarai (Alhamdulillah Malaysia Airlines tersenarai, Air Asia tidak), dan sudah membeli tiket keretapi Airport Express. 

Oleh kerana kami sudah membeli tiket pergi balik tempoh hari, kami hanya perlu menyentuhkan kad di reader dan pagar menuju ke kaunuter check in akan terbuka. Asalnya curiga juga kerana apabila kad disentuh, ia menunjukkan “journey left : zero”. Takut juga jika kena beli lagi tiket keretapi berharga HKD 115. Rupanya tidak mengapa, selagi kad itu digunakan dalam hari yang sama, kami boleh menaiki keretapi itu petang nanti

Selesai check-in, kami mula melangkah ke stesen untuk MTR ke Ocean Park. Kami harus menukar 2 kali keretapi tetapi perjalanan tidaklah terlalu lama. Saya rasa pengangkutan awam MTR di Hong Kong ini sangat efesien , cuma mungkin jika berjalan bersama kanak-kanak dan warga emas, agak memenatkan kerana perjalanan dari satu stesen ke stesen yang lain tu agak jauh dan bertangga (kadang kala ada tangga bergerak atau lif, kadang kala tiada).

Kami sampai di stesen Ocean Park sekitar jam 10.50 pagi. Alhamdulillah kami terus masuk tanpa perlu beratur, hanya bukakan kod yang dihantar oleh Klook di dalam telefon, dan imbaskan pada pintu masuk. Peraturan di taman tema ini sama sahaja seperti di mana-mana, tiada makanan dibenarkan di bawa masuk, tetapi air mineral boleh.
Suhu sekitar 19 darjah pada hari itu, memang sangat sesuai untuk bersiar-siar di taman tema. Oleh kerana kami ada masa yang pendek sahaja, kami perlu merancang perjalanan kami. Ocean Park ini sangat besar dan terbahagi kepada beberapa taman, tetapi sangat menarik untuk semua peringkat umur.




Maskot Anjing sempena Tahun Anjing untuk Tahun Baru Cina

Hentian kami yang pertama, adalah stesen kereta kabel. Mujur juga kami ada Fast Tract, maka tidak perlu beratur. Jika tidak, silalah beratur selama 45 minit.

Kereta kabel di sini agak kecil saiznya, hanya boleh memuatkan 6 orang. Tetapi saya lihat ramai yang tidak mahu berkongsi, maka ada kereta kabel yang hanya terisi 2 orang. Kasihan saya mengingatkan orang lain yang beratur panjang.
Subhanallah pemandangan Hong Kong dari kereta kabel Ocean Park memang sangat menakjubkan. Lautan yang bersih, bukit bukau yang menghijau, disulami pemandangan kapal-kapal yang berlayar, sangat menenangkan. Tak terasa perjalanan 15 minit di atas kereta kabel itu.

Di dalam kereta kabel 

Setibanya kami di puncak, jam sudah menunjukkan 11.15 pagi. Kami terus bergegas ke Ocean Theatre untuk menyaksikan pertunjukan Ocean Wonders. Walaupun panas menyengat, hampir separuh amphitheatre penuh dengan pengunjung, dari kalangan kanak-kanak mahupun dewasa.

Pertunjukan dimulakan dengan dua ekor singa laut comel, yang terkedek-kedek naik ke pentas dan kemudian melambai-lambai kepada pengunjung. Kemudian giliran beberapa ekor ikan lumb-lumba pula membuat pelbagai persembahan. Sangat menakjubkan melihat ikan lumba-lumba berenang dan melompat-lompat, serta menyelamatkan salah seorang staf yang berlakon lemas. Terasa tidak puas melihat mamalia comel itu beraksi, persembahan 20 minit itupun tamat









Selesai menonton pertunjukan ikan lumba-lumba dan singa laut, kami ke Marine World. Saya memberanikan diri untuk menaiki beberapa permainan seperti Dragon Roller Coaster dan  The Abyss iaitu permainan “vertical drop”. Saya tidak pernah mencuba permainan seperti ini tetapi kali ini saya cabar diri. Sungguh mendebarkan ketika ia naik setinggi bangunan 20 tingkat itu. Pemandangan yang indah, hanya dapat dinikmati selama beberapa saat, sebelum jatuh dengan kelajuan yang tinggi! Apa lagi saya menjerit sekuat hati, tetapi selepas itu berasa puas kerana dapat melalui pengalaman yang berharga ini.

Dragon Roller Coaster

The Abyss

Selepas The Abyss, saya ke permainan Eagle pula. Nampak seperti tidak menakutkan, apatah lagi tiada tali pinggang keselamatan disediakan. Rupanya agak menakutkan juga berputar-putar di atas ketinggian 31 meter itu, hingga terasa seperti mahu tercampak ke dalam laut! Begitu juga kapal yang berhayun di Crazy Galleon. Nampak biasa-biasa sahaja, tetapi kecut perut apabila kapal berhayun hingga hampir tegak, dan meluncur laju ke arah bertentangan!

Puas bermain, saya menemankan Dr Menaha menaiki Ferris Wheel. Agak ramai juga beratur, tetapi alhamdulillah kami dapat gunakan Fast Tract kami sekali lagi di sini. Pemandangan sangat cantik atas, dan pergerakan yang lembut amat berbeza dengan permainan-permainan yang sebelum ini.


Seterusnya kami ke Shark Mystique iaitu akuarium untuk ikan jerung, yang juga terletak di Marine World. Seram juga melihat ikan jerung dari jarak dekat, apabila ia berenang dekat dengan kaca akuarium. Ternampak giginya yang berceracak, aduh tak dapat bayangkan kalau dikejar seekor ikan jerung!




Besar juga ikan todak ini


Keluar dari Shark Mystique, perut sudah mula lapar. Jam pun sudah pukul 1 tengahari. Oleh kerana tidak jumpa makanan yang sesuai, kami membeli setongkol jagung rebus dengan harga HKD14 , untuk mengalas perut.

Selesai makan, kami berjalan ke arah Thrill Hill iaitu satu lagi bahagian taman tema. Tiba-tiba saya ternampak satu gerai makanan halal, dan di hadapannya ada Guest Information Centre, yang menyediakan tempat untuk saya solat. Alhamdulillah dipermudahkan untuk menunaikan kewajipan padaNya. Menurut pegawai di situ, ada satu tempat solat di kawasan lain , tetapi memandangkan saya malas mahu berjalan jauh, saya solat  sahaja di situ.

Jagung HKD 14

Jalan menuju ke Guest Information Centre dan kedai makan halal

Kedai makanan halal di hadapan Guest Information Centre

Pintu masuk 

Bangunan Guest Information Centre dari luar

Ruang untuk saya solat 

Selesai solat, kami terus ke Thrill Hill untuk saya menaiki roller coaster yang menjadi idaman saya sejak dari awal iaitu Hair Riser. Roller coaster di puncak bukit ini, memberikan pemandangan Laut Cina Selatan yang menakjubkan, tetapi ia tiada lantai! Kaki terapung-apung diawangan sambil ia memusing dan memutar hingga terbalik, umpama berada di dalam jet pejuang! Satu pengalaman yang pasti tidak dapat dilupakan.

Pintu masuk ke Thrill Hill

Wajah cuak sebelum naik Hair Riser

Lega dah habis! Seronok!

The ultimate pose 

With Dr Menaha

Apa yang saya rasakan istimewa dengan Ocean Park ini adalah, walaupun kami mengunjunginya pada hujung minggu terakhir sebelum Tahun Baru Cina dan orang agak ramai, kami tidak perlu beratur lama untuk menaiki mana-mana permainan kecuali Ferris Wheel dan kereta kabel. Berbanding pengalaman saya di Disneyland dan Universal Studio, selalunya perlu beratur 30 hingga 45 minit bagi setiap permainan. Patutlah ramai orang yang berkata mereka lebih suka Ocean Park Hong Kong ini berbanding Disneyland Hong Kong

Selesai main Hair Riser, jam sudah pukul 3 petang. Kami singgah di kedai cenderahati sebentar sebelum menaiki keretapi Ocean Express yang akan membawa kami balik ke kaki bukit. Cenderahati seperti biasa agak mahal. Satu rantai kunci sekitar HKD40 dan satu beg sekolah hingga HKD600!



Jika perjalanan menaiki kereta kabel naik ke bukit mengambil masa 15-20 minit, keretapi Ocean Express hanya mengambil masa 5 minit sahaja. Namun tiada pemandangan yang dapat dilihat, hanya pertunjukan di television. Ini kerana keretapi ini laluannya adalah di dalam bukit.

Pemandangan kota Hong Kong dari stesen Ocean Express 


Tiba di bawah, jam hampir pukul 4 petang. Agak terkilan juga saya tidak dapat singgah di Kawasan Panda dan berkunjung di Grand Aquarium, tetapi memandangkan kami hanya ada 3 jam sebelum pesawat pulang ke Malaysia, kami bergerak pulang ke Stesen Hong Kong, dan seterusnya ke Lapangan Terbang Hong Kong.

See you again, Ocean Park! 

Di Lapangan Terbang,kami dapatlah makan “tengahari” dengan makanan halal iaitu ayam goreng Popeye di Terminal satu. Ini satu kelebihan terbang dengan Malaysia Airlines. Jika menaiki Air Asia , di terminal dua tidak ada makanan halal sebegini.

Popeye yang halal

Bersama Dr Roslin dan Dr Fariza, pakar-pakar mata dari Hospital Shah Alam. Dr Fariza adalah ketua perkhidmatan Oftalmologi Malaysia 

Alhamdulillah dapat tempat duduk di laluan kecemasan jadi lebih luas

Sampai di KLIA Alhamdulillah 



Alhamdulillah penerbangan kami lancar dari Hong Kong ke Kuala Lumpur. Tiba di Malaysia jam 12.30 tengah malam, mujur saya sempat menaiki keretapi KLIA Express yang ke dua terakhir

Alhamdulillah walaupun ini adalah kali ke tiga saya ke Hong Kong, pengalaman kali ini sangat istimewa kerana pengalamannya berbeza . In shaa Allah satu hari nanti, jika ada rezeki saya ingin berkunjung ke Hong Kong lagi dengan anak-anak dan suami pula in shaa Allah .

No comments:

Post a Comment