Tuesday, 5 December 2017

Terminal Bas Seremban

Semalam ke Seremban, lalu sebelah terminal bas Seremban. Teringat zaman matrikulasi di UKM Bangi.  Kalau nak balik Muar, naik komuter dari Bangi ke Seremban,kemudian jalan kaki dari stesen komuter Seremban ke terminal bas .

Masa pertama kali, seram juga. Maklumlah kita budak kampung. Masa bersekolah di Jasin , sentiasa dijemput dihantar Mak Ayah.

Laluan dari stesen komuter boleh tahan sunyi dan ada semak samun. Selalu dalam komuter dah mula doa banyak-banyak supaya ada orang lain nak ke terminal bas, supaya boleh jalan sama-sama.

Kalau tak ada orang, saya akan buat muka ala-ala macho dan jalan sepantas yang mungkin di laluan sunyi itu , ala-ala Usain Bolt. Jubah pun angkat tinggi , sebab nak jalan laju, takut tersungkur! Dah sedia pakai seluar sukan dari kampus.

Kalau lewat sampai terminal bas, terlepas bas ekspres pukul 3.30petang, alamatnya kena naik bas ke Melaka, kemudian bas dari Melaka ke Muar. Perjalanan yang sepatutnya hanya dua jam ,akan jadi lebih lama dan melelahkan.

Sampai di Muar, kadang-kadang Mak jemput di stesen bas. Kadang-kadang kena naik bas bayar tambang 70sen ,tekan loceng kalau nak turun tu . Kalau pemandu bas agak mengada,kita lambat tekan loceng je, dia berhenti tu lajak sampai kampung sebelah. Terpaksalah menapak semula. Hantu betul kahkahkah.

Tapi paling tak tahan zaman tu,kalau naik bas,adalah kena mengurat dengan jejaka-jejaka Melayu mahupun Bangladesh yang merasa diri mereka kacak tu.

"Adiii maniisss"

Hoh saya akan "mencukakan" muka saya yang tulus mulus tu.

Kadang-kadang mereka gelakkan, kadang-kadang makin menjadi-jadi "mengayat" kita. Maklumlah muka saya cerah pakai Fair & Lovely kan dulu. Nyampah.

Begitulah kisah saya dengan bas. Sejak zaman itu saya bertekad nak beli kereta sendiri bila dah bekerja dan mampu.

Tapi iyalah orang kata , kalau tak merasa susah,manakan dapat menilai kemanisan sebuah kesenangan.

Walaupun kenderaan pertama hanyalah sebuah motor kapcai Honda yang dinaiki dengan Encik Suami , meredah hujan dan panas, pendarahan masa mengandung pun membonceng motor ke klinik, ia tetap satu kenangan manis.

Jadi adik-adik dan anak-anak yang masih terpaksa menggunakan pengangkutan awam tu,bersabarlah. Belajar rajin-rajin nanti satu hari apabila sudah senang, kita pasti boleh mengenang semuanya semula, dengan satu senyuman .

Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Alhamdulillah dah ada kereta ,
Dan dah tak pakai Fair & Lovely sekarang

Ehehe

No comments:

Post a comment