Wednesday 1 February 2023

Penghargaan


Tahun 2021-2022 saya rasa tahun yang mencabar.


Ayah selalu sakit, Abah meninggal dunia. 


Banyak  benda yang saya nak buat, contohnya nak tulis buku tentang kisah kehidupan mereka, tak pernah berkesempatan. 


Suatu hari, semasa Ayah tak sihat, saya  bersembang dengan Ayah tentang pengalaman beliau berkerja di Denmark dahulu . 


Ayah kata, ada satu misi menyelamat yang beliau hadiri semasa di Denmark, dengan usahasama kerajaan Belgium ketika itu kerana menyelamatkan kapal dan kru warga Belgium yang terdampar di kawasan batu karang di tengah laut. Alhamdulillah misi itu berjaya, membawa 7 orang anak kapal ke dataran. Kapten kapal tersebut berkeras mahu menunggu air pasang dan membawa pulang kapalnya maka beliau tinggal di atas kapal. 


Ayah kata, misi tersebut selesai pada waktu senja. Pagi keesokan harinya , ayah dan pasukannya terus mendapat sijil penghargaan dari syarikat penerbangan mereka atas jasa mereka semalam . 


Kemudian Ayah bercerita pula kisah menyelamatkan orang di Sarawak pada tahun 70an. Ayah bersama seorang juruterbang dan pembantu juruterbang helikopter, terpaksa menjalankan satu misi pada waktu malam. Seorang 

ranger iaitu Leftenan Anuar telah diserang Parako (pihak komunis di Sarawak ketika tahun 1970an) sewaktu menyeberang sungai Rajang dengan bot . Beliau yang cedera parah perlu diterbangkan segera ke Sibu untuk mendapatkan rawatan.


Ayah sebagai Air Quarter Master bertanggungjawab membantu memberikan navigasi dan panduan kepada juruterbang , adakah kawasan selamat , berapa meter helikopter harus bergerak ke hadapan , ke belakang , hover pada ketinggian berapa. Ayah sendiri membantu menurunkan alat untuk membawa naik mangsa dari tepi sungai ke dalam helikopter. 


Misi itu menurut Ayah tersangat sukar kerana keadaan yang sangat gelap dan keadaan di persisir sungai yang merbahaya, namun Alhamdulillah misi itu berjaya. 


Tidak lama kemudian , sewaktu Hari Kemerdekaan Sarawak, surat penghargaan tiba. Namun, anugerah Ahli Bintang Sarawak itu hanya untuk juruterbang iaitu Leftenan Leong Fook Seong dan pembantu juruterbang, Leftenan Munusamy. 


Tiada langsung ucapan terima kasih mahupun penghargaan kepada Ayah iaitu Flight Sarjan Mohd Abdullah , yang turut bersama di dalam misi itu, sedangkan tanpa Ayah, tidak mungkin juruterbang dan pembantu berdua sahaja mampu menyelesaikan misi tersebut . 


Saya analogikan, umpama saya sebagai Pakar Bedah , tanpa scrub nurse saya . Nampak tidak penting tetapi tiada pembedahan yang akan berjaya tanpa mereka. 


Pastinya Ayah berasa kecewa, dan kisah itu Ayah ceritakan kepada saya tahun lalu. Malah hari ini, Ayah ceritakan sekali lagi . 


Saya suka merakamkan kisah -kisah ini dengan satu nota suara. 


Hari ini, sambil menunggu temujanji dengan doktor Pakar, saya ambil peluang untuk merakam lagi kisah-kisah Ayah semasa menjadi air quarter master di TUDM . 


Ayah paling suka bercerita kisah-kisah beliau semasa terbang . 


Saya dapat lihat sinaran di mata Ayah jika beliau bercerita , terutamanya bagaimana beliau mencapai 3000 jam terbang bersama helikopter . 


Ya, saya pasti banyak tugas-tugas Ayah yang dilakukan tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya, tetapi saya harap Ayah tahu bahawa di mata saya, tiada insan yang lebih hebat daripada Ayah. 


Ayah hero saya, dulu , kini dan selamanya. 


Mungkin saya tak dapat menulis buku buat Ayah, tetapi biarlah saya nukilkan kisah-kisah Ayah di sini, agar sahabat-sahabat saya dapat sama-sama mendoakan yang baik-baik untuk Ayah in shaa Allah .


Mengharapkan penghargaan dari manusia , ada kalanya umpama menunggu bulan jatuh ke riba. Pada usia 40an ini juga saya sudah belajar untuk tidak lagi mengharap apa-apa penghargaan dari manusia , hatta insan paling dekat . Pengharapan yang tidak kesampaian biasanya hanya mengundang kecewa. Sesungguhnya penghargaan terbaik pastinya dari Allah SWT jua. 


Love you to the moon and back Ayah. Thank you for being my first and truest love, and forever my hero.



#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita

No comments:

Post a Comment