Tuesday 24 April 2018

Berbahagialah

Berbahagialah.

Apabila melihat gambar sahabat di FB, menyambut hari lahir anak-anak, bergembiralah untuk mereka dan doakan mereka. Ada orang kehilangan anak sebelum sempat menyambut ulang tahun.

Apabila melihat gambar pasangan suami isteri menyambut ulang tahun perkahwinan, berbahagialah bagi pihak mereka dan doakan mereka kekal hingga ke Jannah. Ada pasangan yang tidak sempat menyambut ulang tahun pernikahan walaupun sekali.

Apabila melihat gambar sahabat pergi melancong, tersenyumlah bagi pihak mereka. Alhamdulillah mereka sedang menikmati keindahan alam ciptaan Allah. Ada orang tidak kesampaian hajat untuk berkelana kerana sebab kesihatan tidak mengizinkan.

Apabila melihat orang berkereta baru, sebutlah Alhamdulillah dan doakan semoga sentiasa selamat perjalanannya. Ada orang tidak pulang ke pangkuan yang tersayang akibat kemalangan jalan raya.

Apabila melihat sahabat yang suka bersukan, berilah semangat dan jadikan dorongan untuk kita hidup lebih sihat juga. Mungkin suatu masa dahulu dia pernah sakit,dan kini dianugerahkan nikmat sihat.

Apabila melihat ada sahabat yang suka meletakkan gambar selfie bersama-sama teman-teman, berbahagialah bagi pihaknya. Sekurang-kurang sahabat itu berkeyakinan diri dan in shaa Allah tidak ada masalah kemurungan. Betapa ramai di kalangan kita yang memendam duka kerana takut dikecam.

Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah


Belajarlah untuk berbahagia dengan kebahagiaan orang lain.
Dunia ini sudah terlalu banyak unsur negatif, terserah kepada kita untuk mengubahnya, walaupun hanya dengan secebis senyuman,  satu pandangan positif atau satu "like"


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Berusaha untuk sentiasa bahagia

Pemandangan indah di Pantai Ulele Aceh

No comments:

Post a Comment