Friday, 25 March 2016

Yang dinanti selama 6 tahun akhirnya tiba, Abdullah Uwais pengubat luka dan penghibur jiwa



6 tahun. Satu jangka masa yang bukan sebentar. Andai seorang bayi dilahirkan , anak itu sudah melangkah ke sekolah. Andai sepasang kekasih diijab kabulkan, 6 tahun satu jangkamasa yang cukup untuk mengenal hati budi pasangan itu. Andai seorang pelajar melangkah ke menara gading, pasti sudah selesai pengajiannya selepas jangkawaktu itu.

Itulah lamanya masa yang kami lalui, menanti kehadiran si cilik kami ini. Memang benar kami sudah mempunyai tiga cahayamata yang bijak dan sihat Alhamdulillah, tahun 2015 ini semua sudah di bangku sekolah. Bukan tidak bersyukur, dan tamak kerana mahukan anak lagi sedangkan sudah hampir penuh kereta kami, hampir tidak muat bilik anak-anak dengan permainan mereka. Suamiku yang berasal dari keluarga yang kecil, sudah lama redha dengan jumlah anak kami. Mungkin akulah yang “belum redha”. Hati ini masih mencari pengubat kesedihan, penawar duka setelah kehilangan seorang cahayamata tahun sebelumnya iaitu pada 2014. Kehilangan anak yang tidak pernah kulihat, walaupun pada usia 8 minggu, cukup memberi kesan kepadaku kerana banyak masalah kesihatan yang kulalui, hingga hampir meragut nyawaku.

Februari 2015, genaplah setahun aku kehilangan bayi Maryam yang kuratapi. Orang kata selepas keguguran, cepat “lekat” lagi. Aku juga mengharapkan perkara yang sama. Namun minggu berganti bulan, bulan berganti tahun, dua garisan pada ujian kehamilan belum juga kunjung tiba. Beberapa bulan juga kami menjalani rawatan kesuburan. Setiap kali “teman tiap bulan” datang, air mataku juga turut mengalir. Selepas 6 bulan rawatan, masih lagi tiada berita baik. Suamiku mula risau melihat tangisanku, tidak ubah  umpama semasa kehilangan bayi kami.

Atas nasihat doktor pakar, kami memutuskan untuk berehat seketika dari semua rawatan. Pil clomid yang kuambil juga mula menipiskan dinding rahim , dan berisiko jika meneruskan rawatan.

Bulan April 2015, Alhamdulillah aku berpeluang bersama Mama Ayah tersayang melancong ke negara tanah tumpah datuk nenek Mama, iaitu Turki. Alhamdulillah di sebalik titisan airmata kegembiraan Mama ketika pesawat Turkish Airlines menjejaki bumi Turki, tersemat satu kepuasan dalam hatiku. Bertahun-tahun Mama berimpian ke negara ini, Alhamdulillah dapat juga aku menunaikan hajatnya. Lebih menggembirakan lagi, Mama dan Ayah dapat menyambut ulang tahun perkahwinan mereka di sana, menikmati musim bunga yang dihiasi tulip di Istanbul , bergambar di istana kapas Pamukkale dan bermain salji di Bolu.

Sekembali aku dari Turki, anak ketiga kami pula masuk ke hospital untuk pembedahan tonsil dan berkhatan. Penghujung April itu memang mencabar, apatah lagi kami tidak lagi mempunyai pembantu rumah. Alhamdulillah anak kami sembuh tanpa komplikasi selepas dua minggu. Masih kuingat haid ku datang tepat pada hari Umar dimasukkan ke hospital. Alhamdulillah mungkin ini cara Allah memudahkan urusanku.

Penghujung Mei, sahabat-sahabat Ikram dari UiTM akan menjalani perkhemahan atau mukhayyam di Ulu Yam. Memandangkan aku akan menyertai mukhayyam tersebut, dan ada aktiviti lasak yang dijadualkan, aku  memutuskan untuk membuat ujian kehamilan sehari sebelum mukhayyam. “Just in case I need to be extra careful,” fikirku, walaupun ketika itu aku belum lagi lewat datang haid.

Awal pagi, aku membuat ujian itu.

2 garisan!

Allahu Akbar!

Hati terdetik, “mungkin aku membayangkannya sahaja”.

Kubawa ujian kehamilan itu ke tepi tingkap yang lebih bercahaya.  Kuperiksa sampulnya, memastikan ia belum tamat tempoh. Ujian masih “valid”. Dan garisan itu…. Masih dua garisan. Walaupun yang satu terlalu kabur.

Air mata mula mengalir deras. Debaran di dadaku umpama ombak yang mengganas tanpa henti. Seluruh tubuhku menggigil. Gembirakah aku? Sedihkah aku?

Pantas aku mengambil gambar ujian kehamilan itu dan menghantar ke adikku.

Adikku turut mengesahkannya. Sahlah ada dua garisan. Bukan sekadar bayanganku.

Semakin kuat debaran dan airmata. Perkara pertama yang terlintas di benakku adalah ,” Am I gonna lose this baby too? What if he dies too? What if I lose this baby again? I can’t handle that.”

Adikku menasihati, untuk mengambil wudhu, solat dhuha dan sujud syukur dahulu. “Think positive!”, pesannya.

Selesai solat dhuha dan sujud syukur, ku kesat airmata dan lantas bersiap ke tempat kerja. Hatiku masih belum tenteram. Aku meminta seorang jururawat di klinik perbidanan untuk mendapatkan satu lagi ujian kehamilan untukku. Tengahari itu, sahlah dua garisan itu benar-benar ada. Alhamdulillah ,hatiku sedikit lega. “It’s not just my imagination.” Petang itu aku memberikan kejutan kepada suamiku, dengan meninggalkan ujian kehamilan itu di bilik air. Ternyata beliau juga terkejut, tetapi cukup bersyukur.

Beberapa hari kemudian, aku menjalani pemeriksaan dengan pakar perbidanan, mengesahkan kehamilanku. Alhamdulillah segala puji bagi Allah.

Kehamilan kali ini, kami lebih berhati-hati dan memilih untuk tidak memberitahu sesiapa hinggalah kehamilan mencecah 12 minggu. Hanya keluarga terdekat sahaja yang dimaklumkan, doa restu di pohon agar semuanya berjalan lancar.

Siapa yang paling gembira? Pastinya anak-anak kami. Walaupun pada asalnya aku bercadang hanya mahu memberitahu anak-anak selepas aku melepasi trimester pertama, tetapi kerana anak-anak gemar berbaring di atas perutku, aku harus memberitahu mereka . Girang tak terkira mereka mendengar perkhabaran ini, terutamanya Umar yang sudah hampir 6 tahun menjadi anak bongsu. Ingin sangat dia seorang adik lelaki sebagai teman bermain.

Semasa kandunganku baru 6 minggu, kami bercuti ke Lumut, Perak sempena cuti sekolah pada bulan Jun. Semasa di hotel, anak sulungku yang menyampaikan berita gembira ke ibu mertuaku. Kedua-dua mertuaku gembira tak terkata. Ibu bapaku pula sudah kumaklumkan melalui telefon.

Alhamdulillah sepanjang percutian, tiada apa yang berlaku. 6 minggu 1 hari, aku mula mual dan muntah. Sehari selepas pulang dari Pulau Pangkor, aku mengalami sedikit pendarahan. Alhamdulillah aku tidak cemas kerana kehamilanku hampir semua memang begitu. Tambahan pula hanya setitis darah yang kulihat. Namun oleh kerana kehamilanku ini adalah amat bernilai selepas hampir 6 tahun menunggu, kuputuskan untuk berjumpa dengan Dr Norashikin Maan, pakar perbidanan teman lamaku di Ipoh. 

Alhamdulillah pada usia 6 minggu lebih pun sudah kelihatan degup jantung bayiku. Namun di sisi karung bayi, ada sesuatu yang kelihatan seperti darah beku. Dr Norashikin menasihatkanku agar bercuti selama seminggu bagi mengurangkan risiko keguguran.

Pulang dari Lumut dan Ipoh, aku berehat di rumah. Temujanji dengan pakar perbidanan di UiTM juga menasihatiku agar meneruskan MC kerana masih ada sedikit pendarahan dan kandunganku dirawat sebagai “threatened miscarriage”.

Ahad 14 Jun 2015, sehari sebelum aku sepatutnya kembali bertugas selepas MC selama seminggu, aku mengalami pendarahan yang banyak semasa berada di kelas renang anak-anak. Jam hampir pukul 6 petang, aku pula memandu dengan anak-anak sahaja. Luluh hatiku merasakan hangatnya darah yang mengalir deras. Kuseka airmata, tak sanggup hendak menangis di hadapan anak-anakku.
“Cepat salin pakaian, lepas tu pergi solat Asar,” kataku kepada anak-anak yang baru selesai berenang. Selesai bersalin pakaian, kami berjalan ke surau berdekatan. Ketika anak-anak solat, aku duduk di luar surau, dan kutelefon suamiku di rumah. Masih kuingat kata-kataku, “ Abang, rasanya baby kita dah tak ada. Rasanya sayang keguguran lagi. Sayang bleeding banyak.” Suamiku ingin datang menjemputku, tetapi kufikir pasti sukar jika satu kereta ditinggalkan di situ, lalu kuputuskan untuk memandu pulang sahaja. Selesai anak-anak solat, mereka melihat mata dan wajahku yang basah dengan airmata, pantas mereka bertanya mengapa. Aku hanya mampu berkata, “Ummi keluar darah. Mungkin baby dah gugur.” Kilasan kesedihan terpancar di wajah mereka. Anak sulungku risau dengan keadaanku yang mahu memandu pulang.

Dalam hatiku seolah-olah aku sudah patah hati. Setahun yang lalu, lebih kurang begini juga tatkala aku mengalami pendarahan dan keguguran bayiku, lebih kurang 8 minggu. Aku cuma berdoa padaNya agar kami selamat pulang ke rumah.

Alhamdulillah kami selamat sampai walaupun hampir Maghrib. Suamiku sudah bersiap sedia untuk membawaku ke hospital, namun aku mencadangkan agar pergi selepas solat Maghrib sahaja. Anak-anak terpaksa kami tinggalkan di rumah.

Tiba di Unit Kecemasan Hospital Selayang, aku disorong dengan kerusi roda ke zon kuning dengan segera. Apabila doktor houseman datang bertanya masalahku, aku berkata mungkin aku sudah keguguran. Sementara menunggu pemeriksaan doktor, aku duduk di sisi seorang ibu muda yang membawa bayinya yang baru berusia beberapa hari. Detik hatiku,”Mungkin baby dia jaundice. Untungnya dia baby sudah selamat lahir sedangkan aku tak tahu apa nasib bayi dalam kandunganku ini.”

Doktor membuat ultrasound kepadaku di unit kecemasan itu sendiri. Ma shaa Allah, sungguh tidak kusangka, degupan jantung bayiku masih kuat! Allahu Akbar. Aku terkedu. Suamiku berkata, “Abang memang yakin baby kita kuat.” Hanya lafaz Alhamdulillah yang terkeluar dari bibirku.

Aku dirujuk kepada doktor ginekologi dan perbidanan (O&G) yang oncall dan aku dihantar ke Wad 11C untuk pemeriksaan lanjut. Lucunya sempat terjumpa bekas anak muridku di UiTM sebagai houseman bertugas malam itu, dan aku meminta agar dia keluar dari bilik pemeriksaan semasa aku diperiksa, kerana segan dengan kehadirannya.

Doktor O&G juga melakukan ultrasound, dan mengesahkan bahawa bayi kami masih kuat. Cuma disisi karung bayi itu ada satu ketulan darah yang sangat besar. Doktor membenarkan aku memilih sama ada untuk berehat di rumah atau di hospital. Mengenangkan tiga orang anak kami di rumah, aku meminta untuk pulang. Doktor berpesan, andai berlaku pendarahan yang banyak agar segera kembali ke hospital. Alhamdulillah rumah kami juga hanya 10 minit perjalanan ke Hospital Selayang.

Sepanjang di rumah, aku masih lagi mengalami pendarahan, tetapi aku cuba kekal positif kerana tiada ketulan daging yang keluar, seperti semasa aku keguguran tahun lalu. Doa kupanjatkan pada Ilahi agar memudahkan kehamilan, kelahiran dan penjagaan bayi ini nanti. Ibuku turut datang dari kampung untuk menjagaku, agar aku tidak perlu melakukan kerja-kerja rumah yang berat.

Rabu, 17 Jun 2016, tiga hari selepas episod pendarahanku, aku dikejutkan dari tidurku dengan aliran darah yang menderu-deru. Allahu Akbar. Aku pasrah. Kutelefon suamiku yang sudah ke tempat kerja agar pulang dengan segera. Sepanjang perjalanan ke Hospital Selayang, airmataku tidak dapat disekat-sekat lagi. Aku redha andai anak ini juga bakal menyusul kakaknya ke syurga lebih dahulu dari Ummi dan Abinya.

Tiba di hospital, kami terus ke klinik O&G. Doktor yang memeriksaku adalah Dr Hadiana, seorang pegawai perubatan. Sekali lagi kami dikejutkan, bayi kami masih hidup! Degup jantungnya masih kuat, tetapi ada ketulan darah beku yang sangat besar disisinya. Pendarahanku masih berterusan hingga merah katil pemeriksaan doktor. Dr Hadiana meminta agar aku ditahan di wad untuk berehat dan pemantauan secara rapi. Katanya, pada ketika ini, peluang untuk kehamilan ini diteruskan adalah 50% sahaja kerana bayiku masih terlalu kecil, dan pendarahanku amat banyak. Sementara menunggu untuk dihantar ke wad, suamiku pergi menunaikan solat Zuhr. Aku duduk di kerusi roda sambil menangis, mengenangkan malam itu adalah malam 1 Ramadhan dan aku tidak dapat berterawih bersama anak-anak. Kubuka Al-Quran di dalam iphone ku, dan kubaca surah Al-Qasas ayat 7 :

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.

Subhanallah aku merasakan seolah-olah Allah berbicara denganku agar jangan bersedih. Aku harus meletakkan sepenuh pengharapanku padaNya.

Malam itu, aku bersolat terawih sambil duduk, bersendirian di bilik 10, wad 11C Hospital Selayang. Sesekali terasa darah yang mencurah keluar, aku panjatkan doa kepadaNya, Pemilikku dan Pemilik anakku ini. Hanya Dia yang tahu apa yang terbaik buatku. Suamiku datang jam 10 malam menghantar makanan untukku bersahur.

Keesokan paginya, pakar O&G Dr Joyce datang memeriksaku. Satu lagi kejutan buat kami. Semasa imbasan ultrasound dilakukan, beliau mendapati di sisi karung bayiku, ada satu lagi karung yang sudah kosong. Menurutnya, ada “lambda sign” yang bererti sebenarnya aku hamil kembar, tetapi salah seorang kembar itu sudah keguguran. Apabila Dr Joyce bertanya jika ada riwayat kembar dalam keluargaku, aku memberitahunya bahawa adikku baru sahaja bersalin kembar tahun lalu, dan aku juga mempunyai anak sepupu dan ibu saudara yang kembar. Mujur sahaja kehamilan ini adalah dichorionic diamniotic atau kehamilan dari 2 ovum yang berbeza, dan ada dua karung terpisah, serta kembar yang gugur itu yang berada dekat dengan pintu rahim, maka kegugurannya tidak terlalu mengganggu “adiknya”. Namun menurut Dr Joyce, selagi karung bayi kembar itu masih ada, aku masih berisiko untuk kehilangan bayi yang ada ini, kerana ada kala ketika karung bayi itu keluar, ia akan menarik sekali karung kembarnya keluar, hingga mengancam nyawa bayi itu. Aku harus MC selagi mana karung bayi kembar itu masih ada.

1 Ramadhan itu aku dibenarkan pulang untuk rehat sepenuhnya. “Strict bed rest” iaitu tidak boleh membuat apa-apa kerja berat langsung. Dari usia kandungan 8 minggu hinggalah 14 minggu, aku MC di rumah. Aku memohon agar Allah mempermudahkan kehamilan ini, rupanya itulah cara Allah memudahkannya buatku. Aku dapat berehat sepenuhnya, tambahan pula menempuhi bulan Ramadhan. Kadangkala kasihan melihat suamiku, pagi-pagi kelam kabut menyiapkan tiga orang anak, petang hari terpaksa ke bazaar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi baiknya, in shaa Allah.

Kehamilan kali ini bukan sahaja mencabar dari segi pendarahan, malah “morning sickness” juga agak teruk, saling tak tumpah seperti kehamilanku dengan anak sulungku Fatimah. Aku yakin bayi ini bayi perempuan, dan wajahnya nanti pasti mirip kakak sulungnya. Ada kala aku muntah sebaik sahaja selepas bersahur, maka aku tidak larat untuk berpuasa. Ada kala pula selepas seharian berpuasa, sebaik berbuka puasa aku terus muntah, membuatkan aku keletihan dan menggigil kelaparan. Gastrikku juga menjadi-jadi dalam kehamilan ini hingga aku terpaksa mengambil pantoprazole iaitu ubat gastrik sepanjang kehamilan. Namun aku bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah untuk hamil lagi pada usia 30an. Alhamdulillah juga aku dapat berpuasa selama 22 hari sepanjang Ramadhan kali ini.

Waktu senggangku di rumah kuhabiskan dengan mengaji Al-Quran dan menonton Omar series iaitu drama lakonan semula kisah para sahabat iaitu Umar Al-Khattab. 30 siri yang amat menyentuh hati dan perasaan, melihat para sahabat yang berjuang bersama Rasulullah untuk menyebarkan Islam. Aku teringat ketika menonton episod Perang Badar, aku menangis semahunya melihat keberanian para sahabat. Doaku, “Ya Allah, kurniakanlah kami seorang anak yang berani seperti ahli Badar, agar dapat kami hantarnya untuk jihad pada jalanMu.” Antara sahabat ahli Badar yang kukagumi dirinya adalah Abdullah Abu Quhafa iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Abdullah Ibn Mas’ud yang amat bagus bacaan Al-Qurannya, dan Abdullah Ibnu Suhail yang memilih untuk bersama Islam berbanding bersama ayahnya yang masih kufur ketika Perang Badar itu.

Menjelang Aidilfitri, suamiku menghantar kami sekeluarga ke Ipoh ke rumah mertuaku , agar aku dapat berehat memandangkan mertuaku mempunyai pembantu rumah, yang boleh membantu memasak dan mencuci pakaian anak-anak kami yang sudah mula cuti sekolah. Terharu hatiku apabila bapa mertuaku sangat rajin melayan menantunya ini apabila mengidam. Antara makanan yang menjadi kegemaranku adalah burung puyuh goreng dan burger daging. Sehari sebelum raya, aku mengidam kuah lodeh dan sambal kacang, sedangkan orang di Ipoh tidak biasa dengan hidangan ini. Walaupun tinggal di Ipoh, mertuaku adalah orang Negeri Sembilan, yang biasa dengan lemang dan rendang. Mujur pendarahanku juga hanya tinggal sedikit, maka aku gagahkan juga untuk memasak makanan yang kuidamkan itu.

Alhamdulillah pendarahanku berhenti sepenuhnya ketika kandungan masuk 14 minggu, iaitu semasa hari raya.  Dapatlah juga kami pulang ke Muar untuk beraya bersama keluargaku. Namun aku masih sangat berhati-hati, mengurangkan berjalan dan aku memastikan untuk sentiasa mengambil vitamin yang dibekalkan doktor, dan tidak terlepas temujanji dengan doktor pakar O&G

Aku kembali bertugas semasa kandunganku berusia 14 minggu. Alhamdulillah seminggu sebelum itu, muntah mualku juga sudah berakhir. Aku bertekad untuk bekerja hingga ke hari terakhir sebelum bersalin jika kesihatanku mengizinkan. Aku sangat terasa terhutang budi dengan ketua jabatanku yang sangat memahami, dan staff-staff yang tidak pernah merungut dengan ketiadaanku di UiTM.

Ketika kandunganku berusia 17 minggu, aku mula merasa sakit-sakit di bahagian rahim. Risau dengan simptom ini, aku bertemu sahabatku Dr Nadzrah iaitu doktor pakar O&G di UiTM. Rupanya aku dijangkiti kencing kotor atau “urinary tract infection”, yang agak biasa berlaku di kalangan wanita hamil, kerana saluran kencing yang memendek ditekan dek rahim yang membesar. Dr Nadzrah membuat ujian ultrasound padaku, dan sekilas pandang, aku seolah terpandang “bird” bayi dalam kandunganku. Aku terkejut, tetapi tidak berani bertanya kepada Dr Nadzrah. Diberitahu bayiku membesar dengan sihat pun sudah mencukupi bagiku. Aku diberikan rawatan antibiotik selama seminggu.

Aku masih tertanya-tanya jika benar apa yang kulihat, dan sedikit sebanyak aku teruja untuk mengetahui jika bayi ini lelaki atau perempuan. Alhamdulillah seorang sahabat lamaku Dr Patricia sudi mengimbas kandunganku di kliniknya di Selayang. Alhamdulillah walaupun hanya sekali imbas, jelaslah bayi kami lelaki. Aku hampir tidak percaya kerana aku mabuk teruk, kusangka bayi ini perempuan. Namun aku bersyukur apa pun jantina anak yang dianugerahkan Allah kepada kami ini. Cuma pertemuan dengan Dr Patricia dicalari dengan satu berita kurang enak. Uri bayiku tidak normal, dan air ketubanku agak sedikit. Dr Patricia bimbang jika bayiku tidak normal atau mengalami sindrom, dan mencadangkan agar aku bertemu pakar feto-maternal.

Pada minggu ke 18, aku memutuskan untuk bertemu Dr Hamid Arshat yang merupakan datuk saudaraku. Alhamdulillah pemeriksaan dengannya berjalan lancar. Di uri anakku, ada satu kawasan berair yang agak besar, kelihatan kosong pada imbasan ultrasound. Dr Hamid Arshat merasakan “placental lake”  ini mungkin akibat jangkitan kuman semasa trimester pertama, tetapi beliau yakin kehamilan ini akan berjalan lancar. Dr Hamid memberikan vitamin C dan vitamin E yang tinggi dengan antioksida untuk membantu memulihkan semula uri bayiku. Oleh kerana aku bercadang untuk bersalin di Hospital Selayang, Dr Hamid meminta aku meneruskan temujanji dengan pakar O&G di sana iaitu Dr Charnjeet.

Ketika kandunganku berusia 21 minggu, kami bercuti ke Langkawi sempena cuti sekolah September. Walaupun aku agak mengah dan keletihan , kami sekeluarga amat gembira dengan percutian ini, terutamanya anak-anakku yang pertama kali menaiki skycab atau kereta kabel di Langkawi, melawat muzium 3D dan berenang di Pulau Payar.

Trimester kedua hampir berakhir. Ketika kandunganku berusia 27 minggu, tiba-tiba aku merasakan sakit mengeras atau “contraction” yang agak kerap. Walaupun sibuk dengan klinikku, sempat aku mencatat waktu setiap contraction itu. Ketika sakit mencecah setiap 10 minit, aku ke klinik O&G dan meminta jururawat membuat satu CTG atau pemeriksaan contraction dan degup jantung bayi. Ternyata aku mengalami premature contraction atau sakit pramatang. Aku terus pulang, dan dari rumah, suamiku membawaku ke dewan bersalin Hospital Selayang. Alhamdulillah semakin lama sakitku semakin kurang, dan aku dibenarkan pulang. Beberapa ujian dijalankan termasuk ujian air kencing dan swab vagina untuk memastikan tiada jangkitan kuman. Alhamdulillah semua ujian negatif dan aku diminta berehat di rumah buat beberapa hari.

Menjelang 30 minggu, Alhamdulillah tiada lagi episod sakit pramatang. Sempat kami ke Cameron Highland pada November 2015 untuk meraikan ulang tahun ke enam anak kami, Umar. Ketika 30 minggu juga kami menjalani sesi penggambaran kehamilan atau maternity photoshoot di Taman Tasik Perdana, bagi mengabadikan kenangan kehamilan ini. Ketika 32 minggu, kami pulang ke Ipoh untuk Hari Keluarga mertuaku dari Negeri Sembilan. Sakit juga pinggang sepanjang perjalanan 2 jam setengah ke Ipoh, dan kemudian kembali ke KL. Namun demi keluarga tercinta kami turutkan jua. Bukan selalu dapat berkumpul dengan sepupu-sepupu dari 9 adik beradik bapa mertuaku.

11 Disember 2016, Jumaat cuti umum kerana Maulidur Rasul, kami sekeluarga ke jualan buku Big Bad Wolf di MIECC The Mines.

 12 Disember, kami makan malam di luar kerana aku mengidam sushi. 

13 Disember, kami santai pagi di Taman Layang-layang Kepong bersama anak-anak. Sengaja aku banyak berjalan kerana orang kata untuk memudahkan bersalin. Kehamilan kali ini pun aku mengawal pemakanan dan kekal aktif agar tidak terlalu banyak berat badan yang naik. Maklumlah sudah hampir 35, aku tahu pasti sukar untuk menurunkan berat badan selepas melahirkan nanti, kerana metabolisma yang sudah menurun.

13 Disember juga adalah hari sukan bola sepak Piala Malaysia. Khabar gembira apabila Selangor menang, kami mendapat satu hari cuti umum. Anak-anak pun gembira tidak perlu ke nurseri seperti biasa. Oleh kerana kami tiada pembantu rumah, sepanjang cuti sekolah ini kami menghantar anak-anak ke nurseri sepanjang kami bekerja.

Isnin, 14 Disember 2016. Pagi yang hening, aku membakar scone untuk sajian sarapan pagi. Jam 7 pagi , sambil menikmati sarapan, aku merasa sedikit sakit di bahagian rahim. Suamiku yang bimbang bertanya jika aku mahu ke hospital. Aku kata, “mungkin sebab lapar je ni. Tak ada apa-apa.” Tambahan pula bayiku baru berusia 33 minggu 5 hari. Masih terlalu awal

Menjelang 7.30 pagi, sakitku semakin kerap. Sambil mengunyah scone, wajahku menyeringai menahan sakit. Suamiku mula gelabah. Katanya, “Abang cari locumlah cover klinik. Kita pergi hospital.” Aku menjawab, “ OK, kita pergi hospital untuk ambil dexa ya.” Fikirku ini adalah sakit pramatang, dan aku perlu mendapatkan suntikan steroid iaitu dexamethasone untuk mematangkan paru-paru bayiku.

Jam 8 pagi, aku tidak mampu berjalan lagi. Terlalu sakit dan ia datang setiap 5 minit! Suamiku terpaksa mencarikan baju dan tudung untuk aku ke hospital. Mujur beg bersalin memang sudah kusiapkan lebih awal. Kuhubungi research assistant merangkap adik angkatku Ain, untuk datang ke rumah menjaga anak-anakku bertiga sementara kami ke hospital.  Kuhubungi juga adikku melalui whatsapp tetapi tidak berjawab. Aku faham mungkin dia pun sibuk memandangkan dia sudah mempunyai 5 orang anak.

Dalam perjalanan ke hospital, aku mula tersedar. Sakitku makin kuat dan aku mungkin akan melahirkan anak hari itu! Alhamdulillah aku bersyukur Selangor mendapat cuti umum, jika tidak pasti jalan ke Hospital Selayang sesak pada waktu pagi seperti ini.

Tiba di hospital, aku hampir tidak boleh berjalan dek kesakitan yang amat sangat. Aku disorong dengan kerusi roda ke PAC dewan bersalin oleh jururawat bertugas sambil suamiku mencari tempat letak kereta. Sampai di sana, “Allahu Akbar. Penuh katil dan kerusi dengan wanita yang ingin melahirkan!” detik hatiku. Jururawat meminta aku ke tandas untuk memberi sampel urin dan kemudian duduk di kerusi, memandangkan semua katil di PAC penuh. Dalam kesakitan aku cuba untuk sentiasa menyebut zikir padaNya. Hanya Allah yang dapat membantuku ketika itu. Hampir 10 minit aku duduk di kerusi, aku hampir tidak dapat menahan sakit lagi. Seorang wanita di sisiku berkata, “sakit ya dik? Banyak-banyak mengucap ya, ingat Allah” dengan tenang. Bagus ingatan yang diberi kepadaku, tetapi aku tertanya, “ tenang-tenang je diorang ni, kenapa datang hospital? Aku ni sakit rasa nak terbalik dah ni”. Ma shaa Allah, lucu pula bila dikenangkan.

Dek kerana tidak tertahan sakit yang semakin kerap, aku memanggil seorang houseman yang lalu di hadapanku. Kataku, “please help me. I’m having contraction and I am only 33 weeks.” Mendengar kandunganku baru 33 minggu, cepat-cepat disuruhnya masuk ke bilik ultrasound. 

Alhamdulillah Subhanallah masuk sahaja ke bilik itu, Dr Hadiana ada di situ. Terus aku memperkenalkan diri & mengingatkan beliau yang beliau pernah merawatku. Dalam aku menahan kesakitan, Dr Hadiana melakukan imbasan ultrasound & membuat pemeriksaan jalan lahir. Katanya, “You are having strong contractions. You are already 4cm dilated, effaced. I think you are progressing. Tak apa, kita cuba bagi ubat untuk matangkan paru-paru baby, dan ubat untuk hentikan contraction. Kita kena bagi peluang sekurang-kurangnya 12 jam untuk dexa berkesan pada baby.” Aku mengangguk setuju.

Melangkah keluar dari bilik itu, suamiku melambai dari luar. Aku memberi isyarat padanya, “dah 4 cm”, bererti aku dalam proses kelahiran. Suami tidak dibenarkan masuk ke kawasan PAC, jadi aku terus sahaja ke katil apabila diminta berbaring untuk diberi suntikan dexa pada pukul 8.50 pagi. Ujian ECG iaitu fungsi jantung juga dijalankan kerana ubat untuk menghentikan sakit contraction mungkin akan mengganggu fungsi jantungku. Alhamdulillah ECG normal.

Tepat 9.30pagi, aku disorong masuk ke dewan bersalin. Kudengar jururawat berkata dengan kuat, “G6! G6! 33 weeks , 4cm!”. Kawannya menjawab, “ G6? Allah!”. Aku hampir tergelak mendengarnya. G6 bererti aku sudah hamil 6 kali, 33 minggu bererti bayiku akan lahir tidak cukup bulan, dan 4 cm adalah indikasi sejauh mana aku sudah berada dalam proses kelahiran. Wanita yang sudah hamil banyak kali selalunya mudah bersalin dan tidak mengambil masa yang lama. Mungkin kerana itu jururawat di dewan bersalin panik seketika.

Aku ditempatkan di bilik 8, betul-betul di hadapan kaunter jururawat agar mereka dapat memantau aku dengan teliti.  Pegawai perubatan yang bertugas kebetulan adalah doktor lelaki India, dan beliau meminta izin untuk memeriksaku sekali lagi sebelum memulakan ubat menghentikan contraction. Aku redha kerana ketika itu sudah darurat, dan tiada doktor wanita yang berkemahiran kecuali houseman.
“5cm, effaced. You have progressed, doctor. I think you will go into labour and tocolytic will not work. Shall we allow labour?” kata doktor itu. Dari 4cm jalan lahirku sudah membuka kepada 5cm, dalam masa tidak sampai 1 jam. Serviks juga sudah menipis atau effaced yang menandakan kelahiran bayi ini tidak lama lagi.  Aku redha. Cuma kupinta agar doktor O&G menghubungi doktor kanak-kanak untuk membantu bayiku nanti. Pegawai perubatan itu mengatakan doktor kanak-kanak sudah pun dihubungi.

Selepas selesai aku menukar baju, suamiku dibenarkan masuk ke bilik bersalin. Suntikan pethidine diberikan kepadaku untuk mengurangkan sakit, tetapi malangnya gas ethonox yang biasa kugunakan tidak ada di Hospital Selayang. Suamiku membisikkan zikir, membacakan doa di telingaku , dan menghulurkan tangannya untuk kugenggam tatkala kesakitan melanda. Seakan gelap gelita dan sunyi sepi dunia apabila sakit itu datang, dan tatkala ia reda, barulah aku dapat bernafas semula.

Dalam menahan kesakitan, aku teringat untuk bertanya siapakah doktor pakar yang bertugas. Jika boleh aku ingin doktor pakar yang menyambut kelahiran bayiku. Jururawat berkata, ‘Dr Akmal oncall.” Aku tersentak, lalu bertanya, “Akmal Zulayla?”. Jururawat berkata,” iya agaknya, doktor UiTM.” Ma shaa Allah, Dr Akmal adalah sahabatku, yang sering aku mengusik mahu dia menyambut bayiku. Alhamdulillah lega rasanya aku tidak perlu bersalin dengan doktor lelaki. Aku meminta jururawat memaklumkan Dr Akmal tentang keadaanku.

10 minit kemudian, Dr Akmal tiba di bilikku. Tersenyum beliau sambil katanya, “itu lah, nak sangat saya sambut baby awak. Makbul doa awak. Nasib baik Selangor menang dan hari ni public holiday tau, kalau tak mungkin saya belum sampai hospital lagi ni.” Aku hanya mampu tersenyum, “Alhamdulillah, kak Akmal”. Pesan Dr Akmal, tiada intervensi akan dijalankan untuk kelahiranku kerana bayiku pramatang. Ertinya karung ketuban tidak akan dipecahkan secara paksa atau artificial rupture of membrane akan dijalankan.

Jam 11 pagi, aku mula rasa ingin meneran. Jururawat memeriksa jalan lahirku dan berkata , “baru 8cm doktor.” Aku merayu agar memanggil Dr Akmal. Aku sudah tidak tertahan lagi menanggung sakit, dan aku meminta Dr Akmal memecahkan air ketubanku kerana selalunya kelahiran anak-anakku sangat pantas selepas pecah ketuban. Kira-kira jam 11.30 pagi, dengan lafaz bismillah Dr Akmal memecahkan air ketubanku. Dengan serta merta, aku merasa ingin meneran, dan sempat Dr Akmal pesan, “jangan push kuat sangat, Aisyah baby awak dah dekat situ je. Nanti koyak”.  

Alhamdulillah dengan sekali teran bayiku lahir dengan selamat. Mendengar tangisannya yang kuat, aku menghela nafas lega dan melafazkan Alhamdulillah. Dr Akmal menunjukkan jantina anakku, dan dengan segera anakku dibawa ke nurseri untuk dibantu oleh doktor kanak-kanak.

Dalam keletihan, sementara menunggu uriku keluar, sempat aku berpesan kepada Dr Akmal agar tidak menarik tali pusat dengan kuat kerana uriku ada titik lemah. Hampir 15 minit berlalu sebelum akhirnya uriku keluar, dan kemudian Dr Akmal merawat lukaku.

Seorang houseman bahagian kanak-kanak datang dan bertanya, “Doctor, are you sure of date (of your last menses). Because your baby doesn’t look like a 33 weeks, Ballard score 36 weeks. He is 2.40kg.” Aku yakin dengan tarikh akhir haidku, dan Alhamdulillah aku bersyukur bayiku mempunyai berat lahir yang baik walaupun tidak cukup bulan. Ternyata bayiku sihat dan sempurna, tiada langsung tanda-tanda sindrom seperti sindrom Down.

Setengah jam selepas anakku dilahirkan, suamiku dipanggil oleh doktor kanak-kanak untuk mengiringi bayiku ke NICU, kerana dia memerlukan bantuan pernafasan. Aku sudah menjangka komplikasi ini memandangkan hanya satu dos dexa yang sempat diberikan kepadaku dan bayiku belum cukup bulan. Namun aku terlalu letih untuk berfikir tentang bayiku dan aku bertawakkal kepada Allah. In shaa Allah aku yakin dengan kebolehan doktor-doktor bahagian kanak-kanak dalam merawat anakku.

Jam 12.30 tengahari aku dihantar ke wad kelas satu, dan aku berehat di bilik berempat. Kata jururawat, jika ada kekosongan mereka akan menghantarku ke bilik seorang.  Alhamdulillah wad itu sangat selesa dan staff sangat bersopan dan ikhlas dalam menjalankan tugas masing-masing.

Jam 6 petang, suamiku membawaku ke NICU untuk berjumpa anakku buat kali pertama.Sejak dari dalam kandungan aku ingin menamakannya Abdullah Uwais.  Alhamdulillah Uwais hanya di letakkan di bawah pemanas (warmer) dan bukan di dalam incubator. Alat pernafasannya pun minimal iaitu CPAP sahaja. Suamiku mengazankannya dan aku dapat menyentuh kulit lembutnya. Aku berjanji padanya, aku akan menjaganya dengan baik dan memberikannya susu terbaik buatnya iaitu susu ibu.

2 hari di wad post natal, aku sudah dibenarkan pulang. Malangnya bayiku masih di bawah penjagaan NICU dan aku harus pulang tanpanya. Hati berbelah bagi. Gembira kerana dapat berehat di rumah, tetapi sedikit sedih kerana terpaksa berjauhan dengan si buah hati. Alhamdulillah pada hari kedua aku sudah dapat memerah susu buat Uwais, walaupun hanya 10ml pada mulanya. Jururawat di NICU juga sangat menggalakkan susu ibu, hingga katanya, “ tak apa puan, beberapa titis pun kita mahu, penting untuk baby”, jadi aku tambah bersemangat untuk memerah susu setiap 3 jam siang dan malam.

5 hari anakku di NICU dan aku di rumah, setiap hari rinduku makin menebal. Setiap hari kami akan ke hospital dua kali sehari iaitu pagi jam 11 pagi dan malam selepas maghrib. Pada hari ke 4, sakit-sakit badanku kerana melanggar pantang, terlalu banyak berjalan. Walaupun hari sebelumnya Uwais sudah semakin sihat, hari ke 4 dia tiba-tiba bernafas laju, muntah dan perutnya kembung. Dia terpaksa dipuasakan dan diberikan oksigen kembali. Mengalir-ngalir airmataku melihat anakku penuh dengan tiub dan wayar yang berselirat.

Kenangan Uwais di NICU

Hari ke 5,aku meminta untuk “room in” atau tinggal di NICU bersama bayiku, tetapi belum ada kekosongan katil. Rasa tidak keruan hatiku. Melangkah sahaja keluar dari NICU hatiku sudah merindu, Aku kerap menangis merindukan Uwais, dan berasa kasihan padanya yang tidak mendapat dakapan seorang ibu. Aku terus berdoa agar dipermudahkan urusan dan Alhamdulillah pada hari ke 6, aku dibenarkan bersamanya di NICU. Walaupun NICU itu sangat sejuk, dan aku terpaksa berjauhan dengan anak-anak yang lain yang terpaksa dihantar ke rumah nenek mereka, aku lebih tenang berada dekat dengan Uwais.

Pertama kali Uwais menyusu dariku, pada hari ke 6, dia tidak pandai menghisap. Tetapi jururawat memberikan aku sokongan. Katanya, “tak apa puan, nanti lama-lama dia pandai. Baby premature ni bijak tau puan.” Masih aku ingat nama jururawat yang baik itu, iaitu Nadzirah. Alhamdulillah 2 hari kemudian, selepas aku menyuakan susu padanya setiap 3 jam, Uwais pandai menghisap susu dengan baik. Namun aku masih tinggal di bilik ibu-ibu, Uwais di bilik intermediate 2.

Hari ke 10, salah seorang houseman yang merupakan bekas anak muridku mencadangkan kepada pegawai perubatan agar membenarkan Uwais minum susu dariku mengikut kehendaknya (feed per demand), dan bukan lagi disukat kepada 18ml setiap 3 jam. Hari itu juga kami berpindah ke Recovery , aku dan Uwais akhirnya dapat tidur sebilik.
Malam itu aku hampir tidak boleh tidur. Bila Uwais tidur, aku risau dia tidak bernafas. Apabila hendak tidur, bayi orang lain pula menangis. 5 hari di NICU, aku tekad mahu meminta pulang keesokan harinya. Sakit badan dan kurang tidur, aku takut terganggu kesihatanku yang masih berpantang.

24 Disember 2015, setelah 11 hari di NICU, akhirnya kami dibenarkan pulang. Walaupun berat Uwais menurun dari 2.40kg semasa lahir ke 2.16kg, aku yakinkan pakar kanak-kanak yang aku mampu menyusukan Uwais dengan lebih baik jika aku di rumah. Alhamdulillah seakan lupa segala air mata yang tumpah sepanjang Uwais di NICU, tatkala tiba di rumah, dan kutidurkan Uwais di katil bayi miliknya.

14 Mac 2016, Alhamdulillah Uwais sudahpun berusia 3 bulan. Beratnya juga sudah mencecah 5.50kg , dan dia minum susu ibu sepenuhnya. Alhamdulillah Allah yang Maha Pemurah mengizinkan kami merasai kurniaNya ini. walaupun Uwais agak kuat meragam, bangun menyusu setiap jam semasa di dalam pantang, mencecah usia 3 bulan ini, dia sudah boleh tidur malam dengan baik. Jam 9 malam, hinggalah 6 pagi, dengan bangun menyusu 2-3 kali sahaja.

Alhamdulillah berbeza sekali mendapat bayi pada pertengahan usia 30an ini. Ketika anak-anak yang lain sudah besar dan boleh berdikari, kehadiran mereka amat membantu dalam kami menguruskan Uwais yang masih bayi. Kakak-kakak dan abang Uwais juga amat menyayangi adik mereka, hingga pulang dari sekolah, masing-masing berebut ingin melihat adik mereka.

 In shaa Allah akan kami hargai setiap detik dan ketika ini, menjadi suatu memori yang abadi. Aku sendiri tidak pasti sama ada aku mahu hamil lagi di masa hadapan, dengan rekod bayi-bayiku yang semakin lama, semakin awal dilahirkan. Tak sanggup rasanya mengambil risiko, menahan sedih anak di NICU seperti Uwais, namun kuserahkan kepada Yang Esa. Sesungguhnya Dia yang Maha Merancang dan perancanganNya yang terbaik

Doa kami, semoga anak kami Abdullah Uwais membesar menjadi insan mukmin soleh dan musleh, sehebat insan pemilik namanya iaitu Uwais Al-Qarni, Abdullah Abu Quhafa, Abdullah Ibnu Mas’ud dan Abdullah Ibnu Suhail. Amin Ya Rabbal Alamin

Uwais berusia 20 hari







Thursday, 17 December 2015

Cahayamata ke empat kami, Abdullah Uwais si mujahid cilik

Bismillahirrahmanirrahim... 

Assalamualaikum wrh wbt..

Alhamdulillah, segala puji dan puja bagi Allah SWT, cahayamata kami yg ke empat telah selamat dilahirkan pada 14/12/15 yg lalu, jam 11.37 pagi di Hospital Selayang, pada usia 33 minggu 5 hari. 

In shaa Allah saya berniat untuk menulis satu entry tentang kehamilan dan kelahiran mujahid kecil kami ini kelak, tetapi sekarang saya ingin berkongsi kisah nama yg kami pilih buat buah hati kami ini iaitu Abdullah Uwais



Dari Ibnu ‘Umar, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

Ø¥ِÙ†َّ Ø£َØ­َبَّ Ø£َسْÙ…َائِÙƒُÙ…ْ Ø¥ِÙ„َÙ‰ اللَّÙ‡ِ عَبْدُ اللَّÙ‡ِ Ùˆَعَبْدُ الرَّØ­ْÙ…َÙ†ِ

“Sesungguhnya nama kalian yang paling dicintai di sisi Allah adalah ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman.”(HR. Muslim no. 2132)


Bersandar kepada hadis ini, kami memutuskan untuk menamakan bayi kami Abdullah, juga sempena 3 orang sahabat Rasulullah SAW yg merupakan ahli badar. 


✨Abdullah bin Abi Quhafa✨


Abu Bakar al-Siddiq (Bahasa Arab: Ø£Ø¨Ùˆ بكر الصديق AbÅ« Bakr al-SiddÄ«q) ialah khalifah pertama orang Muslim dari tahun 632-634. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar(daripada perkataan Arab Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar membiak unta. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq(yang membenarkan). Nama sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Qahafah[1].



Dialah tokoh sahabat terbilang yang paling akrab dan paling disayangi Rasulullah SAW. Nama sebenar Sayyidina Abu Bakar As Siddiq adalah Abdullah bin Qahafah. Sebelum Islam, beliau adalah seorang saudagar yang tersangat kaya dan dari keluarga bangsawan yang sangat dihormati oleh masyarakat Quraisy. Bahkan sebelum memeluk Islam lagi, Abu Bakar terkenal sebagai seorang pembesar Quraisy yang tinggi akhlaknya dan tidak pernah minum arak sebagaimana lazim dilakukan oleh pembesar-pembesar Quraisy yang lain. 

Dari segi umur, Sayyidina Abu Bakar r.a adalah dua tahun lebih muda dari Rasulullah SAW dan telah menjalin persahabatan yang akrab dengan baginda Rasul lama sebelum Rasulullah SAW menjadi Rasul. Beliaulah tokoh sahabat besar yang paling banyak berkorban harta benda untuk menegakkan Islam di samping Nabi Muhammad SAW. 

Besarnya pergorbanan beliau itu sehingga Rasulullah SAW pernah mengatakan bahawa Islam telah tegak di atas harta Siti Khadijah dan pergorbanan Sayyidina Abu Bakar r.a. Adapun gelaran As Siddiq yang dberikan kepadanya itu adalah kerana sikapnya yang selalu membenarkan apa sahaja kata-kata mahupun perbuatan Nabi Muhammad SAW. 

Menurut riwayat Sayyidina Abu Bakar merupakan lelaki pertama yang beriman kepada Rasulullah SAW. 

Keislaman Sayyidina Abu Bakar As Siddiq r.a telah membawa pengaruh besar di kalangan kaum bangsawan Quraisy kerana dari pengaruh keislamannya itulah maka beberapa orang pemuda bangsawan Quraisy seperti Sayyidina Usman bin Affan r.a, Sayyidina Abdul Rahman bin Auf r.a, Sayyidina Saad bin Waqqas r.a menuruti jejak langkahnya. 

Semenjak memeluk Islam, Sayyidina Abu Bakar r.a telah menjadi pembela Islam yang paling utama serta seorang sahabat yang paling akrab serta paling dicintai Rasulullah SAW. 

Hadis Amru bin Al-As r.a: Rasulullah s.a.w mengutus beliau iaitu Abu Bakar r.a untuk menghadapi tentera Zatu As-Salasil. Aku bertanya baginda, siapakah orang yang paling dicintai. Rasulullah s.a.w menjawab: Aisyah. Aku bertanya: Siapakah pula dari orang lelaki? Baginda s.a.w menjawab: Ayahnya iaitu Abu Bakar r.a. Aku bertanya lagi. Baginda s.a.w menjawab: Umar. Selepas itu Rasulullah s.a.w membilang nama beberapa orang sahabat yang lain. (Hadith no. 4396 sahih muslim)


Selain itu, Sayyidina Abu Bakar as Siddiq r.a terkenal dengan keteguhan imannya, cerdas akal, tinggi akhlak, lemah lembut dan penyantun.

✨Abdullah Ibn Mas'ud ✨


Dia adalah seorang sahabat Nabi SAW yang paling merdu suaranya ketika membaca Al Qur’an. Seorang yang alim, faqih, cerdas dan terpelajar dan seseorang yang selalu menyiapkan siwak dan sandal Rasulullah SAW. Sering juga dia membentangkan kain untuk hijab bila Rasulullah SAW sedang buang hajat dan mandi atau menyiapkan air untuk wudhu kekasihnya itu. Dialah Abdullah Ibnu Mas’ud.


Suatu hari beliau SAW berkata kepadanya : “Bacakanlah kepadaku Al-Quran”, Abdullah bin Mas’ud berkata : saya membacakan Al-Quran atasmu sementara Al-Quran turun kepadamu ? Beliau SAW bersabda : “Aku sangat senang mendengar ayat Al-Quran dari selainku”, maka beliaupun membaca surat An-Nisa, maka Rasulullah SAW pun menangis dan berkata kepadanya : Cukuplah sampai disitu !” (HR Bukhari).


Abdullah Ibnu Mas’ud r.a juga merupakan sahabat yang paling banyak dalam menghafal Al Quran dengan kualitas suara yang sangat merdu. Karena itulah Rasulullah saw pernah bersabda : “Mintalah kalian akan bacaan Al-Quran pada empat sahabat : Abdullah bin Mas’ud, Salim maula Hudzaifah, Ubay bin Ka’ab dan Mu’adz bin Jabal”. (HR. Bukhari).


Semasa perang Badar, Abdullah Ibnu Mas'ud telah membunuh musuh Islam nombor satu ketika itu iaitu Abu Jahal. 


✨ Abdullah Ibn Suhail Ibn Amr✨


Dua bersaudara bernama Abdullah bin Suhail dan Abu Jandal bin Suhail adalah antara sahabat  yang terawal masuk Islam. Namun kerana ayahnya-Suhail bin Amr- yang masih musyrik saat itu, mereka terpaksa dikurung bersama bahkan kaki mereka pun dirantai bersama-sama, hingga keduanya pun tidak boleh hijrah ke Madinah. Saat perang Badar, Abdullah yang pura-pura ikut bersama ayahnya dan pasukan musyrik , tetapi akhirnya berjaya berlari menuju pasukan Islam untuk berperang di sisi Rasulullah SAw, sedang Abu Jandal masih terkurung di Mekah. 


Saat perjanjian Hudaibiyah, Abu Jandal mendatangi Rasulullah tepat beberapa detik setelah perjanjian disepakati, hingga ia pun lagi-lagi tak bisa berkumpul dengan kaum muslimin kerana tidak dibenarkan  meninggalkan Mekah. Sampai akhirnya ketika ia boleh hijrah ke Madinah, maka saat itulah pertemuan mengharukan terjadi antara Abu Jandal dan abangnya Abdullah bin Suhail. Kisah pun berlanjut sampai akhirnya si ayah masuk Islam saat Fathul Mekah. Itu adalah saat-saat yang paling membahagiakan bagi mereka. Dua orang anak yang dengan berat hati harus memerangi ayah yang mereka cinta, akhirnya bisa kembali berpeluk mesra dalam naungan Islam. Saat-saat “sedih” kembali mereka alami saat Abdullah bin Suhail syahid di perang Yamamah, namun inilah yang membakar semangat Abu Jandal dan Suhail sang ayah untuk segera menyusul Abdullah untuk berjihad di jalan Allah.


✨ Uwais Al-Qarni ✨ 

(Sumber: https://shafiqolbu.wordpress.com)


Uwais al-Qarni adalah seorang daripada kalangan tabi’in yang hidup selepas kewafatan Rasulullah ï·º, dan dapat bertemu dengan para sahabat. Sejak dilahirkan beliau berpenyakit sopak dan ayahnya telah meninggal dunia. Hidupnya sangat fakir dan dalam keadaan yatim. Ibunyalah yang menjaganya sejak kecil sehingga beliau dewasa. Walaupun miskin, Uwais kaya dengan budi bahasa dan amanah.

 

Uwais al-Qarni hanya tinggal bersama seorang ibu yang sudah tua, buta dan lumpuh. Malah, ibu tua itu cuma bergantung harap pada Uwais untuk menguruskan kehidupannya. Di situlah mereka dua beranak meneruskan kehidupan tanpa ada sanak saudara. Tatkala ibunya memerlukan bantuan, Uwais tidak pernah mengeluh dan akan menguruskan ibunya terlebih dahulu sebelum membuat perkara lain.

 

Selain dikenali sebagai seorang anak yang taat kepada ibunya. Uwais juga sangat taat melakukan ibadah, beliau seringkali berpuasa dan malam hari masanya terisi dengan ibadah solat-solat sunat dan tahajud kepada Allah SWT. 

 

Rasulullah ï·º pernah berpesan kepada Sayyidina Umar r.a. dan Sayyidina Ali KaramAllahu wajhah (k.w.): “Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

 

Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah S.A.W: “Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?”Rasulullah ï·º menjawab: “Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian.”

 

Memang benarlah kata-kata Rasulullah ï·ºUwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Setelah puas menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya mereka bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. 

 

Jika dilihat dari pandangan mata kasar orang biasa, Uwais al-Qarni tiada ciri-ciri istimewa kerana dari pandangan luaran beliau seperti orang yang tidak sempurna akal dan dianggap sebagai seorang yang kurang waras, tetapi beliau ada sesuatu yang kita tidak ketahui..

 

Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak, badannya bertompok putih, yakni putih penyakit yang tidak digemari. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan bapanya telah meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Walaupun beliau seorang berpenyakit sopak, beliau adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya dan beliau begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya dan setia menjaga ibunya yang sudah uzur dan lumpuh sampai beliau dewasa.

 

Ibunya mempunyai hajat untuk menunaikan haji di Makkah. Namun dengan kudrat yang sebegitu, ibu Uwais tidak mampu untuk ke Makkah berjalan seorang diri. Lalu dia mengutarakan hasratnya kepada Uwais supaya mengikhtiarkan sesuatu agar dia boleh dibawa ke Makkah menunaikan haji.

 

Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Makkah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’ iaitu sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa namun harganya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan perbelanjaan yang sedemikian. Beliau tidak memiliki unta dan juga tidak mampu untuk membayar sewa.

 

Pada suatu hari, ibu Uwais yang semakin tuadan uzur berkata kepada anaknya: “Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”

 

Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah pondok (rumah kecil) di atas sebuah ‘Tilal’iaitu sebuah tanah tinggi (Dia buat pondok untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas ‘Tilal’. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari ‘Tilal’ tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. 

 

Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras. Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. 

 

Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20 kilogram, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100 kilogramturun dan naik bukit setiap hari.

 

Selepas lapan bulan, apabila sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Makkah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100 kilogram boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringansekitar 50 kilogram. 

 

Beliau membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Makkah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Makkah.

 

Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”

 

Uwais menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa ibu.”


Ibunya bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosa kamu?”

 

Uwais menjawab: “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.”

 

Ibunya berkata lagi: “Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah SWT hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.”

 

Uwais berkata: “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.”

 

Ibunya menambah: “Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.”

 

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah SWT menyembuhkan tompok putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. 

 

Namun kerana beliau takut masih ada dosa pada dirinya, beliau berdoa: “Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang tompok putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.”

 

Maka, Allah SWT segera memakbulkan doanya dan menghilangkan penyakit sopak di seluruh badannya kecuali meninggalkan setompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah Dan tanda itulah yang disebutkan oleh Rasulullah ï·º kepada Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Ali untuk mengenali Uwais al-Qarni.

 

Disebut Rasulullah ï·º kepada Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali: “Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni.”

 

Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas ibunya meninggal, Uwais menjadi seorang yang soleh dan ditinggikan martabatnya di sisi Allah sehingga dia menjadi seorang yang doanya paling makbul.

 

Apabila Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais al-Qarni dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah ï·º, mereka berdua pun meminta supaya Uwais mendoakan supaya dosa mereka diampunkan Allah SWT.

 

Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali, beliau berkata: “Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah ï·º kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku.”

 

Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

 

Setelah itu Sayyidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, bertanya kepadanya: “Anda hendak pergi ke mana?”

 

“Kufah”, jawab Uwais. 

 

Sayyidina Umar bertanya lagi: “Mahukah aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar melayanimu?”

 

Uwais menjawab: “Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.”

 

Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit.

 

Firman Allah SWT :

ÙˆَÙ‚َضَÙ‰ٰ رَبُّÙƒَ Ø£َÙ„َّا تَعْبُدُÙˆٓا۟ Ø¥ِÙ„َّØ¢ Ø¥ِÙŠَّاهُ ÙˆَبِٱلْÙˆَٰÙ„ِدَÙŠْÙ†ِ Ø¥ِØ­ْسَÙ€ٰÙ†ًا ۚ

  “Dan Tuhanmu telah mewajibkan supaya tidak menyembah selain dari-Nya dan berlaku baik kepada ibu bapa.”  (Surah Al-Isra’, ayat 23) 

 .

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)