6 tahun. Satu jangka masa yang bukan sebentar. Andai seorang
bayi dilahirkan , anak itu sudah melangkah ke sekolah. Andai sepasang kekasih
diijab kabulkan, 6 tahun satu jangkamasa yang cukup untuk mengenal hati budi
pasangan itu. Andai seorang pelajar melangkah ke menara gading, pasti sudah
selesai pengajiannya selepas jangkawaktu itu.
Itulah lamanya masa yang kami lalui, menanti kehadiran si
cilik kami ini. Memang benar kami sudah mempunyai tiga cahayamata yang bijak
dan sihat Alhamdulillah, tahun 2015 ini semua sudah di bangku sekolah. Bukan
tidak bersyukur, dan tamak kerana mahukan anak lagi sedangkan sudah hampir
penuh kereta kami, hampir tidak muat bilik anak-anak dengan permainan mereka.
Suamiku yang berasal dari keluarga yang kecil, sudah lama redha dengan jumlah
anak kami. Mungkin akulah yang “belum redha”. Hati ini masih mencari pengubat
kesedihan, penawar duka setelah kehilangan seorang cahayamata tahun sebelumnya
iaitu pada 2014. Kehilangan anak yang tidak pernah kulihat, walaupun pada usia
8 minggu, cukup memberi kesan kepadaku kerana banyak masalah kesihatan yang kulalui,
hingga hampir meragut nyawaku.
Februari 2015, genaplah setahun aku kehilangan bayi Maryam
yang kuratapi. Orang kata selepas keguguran, cepat “lekat” lagi. Aku juga
mengharapkan perkara yang sama. Namun minggu berganti bulan, bulan berganti
tahun, dua garisan pada ujian kehamilan belum juga kunjung tiba. Beberapa bulan
juga kami menjalani rawatan kesuburan. Setiap kali “teman tiap bulan” datang,
air mataku juga turut mengalir. Selepas 6 bulan rawatan, masih lagi tiada
berita baik. Suamiku mula risau melihat tangisanku, tidak ubah umpama semasa kehilangan bayi kami.
Atas nasihat doktor pakar, kami memutuskan untuk berehat
seketika dari semua rawatan. Pil clomid yang kuambil juga mula menipiskan
dinding rahim , dan berisiko jika meneruskan rawatan.
Bulan April 2015, Alhamdulillah aku berpeluang bersama Mama
Ayah tersayang melancong ke negara tanah tumpah datuk nenek Mama, iaitu Turki.
Alhamdulillah di sebalik titisan airmata kegembiraan Mama ketika pesawat
Turkish Airlines menjejaki bumi Turki, tersemat satu kepuasan dalam hatiku.
Bertahun-tahun Mama berimpian ke negara ini, Alhamdulillah dapat juga aku
menunaikan hajatnya. Lebih menggembirakan lagi, Mama dan Ayah dapat menyambut
ulang tahun perkahwinan mereka di sana, menikmati musim bunga yang dihiasi
tulip di Istanbul , bergambar di istana kapas Pamukkale dan bermain salji di
Bolu.
Sekembali aku dari Turki, anak ketiga kami pula masuk ke hospital
untuk pembedahan tonsil dan berkhatan. Penghujung April itu memang mencabar,
apatah lagi kami tidak lagi mempunyai pembantu rumah. Alhamdulillah anak kami
sembuh tanpa komplikasi selepas dua minggu. Masih kuingat haid ku datang tepat
pada hari Umar dimasukkan ke hospital. Alhamdulillah mungkin ini cara Allah
memudahkan urusanku.
Penghujung Mei, sahabat-sahabat Ikram dari UiTM akan
menjalani perkhemahan atau mukhayyam di Ulu Yam. Memandangkan aku akan
menyertai mukhayyam tersebut, dan ada aktiviti lasak yang dijadualkan, aku memutuskan untuk membuat ujian kehamilan
sehari sebelum mukhayyam. “Just in case I
need to be extra careful,” fikirku, walaupun ketika itu aku belum lagi
lewat datang haid.
Awal pagi, aku membuat ujian itu.
2 garisan!
Allahu Akbar!
Hati terdetik, “mungkin
aku membayangkannya sahaja”.
Kubawa ujian kehamilan itu ke tepi tingkap yang lebih
bercahaya. Kuperiksa sampulnya,
memastikan ia belum tamat tempoh. Ujian masih “valid”. Dan garisan itu…. Masih dua garisan. Walaupun yang satu
terlalu kabur.
Air mata mula mengalir deras. Debaran di dadaku umpama ombak
yang mengganas tanpa henti. Seluruh tubuhku menggigil. Gembirakah aku? Sedihkah
aku?
Pantas aku mengambil gambar ujian kehamilan itu dan
menghantar ke adikku.
Adikku turut mengesahkannya. Sahlah ada dua garisan. Bukan
sekadar bayanganku.
Semakin kuat debaran dan airmata. Perkara pertama yang
terlintas di benakku adalah ,” Am I gonna
lose this baby too? What if he dies too? What if I lose this baby again? I
can’t handle that.”
Adikku menasihati, untuk mengambil wudhu, solat dhuha dan
sujud syukur dahulu. “Think positive!”,
pesannya.
Selesai solat dhuha dan sujud syukur, ku kesat airmata dan
lantas bersiap ke tempat kerja. Hatiku masih belum tenteram. Aku meminta
seorang jururawat di klinik perbidanan untuk mendapatkan satu lagi ujian
kehamilan untukku. Tengahari itu, sahlah dua garisan itu benar-benar ada.
Alhamdulillah ,hatiku sedikit lega. “It’s
not just my imagination.” Petang itu aku memberikan kejutan kepada suamiku,
dengan meninggalkan ujian kehamilan itu di bilik air. Ternyata beliau juga
terkejut, tetapi cukup bersyukur.
Beberapa hari kemudian, aku menjalani pemeriksaan dengan
pakar perbidanan, mengesahkan kehamilanku. Alhamdulillah segala puji bagi
Allah.
Kehamilan kali ini, kami lebih berhati-hati dan memilih
untuk tidak memberitahu sesiapa hinggalah kehamilan mencecah 12 minggu. Hanya
keluarga terdekat sahaja yang dimaklumkan, doa restu di pohon agar semuanya
berjalan lancar.
Siapa yang paling gembira? Pastinya anak-anak kami. Walaupun
pada asalnya aku bercadang hanya mahu memberitahu anak-anak selepas aku
melepasi trimester pertama, tetapi kerana anak-anak gemar berbaring di atas
perutku, aku harus memberitahu mereka . Girang tak terkira mereka mendengar
perkhabaran ini, terutamanya Umar yang sudah hampir 6 tahun menjadi anak
bongsu. Ingin sangat dia seorang adik lelaki sebagai teman bermain.
Semasa kandunganku baru 6 minggu, kami bercuti ke Lumut,
Perak sempena cuti sekolah pada bulan Jun. Semasa di hotel, anak sulungku yang
menyampaikan berita gembira ke ibu mertuaku. Kedua-dua mertuaku gembira tak
terkata. Ibu bapaku pula sudah kumaklumkan melalui telefon.
Alhamdulillah sepanjang percutian, tiada apa yang berlaku. 6
minggu 1 hari, aku mula mual dan muntah. Sehari selepas pulang dari Pulau
Pangkor, aku mengalami sedikit pendarahan. Alhamdulillah aku tidak cemas kerana
kehamilanku hampir semua memang begitu. Tambahan pula hanya setitis darah yang
kulihat. Namun oleh kerana kehamilanku ini adalah amat bernilai selepas hampir
6 tahun menunggu, kuputuskan untuk berjumpa dengan Dr Norashikin Maan, pakar
perbidanan teman lamaku di Ipoh.
Alhamdulillah pada usia 6 minggu lebih pun
sudah kelihatan degup jantung bayiku. Namun di sisi karung bayi, ada sesuatu
yang kelihatan seperti darah beku. Dr Norashikin menasihatkanku agar bercuti
selama seminggu bagi mengurangkan risiko keguguran.
Pulang dari Lumut dan Ipoh, aku berehat di rumah. Temujanji
dengan pakar perbidanan di UiTM juga menasihatiku agar meneruskan MC kerana
masih ada sedikit pendarahan dan kandunganku dirawat sebagai “threatened
miscarriage”.
Ahad 14 Jun 2015, sehari sebelum aku sepatutnya kembali
bertugas selepas MC selama seminggu, aku mengalami pendarahan yang banyak semasa
berada di kelas renang anak-anak. Jam hampir pukul 6 petang, aku pula memandu
dengan anak-anak sahaja. Luluh hatiku merasakan hangatnya darah yang mengalir
deras. Kuseka airmata, tak sanggup hendak menangis di hadapan anak-anakku.
“Cepat salin pakaian,
lepas tu pergi solat Asar,” kataku kepada anak-anak yang baru selesai
berenang. Selesai bersalin pakaian, kami berjalan ke surau berdekatan. Ketika
anak-anak solat, aku duduk di luar surau, dan kutelefon suamiku di rumah. Masih
kuingat kata-kataku, “ Abang, rasanya baby kita dah tak ada.
Rasanya sayang keguguran lagi. Sayang bleeding banyak.” Suamiku ingin
datang menjemputku, tetapi kufikir pasti sukar jika satu kereta ditinggalkan di
situ, lalu kuputuskan untuk memandu pulang sahaja. Selesai anak-anak solat,
mereka melihat mata dan wajahku yang basah dengan airmata, pantas mereka
bertanya mengapa. Aku hanya mampu berkata, “Ummi
keluar darah. Mungkin baby dah gugur.” Kilasan kesedihan terpancar di wajah
mereka. Anak sulungku risau dengan keadaanku yang mahu memandu pulang.
Dalam hatiku seolah-olah aku sudah patah hati. Setahun yang
lalu, lebih kurang begini juga tatkala aku mengalami pendarahan dan keguguran
bayiku, lebih kurang 8 minggu. Aku cuma berdoa padaNya agar kami selamat pulang
ke rumah.
Alhamdulillah kami selamat sampai walaupun hampir Maghrib.
Suamiku sudah bersiap sedia untuk membawaku ke hospital, namun aku mencadangkan
agar pergi selepas solat Maghrib sahaja. Anak-anak terpaksa kami tinggalkan di
rumah.
Tiba di Unit Kecemasan Hospital Selayang, aku disorong dengan kerusi roda ke
zon kuning dengan segera. Apabila doktor houseman datang bertanya masalahku,
aku berkata mungkin aku sudah keguguran. Sementara menunggu pemeriksaan doktor,
aku duduk di sisi seorang ibu muda yang membawa bayinya yang baru berusia
beberapa hari. Detik hatiku,”Mungkin baby dia jaundice. Untungnya dia baby
sudah selamat lahir sedangkan aku tak tahu apa nasib bayi dalam kandunganku
ini.”
Doktor membuat ultrasound kepadaku di unit kecemasan itu
sendiri. Ma shaa Allah, sungguh tidak kusangka, degupan jantung bayiku masih
kuat! Allahu Akbar. Aku terkedu. Suamiku berkata, “Abang memang yakin baby kita
kuat.” Hanya lafaz Alhamdulillah yang terkeluar dari bibirku.
Aku dirujuk kepada doktor ginekologi dan perbidanan (O&G) yang
oncall dan aku dihantar ke Wad 11C untuk pemeriksaan lanjut. Lucunya sempat
terjumpa bekas anak muridku di UiTM sebagai houseman bertugas malam itu, dan
aku meminta agar dia keluar dari bilik pemeriksaan semasa aku diperiksa, kerana
segan dengan kehadirannya.
Doktor O&G juga melakukan ultrasound, dan mengesahkan
bahawa bayi kami masih kuat. Cuma disisi karung bayi itu ada satu ketulan darah
yang sangat besar. Doktor membenarkan aku memilih sama ada untuk berehat di
rumah atau di hospital. Mengenangkan tiga orang anak kami di rumah, aku meminta
untuk pulang. Doktor berpesan, andai berlaku pendarahan yang banyak agar segera
kembali ke hospital. Alhamdulillah rumah kami juga hanya 10 minit perjalanan ke
Hospital Selayang.
Sepanjang di rumah, aku masih lagi mengalami pendarahan,
tetapi aku cuba kekal positif kerana tiada ketulan daging yang keluar, seperti
semasa aku keguguran tahun lalu. Doa kupanjatkan pada Ilahi agar memudahkan
kehamilan, kelahiran dan penjagaan bayi ini nanti. Ibuku turut datang dari
kampung untuk menjagaku, agar aku tidak perlu melakukan kerja-kerja rumah yang
berat.
Rabu, 17 Jun 2016, tiga hari selepas episod pendarahanku,
aku dikejutkan dari tidurku dengan aliran darah yang menderu-deru. Allahu
Akbar. Aku pasrah. Kutelefon suamiku yang sudah ke tempat kerja agar pulang
dengan segera. Sepanjang perjalanan ke Hospital Selayang, airmataku tidak dapat
disekat-sekat lagi. Aku redha andai anak ini juga bakal menyusul kakaknya ke
syurga lebih dahulu dari Ummi dan Abinya.
Tiba di hospital, kami terus ke klinik O&G. Doktor yang
memeriksaku adalah Dr Hadiana, seorang pegawai perubatan. Sekali lagi kami
dikejutkan, bayi kami masih hidup! Degup jantungnya masih kuat, tetapi ada
ketulan darah beku yang sangat besar disisinya. Pendarahanku masih berterusan
hingga merah katil pemeriksaan doktor. Dr Hadiana meminta agar aku ditahan di wad
untuk berehat dan pemantauan secara rapi. Katanya, pada ketika ini, peluang
untuk kehamilan ini diteruskan adalah 50% sahaja kerana bayiku masih terlalu
kecil, dan pendarahanku amat banyak. Sementara menunggu untuk dihantar ke wad,
suamiku pergi menunaikan solat Zuhr. Aku duduk di kerusi roda sambil menangis,
mengenangkan malam itu adalah malam 1 Ramadhan dan aku tidak dapat berterawih
bersama anak-anak. Kubuka Al-Quran di dalam iphone ku, dan kubaca surah
Al-Qasas ayat 7 :
Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam
pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara
Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan
janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami
akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang
dari Rasul-rasul Kami.
Subhanallah aku merasakan seolah-olah Allah berbicara
denganku agar jangan bersedih. Aku harus meletakkan sepenuh pengharapanku
padaNya.
Malam itu, aku bersolat terawih sambil duduk, bersendirian
di bilik 10, wad 11C Hospital Selayang. Sesekali terasa darah yang mencurah
keluar, aku panjatkan doa kepadaNya, Pemilikku dan Pemilik anakku ini. Hanya
Dia yang tahu apa yang terbaik buatku. Suamiku datang jam 10 malam menghantar
makanan untukku bersahur.
Keesokan paginya, pakar O&G Dr Joyce datang memeriksaku.
Satu lagi kejutan buat kami. Semasa imbasan ultrasound dilakukan, beliau
mendapati di sisi karung bayiku, ada satu lagi karung yang sudah kosong. Menurutnya,
ada “lambda sign” yang bererti sebenarnya aku hamil kembar, tetapi salah
seorang kembar itu sudah keguguran. Apabila Dr Joyce bertanya jika ada riwayat
kembar dalam keluargaku, aku memberitahunya bahawa adikku baru sahaja bersalin
kembar tahun lalu, dan aku juga mempunyai anak sepupu dan ibu saudara yang
kembar. Mujur sahaja kehamilan ini adalah dichorionic diamniotic atau kehamilan
dari 2 ovum yang berbeza, dan ada dua karung terpisah, serta kembar yang gugur
itu yang berada dekat dengan pintu rahim, maka kegugurannya tidak terlalu
mengganggu “adiknya”. Namun menurut Dr Joyce, selagi karung bayi kembar itu
masih ada, aku masih berisiko untuk kehilangan bayi yang ada ini, kerana ada
kala ketika karung bayi itu keluar, ia akan menarik sekali karung kembarnya
keluar, hingga mengancam nyawa bayi itu. Aku harus MC selagi mana karung bayi
kembar itu masih ada.
1 Ramadhan itu aku dibenarkan pulang untuk rehat sepenuhnya.
“Strict bed rest” iaitu tidak boleh
membuat apa-apa kerja berat langsung. Dari usia kandungan 8 minggu hinggalah 14
minggu, aku MC di rumah. Aku memohon agar Allah mempermudahkan kehamilan ini,
rupanya itulah cara Allah memudahkannya buatku. Aku dapat berehat sepenuhnya,
tambahan pula menempuhi bulan Ramadhan. Kadangkala kasihan melihat suamiku,
pagi-pagi kelam kabut menyiapkan tiga orang anak, petang hari terpaksa ke
bazaar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa. Hanya Allah sahaja yang
dapat membalas budi baiknya, in shaa Allah.
Kehamilan kali ini bukan sahaja mencabar dari segi pendarahan,
malah “morning sickness” juga agak
teruk, saling tak tumpah seperti kehamilanku dengan anak sulungku Fatimah. Aku
yakin bayi ini bayi perempuan, dan wajahnya nanti pasti mirip kakak sulungnya.
Ada kala aku muntah sebaik sahaja selepas bersahur, maka aku tidak larat untuk
berpuasa. Ada kala pula selepas seharian berpuasa, sebaik berbuka puasa aku
terus muntah, membuatkan aku keletihan dan menggigil kelaparan. Gastrikku juga
menjadi-jadi dalam kehamilan ini hingga aku terpaksa mengambil pantoprazole iaitu
ubat gastrik sepanjang kehamilan. Namun aku bersyukur kerana diberi peluang
oleh Allah untuk hamil lagi pada usia 30an. Alhamdulillah juga aku dapat
berpuasa selama 22 hari sepanjang Ramadhan kali ini.
Waktu senggangku di rumah kuhabiskan dengan mengaji Al-Quran
dan menonton Omar series iaitu drama lakonan semula kisah para sahabat iaitu
Umar Al-Khattab. 30 siri yang amat menyentuh hati dan perasaan, melihat para
sahabat yang berjuang bersama Rasulullah untuk menyebarkan Islam. Aku teringat
ketika menonton episod Perang Badar, aku menangis semahunya melihat keberanian
para sahabat. Doaku, “Ya Allah,
kurniakanlah kami seorang anak yang berani seperti ahli Badar, agar dapat kami
hantarnya untuk jihad pada jalanMu.” Antara sahabat ahli Badar yang
kukagumi dirinya adalah Abdullah Abu Quhafa iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq,
Abdullah Ibn Mas’ud yang amat bagus bacaan Al-Qurannya, dan Abdullah Ibnu
Suhail yang memilih untuk bersama Islam berbanding bersama ayahnya yang masih
kufur ketika Perang Badar itu.
Menjelang Aidilfitri, suamiku menghantar kami sekeluarga ke
Ipoh ke rumah mertuaku , agar aku dapat berehat memandangkan mertuaku mempunyai
pembantu rumah, yang boleh membantu memasak dan mencuci pakaian anak-anak kami
yang sudah mula cuti sekolah. Terharu hatiku apabila bapa mertuaku sangat rajin
melayan menantunya ini apabila mengidam. Antara makanan yang menjadi
kegemaranku adalah burung puyuh goreng dan burger daging. Sehari sebelum raya,
aku mengidam kuah lodeh dan sambal kacang, sedangkan orang di Ipoh tidak biasa
dengan hidangan ini. Walaupun tinggal di Ipoh, mertuaku adalah orang Negeri
Sembilan, yang biasa dengan lemang dan rendang. Mujur pendarahanku juga hanya
tinggal sedikit, maka aku gagahkan juga untuk memasak makanan yang kuidamkan
itu.
Alhamdulillah pendarahanku berhenti sepenuhnya ketika
kandungan masuk 14 minggu, iaitu semasa hari raya. Dapatlah juga kami pulang ke Muar untuk
beraya bersama keluargaku. Namun aku masih sangat berhati-hati, mengurangkan
berjalan dan aku memastikan untuk sentiasa mengambil vitamin yang dibekalkan
doktor, dan tidak terlepas temujanji dengan doktor pakar O&G
Aku kembali bertugas semasa kandunganku berusia 14 minggu.
Alhamdulillah seminggu sebelum itu, muntah mualku juga sudah berakhir. Aku
bertekad untuk bekerja hingga ke hari terakhir sebelum bersalin jika
kesihatanku mengizinkan. Aku sangat terasa terhutang budi dengan ketua jabatanku
yang sangat memahami, dan staff-staff yang tidak pernah merungut dengan
ketiadaanku di UiTM.
Ketika kandunganku berusia 17 minggu, aku mula merasa
sakit-sakit di bahagian rahim. Risau dengan simptom ini, aku bertemu sahabatku
Dr Nadzrah iaitu doktor pakar O&G di UiTM. Rupanya aku dijangkiti kencing
kotor atau “urinary tract infection”,
yang agak biasa berlaku di kalangan wanita hamil, kerana saluran kencing yang
memendek ditekan dek rahim yang membesar. Dr Nadzrah membuat ujian ultrasound
padaku, dan sekilas pandang, aku seolah terpandang “bird” bayi dalam kandunganku. Aku terkejut, tetapi tidak berani
bertanya kepada Dr Nadzrah. Diberitahu bayiku membesar dengan sihat pun sudah
mencukupi bagiku. Aku diberikan rawatan antibiotik selama seminggu.
Aku masih tertanya-tanya jika benar apa yang kulihat, dan
sedikit sebanyak aku teruja untuk mengetahui jika bayi ini lelaki atau
perempuan. Alhamdulillah seorang sahabat lamaku Dr Patricia sudi mengimbas
kandunganku di kliniknya di Selayang. Alhamdulillah walaupun hanya sekali
imbas, jelaslah bayi kami lelaki. Aku hampir tidak percaya kerana aku mabuk
teruk, kusangka bayi ini perempuan. Namun aku bersyukur apa pun jantina anak
yang dianugerahkan Allah kepada kami ini. Cuma pertemuan dengan Dr Patricia
dicalari dengan satu berita kurang enak. Uri bayiku tidak normal, dan air
ketubanku agak sedikit. Dr Patricia bimbang jika bayiku tidak normal atau
mengalami sindrom, dan mencadangkan agar aku bertemu pakar feto-maternal.
Pada minggu ke 18, aku memutuskan untuk bertemu Dr Hamid
Arshat yang merupakan datuk saudaraku. Alhamdulillah pemeriksaan dengannya
berjalan lancar. Di uri anakku, ada satu kawasan berair yang agak besar,
kelihatan kosong pada imbasan ultrasound. Dr Hamid Arshat merasakan “placental lake” ini mungkin akibat jangkitan kuman semasa
trimester pertama, tetapi beliau yakin kehamilan ini akan berjalan lancar. Dr
Hamid memberikan vitamin C dan vitamin E yang tinggi dengan antioksida untuk
membantu memulihkan semula uri bayiku. Oleh kerana aku bercadang untuk bersalin
di Hospital Selayang, Dr Hamid meminta aku meneruskan temujanji dengan pakar
O&G di sana iaitu Dr Charnjeet.
Ketika kandunganku berusia 21 minggu, kami bercuti ke
Langkawi sempena cuti sekolah September. Walaupun aku agak mengah dan keletihan
, kami sekeluarga amat gembira dengan percutian ini, terutamanya anak-anakku
yang pertama kali menaiki skycab atau
kereta kabel di Langkawi, melawat muzium 3D dan berenang di Pulau Payar.
Trimester kedua hampir berakhir. Ketika kandunganku berusia
27 minggu, tiba-tiba aku merasakan sakit mengeras atau “contraction” yang agak
kerap. Walaupun sibuk dengan klinikku, sempat aku mencatat waktu setiap
contraction itu. Ketika sakit mencecah setiap 10 minit, aku ke klinik O&G
dan meminta jururawat membuat satu CTG atau pemeriksaan contraction dan degup jantung bayi. Ternyata aku mengalami premature contraction atau sakit
pramatang. Aku terus pulang, dan dari rumah, suamiku membawaku ke dewan
bersalin Hospital Selayang. Alhamdulillah semakin lama sakitku semakin kurang,
dan aku dibenarkan pulang. Beberapa ujian dijalankan termasuk ujian air kencing
dan swab vagina untuk memastikan tiada jangkitan kuman. Alhamdulillah semua
ujian negatif dan aku diminta berehat di rumah buat beberapa hari.
Menjelang 30 minggu, Alhamdulillah tiada lagi episod sakit
pramatang. Sempat kami ke Cameron Highland pada November 2015 untuk meraikan
ulang tahun ke enam anak kami, Umar. Ketika 30 minggu juga kami menjalani sesi
penggambaran kehamilan atau maternity photoshoot di Taman Tasik Perdana, bagi
mengabadikan kenangan kehamilan ini. Ketika 32 minggu, kami pulang ke Ipoh untuk
Hari Keluarga mertuaku dari Negeri Sembilan. Sakit juga pinggang sepanjang
perjalanan 2 jam setengah ke Ipoh, dan kemudian kembali ke KL. Namun demi
keluarga tercinta kami turutkan jua. Bukan selalu dapat berkumpul dengan
sepupu-sepupu dari 9 adik beradik bapa mertuaku.
11 Disember 2016, Jumaat cuti umum kerana Maulidur Rasul,
kami sekeluarga ke jualan buku Big Bad Wolf di MIECC The Mines.
12 Disember,
kami makan malam di luar kerana aku mengidam sushi.
13 Disember, kami santai
pagi di Taman Layang-layang Kepong bersama anak-anak. Sengaja aku banyak
berjalan kerana orang kata untuk memudahkan bersalin. Kehamilan kali ini pun
aku mengawal pemakanan dan kekal aktif agar tidak terlalu banyak berat badan
yang naik. Maklumlah sudah hampir 35, aku tahu pasti sukar untuk menurunkan
berat badan selepas melahirkan nanti, kerana metabolisma yang sudah menurun.
13 Disember juga adalah hari sukan bola sepak Piala
Malaysia. Khabar gembira apabila Selangor menang, kami mendapat satu hari cuti
umum. Anak-anak pun gembira tidak perlu ke nurseri seperti biasa. Oleh kerana
kami tiada pembantu rumah, sepanjang cuti sekolah ini kami menghantar anak-anak
ke nurseri sepanjang kami bekerja.
Isnin, 14 Disember 2016. Pagi yang hening, aku membakar
scone untuk sajian sarapan pagi. Jam 7 pagi , sambil menikmati sarapan, aku
merasa sedikit sakit di bahagian rahim. Suamiku yang bimbang bertanya jika aku
mahu ke hospital. Aku kata, “mungkin sebab lapar je ni. Tak ada apa-apa.”
Tambahan pula bayiku baru berusia 33 minggu 5 hari. Masih terlalu awal
Menjelang 7.30 pagi, sakitku semakin kerap. Sambil mengunyah
scone, wajahku menyeringai menahan sakit. Suamiku mula gelabah. Katanya, “Abang cari locumlah cover klinik. Kita pergi
hospital.” Aku menjawab, “ OK, kita
pergi hospital untuk ambil dexa ya.” Fikirku ini adalah sakit pramatang,
dan aku perlu mendapatkan suntikan steroid iaitu dexamethasone untuk
mematangkan paru-paru bayiku.
Jam 8 pagi, aku tidak mampu berjalan lagi. Terlalu sakit dan
ia datang setiap 5 minit! Suamiku terpaksa mencarikan baju dan tudung untuk aku
ke hospital. Mujur beg bersalin memang sudah kusiapkan lebih awal. Kuhubungi research assistant merangkap adik
angkatku Ain, untuk datang ke rumah menjaga anak-anakku bertiga sementara kami
ke hospital. Kuhubungi juga adikku melalui
whatsapp tetapi tidak berjawab. Aku
faham mungkin dia pun sibuk memandangkan dia sudah mempunyai 5 orang anak.
Dalam perjalanan ke hospital, aku mula tersedar. Sakitku makin
kuat dan aku mungkin akan melahirkan anak hari itu! Alhamdulillah aku bersyukur
Selangor mendapat cuti umum, jika tidak pasti jalan ke Hospital Selayang sesak
pada waktu pagi seperti ini.
Tiba di hospital, aku hampir tidak boleh berjalan dek
kesakitan yang amat sangat. Aku disorong dengan kerusi roda ke PAC dewan
bersalin oleh jururawat bertugas sambil suamiku mencari tempat letak kereta.
Sampai di sana, “Allahu Akbar. Penuh
katil dan kerusi dengan wanita yang ingin melahirkan!” detik hatiku.
Jururawat meminta aku ke tandas untuk memberi sampel urin dan kemudian duduk di
kerusi, memandangkan semua katil di PAC penuh. Dalam kesakitan aku cuba untuk
sentiasa menyebut zikir padaNya. Hanya Allah yang dapat membantuku ketika itu.
Hampir 10 minit aku duduk di kerusi, aku hampir tidak dapat menahan sakit lagi.
Seorang wanita di sisiku berkata, “sakit
ya dik? Banyak-banyak mengucap ya, ingat Allah” dengan tenang. Bagus
ingatan yang diberi kepadaku, tetapi aku tertanya, “ tenang-tenang je diorang ni, kenapa datang hospital? Aku ni sakit rasa
nak terbalik dah ni”. Ma shaa Allah, lucu pula bila dikenangkan.
Dek kerana tidak tertahan sakit yang semakin kerap, aku
memanggil seorang houseman yang lalu di hadapanku. Kataku, “please help me. I’m having contraction and I
am only 33 weeks.” Mendengar kandunganku baru 33 minggu, cepat-cepat disuruhnya
masuk ke bilik ultrasound.
Alhamdulillah Subhanallah masuk sahaja ke bilik itu,
Dr Hadiana ada di situ. Terus aku memperkenalkan diri & mengingatkan beliau
yang beliau pernah merawatku. Dalam aku menahan kesakitan, Dr Hadiana melakukan
imbasan ultrasound & membuat pemeriksaan jalan lahir. Katanya, “You are having strong contractions. You are
already 4cm dilated, effaced. I think you are progressing. Tak apa, kita cuba
bagi ubat untuk matangkan paru-paru baby, dan ubat untuk hentikan contraction.
Kita kena bagi peluang sekurang-kurangnya 12 jam untuk dexa berkesan pada baby.”
Aku mengangguk setuju.
Melangkah keluar dari bilik itu, suamiku melambai dari luar.
Aku memberi isyarat padanya, “dah 4 cm”,
bererti aku dalam proses kelahiran. Suami tidak dibenarkan masuk ke kawasan
PAC, jadi aku terus sahaja ke katil apabila diminta berbaring untuk diberi suntikan
dexa pada pukul 8.50 pagi. Ujian ECG iaitu fungsi jantung juga dijalankan
kerana ubat untuk menghentikan sakit contraction
mungkin akan mengganggu fungsi jantungku. Alhamdulillah ECG normal.
Tepat 9.30pagi, aku disorong masuk ke dewan bersalin.
Kudengar jururawat berkata dengan kuat, “G6!
G6! 33 weeks , 4cm!”. Kawannya menjawab, “ G6? Allah!”. Aku hampir tergelak mendengarnya. G6 bererti aku sudah
hamil 6 kali, 33 minggu bererti bayiku akan lahir tidak cukup bulan, dan 4 cm
adalah indikasi sejauh mana aku sudah berada dalam proses kelahiran. Wanita
yang sudah hamil banyak kali selalunya mudah bersalin dan tidak mengambil masa
yang lama. Mungkin kerana itu jururawat di dewan bersalin panik seketika.
Aku ditempatkan di bilik 8, betul-betul di hadapan kaunter
jururawat agar mereka dapat memantau aku dengan teliti. Pegawai perubatan yang bertugas kebetulan
adalah doktor lelaki India, dan beliau meminta izin untuk memeriksaku sekali
lagi sebelum memulakan ubat menghentikan contraction.
Aku redha kerana ketika itu sudah darurat, dan tiada doktor wanita yang berkemahiran
kecuali houseman.
“5cm, effaced. You
have progressed, doctor. I think you will go into labour and tocolytic will not
work. Shall we allow labour?” kata doktor itu. Dari 4cm jalan lahirku sudah
membuka kepada 5cm, dalam masa tidak sampai 1 jam. Serviks juga sudah menipis
atau effaced yang menandakan
kelahiran bayi ini tidak lama lagi. Aku
redha. Cuma kupinta agar doktor O&G menghubungi doktor kanak-kanak untuk
membantu bayiku nanti. Pegawai perubatan itu mengatakan doktor kanak-kanak
sudah pun dihubungi.
Selepas selesai aku menukar baju, suamiku dibenarkan masuk
ke bilik bersalin. Suntikan pethidine diberikan kepadaku untuk mengurangkan
sakit, tetapi malangnya gas ethonox yang biasa kugunakan tidak ada di Hospital
Selayang. Suamiku membisikkan zikir, membacakan doa di telingaku , dan
menghulurkan tangannya untuk kugenggam tatkala kesakitan melanda. Seakan gelap
gelita dan sunyi sepi dunia apabila sakit itu datang, dan tatkala ia reda,
barulah aku dapat bernafas semula.
Dalam menahan kesakitan, aku teringat untuk bertanya
siapakah doktor pakar yang bertugas. Jika boleh aku ingin doktor pakar yang
menyambut kelahiran bayiku. Jururawat berkata, ‘Dr Akmal oncall.” Aku tersentak, lalu bertanya, “Akmal Zulayla?”. Jururawat berkata,” iya agaknya, doktor UiTM.” Ma shaa
Allah, Dr Akmal adalah sahabatku, yang sering aku mengusik mahu dia menyambut
bayiku. Alhamdulillah lega rasanya aku tidak perlu bersalin dengan doktor
lelaki. Aku meminta jururawat memaklumkan Dr Akmal tentang keadaanku.
10 minit kemudian, Dr Akmal tiba di bilikku. Tersenyum
beliau sambil katanya, “itu lah, nak
sangat saya sambut baby awak. Makbul doa awak. Nasib baik Selangor menang dan
hari ni public holiday tau, kalau tak mungkin saya belum sampai hospital lagi
ni.” Aku hanya mampu tersenyum, “Alhamdulillah,
kak Akmal”. Pesan Dr Akmal, tiada intervensi akan dijalankan untuk
kelahiranku kerana bayiku pramatang. Ertinya karung ketuban tidak akan
dipecahkan secara paksa atau artificial
rupture of membrane akan dijalankan.
Jam 11 pagi, aku mula rasa ingin meneran. Jururawat memeriksa
jalan lahirku dan berkata , “baru 8cm
doktor.” Aku merayu agar memanggil Dr Akmal. Aku sudah tidak tertahan lagi
menanggung sakit, dan aku meminta Dr Akmal memecahkan air ketubanku kerana
selalunya kelahiran anak-anakku sangat pantas selepas pecah ketuban. Kira-kira
jam 11.30 pagi, dengan lafaz bismillah Dr Akmal memecahkan air ketubanku.
Dengan serta merta, aku merasa ingin meneran, dan sempat Dr Akmal pesan, “jangan push kuat sangat, Aisyah baby awak
dah dekat situ je. Nanti koyak”.
Alhamdulillah dengan sekali teran bayiku lahir dengan selamat. Mendengar
tangisannya yang kuat, aku menghela nafas lega dan melafazkan Alhamdulillah. Dr
Akmal menunjukkan jantina anakku, dan dengan segera anakku dibawa ke nurseri
untuk dibantu oleh doktor kanak-kanak.
Dalam keletihan, sementara menunggu uriku keluar, sempat aku
berpesan kepada Dr Akmal agar tidak menarik tali pusat dengan kuat kerana uriku
ada titik lemah. Hampir 15 minit berlalu sebelum akhirnya uriku keluar, dan
kemudian Dr Akmal merawat lukaku.
Seorang houseman bahagian kanak-kanak datang dan bertanya, “Doctor, are you sure of date (of your last
menses). Because your baby doesn’t look like a 33 weeks, Ballard score 36
weeks. He is 2.40kg.” Aku yakin dengan tarikh akhir haidku, dan
Alhamdulillah aku bersyukur bayiku mempunyai berat lahir yang baik walaupun
tidak cukup bulan. Ternyata bayiku sihat dan sempurna, tiada langsung
tanda-tanda sindrom seperti sindrom Down.
Setengah jam selepas anakku dilahirkan, suamiku dipanggil
oleh doktor kanak-kanak untuk mengiringi bayiku ke NICU, kerana dia memerlukan
bantuan pernafasan. Aku sudah menjangka komplikasi ini memandangkan hanya satu
dos dexa yang sempat diberikan kepadaku dan bayiku belum cukup bulan. Namun aku
terlalu letih untuk berfikir tentang bayiku dan aku bertawakkal kepada Allah.
In shaa Allah aku yakin dengan kebolehan doktor-doktor bahagian kanak-kanak
dalam merawat anakku.
Jam 12.30 tengahari aku dihantar ke wad kelas satu, dan aku
berehat di bilik berempat. Kata jururawat, jika ada kekosongan mereka akan
menghantarku ke bilik seorang.
Alhamdulillah wad itu sangat selesa dan staff sangat bersopan dan ikhlas
dalam menjalankan tugas masing-masing.
Jam 6 petang, suamiku membawaku ke NICU untuk berjumpa
anakku buat kali pertama.Sejak dari dalam kandungan aku ingin menamakannya
Abdullah Uwais. Alhamdulillah Uwais
hanya di letakkan di bawah pemanas (warmer)
dan bukan di dalam incubator. Alat pernafasannya pun minimal iaitu CPAP sahaja.
Suamiku mengazankannya dan aku dapat menyentuh kulit lembutnya. Aku berjanji
padanya, aku akan menjaganya dengan baik dan memberikannya susu terbaik buatnya
iaitu susu ibu.
2 hari di wad post natal, aku sudah dibenarkan pulang.
Malangnya bayiku masih di bawah penjagaan NICU dan aku harus pulang tanpanya.
Hati berbelah bagi. Gembira kerana dapat berehat di rumah, tetapi sedikit sedih
kerana terpaksa berjauhan dengan si buah hati. Alhamdulillah pada hari kedua
aku sudah dapat memerah susu buat Uwais, walaupun hanya 10ml pada mulanya.
Jururawat di NICU juga sangat menggalakkan susu ibu, hingga katanya, “ tak apa puan, beberapa titis pun kita mahu,
penting untuk baby”, jadi aku tambah bersemangat untuk memerah susu setiap
3 jam siang dan malam.
5 hari anakku di NICU dan aku di rumah, setiap hari rinduku
makin menebal. Setiap hari kami akan ke hospital dua kali sehari iaitu pagi jam
11 pagi dan malam selepas maghrib. Pada hari ke 4, sakit-sakit badanku kerana
melanggar pantang, terlalu banyak berjalan. Walaupun hari sebelumnya Uwais
sudah semakin sihat, hari ke 4 dia tiba-tiba bernafas laju, muntah dan perutnya
kembung. Dia terpaksa dipuasakan dan diberikan oksigen kembali. Mengalir-ngalir
airmataku melihat anakku penuh dengan tiub dan wayar yang berselirat.
Kenangan Uwais di NICU |
Hari ke 5,aku meminta untuk “room in” atau tinggal di NICU bersama bayiku, tetapi belum ada
kekosongan katil. Rasa tidak keruan hatiku. Melangkah sahaja keluar dari NICU
hatiku sudah merindu, Aku kerap menangis merindukan Uwais, dan berasa kasihan
padanya yang tidak mendapat dakapan seorang ibu. Aku terus berdoa agar
dipermudahkan urusan dan Alhamdulillah pada hari ke 6, aku dibenarkan
bersamanya di NICU. Walaupun NICU itu sangat sejuk, dan aku terpaksa berjauhan
dengan anak-anak yang lain yang terpaksa dihantar ke rumah nenek mereka, aku
lebih tenang berada dekat dengan Uwais.
Pertama kali Uwais menyusu dariku, pada hari ke 6, dia tidak
pandai menghisap. Tetapi jururawat memberikan aku sokongan. Katanya, “tak apa puan, nanti lama-lama dia pandai.
Baby premature ni bijak tau puan.” Masih aku ingat nama jururawat yang baik
itu, iaitu Nadzirah. Alhamdulillah 2 hari kemudian, selepas aku menyuakan susu
padanya setiap 3 jam, Uwais pandai menghisap susu dengan baik. Namun aku masih
tinggal di bilik ibu-ibu, Uwais di bilik intermediate 2.
Hari ke 10, salah seorang houseman yang merupakan bekas anak
muridku mencadangkan kepada pegawai perubatan agar membenarkan Uwais minum susu
dariku mengikut kehendaknya (feed per
demand), dan bukan lagi disukat kepada 18ml setiap 3 jam. Hari itu juga
kami berpindah ke Recovery , aku dan Uwais akhirnya dapat tidur sebilik.
Malam itu aku hampir tidak boleh tidur. Bila Uwais tidur,
aku risau dia tidak bernafas. Apabila hendak tidur, bayi orang lain pula
menangis. 5 hari di NICU, aku tekad mahu meminta pulang keesokan harinya. Sakit
badan dan kurang tidur, aku takut terganggu kesihatanku yang masih berpantang.
24 Disember 2015, setelah 11 hari di NICU, akhirnya kami
dibenarkan pulang. Walaupun berat Uwais menurun dari 2.40kg semasa lahir ke
2.16kg, aku yakinkan pakar kanak-kanak yang aku mampu menyusukan Uwais dengan
lebih baik jika aku di rumah. Alhamdulillah seakan lupa segala air mata yang
tumpah sepanjang Uwais di NICU, tatkala tiba di rumah, dan kutidurkan Uwais di
katil bayi miliknya.
14 Mac 2016, Alhamdulillah Uwais sudahpun berusia 3 bulan.
Beratnya juga sudah mencecah 5.50kg , dan dia minum susu ibu sepenuhnya.
Alhamdulillah Allah yang Maha Pemurah mengizinkan kami merasai kurniaNya ini.
walaupun Uwais agak kuat meragam, bangun menyusu setiap jam semasa di dalam
pantang, mencecah usia 3 bulan ini, dia sudah boleh tidur malam dengan baik.
Jam 9 malam, hinggalah 6 pagi, dengan bangun menyusu 2-3 kali sahaja.
Alhamdulillah berbeza sekali mendapat bayi pada pertengahan usia
30an ini. Ketika anak-anak yang lain sudah besar dan boleh berdikari, kehadiran
mereka amat membantu dalam kami menguruskan Uwais yang masih bayi. Kakak-kakak
dan abang Uwais juga amat menyayangi adik mereka, hingga pulang dari sekolah,
masing-masing berebut ingin melihat adik mereka.
In shaa Allah akan
kami hargai setiap detik dan ketika ini, menjadi suatu memori yang abadi. Aku
sendiri tidak pasti sama ada aku mahu hamil lagi di masa hadapan, dengan rekod
bayi-bayiku yang semakin lama, semakin awal dilahirkan. Tak sanggup rasanya
mengambil risiko, menahan sedih anak di NICU seperti Uwais, namun kuserahkan kepada
Yang Esa. Sesungguhnya Dia yang Maha Merancang dan perancanganNya yang terbaik
Doa kami, semoga anak kami Abdullah Uwais membesar menjadi
insan mukmin soleh dan musleh, sehebat insan pemilik namanya iaitu Uwais
Al-Qarni, Abdullah Abu Quhafa, Abdullah Ibnu Mas’ud dan Abdullah Ibnu Suhail.
Amin Ya Rabbal Alamin
Uwais berusia 20 hari |
No comments:
Post a Comment