Kenangan aidilfitri 2014. Tiada satu pun gambar berdua bersama suami. Anak pula meragam di pagi raya kerana kurang sihat. |
Selamat Hari Raya , Syawal 2014 buat semua pembaca.
Selama tiga minggu Syawal ini berlalu, saya tidak berpeluang untuk menulis. Buat pertama kali saya rasa Hari Raya bukanlah waktu untuk berpesta sesedap rasa. Mungkin banyak refleksi diri dari apa yang berlaku di Gaza sepanjang bulan Ramadhan yang lalu.
Alhamdulillah berpeluang menyertai Solidariti Gaza menghantar memorandum bantahan ke Kedutaan Amerika Syarikat |
Bersama barisan pensyarah UiTM yang turut serta |
Foto ihsan Aqsa Syarif & FB page IKRAM |
Alhamdulillah tahun ini adalah tahun pertama saya membimbing adik-adik usrah di UiTM. Ini hutang saya dengan Allah. Semasa di Ireland, saya dikenalkan dengan usrah, dan sepanjang 6 tahun saya di sana, saya terpelihara dari anasir kurang sihat, dek kerana adanya "keluarga" yang sentiasa mengingatkan saya kepada Allah ini.
Pulang ke Malaysia, saya hanyut seketika dengan kesibukan (dunia) yang diada-adakan. Keberkatan waktu saya dikurangkan, namun Allah yang Maha Penyayang masih inginkan saya menjadi insan yang bertaubat, Alhamdulillah. Walau dalam kealpaan saya mengejar dunia, Allah kurniakan saya limpah kurnia yang tidak terhingga. Dari keluarga yang bahagia, anak-anak yang sihat, pengajian dalam Masters yang lancar, perniagaan yang tidak rugi. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah... Semua milikNya yang dipinjamkan buat kita.
Alhamdulillah sepanjang bulan Ramadhan, usrah kami berjalan seperti biasa. Kami dapat mengadakan satu majlis berbuka puasa bersama (iftar jamaie), solat terawih bersama, qiamullail dan bersahur bersama. Kami berpisah selepas sesi usrah/tazkirah Subuh. Titisan air mata semasa saling bersalaman sebelum berpisah, bukan kerana sedih, tetapi kerana nikmatnya sebuah kasih sayang yang dijalinkan oleh Yang Maha Penyayang. Subhanallah.
Memasak bersama sebelum berbuka |
Sajian ringkas Nasi Arab |
Usai Ramadhan, bercuti panjang semasa lebaran. Usrah kami yang pertama 2 minggu selepas aidil fitri, mengupas ibrah atau pengajaran dari Ramadhan yang lalu. Antara resolusi anak-anak usrah saya adalah:
1) ingin mengekalkan puasa setiap Isnin dan Khamis
2) mengekalkan Al-Quran sebagai pendamping hidup
3) terus yakin dengan kuasa doa
4) istiqomah dalam solat malam
5) menjadi insan yang sabar dan menahan marah
Semoga kita semua dapat mengekalkan semua amalan yang baik yang telah kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan in shaa Allah.
Kisah yang ingin saya kongsikan kali ini adalah kisah baju raya
Tidak ada orang yang tidak mahu berbaju baru di pagi raya. Lelaki mahupun wanita. Selalunya kaum wanita lebih teliti dalam membuat persiapan hari raya. Dari baju yang sedondon dengan tudung, tas tangan yang cantik, kasut yang berkilat, solekan yang natural tetapi menarik, dan sebagainya.
Saya juga begitu. Hingga aidilfitri tahun lalu. Saya pernah berhabis duit ribuan ringgit untuk membeli dan menempah sepasang baju raya yang akan disarungkan pada hari raya pertama. Alat solek pula biasanya serba baru menjelang lebaran. Acara paling penting adalah majlis berbuka puasa anjuran syarikat, yang dijadikan pentas untuk berdandan indah, mengharapkan pujian manusia.
Iya, itulah saya. Tiada siapa langsung yang meletakkan standard sedemikian tetapi saya sendiri. Silap saya. Khilaf saya. Jahil saya. Orang lain tidak sebegitu, hanya saya.
Pulang dari haji, antara tekad saya adalah tidak mahu membazirkan duit untuk dunia. Saya terfikir, andai saya dermakan dan sedekahkan semua duit yang saya pernah gunakan untuk membeli barang-barang dan pakaian mewah, alangkah banyaknya pahala yang terkumpul. Andai saya salurkan separuh sahaja dari harga sebuah beg tangan berjenama, berapa ramai saudara kita yang dapat makan dan minum untuk satu hari di Syria dan Palestin?
Astaghfirullahal azim... Semoga Allah memelihara kita semua dari tipu daya syaitan dan godaan dunia ini, seperti yang Allah sebut dalam surah Ali Imran ayat 14:
Tahun ini saya melawan rasa hati yang bergejolak ingin membeli jubah berhias dari Zalora, baju kurung berfesyen dari pereka fesyen terkenal dan tudung moden dari butik ternama. Memang hati meronta-ronta ingin menekan butang "click to purchase", tetapi saya istighfar. Bukan saya katakan ia berdosa, tidak sama sekali. Andai berkemampuan, anda boleh membeli apa sahaja yang anda inginkan. Ini adalah mujahadah saya, yang sudah terlalu banyak membazir.
Saya beli sepasang jubah berharga RM80 di sebuah kedai di Gombak, tudung selendang berharga RM20 dari bazaar di Hospital Sungai Buloh dan tudung dalam berwarna hitam saya gunakan tudung yang dibelikan oleh suami semasa umrah 2010 dahulu. Masih elok lagi.
Alhamdulillah ternyata 1 Syawal saya lalui dengan gembira dan penuh keceriaan, walaupun pakaian saya murah. Mungkin tiada orang yang memuji baju saya cantik, tetapi tidak juga ada yang mengata atau mengutuk.
Hakikatnya, kegembiraan kita pada hari raya terletak pada diri kita sendiri. Terletak pada hati dan ketenangan jiwa. Terletak pada sentuhan tangan dengan suami tersayang tatkala bersalaman memohon kemaafan. Terletak pada gelak tawa anak-anak yang gembira berhari raya bersama saudara mara seusia mereka. Terletak pada riak wajah syukur ayah bonda tatkala pulang menemui mereka di hari mulia.
Selama ini saya silap. Alhamdulillah Allah yang Maha Penyayang mengingatkan saya.
Hakikatnya tidak perlu berbusana mewah ribuan (atau ratusan) ringgit untuk gembira.
Kegembiraan ialah apabila kita berpakaian untuk Allah, untuk menggembirakanNya, dengan mengikut syariat RasulNya....
Allahu Alam...
No comments:
Post a Comment