Perkara pertama yang saya lakukan apabila mendapat jemputan, pastilah meminta izin suami. Syarat beliau, wajib menetapkan niat untuk mendidik dan berkongsi ilmu kepada masyarakat, dan BUKAN untuk mencari nama atau "glamour". Memang sukar menjaga hati, tetapi saya janji pada beliau sebagai bukti saya bukan mencari glamour adalah saya akan berpakaian serba sederhana dan saya akan cuba sampaikan yang terbaik untuk masyarakat di luar sana. Semoga Allah memelihara kita semua dari riak, takbur dan ujub yang menghapuskan semua amalan baik. (Amin)
Prosedur untuk mendapat keizinan dari UiTM juga bukan mudah rupanya. Kebetulan Dekan berada di luar negara, maka permohonan harus dipanjangkan kepada Timbalan Dekan, yang kemudiannya selepas diluluskan di peringkat fakulti, diusulkan pula kepada Jabatan Korporat UiTM di Shah Alam. Selesai mendapat kebenaran dari pihak universiti, permohonan dikembalikan ke pihak Fakulti Perubatan, khususnya kepada Pengarah Pusat Pengajian Klinikal (Clinical Training Centre) di mana penggambaran akan dijalankan. Semua urusan ini mengambil masa hampir seminggu.
Penggambaran diadakan di kampus UiTM Sungai Buloh, dan dihadiri oleh 4 orang krew iaitu seorang wartawan, seorang jurugambar, seorang jurubunyi dan seorang pembantu. Alhamdulillah semua berjalan lancar, dan seluruh penggambaran hanya mengambil masa sejam.
Di belakang tabir |
Saya telah diberikan dua tajuk iaitu tajuk glaukoma dan rabun di kalangan kanak-kanak. Slot pertama berkaitan glaukoma telah disiarkan pada Hari Raya ke tiga, dan saya sendiri tidak dapat menontonnya.
Di sini saya kongsikan link YouTube 2 siri berkaitan Rabun Pada Usia Muda. Siri pertama disiarkan pada 13 Ogos 2014 (malangnya terhenti ditengah-tengah kerana memberi laluan kepada perlawanan bola sepak), dan siri kedua pada 20 Ogos 2014.
Siri Satu: Rabun di kalangan kanak-kanak, petanda-petanda bagi kanak-kanak dan murid sekolah
Siri Dua: Tips mengelakkan rabun bagi kanak-kanak yang terdedah kepada penggunaan gajet.
Di sini saya kongsikan juga sedikit info tentang rabun jauh dan soalan-soalan yang kerap ditanyakan kepada doktor mata oleh ibu bapa.
MASALAH RABUN DI
KALANGAN KANAK-KANAK
1) Purata kanak-kanak Asia
berumur tiga tahun ke atas memakai cermin mata semakin meningkat setiap tahun.
Apa faktor mendorong kepada masalah RABUN?
-
Rabun jauh atau myopia
adalah masalah di mana seseorang itu tidak dapat melihat objek yang berada jauh
dengan jelas. Apa yang menyebabkan seseorang itu rabun adalah bola mata yang
lebih panjang daripada biasa menyebabkan imej tidak terfokus dengan baik.
Seseorang itu akan memerlukan cermin mata atau kanta lekap untuk membantu
memperbaiki imej yang terbentuk.
-
Dijangkakan lebih kurang
1 billion orang di seluruh dunia adalah rabun jauh, dan ini semestinya memberi
impak kepada kos penjagaan kesihatan dunia. Sebuah kajian pada tahun 2003 yang
dijalankan di Gombak, Selangor, mendapati 35% daripada kanak-kanak adalah
rabun, yang mana 65% adalah berbangsa Cina, 30 % Melayu dan 15% India.
-
Antara faktor
peningkatan rabun di kalangan kanak-kanak adalah kerana terlalu banyak
melakukan kerja yang memerlukan focus pada jarak dekat, seperti membaca,
menonton television dan bermain ipad atau gajet-gajet, dan seterusnya kurangnya
bermain di luar rumah. Semasa kanak-kanak masih membesar, kanta mata berfungsi
menentukan berapa besar bola mata perlu membesar. Kanak-kanak yang selalu
contohnya bermain ipad, dan kurang bermain di luar, kanta matanya akan sentiasa
dalam keadaan bulat (globular), dan ini memberi signal kepada mata untuk
membesar. Apabila bola mata menjadi terlalu panjang, maka mereka akan membesar
sebagai dewasa yang rabun. Apabila kuasa cermin mata terlalu tinggi iaitu
melebih 6 diopter atau -6.00, mereka mengalami risiko untuk saraf retina
tertanggal, lubang pada saraf retina, glaucoma dan pelbagai masalah serius yang
lain
2. Kebanyakan kanak-kanak
mengalami masalah rabun jauh @ dekat?
-
Kebanyakan kanak-kanak
mengalami rabun jauh, tetapi jika ibu bapa merasakan anak mereka juling, selalu
mengadu sakit kepala dan tidak nampak di sekolah, atau mereka mempunyai postur
kepala yang tidak normal semasa menonton TV (contohnya teleng ke kiri atau ke
kanan), sebaiknya ibu bapa membawa anak itu untuk pemeriksaan dengan pakar mata
secepat mungkin, sebaik-baiknya sebelum usia 6 tahun.
3. Apa jenis vitamin paling
baik untuk memelihara kesihatan mata?
-
Vitamin yang baik untuk
mata adalah yang mengandungi tinggi antioksida seperti vitamin C & E, dan
sumber terbaik adalah dari sayur-sayuran dan buah-buahan.
4. Benarkah petua makan
lobak merah boleh meningkatkan kuasa mata?
-
Lobak mengandungi
vitamin A yang merupakan antioksida yang baik untuk kesihatan menyeluruh tetapi
tidak ada kajian yang menunjukkan memakan lobak dapat mengurangkan kuasa kaca
mata seseorang, begitu juga dengan ubat titis herba atau cermin mata berlubang
istimewa. Tetapi seseorang itu tidak seharusnya mengambil vitamin ini secara
berlebihan untuk memulihkan kuasa mata, kerana jika vitamin A terlalu banyak
dalam badan juga merbahaya, terutamanya kepada ibu hamil.
5. Sejauhmana ketepatan
mereka yang mengalami masalah mata atau ketumbuhan pada otak, bayi yang lahir
pramatang, tabiat membaca dalam gelap dan membaca terlalu lama turut
menyumbang kepada masalah rabun?
-
Mereka yang mengalami
ketumbuhan dalam otak selalunya mempunyai masalah mata yang berbeza dan bukan
rabun.
-
Membaca di dalam gelap
boleh meletihkan mata dan menyebabkan otot di dalam mata menjadi letih.
Sebaiknya membacalah dengan pencahayaan yang mencukupi. Tetapi membaca di dalam
gelap tidaklah menyebabkan rabun secara langsung.
-
Membaca terlalu lama
juga meletihkan mata kerana kanta akan sentiasa berada dalam bentuk globular
atau bulat. Bagi kanak-kanak jika mereka terpaksa melakukan banyak kerja di
dalam rumah seperti membaca, pastikan mereka mempunyai masa untuk bermain di
luar rumah, bagi membolehkan mata mereka memandang kepada objek-objek yang
jauh.
6. Jika dikesan dari
awal, adakah masalah rabun yang dihadapi kanak-kanak itu dapat
diperbetulkan?
-
Ya masalah rabun boleh
di rawat pada peringkat awal, dengan menggunakan cermin mata, tetapi sebaiknya
kita halang pembentukan rabun ini dari awal kerana mencegah adalah lebih baik
daripada merawat.
7. Apa rawatan yang
sewajarnya dapat dilakukan?
- selalunya bagi
kanak-kanak doktor akan menasihatkan agar memakai cerminmata dan tidak
menggalakkan penggunaan kanta lekap, kerana sekiranya kanak-kanak itu tertidur
dengan memakai kanta lekap, ini boleh menyebabkan jangkitan kuman.
- pembedahan LASIK untuk
merawat rabun jauh, hanya boleh dilakukan selepas seseorang itu mencapai usia
21 tahun, kerana selepas usia itu mereka tidak lagi membesar dan kuasa mata mereka juga lebih stabil
8.
Sebaik-baiknya berapa kerap ibu bapa perlu membawa anak membuat pemeriksaan
mata dalam setahun?
- bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang rabun,
sebaiknya pemeriksaan mata dilakukan setahun sekali, tetapi bagi kanak-kanak
yang sedang membesar dengan pantas, contohnya mereka yang baru aqil baligh,
sekiranya mereka mengadu cermin mata mereka semakin kabur atau kerap sakit
kepala, bawalah mereka untuk pemeriksaan lebih awal.
Entri yang sangat bermanfaat. Terima kasih. Boleh saya share?
ReplyDeletethank you for your support Zu.. silakan share in shaa Allah, semua ilmu dari Allah, kita kongsikan yang baik
DeleteSalam. Saya ingin bertanya, apa risiko pembedahan lasik?
ReplyDeleteterima kasih atas pertanyaan nazura. Antara risiko lasik adalah pembedahan itu tidak berjaya dan perlu dibedah semula (jarang berlaku), jangkitan kuman dan mata kering selepas pembedahan yang menyebabkan seseorang itu perlu kerap memakai air mata tiruan.
DeleteSalam. Sy ingin bertanya, apa risiko lasik?
ReplyDelete