Wednesday 20 August 2014

Dr Aisyahafiz Berkongsi Ilmu di Berita Perdana TV1 : Rabun Usia Muda

Alhamdulillah pada bulan Jun yang lalu, saya telah mendapat satu jemputan untuk diwawancara oleh wartawan dari RTM TV 1 untuk slot Sihat yang akan disiarkan sewaktu Berita Perdana. Wartawan ini, Saudara Ashraff sebenarnya adalah kenalan saya, jadi kerana itu saya dijemput untuk berkongsi sedikit ilmu. Bukanlah kerana saya ini hebat kerana di Malaysia ada lebih 400 orang pakar mata yang semuanya sangat berilmu dan jauh lebih baik dari saya. 


Perkara pertama yang saya lakukan apabila mendapat jemputan, pastilah meminta izin suami. Syarat beliau, wajib menetapkan niat untuk mendidik dan berkongsi ilmu kepada masyarakat, dan BUKAN untuk mencari nama atau "glamour". Memang sukar menjaga hati, tetapi saya janji pada beliau sebagai bukti saya bukan mencari glamour adalah saya akan berpakaian serba sederhana dan saya akan cuba sampaikan yang terbaik untuk masyarakat di luar sana. Semoga Allah memelihara kita semua dari riak, takbur dan ujub yang menghapuskan semua amalan baik. (Amin)

Prosedur untuk mendapat keizinan dari UiTM juga bukan mudah rupanya. Kebetulan Dekan berada di luar negara, maka permohonan harus dipanjangkan kepada Timbalan Dekan, yang kemudiannya selepas diluluskan di peringkat fakulti, diusulkan pula kepada Jabatan Korporat UiTM di Shah Alam. Selesai mendapat kebenaran dari pihak universiti, permohonan dikembalikan ke pihak Fakulti Perubatan, khususnya kepada Pengarah Pusat Pengajian Klinikal (Clinical Training Centre) di mana penggambaran akan dijalankan. Semua urusan ini mengambil masa hampir seminggu. 

Penggambaran diadakan di kampus UiTM Sungai Buloh, dan dihadiri oleh 4 orang krew iaitu seorang wartawan, seorang jurugambar, seorang jurubunyi dan seorang pembantu. Alhamdulillah semua berjalan lancar, dan seluruh penggambaran hanya mengambil masa sejam. 

Di belakang tabir




Saya telah diberikan dua tajuk iaitu tajuk glaukoma dan rabun di kalangan kanak-kanak. Slot pertama berkaitan glaukoma telah disiarkan pada Hari Raya ke tiga, dan saya sendiri tidak dapat menontonnya. 

Di sini saya kongsikan link YouTube 2 siri berkaitan Rabun Pada Usia Muda. Siri pertama disiarkan pada 13 Ogos 2014 (malangnya terhenti ditengah-tengah kerana memberi laluan kepada perlawanan bola sepak), dan siri kedua pada 20 Ogos 2014.

Siri Satu: Rabun di kalangan kanak-kanak, petanda-petanda bagi kanak-kanak dan murid sekolah

Siri Dua: Tips mengelakkan rabun bagi kanak-kanak yang terdedah kepada penggunaan gajet. 

Di sini saya kongsikan juga sedikit info tentang rabun jauh dan soalan-soalan yang kerap ditanyakan kepada doktor mata oleh ibu bapa. 

MASALAH RABUN DI KALANGAN KANAK-KANAK

 1)  Purata kanak-kanak Asia berumur tiga tahun ke atas memakai cermin mata semakin meningkat setiap tahun. Apa faktor mendorong kepada masalah RABUN?

-          Rabun jauh atau myopia adalah masalah di mana seseorang itu tidak dapat melihat objek yang berada jauh dengan jelas. Apa yang menyebabkan seseorang itu rabun adalah bola mata yang lebih panjang daripada biasa menyebabkan imej tidak terfokus dengan baik. Seseorang itu akan memerlukan cermin mata atau kanta lekap untuk membantu memperbaiki imej yang terbentuk.


-          Dijangkakan lebih kurang 1 billion orang di seluruh dunia adalah rabun jauh, dan ini semestinya memberi impak kepada kos penjagaan kesihatan dunia. Sebuah kajian pada tahun 2003 yang dijalankan di Gombak, Selangor, mendapati 35% daripada kanak-kanak adalah rabun, yang mana 65% adalah berbangsa Cina, 30 % Melayu dan 15% India.

-          Antara faktor peningkatan rabun di kalangan kanak-kanak adalah kerana terlalu banyak melakukan kerja yang memerlukan focus pada jarak dekat, seperti membaca, menonton television dan bermain ipad atau gajet-gajet, dan seterusnya kurangnya bermain di luar rumah. Semasa kanak-kanak masih membesar, kanta mata berfungsi menentukan berapa besar bola mata perlu membesar. Kanak-kanak yang selalu contohnya bermain ipad, dan kurang bermain di luar, kanta matanya akan sentiasa dalam keadaan bulat (globular), dan ini memberi signal kepada mata untuk membesar. Apabila bola mata menjadi terlalu panjang, maka mereka akan membesar sebagai dewasa yang rabun. Apabila kuasa cermin mata terlalu tinggi iaitu melebih 6 diopter atau -6.00, mereka mengalami risiko untuk saraf retina tertanggal, lubang pada saraf retina, glaucoma dan pelbagai masalah serius yang lain

2.    Kebanyakan kanak-kanak mengalami masalah rabun jauh @ dekat?

-          Kebanyakan kanak-kanak mengalami rabun jauh, tetapi jika ibu bapa merasakan anak mereka juling, selalu mengadu sakit kepala dan tidak nampak di sekolah, atau mereka mempunyai postur kepala yang tidak normal semasa menonton TV (contohnya teleng ke kiri atau ke kanan), sebaiknya ibu bapa membawa anak itu untuk pemeriksaan dengan pakar mata secepat mungkin, sebaik-baiknya sebelum usia 6 tahun.




3.   Apa jenis vitamin paling baik untuk memelihara kesihatan mata?

-          Vitamin yang baik untuk mata adalah yang mengandungi tinggi antioksida seperti vitamin C & E, dan sumber terbaik adalah dari sayur-sayuran dan buah-buahan.

4. Benarkah petua makan lobak merah boleh meningkatkan kuasa mata?

-          Lobak mengandungi vitamin A yang merupakan antioksida yang baik untuk kesihatan menyeluruh tetapi tidak ada kajian yang menunjukkan memakan lobak dapat mengurangkan kuasa kaca mata seseorang, begitu juga dengan ubat titis herba atau cermin mata berlubang istimewa. Tetapi seseorang itu tidak seharusnya mengambil vitamin ini secara berlebihan untuk memulihkan kuasa mata, kerana jika vitamin A terlalu banyak dalam badan juga merbahaya, terutamanya kepada ibu hamil.

5.    Sejauhmana ketepatan mereka yang mengalami masalah mata atau ketumbuhan pada otak, bayi yang lahir pramatang, tabiat membaca dalam gelap dan membaca terlalu lama turut menyumbang kepada masalah rabun?

-          Mereka yang mengalami ketumbuhan dalam otak selalunya mempunyai masalah mata yang berbeza dan bukan rabun.

-          Membaca di dalam gelap boleh meletihkan mata dan menyebabkan otot di dalam mata menjadi letih. Sebaiknya membacalah dengan pencahayaan yang mencukupi. Tetapi membaca di dalam gelap tidaklah menyebabkan rabun secara langsung.

-          Membaca terlalu lama juga meletihkan mata kerana kanta akan sentiasa berada dalam bentuk globular atau bulat. Bagi kanak-kanak jika mereka terpaksa melakukan banyak kerja di dalam rumah seperti membaca, pastikan mereka mempunyai masa untuk bermain di luar rumah, bagi membolehkan mata mereka memandang kepada objek-objek yang jauh.



 6.  Jika dikesan dari awal, adakah masalah rabun yang dihadapi kanak-kanak itu dapat diperbetulkan?

-          Ya masalah rabun boleh di rawat pada peringkat awal, dengan menggunakan cermin mata, tetapi sebaiknya kita halang pembentukan rabun ini dari awal kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

7. Apa rawatan yang sewajarnya dapat dilakukan?

- selalunya bagi kanak-kanak doktor akan menasihatkan agar memakai cerminmata dan tidak menggalakkan penggunaan kanta lekap, kerana sekiranya kanak-kanak itu tertidur dengan memakai kanta lekap, ini boleh menyebabkan jangkitan kuman.

- pembedahan LASIK untuk merawat rabun jauh, hanya boleh dilakukan selepas seseorang itu mencapai usia 21 tahun, kerana selepas usia itu mereka tidak lagi membesar dan kuasa mata mereka juga lebih stabil
  


8. Sebaik-baiknya berapa kerap ibu bapa perlu membawa anak membuat pemeriksaan mata dalam setahun?


- bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang rabun, sebaiknya pemeriksaan mata dilakukan setahun sekali, tetapi bagi kanak-kanak yang sedang membesar dengan pantas, contohnya mereka yang baru aqil baligh, sekiranya mereka mengadu cermin mata mereka semakin kabur atau kerap sakit kepala, bawalah mereka untuk pemeriksaan lebih awal. 

5 comments:

  1. Entri yang sangat bermanfaat. Terima kasih. Boleh saya share?

    ReplyDelete
    Replies
    1. thank you for your support Zu.. silakan share in shaa Allah, semua ilmu dari Allah, kita kongsikan yang baik

      Delete
  2. Salam. Saya ingin bertanya, apa risiko pembedahan lasik?

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih atas pertanyaan nazura. Antara risiko lasik adalah pembedahan itu tidak berjaya dan perlu dibedah semula (jarang berlaku), jangkitan kuman dan mata kering selepas pembedahan yang menyebabkan seseorang itu perlu kerap memakai air mata tiruan.

      Delete
  3. Salam. Sy ingin bertanya, apa risiko lasik?

    ReplyDelete