Thursday 14 March 2019

Kisah Heroku Dan Helikopter

Ogos 1981, Pulau Labuan, Sabah


Gambarku bersama Ayah dan abang sulungku di Pulau Labuan, tahun 1981. Tidak pasti adakah sahabat Ayah yang ini yang membantu menerbangkan helikopter pada hari bersejarah itu 


Ini kisah yang diceritakan Mama kepada saya

Kisah yang tidak pernah diceritakan, tanpa genangan air mata dan suara yang tersekat-sekat menahan sebak

Ketika itu saya berusia 8 bulan.

Anak perempuan sulung , selepas 5 orang anak lelaki, pastinya ditatang bagai minyak yang penuh.

Suatu hari Mama dan Ayah pergi melawat anak sahabat mereka yang dimasukkan ke hospital , kerana cirit birit.

Saya tinggal di rumah jiran.

Mama kata saya tidak dibawa, kerana takut berjangkit.

Tetapi mungkin sudah takdir, ada juga kuman yang terlepas dari hospital itu, hinggap di pakaian Mama dan Ayah, dan sampai jua ke tubuh kecil saya ketika mereka pulang ke rumah.

Selang beberapa hari, saya mula cirit birit dan muntah-muntah.

Pada mulanya, Mama dan Ayah sangka tidak sihat biasa-biasa sahaja. Hinggalah saya mula nampak letih dan tidak bermaya.

Maklumlah bayi kecil mudah untuk dehidrasi, apatah lagi selera makan dan minum juga berkurangan dengan pantas.

Mama dan Ayah membawa saya ke hospital, dan saya terus di tahan di wad kanak-kanak untuk diberi drip air.

Menurut Mama, tidak lama selepas masuk ke wad, ketika Mama mahu menukar lampin, betapa terkejutnya Mama melihat najis yang keluar, bukan lagi berwarna kuning atau coklat, tetapi merah seperti darah!

Red current jelly stool!

Itu yang kami gambarkan, najis yang bercampur darah dan lendir bagi kanak-kanak yang mengalami intussuseption.
Inipun hanya saya tahu apabila saya sudah masuk ke Medical School

Mama kata ketika itu, kelihatan seperti ada benjolan di perut saya. Doktor dan jururawat segera datang dan memeriksa saya. Mama kata saya sudah lemah saja ketika itu, tidak lagi merangkak seperti biasa.

Menangis pun lemah sahaja.

Mama sudah mulai cemas. Mama kata wajah doktor kelihatan bimbang sekali.

Doktor bergegas ke pejabat untuk membuat panggilan telefon, sambil jururawat mula mengemas-ngemas katil seolah-olah mahu memindahkan saya.

Zaman itu tiada telefon bimbit, Mama menelefon Ayah dengan telefon awam, memberitahu keadaan saya yang semakin lemah.

Tidak lama kemudian, Ayah sampai. Doktor juga kembali ke katil saya, sambil memberitahu bahawa keadaan saya itu amat merbahaya.

Intussuseption adalah keadaan di mana sebahagian usus kecil saya, telah termasuk ke dalam usus besar, seperti sebuah teleskop. Ia berlaku selepas episod cirit birit yang saya alami. 

Pembedahan perlu dilakukan segera kerana jika tidak, usus itu boleh menjadi mati atau nekrotik, bocor dan seterusnya menyebabkan sepsis iaitu kuman di dalam darah.

Allahu Akbar!

Kami berada di hospital di Pulau Labuan .

Pakar bedah terdekat adalah di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Secara ideal adalah saya perlu dibedah segera.

Tetapi kerana tiada pakar bedah di Labuan, saya perlu diterbangkan segera ke Kota Kinabalu!

Tidak dapat saya bayangkan perasaan Mama dan Ayah ketika itu. Saya melihat anak demam pun sudah resah gelisah, inikan pula melihat anak sekecil 8 bulan, yang beberapa hari sebelumnya sihat wal afiat merangkak ke sana sini, tiba-tiba bertarung dengan nyawa!

Ayah yang berpangkat Pegawai Waren 1 Tentera Udara Diraja Malaysia, segera menelefon sahabatnya untuk mendapatkan helikopter secepat mungkin.

Ayah kata, beliau meminta tolong sahabatnya yang bernama Mejar Hashim, “Tolonglah, ini soal nyawa anak aku. I can fly the heli myself but its my daughter.”

Jangankan nak menerbangkan helikopter, dalam keadaan segawat itu, pastinya memandu kereta pun merbahaya kerana tidak dapat fokus dengan baik.

Takdir Allah ketika itu hanya helikopter Alouette yang ada!

Helikopter kecil satu enjin, yang ekornya seperti rangka, yang tidak dibenarkan merentas laut! 

Protokol sebenar, hanya pesawat dengan dua enjin dibenarkan terbang merentasi lautan untuk urusan medivac. 

Mereka mendapat kelulusan dari base di Labuan untuk terbang, tetapi tidak dari pihak TUDM. 

Tetapi sahabat Ayah nekad mahu membantu Ayah dan saya. Katanya biarlah, kena tindakan tatatertib pun tidak apa demi menyelamatkan nyawa. Semoga Allah merahmati beliau, ya Allah.

Sahabat Ayah segera menerbangkan helikopter ke hospital, dan saya diiringi Ayah, Mama, seorang doktor dan seorang jururawat segera berlepas ke Kota Kinabalu.

Sebelum berlepas, doktor tersebut telah memaklumkan pasukan pembedahan di Hospital Queen Elizabeth, supaya bersiap sedia. Menurut doktor itu, sebaik tiba, saya akan terus dihantar ke Dewan Bedah dan pakar bedah siap untuk menjalankan tugas.

Tidak sampai 10 minit dalam penerbangan, Mama berkata, saya berhenti bernafas.

CARDIAC ARREST!

Mama bercerita, ketika itu, Mama tidak tahu saya masih hidup atau tidak.

Mama kata, “Tiba-tiba kau berhenti menangis, kau jadi lembik. Mama tengok doktor dengan nurse tekan-tekan dada kau, bagi bantuan pernafasan. Mata kau dah naik ke atas.  Ayah peluk Mama, Mama ingat kau dah tak ada. Mama nangis dan Mama doa dengan Allah, ‘ Ya Allah, lama aku tunggu nak dapat anak perempuan, Kau pinjamkan sekejap, tapi Kau duga aku begini. Kalau Kau nak ambil dia semula, sekurang-kurangnya biarlah dia pergi dengan sempurna, jangan dengan mata terbeliak begitu.”

Mama kata, selepas Mama berdoa, mata saya tertutup dan doktor dan jururawat terus memberikan CPR kepada saya sepanjang penerbangan, selama setengah jam hinggalah kami mendarat.

Ketika itu Mama betul-betul tidak tahu jika saya akan survive.

Tiba sahaja di Hospital Queen Elizabeth, seluruh pasukan sudah menanti di helipad.

Dari dalam helikopter, saya dipindahkan ke katil, dan CPR diteruskan sambil katil disorong ke Dewan Bedah.

Mama kata semua orang berlari ke Dewan Bedah.  Mama cuba ikut semampu dirinya. Ayah juga.

Mama kata, semasa saya disorong ke Dewan Bedah, sebelum pintu Dewan Bedah tertutup di hadapan wajah Mama, Mama terdengar tangisan saya.

“Ya Allah, anak aku masih hidup!”

Itulah yang tercetus di hati Mama.

Subhanallah.
Subhanallah .
Alhamdulillah.

Setiap kali saya mendengar Mama bercerita kisah ini, saya juga pasti menitiskan air mata.

Betapa bertuahnya saya hari ini masih bernafas, menjadi insan yang sihat tanpa sebarang neurological deficit atau kecacatan otak selepas mengalami cardiac arrest selama 30 minit semasa saya bayi.

Di Dewan Bedah, seorang pakar bedah dari luar negara, membedah saya. Katanya, jika terlambat 30 minit sahaja, usus saya pasti akan ischaemia atau mati kerana tidak mendapat saliran darah, dan komplikasinya boleh membawa maut.

Alhamdulillah Allah masih izinkan saya untuk hidup.

Selepas pembedahan, saya tinggal di wad selama 7 hari.

Kasihan betul mendengar cerita Mama yang menjaga saya di wad, tidur di lantai beralaskan tuala sahaja kerana tiada katil, saya terpaksa diikat di katil kerana asyik mahu merangkak sedangkan luka pembedahan belum sembuh, Mama terpaksa menyusukan saya di wad yang terbuka tanpa penghadang, duduk di wad yang penuh sesak, merindui anak-anak yang lain yang ditinggalkan atas belas ehsan jiran-jiran di Labuan, memikirkan Ayah yang mungkin akan dikenakan tindakan tatatertib akibat menerbangkan helikopter tanpa kelulusan.

Namun dalam setiap kesusahan, pasti ada kesenangan, seperti yang Allah janjikan dalam surah Insyirah.

Alhamdulillah Ayah dan sahabatnya tidak dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh Pihak Atasan Tentera Udara. 

Dalam kesusahan menjaga saya di wad itulah juga, Mama “bersumpah”.

Sumpah Mama ke atas saya, “ Susah betul menjaga kau ni. Kalau kau ni besar, biarlah kau ni jadi doktor!”

Ma shaa Allah .
Masin mulut Mama .

Tiada yang dapat saya lakukan, walaupun saya hidup 1000 tahun dan berbakti kepada Mama dan Ayah setiap hari, yang bakal dapat membalas budi baik dan jasa kedua ibu bapa saya , dari detik saya dikandung di rahim Mama, hinggalah hari ini.

Hanya Allah yang Maha Kaya, Maha Pemurah, Maha Penyayang yang dapat membalas dengan sebaik-baik ganjaran, di sebaik-baik tempat di syurga kelak in shaa Allah.

Hanya yang saya harapkan sekarang, sebagaimana masinnya mulut Mama “menyumpah” saya hingga menjadi seorang doktor, biarlah Mama dan Ayah selalu pula menyebut-nyebut dan mendoakan , agar kami semua disatukan di Jannatul Firdaus Al ‘Ala Allah in shaa Allah.

Itulah kebahagiaan yang abadi.

Amin Ya Rabbal Alamin.


Kenangan bersama Mama Ayah di Turki tahun 2015

Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
15 Mac 2019
Ulangtahun Ayah ke 75



No comments:

Post a Comment