Tuesday, 28 April 2020

Kisah pemuda Al Kahfi, dari pandangan remaja 13 tahun

5 Ramadan 1441H

Alhamdulillah anak ke dua kami yang berusia 13 tahun sudah membaca juzuk 15, dan dia cuba memahami kisah pemuda-pemuda Al Kahfi yang ditidurkan Allah selama 309 tahun.


Banyak persoalannya kepada kami

1) Anak: Ummi, kenapa Allah "tutup telinga" mereka semasa tidur ?

Saya : Sebab apabila kita tidur dalam bilik yang sunyi, kita tak mudah terjaga kan? Lebih nyenyak.

2) A: Kenapa Allah bolak balikkan badan mereka? Tak tidur satu arah saja?

S: Dalam bidang perubatan, contoh kalau pesakit stroke baring dan tidak dialihkan, peredarah darah mereka di kawasan yang tertindih jadi tak bagus, nanti boleh jadi luka. Namanya bed sore. Jadi di hospital, jururawat perlu alih-alihkan badan pesakit. Tapi pemuda-pemuda Al Kahfi ni, Allah yang alih-alihkan badan mereka.

A: Macam kita tidur pun, Allah alih-alihkan badan kita, Ummi? Sebab tu kadang saya tidur arah lain, bangun pagi arah lain?

S: Ya betul. Baik kan, Allah.

A: Ya

3) A: Ummi, kenapa ayat ni kata kalau manusia nampak mereka, manusia rasa gerun? Kalau kita nampak orang tidur, kan kita tak takut.

S: Betul tu. Ada ahli tafsir mengatakan mata pemuda Al Kahfi ni tak tertutup. Jadi kelihatan macam tak tidur. Ini satu lagi kehebatan Allah.
Ummi sebagai doktor mata, kalau secara logik, pesakit tak tutup mata sejam saja, boleh rosak kornea dan buta. Ini 309 tahun tak tutup, tapi bangun masih boleh tengok duit, minta pergi beli makanan lagi. Hebat kan.

A: Hebat, Subhanallah.

4) A: Kenapa Allah kata 7 orang pemuda, yang ke 8 anjing. Mereka kan orang beriman. Orang Islam mana boleh bela anjing.

Encik Suami : Kerana syariat ummat terdahulu tak sama dengan syariat umat Rasulullah SAW. Kita sekarang Allah kata haram bela anjing. Umat dahulu mungkin boleh. Contoh umat Nabi Musa dahulu, semasa mereka syirik pada Allah, untuk bertaubat perlu bunuh diri. Umat Nabi Muhammad, kalau nak bertaubat, hanya perlu menyesal, berazam tak nak buat dosa, dan bertaubat. Istighfar.

A: BUNUH DIRI?

S: Ya, sebab tu kita kena bersyukur jadi umat Rasulullah.

A: Ya, Alhamdulillah. Banyak boleh belajar dari kisah ini.
.
.
.
Alhamdulillah, selesai tazkirah terawih malam semalam.

Baru satu kisah, satu per empat dari satu surah iaitu surah Al Kahfi.

Lebih bermakna daripada  kami minta anak-anak supaya khatam dan hanya mereka dapat melagukan Al Quran tanpa mendapat pengajarannya.

Haza min fadhli Rabbi.

Allahu Alam.

Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Masih belajar tadabbur Al Quran.

No comments:

Post a Comment