Monday 12 September 2022

"Kalau kau ikut muka Mak kau, kau cantik"

 Apakah kata-kata negatif yang pernah dituturkan kepada anda, yang paling menusuk hati, tapi akhirnya anda berjaya move on?


Saya?


Ada seorang pakcik pernah cakap dengan saya masa saya kecil, "Kau ni kalau ikut muka Mak kau, kau cantik."


Masa tu saya berumur dalam 8 tahun.


Adik saya dah lahir, dan dia memang sangat cantik. Saya sangat sayang adik saya.


Ketika itu saya tak terasa apa-apa. Tetapi bila saya menginjak usia remaja, makin ramai orang kata," Oh, Aini ikut muka Mama ya, Rita ikut muka Ayah" baru saya faham.


Bila adik saya makin besar, saya nampak dia makin cantik. Kulitnya cerah, hidungnya mancung.


Saya? Biasa-biasa saja. Hidung memang tak mancunglah, hidung Jawa. 


Ia tidak menjadikan saya rasa kurang percaya diri, kerana walaupun saya berkulit gelap, rambut kerinting halus seperti warga asli Semenanjung, Mama Ayah tak pernah bezakan kasih sayang antara kami.


Dan Mama paling selalu galakkan saya dapat nombor satu dalam kelas, Ayah suruh saya jadi doktor supaya boleh terbang ke London.


Perasaan ingin cantik hadir pada waktu bila tau?


Bila ada iklan Fair and Lovely di television.


Sanggup saya simpan duit nak beli, sebab nak cerahkan muka.


Pada usia 19 tahun, saya  ke Ireland, rupanya orang Irish pula cemburu dengan warna kulit saya!


Apabila ada majlis makan malam, mereka sibuk pergi salon untuk perangkan kulit!

"Tan in a bottle" istilahnya. 


Balik dari cuti musim panas pun  mereka berlumba-lumba nak bandingkan kulit mereka dengan saya, siapa lagi gelap.


Barulah saya tahu, rupanya cantik itu ada banyak definisi.


Sejak itu saya tak pernah beli apa-apa krim untuk mencerahkan kulit.


Dan sampai sekarang kalau orang kata, "Muka awak ikut muka Ayah ya?", saya akan kata, "Ya" dengan penuh bangga.


Sebab saya juga dapat kulit sawo matang Ayah, yang menjadi kegilaan orang Irish.


Anak-anak kami pun 4 orang, semua tona warna kulit berbeza. Semua saya beritahu, adalah cantik dan kacak belaka.


Dan saya beritahu mereka, yang lebih penting daripada wajah yang cantik dan kacak, adalah akhlak yg baik


Morale of the story, be careful with what you say, especially to children.


And beauty, is truly only skin deep.


Berapa ramai orang yang kita jumpa, pada mulanya kita rasa dia cantik. Tetapi apabila kita dapati akhlaknya kurang baik, kita tak rasa pun orang itu cantik lagi.


Dan pasti kita pernah jumpa pula, orang yang kita rasa wajahnya biasa-biasa sahaja. Tetapi oleh kerana budi pekertinya yang baik, rasa tak jemu memandang wajahnya.


Rasulullah SAW pun pernah bersabda dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah ﷺ bersabda,


أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ الْجَنَّةَ تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ


“Perkara yang banyak memasukkan seseorang ke dalam surga adalah Takwa kepada Allah dan berakhlak yang baik.”


Marilah kita menjadi orang yang berakhlak mulia, in shaa Allah.


Ia lebih penting daripada menjadi orang yang cantik, tetapi gagal menjadi ahli syurga.



#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita


No comments:

Post a Comment