Tuesday, 7 February 2023

Pendakian gunung yang pertama dalam hidup : Gunung Datuk Rembau, Negeri Sembilan

 

Hiking sudah.

Berlari sudah.

Menyelam sudah. 


Apa lagi nak buat ya?


Itulah penyakit orang midlife crisis ni agaknya. 


Teringin nak panjat gunung pula.


Apabila kawan-kawan Johan Zie, Arash Halim, Ainun Mahani selalu cerita tentang naik gunung, kita pun rasa nak mula. 


Pada mulanya bukan apa, takut stamina tak kuat. Selepas setahun saya selalu hiking di Bukit Gasing dengan team Abang Johan, akhirnya saya kuatkan semangat. 


Maka saya pun memutuskan untuk memulakan dengan gunung yang dekat dulu.


Pengalaman ini memang takkan saya lupakan.

  1. Mendaki dalam keadaan hujan. 

Sudahlah pertama kali nak naik gunung, dalam perjalanan hujan pula tu. Hati dah berbelah bagi nak naik ke tidak. Alhamdulillah , sampai di kaki gunung, hujan renyai-renyai sahaja. Baru tahu pentingnya ada simpan baju hujan di dalam kereta. Walaupun baju hujan pakai buang, dapat jugalah mengelakkan daripada basah kuyup. 

Bergambar sebelum memulakan pendakian. Alhamdulillah semua ada baju hujan. Abang Joe tak ada baju hujan, beg plastik pun boleh convert jadi baju hujan. Yang penting beg duduk dalam baju hujan OK. Unless beg you water proof. 


  1. Mendaki dan menuruni trek yang licin sepanjang perjalanan. Waktu ni barulah tahu betapa pentingnya pemakaian kasut hiking yang betul, terutamanya yang water proof. Jadi termasuk ke dalam lopak air pun tidak lah stokin dan kaki basah. 


Gambar ni nak tunjuk kasut yang dah berselut tu. Tapi tak apa yang penting selamat. Kakak balik pokok tu nama kak Nor. Beliau dah 50an tapi dah berjaya tawan Kinabalu tau. Hebat kan! 

  1. Kepentingan ada trekking pole. Kalau bawa 2 lagi best untuk membantu mengurangkan tekanan kepada lutut semasa mendaki atau pun turun. 


  1. Pentingnya bawa makanan! Biasa kalau hiking di Bukit Gasing, saya jarang bawa makanan kecuali buah jadi kali ini sebab bertolak dari Muar seawal 6.40 pagi, tak sempat nak bawa bekal. Alhamdulillah guide bagi Himalayan salt dan roti. Dah mendaki satu jam yang pacak, baru sedar betapa penting bawa makanan tu.  Saya bawa protein shake dan kurma saja. Nikmat dapat makan roti tu, Allah saja yang tahu. Ada juga kawan-kawan yang bawa nasi lemak lagi! 


Nampak tak muka lapar tengah makan roti tu hahahah

  1. Bawa air minum yang mencukupi. Lebih tak apa, jangan kurang. Saya baca review pendaki yang pernah mendaki Gunung Datuk sebelum ini, kebanyakannya mencadangkan untuk bawa sekurang-kurangnya 2 liter air. Saya bawa 2 liter, sehingga turun ke bawah semula hanya habis lebih kurang 1.2 liter. Mungkin kerana cuaca sejuk dan hujan,maka tidak terasa dahaga. 


Saya minum protein shake sebaik sampai di puncak. 

  1. Kelebihan ada guide yang berpengalaman. Alhamdulillah all the way up naik dengan trail runner Si Hady tu, banyak juga dia ajar cara naik supaya tak injured lutut, cara turun dan cara cari trek yang paling selamat. Antara tips beliau, semasa mendaki, pastikan lutut tidak melebihi hujung jari kaki. Dan cuba untuk membuat langkah yang tidak terlalu besar agar tidak cepat penat. 


Encik Hady yang selfie gambar ni. Baju hitam tengah tu Abang Nizam, salah seorang guide tapi lajunya laaa dia tu. Berdesup terus hilang!
  1. Mendakilah dengan pace sendiri. Tidak perlu berlumba dengan sesiapa. Enjoy the journey. Saya sangat enjoy dengan laluan, pemandangan pokok-pokok yang permai, hujan renyai-renyai yang dingin, bunyi unggas hutan. Semua saya nikmati satu persatu. Siapa laju, kita persilakan potong. Siapa perlahan kita bye bye dulu, nanti jumpa di puncak. 


My favorite shot of the day! Alhamdulillah I did it!


Secara keseluruhan, saya rasa trek Gunung Datuk doable selepas dilatih dek geng Bukit Gasing sejak bulan Februari tahun lepas. Rasanya trek Gasing lagi penat woi 😂


Menyesal ke naik gunung? 


Langsung tak!


Sakit kaki tak habis lagi dah fikir nak naik gunung mana pula lepas ni? 




Geng Bukit Gasing di puncak Gunung Datuk. Abang Nizam dan Hady menikmati nasi lemak mereka. Apa yang best tentang pendakian ini adalah trek, view cantik dan of course geng yang awesome!! 

Wednesday, 1 February 2023

Penghargaan


Tahun 2021-2022 saya rasa tahun yang mencabar.


Ayah selalu sakit, Abah meninggal dunia. 


Banyak  benda yang saya nak buat, contohnya nak tulis buku tentang kisah kehidupan mereka, tak pernah berkesempatan. 


Suatu hari, semasa Ayah tak sihat, saya  bersembang dengan Ayah tentang pengalaman beliau berkerja di Denmark dahulu . 


Ayah kata, ada satu misi menyelamat yang beliau hadiri semasa di Denmark, dengan usahasama kerajaan Belgium ketika itu kerana menyelamatkan kapal dan kru warga Belgium yang terdampar di kawasan batu karang di tengah laut. Alhamdulillah misi itu berjaya, membawa 7 orang anak kapal ke dataran. Kapten kapal tersebut berkeras mahu menunggu air pasang dan membawa pulang kapalnya maka beliau tinggal di atas kapal. 


Ayah kata, misi tersebut selesai pada waktu senja. Pagi keesokan harinya , ayah dan pasukannya terus mendapat sijil penghargaan dari syarikat penerbangan mereka atas jasa mereka semalam . 


Kemudian Ayah bercerita pula kisah menyelamatkan orang di Sarawak pada tahun 70an. Ayah bersama seorang juruterbang dan pembantu juruterbang helikopter, terpaksa menjalankan satu misi pada waktu malam. Seorang 

ranger iaitu Leftenan Anuar telah diserang Parako (pihak komunis di Sarawak ketika tahun 1970an) sewaktu menyeberang sungai Rajang dengan bot . Beliau yang cedera parah perlu diterbangkan segera ke Sibu untuk mendapatkan rawatan.


Ayah sebagai Air Quarter Master bertanggungjawab membantu memberikan navigasi dan panduan kepada juruterbang , adakah kawasan selamat , berapa meter helikopter harus bergerak ke hadapan , ke belakang , hover pada ketinggian berapa. Ayah sendiri membantu menurunkan alat untuk membawa naik mangsa dari tepi sungai ke dalam helikopter. 


Misi itu menurut Ayah tersangat sukar kerana keadaan yang sangat gelap dan keadaan di persisir sungai yang merbahaya, namun Alhamdulillah misi itu berjaya. 


Tidak lama kemudian , sewaktu Hari Kemerdekaan Sarawak, surat penghargaan tiba. Namun, anugerah Ahli Bintang Sarawak itu hanya untuk juruterbang iaitu Leftenan Leong Fook Seong dan pembantu juruterbang, Leftenan Munusamy. 


Tiada langsung ucapan terima kasih mahupun penghargaan kepada Ayah iaitu Flight Sarjan Mohd Abdullah , yang turut bersama di dalam misi itu, sedangkan tanpa Ayah, tidak mungkin juruterbang dan pembantu berdua sahaja mampu menyelesaikan misi tersebut . 


Saya analogikan, umpama saya sebagai Pakar Bedah , tanpa scrub nurse saya . Nampak tidak penting tetapi tiada pembedahan yang akan berjaya tanpa mereka. 


Pastinya Ayah berasa kecewa, dan kisah itu Ayah ceritakan kepada saya tahun lalu. Malah hari ini, Ayah ceritakan sekali lagi . 


Saya suka merakamkan kisah -kisah ini dengan satu nota suara. 


Hari ini, sambil menunggu temujanji dengan doktor Pakar, saya ambil peluang untuk merakam lagi kisah-kisah Ayah semasa menjadi air quarter master di TUDM . 


Ayah paling suka bercerita kisah-kisah beliau semasa terbang . 


Saya dapat lihat sinaran di mata Ayah jika beliau bercerita , terutamanya bagaimana beliau mencapai 3000 jam terbang bersama helikopter . 


Ya, saya pasti banyak tugas-tugas Ayah yang dilakukan tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya, tetapi saya harap Ayah tahu bahawa di mata saya, tiada insan yang lebih hebat daripada Ayah. 


Ayah hero saya, dulu , kini dan selamanya. 


Mungkin saya tak dapat menulis buku buat Ayah, tetapi biarlah saya nukilkan kisah-kisah Ayah di sini, agar sahabat-sahabat saya dapat sama-sama mendoakan yang baik-baik untuk Ayah in shaa Allah .


Mengharapkan penghargaan dari manusia , ada kalanya umpama menunggu bulan jatuh ke riba. Pada usia 40an ini juga saya sudah belajar untuk tidak lagi mengharap apa-apa penghargaan dari manusia , hatta insan paling dekat . Pengharapan yang tidak kesampaian biasanya hanya mengundang kecewa. Sesungguhnya penghargaan terbaik pastinya dari Allah SWT jua. 


Love you to the moon and back Ayah. Thank you for being my first and truest love, and forever my hero.



#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita

Tuesday, 17 January 2023

Si mata biru, penyebab saya jatuh cinta


20 tahun yang lalu, di bumi Ireland, saya ketika itu seorang pelajar perubatan tahun 4.


Saya pun tak ingat siapakah pensyarah Oftalmologi saya, adakah Mr Kinsella atau siapa. 


Yang pasti hari itu, pensyarah saya telah membuat saya jatuh cinta.


Pensyarah mengajar kami cara menggunakan alat slit lamp. Semua pelajar tak berani ke depan, jadi macam biasa, saya volunteer.


Pensyarah saya duduk di kerusi pesakit, dan meminta saya memeriksa matanya.


Ketika itu manalah saya tahu cara menggunakan alat itu. Ke depan ke belakang, saya cuba fokus. 


Kemudian, saya bertanya kepada pensyarah saya," Er, what am I suppose to see, sir?"


Jawab beliau,"You are suppose to see the iris details, the crypts and the bumps, the hippus of the iris movement as the light hits the iris, and you are suppose to say, "wow, what a wonderful organ, the eye is!"


Saya pun mencuba lagi.


Tiba-tiba, mikroskop pada slit lamp itu memfokus kepada anak mata pensyarah saya itu.


Subhanallah itulah pertama kali saya melihat anak mata secara dekat, dan jantung saya berdetak kencang melihat keindahan iris yang berwarna biru itu.


"Wow! I can see it, sir! It's amazing!"


Dan pensyarah saya pun tersenyum melihat saya yang sudah jatuh cinta. 


Ya, itulah detik saya jatuh cinta dengan Oftalmologi.


Jatuh cinta dengan keindahan mata ciptaan Allah. 


Kagum dengan betapa halus jalinan saraf, 

susunan kolagen pada kornea, 

betapa cantik setiap bahagian di dalam sebuah organ bernama mata ini.


Organ kecil, 

namun membolehkan seseorang melihat senyuman, 

menikmati pelbagai rupa makanan dan pakaian, 

menghargai indahnya warna pelangi petang. 


20 tahun sudah berlalu, dan hari ini seorang pesakit bermata biru, membuat saya mengimbau kembali saat saya jatuh cinta dengan bidang ini. 


Alhamdulillah ya Allah.


Terima kasih atas cinta ini, yang sentiasa berbalas. 


I will never grow tired of seeing the eye. 


For from the eyes, I get a peek into your soul.


#drazlindarita 

#ophthalmologist 

#Ilovemyjob

#kisahkehidupanDrAzlindarita 




Sunday, 8 January 2023

Melawati Run : larian 15km yang pertama!

 "Runners are awesome"


Hari ni dalam sejarah hidup saya, saya berjaya menamatkan larian 15km dalam masa yang ditetapkan penganjur iaitu 2 jam setengah. 



Semasa mendaftar untuk Melawati Run ini, saya baru saja habis larian Score Marathon 10km. Jadi tengah euphoria. 


Tengah seronok, rasa boleh lakukan apa sahaja. 


Jadi daftarlah 15km. 


Bulan Disember memang tersangatlah sibuk. Pesakit pun ramai.


Kemudian saya pergi bercuti.


Tak sempat training.


Seminggu sebelum larian hari ini, saya dah mula cuak. Hanya sempat buat HIIT beberapa kali di rumah. Langsung tak sempat berlari untuk berlatih. 


Cuma saya pastikan jaga diet supaya berat badan tak bertambah. 


Semalam, saya dah gelabah ayam. Saya tak yakin boleh habiskan larian dalam masa COT. 


Petang semalam, saya cuba brisk walking di kawasan rumah.


1km saya ambil masa 10 minit.


"I can do it!"


"I just have to run and brisk walk alternately," saya bisik ke hati. 


Pagi ini, saya tertinggal earphone!


Haih, satu kesilapan besar pada saya sebab saya perlu lagu sebagai motivasi saya.


Maka nak tak nak, sepanjang larian saya terpaksa membuka lagu menggunakan speaker. 


Risau juga takut mengganggu pelari lain, tetapi sepanjang 2 jam lebih saya berlari, hanya seorang yang menegur. Saya minta maaf dan terangkan saya tertinggal earphone.


Kata beliau, "Eh it's ok. Boleh saya tumpang dengar." 


Runners are indeed awesome people. 


Ada yang tak kenal pun, saling beri semangat terutamanya pada 2km terakhir semasa masing-masing rasa nak pancit. 

Suasana semasa flag off pukul 7 pagi. Pelik juga kenapa sunyi tak ada lagu. Rupanya PA system down. Annisa sampai dari Klang pukul 6 pagi lagi.

Alhamdulillah cuaca baik 

Lalu depan rumah Abang saya heheh


Antara pemandangan yang indah sepanjang larian

6KM mark rasa semangat sikit sebab tinggal 9KM je lagi 


Depan air terjun ni ada cafe. Lain kali boleh check out. Kita ambil gambar dengan team medic satu 

Masa saya lari di atas jalan tu, nampak runners lain dah pusing sini. By the time saya sampai sini, toleh atas dah tak ada orang dah kahkahkah. Nasiblah, I'm only competing with myself.

Approaching 10km, matahari dah memancar. Abang volunteer kata jap lagi naik bukit. Saya dah seram dah 

Inilah Bukit Steroid atau Bukit Tonggek. Adoi minta nyawa juga lah memanjat ni. Nak pujuk hati, takpe lah, 3 tahun lagi baru naik lagi (konon)


Rupanya di puncak Bukit Steroid ni ada rumah Yusuf Haslam, atau namanya Darul Haslam

Lepas rumah Yusuf Haslam, ada water station, barulah turun bukit. Alhamdulillaaaaah panjang kesyukuran masa ni 

Boleh nampak KL skyline dari sini. Kalau malam mesti cantik 

Sampai kaki bukit, dah pukul 9 pagi. Masa ni dah start nervous takut tak sempat COT. 

Masa ni 9.22 pagi, you all!! COT tinggal 10 minit and I still have 1km and rasa dah pancit. Actually boleh lagi tapi sebab PANAS! Lain kali depa kena flag off awal sikit atau saya kena lari laju sikit laa kasi habis cepat. The last 1km memang mental dah koyak, menyumpah-nyumpah bila nak sampai. Tapi mujur sis tersedar dan cepat-cepat istighfar  😂

Alhamdulillah berjaya!! Thank you Mia dan Izzat tunggu sampai saya habis. Siap rakam lagi. Boleh tengok kat tiktok ya. 

Secara keseluruhan, saya rasa pihak penganjur #melawatirun2023 sangat bagus.


Ada water station setiap 2km. 


Ada banyak petugas kesihatan.


Pegawai polis yang menjaga keselamatan juga sangat ramai. 


Alhamdulillah, no regrets. 


Today's run is a gift to myself. 

Thank you for believing in yourself!


To more runs in the future in shaa Allah. 


#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita 

#Runner



Pix by SmartPix. 

Friday, 2 December 2022

Cara minta hadiah dari suami

 Bukan cara minta hadiah dari seorang suami :


❌ 1) "Abang, tahu tak esok berapa haribulan?"


❌ 2) "Abang, saya ada tengok baju kat online ni, macam cantik tau."


❌ 3) "Bie, teringin lah nak pegi spa, dah lama tak manjakan diri. Lagi pun, kan tak lama lagi birthday saya." 


Cara minta hadiah dari suami :


✅" Abang, birthday saya X haribulan ni, kita pergi holiday ya. Saya dah booking percutian 5 hari 4 malam, flight semua dah book. Abang ambil cuti, anak-anak kita hantar rumah Ibu ya. Resit akan disertakan kemudian untuk tujuan claim."


✅ "Abang, esok birthday saya. Saja kalau Abang lupa, saya tolong ingatkan. Esok kita keluar dating ya. Saya nak makan steak, so kita pergi kedai XXX di Y lepas Isyak ya. Saya tak nak bunga. Kalau Abang nak belikan saya hadiah, saya nak voucher Spa atau voucher Bath and Body Works. Sebab saya nak pilih sendiri."


✅" Abang, ni tudung Itik terbaru tau. Saya dah order, kira hadiah hari jadi saya ya. Nanti saya claim k. Thank you Abang, I love you."


Lelaki ni otak dia banyak nak fikir. Sekolah anak, kerja, Mak Ayah dia, aktiviti NGO. 


Tak usah serabutkan kepala dia dengan kena cerakinkan ayat kepada maksud tersurat dan tersirat.

(Ewah macam cikgu BM pulak rasa) 


Straight to the point sudah.


Takut tak dapat bila minta?


Well, sister, if you never ask, the answer is always NO.


If you ask, it's 50-50.


50% chance is always better than zero.


Yang penting, minta ikut kemampuan suami. Bukan selalu pun, birthday setahun sekali kan. 


Siapa yang bising, "Kenapa nak habiskan duit suami" tu, kita unfriend dia. Kita minta kat laki kita kan, bukan laki dia.


Sekian.


#drazlindarita

#birthdaybulanDisember 😆



Thursday, 24 November 2022

Pesanan Ayah buat sahabat yang gagal.

 Pesanan Ayah buat sahabat yang gagal.


November 2011, saya menduduki peperiksaan Masters of Ophthalmology bahagian 2 di HUSM Kubang Kerian, Kelantan.


Sejak dari peperiksaan bahagian pertama semasa tahun satu lagi, saya memang "the underdog" . Tiada siapa sangka saya akan lulus dengan satu kali percubaan kerana saya memasuki alam Sarjana Oftalmologi dengan pengalaman 3 bulan sahaja.


Kawan-kawan yang lain, ada yang sudah 3 tahun dalam bidang Oftalmologi.


Saya, semasa masuk Masters, jangankan buat pembedahan katarak, buat laser pesakit pun belum pandai.


Antara mentor yang saya tak akan lupakan adalah Dr Fiona Lee Min Chew, yang rajin membebel dan mengajar saya macam-macam ilmu di klinik.


Alhamdulillah, peperiksaan bahagian pertama, saya lulus. Kemudian saya lalui tahun dua dan tiga dengan pelbagai cabaran, termasuk pendarahan semasa hamil dan melahirkan Umar, anak ketiga kami. 


Peperiksaan bahagian ke dua, yang berlangsung pada tahun ke tiga, adalah ujian sebenar kelayakan seseorang bergelar Pakar Oftalmologi.


Kami diuji secara teori dan klinik. Ada kes pendek, kes panjang dan viva voce. Peperiksaan berlangsung hampir 2 minggu. 


Banyak betul dugaan saya semasa peperiksaan itu, saya kena kongsikan waktu lain in shaa Allah.


Tetapi, alhamdulillah, semua atas takdir Allah, hari keputusan keluar, saya lulus!


Malah menurut kerani Jabatan Oftalmologi yang melihat markah, beliau kata saya mendapat markah tertinggi untuk viva voce, untuk semua pelajar Masters yang menduduki peperiksaan dari seluruh Malaysia (UM, UKM & USM) untuk November itu.


Alhamdulillah, syukur.


Haza min fadhli Rabbi. 


Saya masih ingat dengan jelas, pada hari itu, selesai solat Zuhr dan sujud syukur, saya terus menelefon rumah.


Ayah yang menjawab telefon.


Apabila saya menyampaikan khabar gembira itu, suara Ayah sebak.


Ayah ucapkan tahniah.


Pastinya hati saya berbunga ria dan bangga. Maklumlah, saya memang anak Ayah. 


Namun, apa yang Ayah saya katakan seterusnya, amat mengejutkan dan menginsafkan saya.


Ayah tanya, "How's your other friends? Semua lulus? All 7 of you passed?"


Ma shaa Allah itulah Ayah. Ayah seorang yang sangat berjiwa besar.


Saya maklumkan kepada Ayah, daripada 7 orang, hanya 3 orang lulus kali ini. Antara yang belum lulus adalah study buddy saya.


Ayah terus berpesan," You must see your friends who didn't make it. Or at least call them. Calm them down, and tell them not to give up. Bagi semangat pada mereka."


Kalau tadi, suara Ayah sebak. Kali ini, hati saya yang sebak.


Ayah mengajarkan saya, satu pelajaran yang jauh lebih penting dari kejayaan saya dalam Masters.


Iaitu empati.


Meletakkan kita di tempat orang yang dilanda kesedihan. Dan tidak berbangga dengan kejayaan di saat ada kawan kita yang mungkin sedang patah semangat.


Inilah kisah yang saya ceritakan kepada anak-anak saya, tentang bagaimana cara kita meraikan sebuah kejayaan.


Ya, pastinya tidak salah meraikan sebuah kejayaan, kerana kejayaan itu adalah anugerah dari Allah. Seperti kejayaan Rum yang dijanjikan Allah dalam surah Rum ayat 4 hingga 6.


Allah SWT boleh memenangkan sesiapa yang Dia mahu, dan mengalahkan sesiapa yang Dia mahu.


Jadi bukankah kemenangan itu sesuatu yang baik? 


Mari kita renungkan hadith Rasulullah ini.


Dari Abu Yahya Suhaib bin Sinan radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:


عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

“Sangat ajaib keadaan seseorang yang beriman, sesungguhnya segala urusannya adalah baik, dan itu tidak terjadi kepada seseorang kecuali hanya bagi orang yang beriman. 


Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur, maka demikian itu kebaikan buatnya. Dan jika dia mendapat kesusahan, dia bersabar, maka demikian itu adalah kebaikan buatnya.”


(HR Muslim)


Rasulullah SAW pun takjub dengan orang mukmin, tetapi yang baik itu bukan KEBAIKAN seperti sebuah kemenangan atau kesusahan seperti kekalahan.


Tetapi yang baik itu adalah sebuah SYUKUR dan SABAR seorang mukmin.


Kesusahan, jika ia mendekatkan kita kepada Allah, ia sebenarnya adalah rahmat Allah.


Namun kebaikan, jika ia menjauhkan kita daripada Allah, ia sebenarnya adalah musibah.


Allahu Alam.


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Coretan pasca 24.11.2022


#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita