Friday 6 June 2014

Travelog Hajjah (Bahagian 17) : Hari-hari terakhir di Madinah

Assalamualaikum Wrh Wbt

Bahagian ini agak lama tertangguh penulisannya, dek kerana kesibukan tugas harian, dan dugaan dari segi kesihatan yang berterusan dari bulan Februari hingga Mei tahun ini. Alhamdulillah kini Jun menjelang, dan hari ini, hanya 21 hari lagi sebelum bulan Ramadhan yang mulia bertandang lagi. Rasa hati berbelah bagi, antara mengharap yang amat sangat agar usiaku dipanjangkan hingga ke bulan Ramadhan, bersulam dengan rasa malu dengan diri sendiri kerana amalan harian dan hafazan yang tidak seberapa, dan jua rasa sebak, kerana Ramadhan selalunya menandakan bakal berakhirnya kursus asas haji yang dianjurkan oleh pihak Tabung Haji buat bakal jemaah haji. 

Kita teruskan pengembaraan dalam siri travelog hajjah Draisyahafiz in shaa Allah..

*********************************************************

Tarikh penerbangan kami untuk pulang ke tanahair semakin hampir. 4 hari sebelum kami berangkat pulang, Alhamdulillah haidku selesai dan dapatlah aku menunaikan solat di dalam Masjid Nabawi. Dalam redha yang dipujuk, ada sekelumit rasa sedih kerana aku tidak dapat menunaikan 40 waktu solat secara berjemaah di dalam Masjid Nabawi. Mungkin ada hikmahnya juga kebanyakan jemaah haji Malaysia adalah di kalangan warga emas, yang pastinya sudah menopause dan tidak diganggu oleh permasalahan haid. Namun apabila difikirkan lagi, mujur juga aku dapat datang menunaikan fardhu haji pada usia muda, tenaga pun masih kuat Alhamdulillah. Mungkin warga emas tidak dibayangi haid, namun kekuatan fizikal mereka pasti terbatas. Ibu mertuaku sendiri setibanya di Madinah tempoh hari, demam hingga tidak dapat menunaikan solat di masjid untuk beberapa waktu. Ya Allah, betapa aku ini banyak keluh kesahnya, seperti yang Allah sebutkan dalam Al-Quran. Ampuniku Ya Allah.

Setiap waktu solat, kami sekeluarga berusaha agar sampai ke masjid sejam lebih awal, agar dapat bersolat di dalam masjid. Indahnya ukiran dan senibina Masjid Nabawi,ku kira memang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana masjid di dunia. Ia banyak dipengaruhi senibina Turki, yang dibawa semasa khilafah Turki Uthmaniyah masih memerintah dunia 100 tahun yang lalu. 

Ada beberapa kubah yang boleh digerakkan dan dibuka pada waktu malam, membolehkan jemaah haji menikmati hembusan angin malam yang dingin semasa beribadah. 




Waktu melawat Raudhah iaitu taman syurga yang terletak di antara rumah dan mimbar Rasulullah SAW, bagi jemaah wanita adalah terhad kepada selepas solat subuh, selepas solat Zuhr, dan selepas solat Isyak hingga jam 11 malam. Jemaah lelaki bertuah kerana Raudhah terbuka 24 jam bagi mereka. Namun oleh kerana sudah 6 hari aku tidak dapat menjejakkan kaki ke Raudhah, kuusahakan agar dapat ke sini setiap hari. 

Jemaah haji dibahagikan mengikut kawasan. Malaysia, Indonesia dan Brunei di gelar "ibu-ibu" oleh petugas wanita di Masjid Nabawi, dikumpulkan dengan satu bendera "Bahasa Melayu". Kami bergilir-gilir masuk dengan kumpulan jemaah dari negara-negara Arab, Turki, Pakistan dan Iran. Ini bagi mengelakkan kita yang bersaiz kecil berbanding saudara-saudara negara lain, tertolak dan dihimpit oleh bangsa-bangsa lain. Terdapat beberapa check-point di mana kami harus berhenti, dan selalu perjalanan ke Raudhah mengambil masa 1-2 jam. 


Bersama jemaah Indonesia, menunggu untuk masuk ke Raudhah selepas subuh

Check point terakhir sebelum melangkah masuk ke Raudhah

Jemaah "Bahasa Melayu" yang menanti dengan sabar


Apakah amalan yang sunat dijalankan di Raudhah? Memberi salam kepada Rasulullah Solallahu Alaihiwassalam dan 2 sahabat Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al Khattab, dan seterusnya bersolat dua rakaat. Tidak ada hadis yang mengatakan berdoa di Raudhah ini lebih mustajab berbanding di tempat lain, hanya Rasulullah menyatakan bahawa ia adalah taman syurga, namun menjadi kebiasaan untuk jemaah berdoa di tempat ini. Kebiasaannya aku akan bersolat taubat dan kemudian solat hajat memohon kebahagiaan dunia dan akhirat buat kami sekeluarga, teman-teman dan kaum muslimin dan muslimat. Tidak terdaya untukku berdoa satu persatu buat para sahabat, ada kalanya tatkala bersujud, ada yang melangkah kepalaku, dek kerana sesak dan padat di kawasan Raudhah yang sempit itu. Apa yang termampu kulakukan adalah untuk berdoa agar semua doa mereka yang baik-baik dimakbulkanNya, walau di mana mereka berada. Tidak lupa doaku buat saudara kita di Syria, Mesir, Palestin, Rohingya, Malaysia dan di mana jua. 


Karpet hijau yang menandakan anda berada di kawasan Raudhah

Laluan keluar bagi jemaah wanita

Pemandangan kubah hijau dari dalam Masjid Nabawi. Kawasan ini kebiasaannya adalah untuk jemaah lelaki

Suamiku di kawasan yang sama, pada waktu jemaah wanita tidak dibenarkan masuk ke kawasan ini

Selain solat lima waktu di Masjid Nabawi, setiap hari selepas Asar, aku dan suamiku akan berjalan-jalan di sekitar kubah hijau yang terletak di atas maqam Rasulullah, sambil membaca ma'thurat bersama. Cuba kami hidupkan bayangan, bagaimana rasanya andai ketika ini Rasulullah masih hidup, berjalan bersama para sahabat menuju ke masjid, bersama laungan azan yang merdu di balik sinaran mentari senja. Mungkinkan udara ini jua yang dihirup Baginda 1400 tahun yang lalu? Mungkinkah ada kawasan tanah yang dipijak kakiku, jua pernah dipijak oleh kaki mulia Baginda? Aduhai, semakin kufikirkan, semakin sebak hati dan perasaan ini. Entah bila akan dapat ke sini lagi, kerana selepas umrah dan haji yang wajib, lebih utama untuk wang kami dibelanjakan ke jalan Allah, fi sabilillah, berbanding ke Tanah Suci berulang-ulang kali.


Tiang inilah yang selalu menjadi titik pertemuanku dan suamiku. Gambar ini diambil oleh suamiku tanpa aku sedari, aku hanyut dalam anganan ingin bertemu dengan Rasulullah SAW
Suatu senja di Masjid Nabawi

Hampir sebulan tinggal sebilik dengan kedua mertuaku, ada ketikanya kami suami isteri ingin bersendirian. Kami menyewa sebuah bilik di Hotel Elaf Taiba di sebelah hotel kami, untuk satu malam "berbulan madu" di Kota Madinah. Perkhidmatan "Bilik Rahmah" iaitu bilik untuk pasangan suami isteri bersama tidak disediakan di Madinah, tidak seperti di Mekah tempoh hari. Ustaz dan Ustazah pembimbing Tabung Haji sering mengingatkan, tidak salah untuk menunaikan nafkah batin suami isteri kerana ia adalah fitrah. Tambahan pula Pakej Aqiq yang kami ambil ini hampir semua adalah bilik bertiga atau berempat mengikut jantina, maka suami isteri tidak tinggal bersama.  Atas dasar inilah pihak Tabung Haji menyediakan Bilik Rahmah itu, yang mana permohonan untuk menggunakannya boleh dimajukan kepada Ustaz atau Ustazah pembimbing Tabung Haji. 


Hari keberangkatan pulang kami tiba jua. Entah kenapa semenjak beg pakaian kami dikemaskan, wajah anak-anak kami Fatimah, Safiah dan Umar mula bermain-main di mata, sedangkan 32 hari sebelumnya amat jarang kami teringatkan mereka. Namun kugenggam erat-erat pesanan Professor Haji Kamil dalam bukunya, "jangan terlalu gembira ingin meninggalkan Tanah Suci". Pada mulanya aku tertanya-tanya, adakah jemaah yang sebegitu? Sewaktu menunggu bas kami sampai, di ruang lobi, soalanku terjawab. Kebanyakan jemaah mula bersembang tentang perancangan apa yang mereka akan buat di Malaysia nanti. Ada yang nak makan makanan Malaysia, berbincang siapa yang akan menjemput mereka di Lapangan Terbang dan sebagainya. Padaku semua itu mungkin tidak mengapa. Cuma apa yang kukesalkan, ada yang berkata padaku, " Aisyah nanti balik Malaysia keep in touch tau. Tapi nanti jangan tak kenal pula Auntie, Auntie kat Malaysia tak ada tutup-tutup macam ni. Tengok gambar Auntie ni, selalu Auntie macam ni lah, " sambil menunjukkan gambar tidak bertudung. Aku hanya mampu tersenyum, dan berkata, "Kalau Auntie terus pakai tudung, lagi cantik", dan cepat-cepat aku beredar dari situ. Ampunkan kami Ya Allah.... 

Di luar hotel, para petugas Tabung Haji berkumpul untuk mengucapkan selamat jalan kepada kami. Satu demi satu ustazah kusalam dan kucium pipi mereka. Terlalu banyak tunjuk ajar yang mereka telah curahkan, dan tidak terbalas segala jasa mereka dengan satu ucapan "terima kasih". Hanya Allah yang dapat membalas jasa mereka. 


Tatkala bas kami mula bergerak meninggalkan kota Madinah, kulihat kubah hijau semakin jauh kami tinggalkan. Hanya sedu sedan mengisi ruang perjalanan kami. Hatiku bagai disiat-siat, belumpun kutinggalkan Rasulullah, hati sudah dilanda rindu bak omibak laut yang tidak berpenghujung. Semakin jauh kubah hijau itu, semakin kuat esak tangisku, hingga suamiku menggenggam tanganku. Tiada lafaz dari bibirnya, tapi hatinya berkata kepada hatiku, "jangan sedih sayang, in shaa Allah kita akan bertemu dengan Rasulullah di padang Mahsyar kelak". 

Solat pertamaku selepas meninggalkan Tanah Suci adalah di sebuah perhentian Rehat dan Rawat, dalam perjalanan kami dari Madinah ke Jeddah. 

Ya Rabb, 

Betapa berbezanya solat maghribku hari ini 

Jika semalam aku berwudhu' di hotel yg selesa, berdiri solat di dalam saf yang tersusun rapi, mendengar bacaan Imam yang lunak merdu, sambil ditiup hawa malam Madinah yang dingin... 

Hari ini aku bersolat di sebuah perhentian , serba sederhana, di tengah padang pasir entah di mana. Tatkala kulihat mega merah kian menghilang, pantas kuberwudhu' di tandas ringkas, dan kutunai jamak takdim maghrib & isyak. 

Bersolat sendirian di musolla empat persegi, nyata khusyukku berbeza. Aduh... Belum kutinggal bumi Saudi, kemabruran haji sudah teruji.... 

Namun kutahu, inilah mujahadahku hingga hujung nyawa. 

Ya Rabb, 
Berikanlah kekuatan untuk menjaga solatku, kerna kutahu itu yang pertama akan dihitung di Mahsyar kelak. Itulah sauh yang mempasak aku ke bumiMu, walau apa gelora dan badai melanda.. 

Ya Rahman, janganlah Kau hilangkan nikmat solat, umpama melihat kaabah di depan mata, atau merasa kehadiran jasad RasulMu sedepa cuma, atau tika bersujud di Raudhah, taman syurga.. 

Ya Rahim, berilah kami kekuatan untuk mempertahankan jihad tanpa senjata kami ini. Kurniakanlah kami haji mabrur, yang tiada balasan baginya kecuali syurga indahMu. 


Hentian R&R 
Kami bermalam di Jeddah, dan sempat berjalan-jalan di kota Jeddah pada pagi hari sebelum kami berangkat pulang. Alhamdulillah urusan penerbangan kami untuk pulang ke Malaysia berjalan lancar. Satu ketika, semasa menanti pesawat untuk "take-off", bekalan elektrik terputus seketika. Kami bergelap di dalam pesawat selama beberapa saat sahaja, namun cukup mencemaskan setiap penumpang. Kami terbayang andai ini berlaku di ruang udara, pastinya tiada peluang untuk kami terus bernafas. Mujur tiada sebarang masalah berlaku selepas itu. Kubisikkan di telinga suamiku, "ironis kan, kita semua baru selesai menunaikan haji, Allah janjikan semua dosa telah terampun semasa di Arafah, namun masih lagi takut mati." Suamiku hanya tersenyum, sambil mengangguk-angguk.  

Hotel tempat penginapan kami di Jeddah

Lapangan Terbang Jeddah




Alhamdulillah penerbangan kami pulang ke Malaysia berjalan lancar, dan kami tiba di KLIA, disambut oleh keluarga yang setia menanti. Anak-anak kami melompat mendapatkan kami, memeluk erat seolah-olah tidak mahu dilepaskan lagi. Subhanallah, satu perasaan yang amat indah. Kami bersujud syukur di KLIA, sebelum bertolak pulang




Dalam perjalanan pulang ke rumah, dikelilingi anak-anak yang kerinduan, barulah ibuku membuka cerita, Safiah beberapa kali demam rindukan Umminya, Umar selalu berdiri di hadapan pintu pada waktu petang menanti kami pulang, dan Fatimah menyembunyikan rindunya dengan banyak berdiam diri. 

Subhanallah 33 hari ternyata terlalu lama buat anak-anak kecil ini, berjauhan dari Ummi dan Abi tersayang. Namun Alhamdulillah kami kembali dengan selamat, dan pengorbanan yang sedikit itu, berbaloi dengan tertunainya rukun Islam yang kelima. 

Bagaimanakah nanti aku hendak berhadapan dengan cabaran pasca haji? Bagaimana mampu aku pertahankan haji mabrurku (in shaa Allah)?

Tiada kekuatan kecuali dengan kekuatan dariNya. Hanya kepadaNya aku memohon bantuan dan panduan agar kami dijauhkan dari keasyikan dunia, dan menggantungkan hati dan jiwa kami untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi. In shaa Allah.. Doakan kami...

4 comments:

  1. selamat tengah hari, sudah lama tidak berkunjung ke mari, bagaimana khabarnya sihat kan? selamat menunaikan ibadah puasa, jangan lupa kunjungan baliknya ya

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih Riri. In shaa Allah nanti saya singgah blog anda :)

      Delete
  2. Salam Dr.

    Sy nak tanya, utk pakej haji TH ni, termasuk dobi atau baju kena basuh sendiri ya?

    ReplyDelete
  3. Moltxxx ya baju kena hantar dobi atau basuh sendiri, tidak termasuk dalam pakej

    ReplyDelete