Thursday 25 October 2018

Ayah masuk ICU




Ini hero saya.

Ayah berusia 74 tahun. 

Rabu lepas Ayah menjalani pembedahan hernia di Hospital Muar.

Sepatutnya saya nak bawa Ayah untuk pembedahan di KL tetapi Ayah kata di Muar senang, dekat dengan rumah.

Saya pun ok sahaja. Pembedahan laparoskopi atau "key hole surgery" in shaa Allah ringkas dan cepat sembuh.
Isnin dan Selasa saya ada OT. Rabu saya ada ROP round dan klinik , saya perlu bertugas seperti biasa. 

Mama dan Ayah pun kata tak perlulah balik. Balik hujung minggu sahaja nanti, sebab abang sulung pun ada menemani mereka di Muar. 

Rabu pagi pukul 8 saya telefon Ayah, suaranya ceria sahaja. Katanya nanti beliau kes ke tiga, mohon saya doakan. Saya pun iyakan, and I told him I love him.

Pukul 10 pagi, Mama telefon maklumkan Ayah sudah masuk OT.
Sepanjang hari saya sedikit bimbang dengan bius penuh atau general anaesthesia Ayah. Tetapi saya hanya mampu titipkan doa. 

Pukul 2 petang saya telefon Mama, tidak berjawab. 

Petang itu saya uruskan urusan kemasukan sekolah menengah anak sulung saya. Sehingga pukul 5 petang tiada khabar, saya anggap pastilah semuanya baik-baik sahaja. 

Pukul 6 petang saya telefon Mama, betapa terkejutnya saya apabila Mama kata ,"Ayah di ICU." My hero, yang terlalu jarang sakit, tak ada sakit jantung atau kencing manis, dalam ICU? Akibat pembedahan simple seperti hernia? 

Saya rasa nak terbang balik Muar ketika itu juga. 

Cuma apa yang memujuk hati saya adalah, suara Mama tenang. Saya tahan sebak, tak mahu Mama tambah sedih. 

Mama kata Ayah pengsan selepas pembedahan dan doktor terpaksa masukkan tiub pernafasan semula dan masukkan Ayah ke ICU. 

Selepas itu, apabila saya telefon suami saya, barulah saya menangis. Saya risau. I want a medical info on what really happened. 

Alhamdulillah ada bekas anak murid medic UiTM di hospital Muar yang tolong tengokkan Ayah dan sampaikan info. 

Alhamdulillah juga petang Rabu itu juga alat bantuan pernafasan boleh dibuka dan Ayah boleh bernafas sendiri. 

Pagi Khamis saya pulang dengan anak-anak, kerana suami ada urusan penting yang tidak dapat ditangguhkan.

Khamis tengahari, selepas menempuh perjalanan KL - Muar selama 3 jam dengan anak-anak dan maid dengan 2 kali berhenti di R&R, kami terus ke hospital. 

Alhamdulillah kebetulan memang waktu melawat. 

Melihat Ayah yang ketika itu masih di ICU, sayu sungguh hati saya. 

Walaupun hanya menggunakan oxygen dengan nasal prong, beliau nampak letih. Masih muntah-muntah & tak lalu makan. 

Setiap doktor yang datang, saya tanyakan keadaan Ayah, dari doktor di ICU hinggalah team surgikal. Saya kenalkan diri saya sebagai doktor juga. 

Rupanya hari Rabu kelmarin, pembedahan terpaksa ditukar dari laparoskopi kepada pembedahan besar, tetapi pembedahan berjalan lancar.

Selepas pembedahan, semasa di Recovery, Ayah pengsan, skor GCS 3 dan tekanan darah terlalu tinggi, hingga doktor terpaksa memasukkan tiub pernafasan untuk memelihara rongga pernafasan Ayah. 

Alhamdulillah dalam masa sejam Ayah sudah sedar semula. 

Sepanjang hari Khamis semalam , tekanan darah Ayah sudah semakin stabil, cuma Ayah masih agak lemah dan sakit sedikit di kawasan pembedahan. 

Alhamdulillah petang Khamis, Ayah sudah dipindahkan ke wad biasa, dan saya pun sudah boleh selfie dengan Ayah. 


Cuma ketika pulang, terasa kosong melangkah masuk ke rumah, Ayah tiada di rumah. 

Surau di hadapan rumah sunyi, tiada suara Ayah azan. 

Waktu malam, saya telefon suami untuk memberikan update tentang Ayah, airmata gugur jua lagi. 

Ayah sudah 74 tahun. Ayah yang jarang sekali sakit, tahun ini sudah dua kali masuk wad. 

Betullah firman Allah , dalam surah Ali-Imran 3 ayat 185

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ 

“Setiap jiwa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari Kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka sungguh dia telah berjaya. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya” 

Semoga Allah masih merezekikan saya untuk berbakti kepada kedua ibu bapa saya saya yang terlalu baik , beberapa lama lagi in shaa Allah. 

Amin.

No comments:

Post a Comment