Wednesday 3 October 2018

Malaskah Ummi kerana kita ada pembantu rumah?

Hujung minggu lepas ada pertandingan bowling. Anak sulung minta saya bawa adiknya Uwais, tapi jangan bawa maid.

Saya beritahu saya tak boleh jaga Uwais sebab saya doktor bertugas untuk kejohanan itu. Suami dan anak-anak akan bertanding.

Wajahnya muram sahaja.

Saya pun tanya, "kenapa Kakak tak nak bawa Acik? Acik kan macam keluarga kita juga. Dia tolong jaga adik, bila Ummi kerja."

Lama dia senyap. Hanya menggeleng-gelengkan kepala.

Saya tanya lagi," Kakak malu ke sebab kita ada maid?"

Dia jawab, "Ya, ada orang kata, orang yang ada maid tu mesti orang malas."

Ma shaa Allah.

Hati saya tersentak. Sedih pun ada. Tapi saya kawal riak muka saya.

Dia baru 12 tahun, sangat muda dan belum faham. Jarang sangat kata-kata negatif keluar dari mulut anak sulung ini.

Kata anak saya, kawan-kawan baiknya ada 6 orang, semua tiada maid di rumah.

Hati saya tersentuh.

Saya sedar saya bukan ibu yang sempurna, tidak uruskan rumahtangga sendiri, tidak cuci baju sendiri. Sejak sambung belajar, masak pun hujung minggu sahaja.

Mungkin begitulah anak saya melihat saya, bukan ibu yang sempurna kerana ada maid, dan kerana "ada orang kata" kepadanya.

Perlahan-lahan, saya duduk di sebelahnya.

Saya tanya, "Mak kawan-kawan Kakak, ada tak yang kerja di hospital?"

Dia jawab," Tak ada."

Saya cuba terangkan kepadanya, tanpa riak sombong atau meninggi diri. (Nauzubillahimin zalik)

"Kakak, kerja Ummi sangat rumit.Ummi perlu rawat bayi-bayi yang lahir tak cukup bulan. Ummi perlu bedah mata bayi semuda usia 40 hari.

Selepas seharian dalam Dewan Bedah, Ummi letih. Ummi memang tak mampu nak buat kerja rumah semua. Sebab tu Ummi perlu bantuan maid.

Kalau Ummi keletihan, tangan Ummi bergetar & Ummi tak boleh bedah mata bayi-bayi kecil tu.


Kakak kesian tak kat baby yang ada katarak? Mereka tak boleh melihat?"

Perlahan-lahan, dia angguk. Kemudian dia peluk saya. Mukanya masih belum ada senyuman, tetapi setidak-tidaknya tidaklah masam seperti tadi.

Alhamdulillah mudah-mudahan, hatinya lembut untuk menerima kekurangan ibunya ini.

12 tahun anak ini membesar , dengan ibu bapa dan bantuan pembantu rumah. Dia melalui perjuangan Ummi dan Abinya housemanship, Masters, oncall, fellowship dan sebagainya.

Jika ada segelintir insan yang merasakan wanita tempatnya di rumah, dan tugas paling mulia adalah menjadi suri rumah, saya mohon ampun dengan Allah semoga Allah ampunkan dosa kami wanita bekerja, jika ia adalah satu kesalahan.

Namun jika ada kebaikan dari kami bekerja, suami-suami kami redha dan ada pahala dari kami memberi manfaat kepada masyarakat, hanya Allah sebaik-baik pemberi ganjaran in shaa Allah.

هُنَالِكَ الْوَلَايَةُ لِلَّهِ الْحَقِّ ۚ هُوَ خَيْرٌ ثَوَابًا وَخَيْرٌ عُقْبًا

Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).

-Sura Al-Kahf, Ayah 44

Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Seorang isteri & Ibu kepada 4 orang anak,
Pakar Mata & Pensyarah Perubatan atas izin dan redha suami tercinta.




No comments:

Post a Comment