Friday 7 January 2022

Kalau boleh kembali kepada satu hari pada zaman dahulu.

Kalau boleh diberi sehari untuk kembali, hari apa yang anda pilih?


Pernah tak tengok cerita Shrek Forever After?


Shrek yang letih dengan kehidupan seharian, diberi peluang untuk kembali kepada satu hari kepada kehidupannya yang lama.


Well, saya bukanlah nak buat deal dengan Rumpelstiltskin tapi saja terkenang zaman muda.


Satu hari yang penuh keriangan, sehari sebelum ulang tahun saya ke 20.


19 Disember 2000.


Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Disneyland Paris, sebagai hadiah ulang tahun saya, bersama 2 orang sahabat baik saya iaitu Sumaiya Termizi  dan Mardiana Abdul Aziz. 


Ingat lagi, agak lama juga nak kumpul duit nak pergi Paris.


Pergi pun serba sederhana, naik pesawat Ryanair, tumpang rumah kawan. Ryanair zaman tu, bukan macam Air Asia tau. Tempat duduk pun macam tak berapa ada kusyen. Tiket dia print atas kertas murah saja. Terminal dia jaaauuuuhhh nun di hujung. Kalau naik dari Airport besar macam London Stansted, bersedialah untuk menapak.


Tetapi kalau tiket sedang ada jualan murah, murah sungguh. Kadang Euro 0.99 saja satu hala. Dan tak ada penerbangan dibatalkan tiba-tiba koh koh. 


Kami nak murah, ambil tiket penerbangan Dublin - Paris malam. Malam kami sampai di Paris, perkhidmatan keretapi mogok pula. Perancangannya dari Paris kami nak ke rumah housemate kami iaitu Malika. Beliau seorang Algerian French, tinggal di Caen. 


Maka semalaman kami tersadai di cafe sebelah bar. Order secawan kopi dan teh, duduk di cafe sampai pagi,menunggu keretapi beroperasi semula. Ingat lagi masa tu, kawan-kawan saya sahaja yang memesan minuman . Saya tak pesan apa-apa kerana tiada dalam budget. 


Takut memanglah takut. Orang mabuk keluar masuk bar di sebelah tu. Kami pula bertudung.


Alhamdulillah pagi itu seawal jam 7 pagi sudah ada keretapi ke rumah Malika di Caen.


Kami tinggal di rumahnya beberapa hari, kemudian baru berjalan-jalan di Paris.


Di Paris, sebagai tanda terima kasih kami kepada beliau, kami belanja tempat tinggal kepada Malika.


Tetapi kami tinggal di asrama sahaja, iaitu hostel. Tidak kami ketahui rupanya di Paris, tandas adalah campur ya, Tuan Puan.


Terkejut badak kawan saya, sedang gosok gigi di tandas hostel, tiba-tiba ada lelaki masuk. Mujur kawan saya menutup aurat lengkap! Sejak itu tahulah kami, kalau ada seorang masuk tandas, seorang kena jadi sentri!


Jalan-jalan di Paris pun naik Metro mereka, macam LRT kita. 

Sistemnya antara yang tertua di dunia. Walaupun usang, tetapi laju dan tepat masa.


Alhamdulillah puaslah kami berjalan ke Champs Elysees,  muzium Lourve (tengok dari luar lah, mana ada duit nak masuk), La Fayette, dan akhir sekali ke Disneyland!

Di pintu masuk Disneyland Paris 

Teruja benar berjumpa Buzz Lightyear 


Seronok betul ke Disneyland ini, tak terkata rasanya. Inilah kali pertama saya ke taman tema ini, dan orang pun tak ramai. Kalau nak naik roller coaster seperti Big Thunder Mountain tu, boleh naik 2-3 round sampai pening haha.


Makan? Tahan saja lapar. Kami ada juga seludup sandwich sebab sebenarnya tak dibenarkan bawa masuk makanan, tetapi iyalah, nak hidup kenalah pandai. Kami letak makanan dalam sejadah. Apabila pengawal tanya, kami kata prayer clothes.


Solat di mana?


Apabila belajar di luar negara, kita jadi survivor dan akan solat di mana-mana sahaja yang suci. Ambil wudhu di tandas dan kemudian cari sahaja tempat solat di taman, tepi tangga, changing room dan sebagainya.


Itulah pengalaman manis saya pertama kali ke Kota Paris.


Jika saya ada peluang untuk kembali, saya nak kembali kepada 19 Disember 2000. Pakai baju pun baju orang sedekah. Perut pun sentiasa sedikit lapar kerana tak cukup makan, tetapi hati gembira tak ada apa nak risau.


Tugas hanya untuk belajar sampai jadi doktor, ada duit lebih kita kumpul untuk jalan-jalan di Eropah.


Alhamdulillah syukur atas memori indah itu.


Mana tahu kan, satu hari ada rezeki bawa anak-anak ke Disneyland.


Suatu hari apabila Covid tidak lagi berleluasa di atas muka bumi Allah ini. 


Amin.

Kenangan terindah di bumi Paris bersama sahabat baik Maya dan Mar


#kisahkehidupanDrAzlindarita

No comments:

Post a Comment