Tuesday 18 January 2022

"Kono.. Kono!"



Malam tadi kami minum malam bersama selepas solat Isyak di masjid.


Seronok bersembang dengan Mama Ayah, sambil melayan mereka makan murtabak.


Mama bercerita kisahnya semasa kecil.


Sedih bercampur gembira, sambil terkekeh-kekeh kami ketawa.


Mama dilahirkan di kampung Parit Pinang Seribu inilah, di sebuah rumah di tiang lampu 44.

Di kampung ini, tiada nombor rumah. Semua rumah ditanda menurut tiang lampu.


Mak dan bapa Mama iaitu nenek dan datuk saya memang orang Jawa. Malah Mama tak pernah tahu bercakap Melayu, hinggalah Mama masuk sekolah, pada usia 9 tahun.


Nama datuk saya Hj Mohd Noh Bin Hj Marzuki


Nama Nenek saya Hjh Fatimah Binti Hj Jono.


Nama moyang saya, yang amat saya bangga kan, adalah Hj Jono Karmowijoyo bin Musa bin Al Faruq.


Al Faruq inilah keturunan kami yang datang dari Turki, berdagang ke Indonesia, menjual Kitab-Kitab agama Islam. Al Faruq bernikah dengan wanita Indonesia bernama Mbah Sanem, melahirkan keturunan kami yang berhijrah ke Tanah Melayu, yang digelar Tanah Sabrang. 


Kembali kepada kisah semasa Mama kecil, pada satu hari, ketika Mama berusia sekitar 5- 6 tahun, datang 3 orang Pegawai dari Pejabat Tanah. Seorang Pegawai Kanan, ditemani dua orang pembantunya.


Menurut Mama ketika itu bulan Ramadan. Sudah dipesan dengan Nenek, usah bermain di luar rumah, takut nanti tak tahan berpuasa, sibuk pula nak berbuka sebelum Maghrib.


Jadi sekitar jam 10 pagi itu, Mama bersama dua orang adik perempuannya yang masih leka berguling-guling di tempat tidur, terdengar orang memberi salam.


Mama pun menjawab salam. Apabila keluar rumah, Mama berjumpa dengan 3 orang Pegawai tadi. 


Pegawai itu bertanya, "Dik, bapa mana?"


Mama menjawab dalam bahasa Jawa, "Bapak ngebris".


Ertinya Atuk ketika itu sedang menggilis getah untuk dijadikan kepingan getah, di tempat memproses susu getah.


Pegawai itu mengerutkan dahi, dan bertanya lagi, "Bapa mana, dik?"


Mama menjawab lagi, "Bapak ngebriss!!"


Pegawai itu pun bertanya dengan pembantunya, "Apa budak ni cakap? Bahasa apa ni?"


Pembantunya pun menjawab, "Dia cakap bahasa Jawa ni, Tuan."


Sambil menggaru kepala, pegawai itu pun bertanya sambil membuat bahasa isyarat, "Bapa ngebris di mana?"


Mujur Mama faham bahasa isyarat itu, dan menjawab, "Nggo nae Mbah Udhi! KONO.. KONOO.."sambil Mama menunjukkan arah rumah di mana Atuk berada. 


Apa yang Mama cuba sampaikan adalah, bapanya berada di rumah Atuk Marsudi. Mbah itu Atuk, Udhi itu nama pendek untuk Marsudi. Kono itu adalah di sana.


Kami semua ketawa mengekek mendengar cerita Mama malam tadi. Mama kata memang beliau langsung tak tahu bercakap Melayu, hinggalah berusia 9 tahun.


Kisahnya pada awalnya memang Atuk tidak berniat untuk menyekolahkan Mama. Hanya Mak Ngah iaitu adik Mama yang kedua disekolahkan pada usia 7 tahun. Mama terpaksa berkorban supaya boleh menjaga adik.


Tetapi setiap hari, Mama melihat kanak-kanak lain ke sekolah, memakai baju putih, kain biru, berkasut putih, Mama menangis minta disekolahkan.


Hinggalah akhirnya nenek meminta Atuk menyekolahkan juga Mama.


Pada usia 9 tahun, barulah Mama masuk darjah satu.


Hari pertama di sekolah, apabila guru kelas memanggil "awak nama Zukariah Binti Haji Mohd Noh ya?", Mama menggelengkan kepala.


Kawannya berkata, "iyolah koe  jeneng ae Jukariah!"


(Iyalah, kau tu namanya Zukariah!)


Mama berkata, "Orak lah, jeneng ae aku Yah".


(Taklah, nama aku Yah)


Sampai usia 9 tahun, Mama tidak tahu yang nama beliau adalah Zukariah, kerana selama ini hanya dipanggil Yah.


Alhamdulillah, mulai hari itu, dapatlah Mama bersekolah hinggalah beliau berusia 11 tahun, sebelum mereka sekeluarga berpindah ke Benut, Pontian. 


Alhamdulillah, saya bersyukur kehidupan kami sekeluarga tidaklah seperit kehidupan Mama semasa kecil dahulu. Saya berjanji dengan Mama, saya akan terus menulis kisah-kisah kehidupannya, agar suatu hari dapat menjadi tatapan anak cucu saya pula in shaa Allah. 


#MamaRatuhatiku 

#kisahkehidupanDrAzlindarita




No comments:

Post a Comment