Wednesday 19 January 2022

Secebis ilmu, setitis airmata



Dalam gambar inilah rumah di kampung Parit Pinang Seribu, di mana Mama dilahirkan dan dibesarkan , hinggalah Mama berusia 11 tahun.


Mungkin satu masa dahulu, rupanya berbeza, tetapi di tapak rumah inilah, Mama dibesarkan. 

Arwah Atuk Hj Mohd Noh dan nenek Hjh Fatimah Binti Hj Jono, Mama dan arwah Mak Ngah yang sangat comel. 


Ketika Mama berusia 11 tahun , Atuk mendengar ada peluang untuk meneroka tanah di Benut, Pontian, maka mereka sekeluarga berpindahlah ke sana.


Atuk pada awalnya memberitahu guru di Sekolah Parit Pinang Seribu yang akan memindahkan Mama dan Mak Ngah ke sekolah di Benut. Mama yang ketika itu baru nak melangkah ke darjah tiga, hatinya riang sahaja. Iyalah, budak-budak apalah yang tahu.


Rupanya apabila sudah sampai di Benut, Atuk memberitahu Mama, untuk duduk di rumah sahaja, menjaga adik yang ke empat yang masih bayi iaitu Mak Teh. Apatah lagi ketika itu adik Mama yang ke tiga iaitu Mak De juga sudah mahu masuk darjah satu. Mana lah mampu Atuk sebagai peneroka, nenek sebagai penoreh getah, mampu nak menyekolahkan tiga orang anak serentak.


Dengan sedih hati, Mama pun berhenti sekolah Melayu. Mujur Atuk masih menyambung persekolahan agama Mama. 


Mama bercerita, sekolah Melayu di Benut itu sangat jauh. Rumah mereka jauh ke dalam kampung di tepi hutan, adik-adik Mama perlu berjalan sejauh 3 kampung untuk sampai ke sekolah, dengan berkaki ayam. 


Jika tidak ke sekolah agama, Mama akan mengikut nenek ke kebun getah semasa nenek menoreh. Kata Mama, nanti Mama akan dibentangkan tikar untuk menjaga adik, serta pisau toreh mainan, boleh digunakan untuk menoreh di pokok-pokok getah tua.


Selesai menoreh, nanti nenek mengajak pulak ke tempat memproses susu getah untuk dijadikan getah keping, atau dalam bahasa Jawanya "ngebris".


Mama bercerita, "Tiba-tiba dari jauh nampak ada budak tengah main mesin ngebris sambil pakai baju sekolah warna putih, kain biru. Rupa-rupanya Mak De patah balik, tak nak pergi sekolah. Mak Ngah dah pergi sekolah. Alasannya katanya rindu Mak," kelingan mak" dalam bahasa Jawanya. 


Atuk (Fatimah) pun apa lagi, selesai dia ngebris, mereka semua balik rumah, Atuk suruh ikat Mak De di pokok betik sambil marah dalam bahasa Jawa, "Ikat dia sana, jangan bagi makan minum. Aku suruh pergi sekolah biar jadi orang pandai, biar jadi orang, jangan menoreh macam aku, tak nak! Kalau suruh Long (mak saya) tu, rajin aje Long. Aku nak suruh kau duduk rumah, jaga adik, biar Long yang pergi sekolah, kau bukan pandai jaga adik! Ikat dia sana, Long. "


Mama yang serba salah, terpaksa ikat jugalah adiknya walaupun kasihan. Kadang kala sampai pukul 3 petang, Mak De diikat, Mama akan curi-curi beri makan dan minum bila nenek tak nampak kerana kasihan. Ada kala Mak De hingga tertidur kerana keletihan, tetapi nak lepaskan, Mama tak berani.


Kalau sedang Mama suapkan Mak De makan, tiba-tiba terdengar bunyi tapak kaki nenek di lantai rumah kayu mereka, cepat-cepat Mama ke tangga rumah, pura-pura Mamalah yang sedang makan nasi itu. 


Menurut Mama, beberapa bulan jugalah Mak De degil tak mahu ke sekolah, walaupun dihukum begitu. Berbeza dengan Mak Ngah, yang rajin ke sekolah setiap hari, sambil memujuk Mak De untuk ke sekolah dengannya. 


Begitulah berlangsung, hinggalah tidak lama kemudian, Atuk Hj Mohd Noh jatuh sakit kusta. Atuk terpaksa meninggalkan keluarga di Benut, untuk dirawat di Hospital Kusta Sungai Buloh.


Bayangkan sengsaranya hidup nenek membesarkan 4 orang anak, dengan mengambil upah menoreh getah di kebun tauke Cina.


Mama kata, daifnya rumah mereka itu, dinding rumah pun bukan daripada papan, tetapi daripada kulit pokok. Sayu hati saya mendengarnya.


Kemuncak penderitaan 5 beranak itu, adalah ketika zaman komunis sedang mengganas di Tanah Melayu.


Talibarut komunis masuk kampung sesuka hati, menangkap ayam itik bak harta sendiri, menggali ubi, mencabut hasil tanaman yang menjadi sumber rezeki keluarga, adakala tanpa tersisa.


Sepatah kata Mama, mereka memang membela itik untuk mendapatkan telur. Adakala boleh mendapat hasil sehingga 30 biji telur sehari. Tetapi jika malam itu diserbu talibarut komunis, terdengar bunyi ayam itik riuh, mereka sekeluarga hanya mampu berdoa. Mama kata, nenek selalu berdoa, "Biarlah nak ambil ayam itu sampai habis pun tak apa. Yang penting jangan apa-apakan keluarga."


Tak dapat bayangkan ketakutan mereka, dengan tiada sosok lelaki untuk melindungi, dengan rumah yang serba daif hinggakan pintu dapur pun bertutup kain guni sahaja.


Mama kata, ada kala, waktu pagi selepas diserbu talibarut Komunis, yang tinggal hanya batang ubi, dan daripada 30 biji telur, tinggal 3 biji sahaja.


Maka, nenek Fatimah pun meminta Mak Ngah menulis surat kepada bapanya iaitu Atuk Hj Jono di Air Hitam, menceritakan keadaan kehidupan mereka yang sangat perit ketika itu. Atuk Hj Jono pun meminta Mama sekeluarga untuk berpindah ke Air Hitam, demi keselamatan semua.


Alhamdulillah di Air Hitam, sekolah pun sudah lebih dekat, hanya seberang jalan dan naik bukit sedikit sahaja dari rumah Atuk Hj Jono yang ditumpangi mereka itu. Mama pun dapat menyambung pengajian di sekolah agama.


Tetapi yang lucu, Mak De masih lagi dengan perangai lepas dihantar pergi sekolah dek datuknya, datuknya baru sampai ke rumah, Mak De dah patah balik.


Mama kata, "Kesian orang tua tu, tercungap-cungap baru lepas naik bukit turun bukit hantar cucu pergi sekolah, baru nak duduk, nampak Mak De dah ada di tepi jalan nak balik rumah." 


Berderai tawa kami sekeluarga mendengar kisah yang diceritakan Mama ini.


Alhamdulillah, dalam degil tak nak ke sekolah semasa kecil itu, siapa sangka Mak De itulah yang akhirnya berjaya menjadi seorang guru sekolah menengah.

Bersama Mama dan Mak De Zaharah yang merupakan guru sains saya semasa saya belajar di Sekolah Dato Sri Amar Diraja Muar 


Mama pula berjaya menamatkan pengajian hingga ke darjah khas sekolah agama, walaupun terpaksa mengulang darjah 4 sebanyak dua kali. Namun permohonan untuk menjadi guru agama tidak berjaya kerana Mama tiada kelulusan sekolah Melayu. Menurut Mama, beliau hanya pandai membaca, apabila adik bongsu Mama iaitu Mak Su sudah masuk tadika, beliau mengajar nenek membaca, Mama pun tumpang sekali.


Oleh kerana Mama sangat ingin belajar, Mama dan nenek juga hadir ke sekolah dewasa di Parit Pinang Seribu, setelah mereka pulang dan berpindah semula ke sini, selepas Atuk Hj Mohd Noh sembuh dari penyakit  kusta, selepas 3 tahun dirawat di Sungai Buloh.


Kisah perjuangan Mama untuk mendapat pendidikan sangat menginsafkan saya. Betapa kita sangat acuh tidak acuh, betapa mudahnya kita mendapat pendidikan pada hari ini.


Saya juga faham mengapa nenek Fatimah begitu marah apabila Mak De tak mahu ke sekolah. Pada beliau, itu satu peluang untuk mereka  keluar dari kepompong kemiskinan.


41 tahun usia saya, baru kini saya faham mengapa Mama dari dulu sangat bertekad mahu anak-anak beliau berjaya dalam pendidikan, mahu anak-anaknya masuk ke asrama penuh, malah sanggup melepaskan saya pergi jauh ke Ireland selama 6 tahun.


Kini saya faham nilai air mata Mama semasa melihat saya mendapat gulungan ijazah Sarjana Oftalmologi di Universiti Malaya satu masa dahulu. Ketika itu kata beliau kepada suami saya di sisi beliau di Dewan Chanselor Universiti Malaya, "Mama bangga dengan Rita. Dulu Mama tak dapat peluang tu."


Kini saya faham.


Dan saya abadikan dalam tulisan pada hari ini, supaya ia tersemat di hati anak cucu kita, nilai ilmu di sisi orang tua kita.


Secebis ilmu, setitis air mata, segunung emas pun tidak terbanding nilainya.


#kisahkehidupanDrAzlindarita


Arwah Atuk Hj Mohd Noh bersalaman dengan Abang sulung saya iaitu cucu sulung Atuk. Atuk memang suka beri duit raya kepada semua anak-anak dan cucu-cucu. Masa ni semua orang ketawa sebab nak tengok ada tak cucu yang nak salam dua kali Atuk tak perasan. Ada yang cadangkan guna dakwat kekal macam masa pilihan raya, siapa yang dah salam. Tu yang gelak besar semua orang. Suspek utama nak salam dua kali adalah Faris anak Redza Udeng Fahlawi 😆


No comments:

Post a Comment