Tuesday 30 January 2024

Koh Lipe - kunjungan semula selepas 11 tahun

 Pertama kali kami menjejakkan kaki ke Koh Lipe adalah semasa kami meraikan ulangtahun hari kelahiran kami pada tahun 2013. Diam tak diam sudah 10 tahun berlalu. 

Pada hari lahir kami tahun lepas, kami tidak dapat ke mana-mana kerana anak sulung kami sedang sibuk menyiapkan diri untuk SPM. Kebetulan ada beberapa orang kawan-kawan yang sama-sama mendaki Gunung Kinabalu, mengajak kami menyelam di Koh Lipe pada Januari 2024. Maka kami pun memutuskan untuk menyertai percutian ini. 

Pada mulanya memang agak gementar, kerana sudah lebih setahun sejak saya dan suami mendapatkan lessen “Open Water Diver” kami di Mabul, Sabah iaitu pada Disember 2022. Namun, kerana 25-28 Januari ini sahaja waktu yang kami dapat melancong sebentar sebelum anak kami menyambung perjuangannya dalam SPM, kami nekad menempah tiket penerbangan dan sebagainya. 

Kami menaiki penerbangan MAS dari KLIA ke Langkawi pada Khamis 25 Januari (Hari Thaipusam) seawal pukul 9 pagi. Alhamdulillah penerbangan lancar, dan kami sampai di Langkawi pada masa yang ditetapkan. Jam 12 tengahari, selepas selesai makan tengahari, kami bertolak ke Jeti Kuah dengan menaiki teksi van, dengan tambang RM64 sahaja. Pada mulanya harga yang diletakkan adalah RM80, tetapi sahabat kami Dr Ian, menyemak harga dengan Grab, dan mendapati harga lebih murah, pemandu teksi pun bersetuju memberikan kami harga yang sama. 

Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi atau Langkawi International Airport (LIA) ke Jeti Kuah mengambil masa setengah jam. 



Sampai sahaja di Jeti Kuah, anda perlu naik ke tingkat satu iaitu bilik khas untuk mendaftar dan mendapatkan visa on arrival ke Thailand. Di sini anda perlu mengisi borang visa dan anda akan diberikan pelekat yang perlu dilekatkan di baju anda. Tiket feri kami dapatkan secara atas talian, dengan harga RM345 seorang. Pastikan anda mencetak tiket feri anda ya kerana tiket di dalam telefon tidak diterima di sini. 

Selesai mendaftar, kami terus ke balai pelepasan antarabangsa, di mana anda akan melalui pemeriksaan keselamatan seperti di lapangan terbang, dan melalui kaunter Imigresen. 


Semasa menunggu feri sampai, semua passport akan dikutip oleh pihak pengusaha feri, bagi mengelakkan para penumpang kehilangan passport, kerana kami akan menaiki feri, kemudian bot kecil yang akan membawa kami dari feri ke jeti tepi pantai. 

Walaupun feri kami agak terlewat sedikit, perjalanan lancar. Jika tahun 2013 kami ke Koh Lipe melalui jeti Telaga dan menaiki bot laju , dengan perjalanan umpama roller coaster, kali ini perjalanan dengan menaiki feri amat selesa. Apatah lagi ada tayangan movie Avengers dipasangkan. Tak sempat movie habis, kami pun sampai ke Koh Lipe. Perjalanan mengambil masa 1 jam 30 minit. 


Sampai sahaja di Koh Lipe, kami beratur di kaunter tiket feri, di mana petugas akan memeriksa tiket pulang, dan memulangkan passport kami. Kemudian kami ke kaunter Imigresen Thailand. 




Langkah seterusnya adalah membayar fi Taman Negara Koh Lipe iaitu 200 baht seorang bagi pelancong asing seperti kami. Selesai semua ini barulah kami dibawa ke hotel kami. Jangan risau jika ada beg besar, ada petugas dari hotel yang akan tolong membawakan beg-beg anda dari kaunter Imigresen, ke kaunter check in hotel, hinggalah ke bilik hotel. 

Alhamdulillah kami mendapat bilik yang selesa, tidak terlalu jauh dari tempat makan. Walaupun saiz bilik agak kecil, katilnya selesa dan yang paling penting, pemanas air di bilik mandi berfungsi dengan baik. 

 



Selesai kami solat jamak Zuhr dan Asar, kami terus ke Koh Lipe Diving School yang terletak di Walking Street untuk mendaftar aktiviti selaman kami sepanjang percutian kami ini. Oleh kerana saya dan suami sudah lebih setahun tidak menyelam, kami memilih untuk mengambil refresher course yang berharga 500 baht seorang. Untuk 6 selaman , termasuk sewaan peralatan dan guide pula adalah lebih kurang 8870 baht seorang . 1000 baht akan diambil sebagai deposit , dan akan dikembalikan selepas semua peralatan dikembalikan . 

 

Semasa mencuba pakaian wet suit, saya tak sangka saya terpaksa memakai saiz XS! Sedangkan setahun yang lalu saya memakai saiz M. Suami saya pula dari saiz L kini memakai saiz M. Alhamdulillah terima kasih kepada TR90. 

 



Selesai urusan, kami mencari makan malam. Di Koh Lipe memang ada banyak kedai makanan halal. Untuk hari pertama ini, kami mencuba makanan ala carte di salah sebuah restoran. Mee daging saya berharga 140 baht, nasi dengan ayam suami saya pula 120 baht. 





Malam itu kami sempat berjalan-jalan menikmati keindahan malam di Koh Lipe sambil ditemani cahaya bulan , sebelum masuk beradu awal, menyimpan tenaga untuk menyelam keesokan harinya. 

No comments:

Post a Comment