Thursday 1 February 2024

Koh Lipe : Menyelam semula selepas setahun (Koh Pung, Koh Sarang, Lipe Corner)

 Hari ke dua di Koh Lipe 26/1/2024

Hari ke dua di Koh Lipe, kami bangun seawal 5.30 pagi kerana waktu Subuh masuk awal berbanding Malaysia. Selesai solat Subuh, kami berjalan-jalan ke pantai matahari terbit atau Sunrise Beach. Alhamdulillah kerana kami mengambil pilihan roaming dengan Maxis dengan harga RM69 , kami menggunakan data roaming dan mencari jalan menggunakan Googlemap sahaja. Hakikatnya Koh Lipe ini kecil sahaja, pusing-pusing pasti anda akan jumpa destinasi yang dicari. 

 

11 tahun dahulu kami pernah menyaksikan matahari terbit yang paling cantik di sini. Malang sedikit pagi itu cuaca agak mendung, namun ia masih indah . Rasa bersyukur dapat meluangkan masa bersama suami tercinta, dalam keadaan sihat wal afiat. 

 



Lebih kurang 20 minit di tepi pantai, kami kembali ke hotel dengan melalui jalan yang berbeza. Kami berjumpa dengan beberapa kedai runcit yang menjual air mineral dengan harga yang lebih murah berbanding 7-11. 

Sampai di hotel, kawan-kawan kami Ian, Clovie, Fadly, Asyraf dan Jus sudah mula bersarapan. PIlihan makanan untuk bersarapan tidak banyak, tetapi mencukupi bagi saya. Ayam dan daging pastinya tidak halal, tetapi ada telur goreng, roti, buah-buahan, salad dan yogurt . 

Tepat pukul 8.15 pagi, kmai berkumpul di lobi Bundhaya Hotel untuk sama-sama ke Koh Lipe Diving School . Sempat saya dan suami menyiapkan 20 soalan MCQ yang diberikan oleh Dive Master (DM) semalam, yang mana ia adalah sebahagian daripada Refresher Course kami. 

Lebih kurang pukul 8.30 pagi, kami bergerak ke bot kecil yang akan membawa kami ke bot besar, yang merupakan boat selaman (Diving Boat) kami sepanjang hari ini. Ada lebih kurang 15 orang penyelam yang bersama-sam kami, dan setiap daripada kami dibahagikan kepada Kumpulan 3-4 orang untuk setiap DM. Hanya saya dan suami bertuah mendapat seorang DM yang akan menjaga kami iaitu Sol, DM wanita yang berasal dari Argentina. 

Perjalanan dari Koh Lipe ke tempat selaman atau dive site kami yang pertama iaitu Koh Pung, mengambil masa lebih kurang sejam 45 minit. Sepanjang perjalanan ini, saya dan suami mengikuti kelas Refresher Course kami, dan Sol mengajar kami memasangkan peralatan menyelam dengan betul. 




Oleh kerana saya bekerja sehingga sehari sebelum bertolak ke Langkawi, banyak peralatan saya yang tertinggal, termasuk GoPro saya! Mujur juga kawan saya Dr Jus ada membawa kamera lebih dan beliau bukan sahaja meminjamkan GoPro beliau kepada saya, malah meminjamkan komputer selaman (dive com) kepada saya. 

Selaman pertama di Koh Pung, kami berlatih cara membuang air dari dalam topeng muka dan cara mengembalikan regulator atau alat bernafas kepada mulut jika tertanggal. Kemudian kami dibawa menyelam ke sekitar terumbu karang yang cantik. Ketika ini saya langsung tidak mengambil sebarang gambar mahu pun video kerana masih mahu berlatih buoyancy atau kaedah apungan yang baik.

Selaman pertama kami hanya berlangsung kira-kira 40 minit sahaja, namun ia cukup untuk mengembalikan keyakinan kami untuk menyelam. 

Kembali ke bot, kami disajikan makanan tengahari iaitu nasi putih, ayam basil, dan telur rebus. 

Selepas surface interval kira-kira sejam, kami ke dive site ke dua iaitu Koh Sarang. Ketika ini DM Sol agak kurang setuju saya membawa GoPro tetapi saya memberitahu beliau, saya akan hanya menggunakannya jika saya yakin dengan buoyancy saya. 

Alhamdulilah selaman kali kedua, saya lebih yakin, dan dapat menikmati keindahan flora dan fauna di dasar laut dengan lebih tenang. Selaman kedua mengambil masa sekitar 40 minit juga. 



Selesai selaman ini, suami saya sudah kesejukan. Mungkin kerana kandungan lemak di dalam badan beliau kurang dari 16%, maka beliau lebih terdedah kepada hypothermia. 

Kami dimaklumkan perjalanan ke dive site seterusnya akan mengambil masa sejam setengah, kerana dia menuju ke Koh Lipe semula. Suami saya ketika itu sudah memutuskan yang beliau tidak mahu menyelam lagi untuk hari itu.

Perjalanan yang jauh, dengan badan yang sudah agak letih, ramai penyelam mengambil peluang untuk tidur seketika. Namun jauh sungguh terasa sejam setengah itu, sudah bangun tidur, tak sampai-sampai lagi ke dive site! 

Alhamdulillah sekitar jam 4 petang kami sampai semula ke Koh Lipe. Ada bot kecil yang menunggu untuk membawa suami saya dan seorang lagi penyelam yang mahu pulang, kembali ke hotel. Jam 4.30 petang kami sampai ke dive site kami yang terakhir iaitu Lipe Corner. 

Alhamdulilah saya amat menikmati selaman kali ke tiga ini, bersama Sol. Sol membantu mengambil video saya, dan saya dapat melihat banyak haiwan laut yang comel termasuk seekor kuda laut berwarna keemasan! Namun saya bersyukur juga suami saya tidak menyelam, kerana ada kawasan yang mana terasa arus membawa air dingin, hingga saya pun hampir hypothermia. 

Selaman ketiga kami selesai dalam masa 40 minit, dan kami dihantar pulang semula ke Koh Lipe Diving School pada pukul 5.30 petang. Kami bergegas pulang untuk solat Zuhr dan Asar jamak. 

Jam 6.30 petang kami bertemu semula untuk makan malam bersama, dan kemudian berjalan-jalan menikmati keindahan Koh Lipe pada waktu malam. Hati terasa teruja untuk meneruskan selaman pada hari ke dua , keesokan harinya. 









No comments:

Post a Comment