Kenangan terindah bersama Mama di taman tulip Gulhane Park, Istanbul, yang berlatar belakangkan Selat Bosphorus |
Travelog Day 8 : 12/4/15
Hari terakhir di Turkey dan Istanbul ternyata memberi satu kenangan yang terindah. Selesai menaiki cruise di Bosphorus Sea dan menikmati makan tengahari kebab kambing, kami bergerak ke Masjid Sultan Sulaiman untuk menunaikan solat Zuhr dan Asar secara jamak dan qasar.
Istimewanya masjid ini, menerusi pembacaan saya dari buku Ustaz Hasrizal Jamil, "Secawan teh pengubat letih", ia dibina oleh Sultan Sulaiman dengan wang dari poketnya sendiri, sebagai salah satu usaha untuk meninggikan syiar Islam. Sepanjang tempoh pembinaan masjid ini, semua pekerja baginda di minta untuk sentiasa berada di dalam keadaan berwudhu, agar apabila masuk waktu solat, mereka akan segera bersolat. Langkah ini juga diambil oleh Sultan Sulaiman untuk menjaga keberkatan masjid yang dibina ini.
Turun sahaja dari bas, saya lihat masjid sayup di atas bukit. Pantas saya meminta Safuan untuk menyediakan kerusi roda untuk Mama. Memang Mama asalnya membantah, tetapi apabila Mama melihat sendiri laluan ke masjid tersebut, Mama menurut sahaja. Saya hanya sempat menyorong kerusi roda Mama selama 5 minit, sebelum Safuan dengan sukarela menawarkan diri untuk membantu. Kasihan agaknya melihat saya terkial-kial menolak Mama menaiki bukit, sambil Mama sendiri tidak henti-henti memohon maaf. Alhamdulillah semoga Allah merahmati anak muda yang menjadi pemandu pelancong kami ini.
Keindahan Masjid Sulaiman sedikit tercalar dengan kehadiran belasan orang pengemis di sekitar masjid. Mungkin ini ujian untuk melihat setakat mana pemurahnya hati orang Malaysia. Namun, ada ahli kumpulan saya yang memberikan 50 sen sahaja, dimarahi pula oleh pengemis itu, meminta 1 lira. Aduh! Mujur Mahmet, pemandu pelancong Turki kami segera meminta mereka beredar.
Sebaik kami melangkah keluar dari masjid, azan Asar berkumandang. Sempat saya rakamkan merdu suara alunan azan pada hari itu.
Kubah masjid ini adalah kubah paling ringan di dunia. |
Dari Masjid Sulaiman, kami ke destinasi pelancongan terakhir kami di Istanbul untuk lawatan kali ini. Tempat inilah yang saya idamkan dan igaukan sejak dari hari pertama mendaftar untuk mengikuti lawatan ini, iaitu Taman Gulhane atau taman tulip yang terbesar di Istanbul.
Sampai di pintu masuk taman, Safuan berpesan agar berjaga-jaga dengan penyeluk saku. Maklum sahaja hari Ahad, taman penuh sesak, dengan pengunjung luar negara mahupun rakyat tempatan.
Subhanallah bunga tulip yang baru mekar, dengan aneka warna, saya tidak dapat berhenti tersenyum dan menyebutkan Subhanallah. Pada tahun 2012 dahulu, saya sepatutnya ke Kaukenhoff,Holland, tetapi terpaksa dibatalkan kerana saya harus ke konferens antarabangsa di tempat lain. Sejak dari itu hati saya terlalu ingin untuk melihat bunga tulip yang segar.
Alhamdulillah juga di taman ini, kami bertemu dengan beberapa pelancong yang bermurah hati untuk tolong mengambilkan foto kami sekeluarga.
Nice view of the Bosphorus Sea |
Comel kan baby Turki ni! |
Ayah's first time holding the monopod |
Now it's Mama's first time hehe |
Lavenders! Bau sangat wangi di kawasan ini |
Ayah menyarungkan cincin ulangtahun perkahwinan ke 44 di Gulhane Park ini |
Masih banyak bunga tulip yang belum berkembang. Festival bunga tulip berlangsung selama sebulan dari awal April ini hingga awal Mei. |
Latarbelakang bunga tulip dan Selat Bosphorus |
Pasangan pengantin Turki yang comel |
Bersama sebahagian dari ahli kumpulan, Raihan, ibunya Auntie Rohani, Safuan, Auntie Saniah dan anaknya Syahida. |
Wajah letih tetapi puas |
Gambar terakhir di Gulhane Park... Rasa tak puas, dan ingin datang lagi in shaa Allah |
Senja mula melabuhkan tirai, tatkala kumpulan kami melangkah keluar dari Taman Gulhane. Bas menjemput kami betul-betul di pintu belakang taman ini, dan terus ke tempat makan malam kami yang terakhir. Puas rasanya memakan kebab di sini, rindu dengan nasi lemak dan roti canai Malaysia.
Selepas makan malam, kami terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk di Istanbul, suasana sedikit hiba apabila tiba masa kami mengucapkan selamat tinggal buat Mahmet, pemandu pelancong Turki kami dari Dorak Tour. Ada yang mengusik, meminta Mahmet menjemput kami apabila ingin mendirikan rumahtangga dengan kekasih dari Jepunnya. Mahmet hanya tersenyum-senyum.
Alhamdulillah urusan check in dan urusan bagasi berjalan lancar. Sempat Mama membeli sebuah bagasi kecil dari Turki sebagai kenangan. Selesai solat Maghrib dan Isyak, kami masuk ke bahagian imigresen, dengan laluan istimewa kerana Mama dihantar dengan kerusi roda. Canggih sungguh bantuan di sini, saya sangka ia adalah kerusi roda biasa, rupanya seperti sebuah kereta kecil. Mama berbisik , " kan bagus kalau minta untuk Ayah juga. Kesian Ayah berjalan jauh."
Alhamdulillah Allah makbulkan doa Mama. Selepas melangkah keluar sahaja dari kawasan imigresen, sebuah buggy lalu, dan menjemput Ayah dan saya untuk naik sama. Alhamdulillah.. Alhamdulillah .. Alhamdulillah... Rupanya jauh juga pintu pelepasan kami.
Kerusi roda canggih |
Di atas buggy, kena photobomb oleh "Bruce Willis" Turkey |
Kerusi roda menghantar Mama hingga ke pintu pelepasan. Satu perkhidmatan yang amat memudahkan warga emas. Harus di pilih dan dimaklumkan kepada pihak tour agent untuk ditempah dari awal lagi |
Semakin dekat dengan waktu penerbangan, semakin hati jadi tak keruan. Sedih ingin meninggalkan bumi Turki yang indah ini, tetapi rindu juga ingin mendakap tiga orang anak kecil yang sudah sepuluh hari kerinduan kasih sayang Ummi mereka.
Sebelum berlepas dari Istanbul |
Wajah ceria selepas tiba di KLIA , selepas menempuh penerbangan selama 10 jam |
Tiada kata lagi yang mampu saya lafazkan, atas kesyukuran dapat melawati negara Khalifah Uthmaniyah yang serba indah, bak syurga dunia ini. In shaa Allah hajat di hati ingin datang lagi, bersama keluarga dan suami tercinta, andai ada rezeki kami in shaa Allah.
Terima kasih kepada Andalusia Travels dan Dorak Tour yang cuba untuk memberikan perkhidmatan yang memuaskan.
Semoga ukhuwah yang terjalin di antara 25 orang peserta kumpulan kami ini, akan berkekalan hingga ke syurga, in shaa Allah.
No comments:
Post a Comment