Friday 15 May 2015

Draisyahafiz in Turkey : Day 7 Kembali ke Bumi Istanbul...



Travelog Day 7 : 11/4/15

Dingin yang menyucuk ke tulang sum-sum mengejutkan kami di Hotel Koru, Bolu ini. Salji yang memutih menambah keindahan fajar yang menyinsing. Selesai solat subuh dan bersarapan, kami mengabadikan kenangan di Bolu ini dengan bergambar di sekitar hotel, sebelum meneruskan perjalanan kembali ke Istanbul. 


Subuh di Bolu


Pemandangan dari balkoni hotel






 Tidak lama selepas bas bergerak meninggalkan Bolu, tiada lagi salji yang kelihatan di kiri kanan jalan. Mentari memancar meminjamkan sedikit kehangatan. Hati terdetik sayu apabila kami melalui kawasan di pinggaran Laut Marmara, yang dilanda gempa bumi kuat pada Ogos 1999, yang mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Semakin dekat kami dengan kota Istanbul semakin banyak bunga-bunga berwarna warni menghiasi kaki lima jalan raya. Istimewanya bumi Turki, walaupun satu negara yang sama, umpama ada beberapa musim yang berbeza. Musim luruh di Kusadasi, musim sejuk bersalji di Bolu, dan musim bunga yang indah di Istanbul. 


Pinggiran laut Marmara yang dilanda gempa pada tahun 1999




Jambatan pemisah Turki di bahagian Asia dan Eropah

Selepas melintasi jambatan yang menghubungkan Turki bahagian Asia dan Eropah, kami singgah di Masjid Abu Ayyub Al-Ansari yang terkenal. Abu Ayyub adalah dari kalangan para sahabat di Madinah, dan rumah beliau dipilih oleh unta Rasulullah sebagai tempat tinggal Rasululalh SAW selepas peristiwa hijrah, ketika Rasulullah SAW baru sahaja sampai di kota Madinah. Boleh singgah di blog Abu Ayyub ini untuk membaca kisah lanjut bagaimana rumah sahabat yang mulia ini dipilih oleh Allah untuk menjadi tempat tinggal kekasihNya.

Abu Ayyub Al-Ansari telah datang ke kota Konstantinopel semasa rombongan tentera Islam melawan tentera Byzantine, semasa pembukaan kota ini oleh Sultan Al-Fateh. Walaupun usianya sudah tua, iaitu 86 tahun, beliau tidak mahu ketinggalan dari misi ini kerana beliau berpegang kepada hadith Rasulullah SAW iaitu 

Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera 

Islam.Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya 


adalah sebaik-baik tentera..’’H.R. Ahmad bin Hanbal Al-Musnad 4/335


Walaupun beliau jatuh sakit semasa perjalanan ke Konstantinopel , para sahabat yang lain bertanya kepada beliau, apakah yang ingin disampaikan kepada tentera Islam, beliau menjawab, 

Tolong sampaikan salamku kepada 

seluruh tentera muslimin.Katakan kepada mereka, Abu 

Ayyub berpesan supaya kamu semua terus maju sehingga 

sampai ke jantung daerah musuh. Bawalah saya bersama-

sama kamu. Kalau saya mati, kuburkan saya dekat tiang 

kota Konstantinopel!”

Walaupun beliau meninggal dunia semasa peperangan itu, jasadnya dibawa oleh para sahabat dan permintaannya yang terakhir itu dilaksanakan oleh mereka. Motif permintaan Abu Ayyub ini adalah, "andai kamu tidak mahu jasad aku dipijak-pijak oleh tentera Rom, maka berjuanglah sehabis baik agar Islam menang di Konstantinopel". Ternyata pesanan beliau ini berjaya membakar semangat juang tentera mujahiddin Islam hingga mencapai kemenangan, dengan izin Allah SWT. Setelah Islam menang, kota ini telah ditukar namanya oleh Sultan Al-Fateh kepada Istanbul. 

Antara hadis yang terkenal yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub r.a adalah : 


Sesungguhnya Rasulullah saw. bersabda: Tidak halal 

seorang muslim mendiamkan (tidak mau menyapa) 


saudaranya lebih dari tiga malam di mana keduanya 


bertemu lalu yang ini berpaling dan yang itu berpaling. 


Yang terbaik di antara keduanya ialah orang yang 


memulai mengucapkan salam


(Shahih Muslim No.4643)


Masjid Abu Ayyub Al-Ansari

Makam Abu Ayyub berdinding mozaik biru








Dari Masjid Abu Ayyub Al-Ansari, kami singgah makan tengahari, di sebuah restoran di pinggir laut Marmara. Kebanyakan restoran di sini menghidangkan sajian makanan laut. Tidak seperti masakan Malaysia yang kaya dengan rempah ratus, makanan di sini hanya direbus dan di tabur garam sebagai perasa. 









Penjual strawberi yang segar . Hanya 7 lira untuk satu kg


Penjual aiskrim Turki yang terkenal

Seterusnya, kami ke Grand Bazaar iaitu pasar terbesar di Istanbul, yang menjadi persinggahan wajib bagi setiap pengunjung yang datang ke sini. Selepas berhenti solat Zuhr dan Asar di Masjid Nuruosmaniye yang berusia lebih dua ratus tahun yang berhampiran, kami berjalan-jalan mencari cenderahati di sini. 

Walaupun pemandu pelancong sudah berpesan agar jangan beli terlalu banyak barang, kerana harganya agak mahal kecuali pandai menawar, saya beli juga sehelai permaidani Turki untuk suami, lampu hiasan Turki untuk rumah Mama dan rumah kami, serta beberapa helai sejadah untuk sahabat tersayang. Mujur juga saya beli di sini, penggunaan kad kredit diterima dengan meluas, jadi saya boleh sisakan baki duit lira saya untuk membeli di Spice Bazaar nanti.


Bahagian dalam  Nuruosmaniye Mosque yang dibina pada zaman pemerintahan Turki Uthmaniah


Pintu masuk Grand Bazaar

Sebahagian daripada 3000 kedai yang berada di dalam 61 lorong, di dalam Grand Bazaar ini. Antara 250,000 hingga 400,000 pengunjung datang ke sini setiap hari! 


Mahmet si penjual lampu :)


Sejadah turki buat suami tersayang

Bersama "tauke" permaidani Turki, bernama Ramadhan. 


Puas membeli belah, kami terus ke Spice Bazaar, yang juga dikenali sebagai Egyption Market. Orang ramai memenuhi setiap inci dataran dan bangunan di sini! Mama Ayah melihat dari jauh saja sudah menyerah. Katanya mahu tinggal di bas sahaja, tidak larat berjalan! Kasihan Mama.. 

Saya berjalan bersama-sama Safuan, tour leader kami dan beberapa sahabat dari kumpulan kami, mencari manisan dan teh Turki yang terkenal. Salah sebuah kedai di sini mempamerkan wajah orang-orang terkenal dari Malaysia yang pernah berkunjung ke sini, termasuk Tun Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia, dan juga pelakon terkenal Jalaluddin Hassan. Lucu juga taktik ini, tapi kami juga tertarik untuk masuk dan membeli belah di kedai ini. 

Ratusan kedai di kiri dan kanan, tetapi tiada kelihatan kedai menjual permaidani atau lampu. Mujur saya sudah beli di Grand Bazaar! Baju kemeja T juga tidak terlalu murah di sini. Satu t-shirt untuk kanak-kanak dalam 15 lira sedangkan di Grand Bazaar ada yang 8 lira sahaja. 




Masjid Rustem Pasha berdekatan Spice Market

Manisan yang diberi percuma untuk dirasa oleh para pengunjung

Kedai yang turut dikunjungi Tun Abdullah Badawi. Semua makanan boleh dicuba, harra boleh ditawar dan semua makanan akan dipek dengan pek vakum, untuk memastikan kesegaran makanan itu. 


Antara baklava paling sedap saya pernah makan, seumur hidup saya. Harganya 80 lira satu kg. 



Cenderahati yang murah di sini, antara 1 hingga 3 lira sahaja untuk satu rantai kunci atau keychain

Makanan segar dijual di luar Spice Bazaar

Ahli rombongan yang selamat bershopping di Spice Bazaar

Dari Spice Bazaar, kami singgah makan malam di sebuah restoran di ibu kota. Sempat saya mengajak Safuan tolong ambilkan gambar saya di barisan bunga tulip yang sangat cantik di hadapan restoran itu. Walaupun kami dijanjikan akan ke Taman Gulhane yang penuh dengan tulip esok hari, saya tidak mahu melepaskan peluang yang sudah ada di depan mata. 






Pemandangan dari jendela resotaran



Malam mula melabuhkan tirai. Dari restoran, kami menuju ke hotel tempat kami akan menginap iaitu sebuah hotel baru bernama Hotel New Way. Hotel yang cukup canggih, dengan bilik yang luas dan selesa, sesuai untuk kami melepaskan lelah berjalan seharian. Inilah malam terakhir kami di Istanbul. Esok malam, kami akan berada di dalam perut pesawat yang bakal menerbangkan kami kembali ke pangkuan dan dakapan ahli keluarga yang sudah diulit kerinduan, in shaa Allah...





Selamat malam! Malam terakhir di Istanbul :)

Bersambung...


No comments:

Post a Comment