Thursday 30 April 2015

Draisyahafiz in Turkey : Day 6 hati panas dihujani salji , dari Cappadocia ke Ankara dan Bolu

Salji dara yang turun, dalam perjalanan dari Cappadocia ke Ankara

Travelog Day 6: 10/4/15

Hari ini saya gelar hari panas, kerana hati saya panas. Alhamdulillah walaupun panas itu tidak lama, tetapi panas jika demam agak mencecah 40 darjah celcius juga.

Kisahnya begini. Seawal jam 6.30 pagi, kami sudah turun ke restoran hotel untuk bersarapan, kerana kami diminta untuk check out seawal 7.30 pagi, kerana hari ini kami akan sekali lagi menempuh perjalanan yang jauh untuk ke Ankara dan seterusnya ke Bolu. 

Melangkah masuk ke restoran, hati saya terasa hairan melihat hanya kumpulan kami yang ada disitu. Tiada langsung kelibat pelancong lain. Selesai mengambil makanan, sebaik sahaja saya melabuhkan punggung, salah seorang peserta bernama Auntie Anita, memberitahu saya dengan nada kecewa, " Aisyah, Auntie nampak banyak hot air balloon terbang pagi ini. Dari tingkap bilik Auntie, Auntie boleh nampak beratus-ratus belon yang terbang. Kenapa Mahmet beritahu kita yang hari ini tiada penerbangan kerana cuaca tidak elok?"

Antara belon udara panas yang terbang seawal jam 6 pagi hari itu, 

Tersentak saya mendengar kenyataan Auntie Anita. Teringat saya pagi tadi ketika bangun tidur, Mama menceritakan yang mimpi indahnya malam tadi, beliau sudah berada di udara, melihat matahari terbit dari dalam belon udara panas. Melihat gambar bukti yang menunjukkan belon udara panas di udara, saya segera pulang ke bilik untuk mendapatkan iphone saya, dan saya menghantar SMS kepada Mahmet, memohon penjelasan. 

Menurut beliau, syarikat yang bekerjasama dengan Dorak Tour, tiada penerbangan hari ini, kerana keadaan cuaca yang tidak begitu baik, dan menurut beliau syarikat ini sangat "strict" dalam mengikut peraturan. 

Saya kembali ke restoran untuk mendapatkan pendapat peserta-peserta lain. 12 daripada 25 orang di kalangan kami memang sangat berhajat untuk merasai pengalaman sekali seumur hidup ini, yang sudah dipromosikan kepada kami sejak di tanahair lagi. Hampir semua peserta bas kami, meminta saya menjadi jurucakap bagi pihak mereka. Malah ada sebahagian yang tidak mahu menyertai trip belon udara panas, menyatakan kesanggupan mereka untuk menunggu kami selama sejam penerbangan itu nanti, dan tidak perlu ke kilang pasu (pottery) seperti yang dijadualkan oleh pihak Andalusia. 

Saya menghubungi Safuan pula, iaitu pemandu pelancong dari pihak Andalusia Travels pula. Menurut Safuan, sejak jam 6 pagi beliau telah berusaha memujuk Mahmet agar membawa kami ke tempat belon udara panas. 

Saya hubungi lagi Mahmet, memohon penjelasan. Andai sememangnya tidak dibenarkan oleh undang-undang bahawa tiada penerbangan yang dibenarkan, mengapa ada sesetengah syarikat yang boleh terbang? Bukankah jika disebabkan oleh cuaca, maka SEMUA syarikat sepatutnya tidak boleh terbang? Dan jika syarikat yang dipilih oleh Dorak Tours itu tidak mahu terbang, tidak bolehkah kami memilih syarikat lain? 

Waktu untuk berlepas semakin hampir, saya semakin kecewa dengan setiap penjelasan yang diberikan, baik oleh Mahmet yang mewakili Dorak Tours, mahupun pihak Andalusia. Kasihan saya melihat wajah Mama yang masih penuh harapan. Saya turut menyuarakan persoalan saya ini di dalam whatsapp group kami, yang mana di dalam itu ada pengurus dari Andalusia di Malaysia, yang berjanji akan menghubungi sendiri pengurus Dorak Tour untuk mendapatkan penjelasan, dan cuba menyelesaikan kemelut ini.

Beberapa minit berlalu, akhirnya Mahmet yang baru sampai di hotel kami, menerangkan bahawa tempahan telah dibuat untuk kami untuk hari itu, tetapi untuk penerbangan kedua iaitu pada 9.30 pagi. Namun pada hari itu, semua penerbangan kedua oleh semua syarikat telah dibatalkan kerana cuaca tidak mengizinkan. Kami tidak dapat menaiki penerbangan pertama kerana nama kami hanya dihantar pada hari sebelumnya, apabila penerbangan dibatalkan kerana cuaca buruk. Penerbangan 6 pagi pada hari tersebut, diberikan keutamaan kepada mereka yang membuat tempahan tiga hari sebelumnya.

Merah padam muka saya mendengar penjelasan itu. Saya berkata kepada Mahmet, "THIS IS ALL TECHNICALITY, AND VERY POOR MANAGEMENT!" Mulanya kami diberitahu tiada penerbangan, kemudian syarikat yang dipilih tiada penerbangan kerana mereka mengikut peraturan dengan ketat, kemudian rupanya ada penerbangan, tetapi kami tidak dapat naik kerana nama tidak diberi keutamaan! Hujah saya, bukankah itinerari telah diberikan, beberapa hari sebelum kami berlepas dari Malaysia lagi. Syarikat Andalusia dan Dorak Tour sudah tahu bila kami akan sampai di Cappadocia sekurang-kurangnya sepuluh hari lebih awal. Mengapa tidak meletakkan tempahan untuk kami untuk dua hari berturut-turut, bagi mengelakkan perkara seperti ini berlaku, sedangkan mereka memang tahu keadaan cuaca tidak menentu. Mahmet mungkin boleh datang ke Cappadocia setiap minggu kalau mahu, tetapi kami ini, yang entah datang lagi atau tidak? Apatah lagi Mama dan Ayah yang sudah 70 tahun? 

Terkulat-kulat wajah Mahmet dimarahi dengan saya. Rasanya amat jarang saya memarahi orang sebegitu, tetapi hati saya sedih dan kecewa dengan permainan mereka ini. Akhirnya satu pesanan whatsapp kami terima dari pihak pengurus Andalusia, memohon maaf  kerana katanya, ini semua masalah komunikasi. Allahu Akbar.. semudah itu memohon maaf. Terasa seperti diperbodohkan oleh semua pihak. Bukannya kami minta pergi menaiki belon udara panas itu dengan percuma pun. Jika tidak boleh terbang kerana faktor cuaca, bukan kami tidak boleh menerima kenyataan pun, in shaa Allah kami boleh redha. Tetapi hanya kerana "technicality" & "fatal miscommunication", perkara yang di "highlight" dan diulang-ulang promosinya hingga mengujakan hati peserta, tidak dapat dirasai oleh sesiapa pun. Ayah saya yang dahulunya seorang pilot helikopter, yang asalnya tidak berminat untuk pergi pun, selepas menonton video promosi di dalam bas, ingin turut serta. 

Ada seorang peserta meminta saya menulis satu petition dan semua peserta akan menandatangan, sebagai langkah mereka menyatakan ketidak puasan hati atas pengurusan yang amat lemah ini. Saya tidak rasa pihak Andalusia akan mengambil pusing apa pun luahan hati kami ini, maklumlah syarikat besar yang sudah berpuluh tahun di pasaran. Siapalah kami "ikan-ikan bilis" ini. Lalu saya meluahkan perasaan saya di facebook saya, sambil saya membuat satu nota di dalam minda, "I don't think I will travel with this company again in the near future". Tidak sanggup melihat wajah kecewa Mama... 

Selesai check out dari hotel, bas berhenti seketika di kilang pasu atau pottery. Hati yang masih panas membara, terasa malas ingin turun dari bas. Mujur Mama pandai memujuk, turun juga saya seketika untuk ke tandas, dan bergambar.


Peserta termuda dalam kumpulan kami, Daniel


Tepat jam 9.30 pagi, kami mula bergerak meninggalkan Cappadocia. Safuan berkali-kali memohon maaf atas apa yang berlaku. Kasihan saya melihat wajahnya. Saya langsung tidak ada perasaan marah pada Safuan, tetapi kepada Mahmet, Dorak Tour dan Andalusia secara keseluruhan. Hampir tergelak saya apabila Safuan berkata pada Mama, " Makcik, saya pun teringin sangat nak naik belon udara panas tu. Saya pun kesian tengok Makcik. Kalau saya ada belon sendiri, saya sendiri bawa Makcik naik belon saya tu!" Jujur dari hatinya, menyentuh hati saya sebagai gurunya (maklumlah, pensyarah UiTM dengan pelajar UiTM memang ada aura :) So I called a truce with him. Not yet with Mahmet :p



Melalui Tasik Garam atau Salt Lake selepas sejam setengah bertolak dari Cappadocia, kami singgah sebentar di sebuah kedai kecil di pinggir tasik. Antara produk yang dijual adalah kosmetik penjagaan kulit yang diperbuat dari garam asli dari tasik ini. Tasik ini membekalkan 80% daripada keperluan garam rakyat Turki. Suhu yang mencecah 4 darjah membuatkan kami tidak mahu berlama-lama di sana. 


Latar belakang Tasik Garam 



Jurujual kami ini bermata hijau, berasal dari Afghanistan

Tidak sampai sejam selepas kami berlepas dari Salt Lake, cuaca semakin mendung dan sejuk. Hujan mula turun, tetapi hati saya terdetik, "dengan suhu 1 darjah ini, boleh turun salji ni." Tidak lama selepas itu, bagai mimpi jadi kenyataan, salji benar-benar turun! Cepat-cepat saya memberitahu Mama. Subhanallah melihat senyuman Mama, cair hati saya yang membeku dek marahkan Mahmet pagi tadi. Inilah pengalaman pertama Mama melihat salji dara turun dari langit. Sempat Mama mengusik, " ini Allah nak sejukkan hati orang yang panas tadi ni". Saya hanya mampu tersenyum. 

Safuan juga lega melihat saya tersenyum, hingga apabila saya membuat permintaan agar bas berhenti seketika untuk kami bermain salji, cepat-cepat beliau sampaikan kepada Bouraq, pemandu bas kami. Sempatlah kami menikmati salji dara ini selama sepuluh minit di tepi jalan. Hati saya berbunga-bunga melihat Mama dan Ayah yang keriangan bermain salji. 








Kami meneruskan perjalanan ke Ankara, untuk makan tengahari dan melawat beberapa muzium. Dahulunya Istanbul adalah ibu negara Turki, tetapi kini ia telah berubah kepada Ankara. Ciri-ciri moden bandar Ankara jelas terserlah, dengan kesibukan kota setara dengan Kuala Lumpur. Kami singgah makan tengahari dan bersolat Zuhr dan Asar secara jamak, di stesen keretapi Ankara atau Ankara Gari. 






Ayah dan Safuan







Dari stesen keretapi, kami terus ke Muzium Anantolian, iaitu muzium terbaik di Eropah pada tahun 1997. Muzium ini mempamerkan bahan-bahan artefak sejarah dari zaman paleolitik lagi, dan sebahagian daripadanya dari tamadun di Timur Turki, yang sezaman dengan tamadun di Mesir. Antara yang menarik perhatian saya adalah tablet atau batu bersurat yang digunakan untuk menulis perjanjian, hukuman mahupun surat antara dua negara yang berjiran. 







Love this shot




Batu bersurat tentang hukuman bagi orang bersalah, adalah dicampak ke dalam sungai. Andai orang itu selamat, maka dia tidak bersalah, seperti yang termaktub di dalam gambar di bawah .






Bersama remaja Turki yang cantik dan ayu



Dari Muzium Anantolian, kami bergerak ke muzium Mustafa Kamal Ataturk, "bapa pemodenan Turki", atau saya lebih senang menggelar beliau "bapa sekularisma Turki". Beliau adalah antara orang yang bertanggungjawab menjatuhkan khilafah Islamiyah yang berpusat di Turkey, dengan menghapuskan huruf jawi agar orang Turki jauh dari Al-Quran, mengubah azan kepada bahasa Turki, dan menggalakkan sekularism secara menyeluruh. 

Muzium yang juga merangkap makam Mustafa Kamal ini,mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan selepas beliau meninggal dunia setelah menderita sirosis hati (liver cirrhosis) pada tahun 1938 dan setelah siap, jasad beliau dipindahkan dari Istanbul ke Ankara pada tahun 1953. Namun ada yang berkata semasa gempa bumi besar di Turki pada 1999, jasadnya terkeluar dari kubur dan jasadnya telah dikebumikan di tempat lain, dan keranda yang ada di muziumnya ini, hanyalah keranda kosong. Tubuhnya juga dikatakan tidak rosak, bukan seperti tubuh para syuhada, tetapi kerana telah diawet (embalmed) oleh Professor Lutfi Aksu. Allahu alam. 







Change of Guards
 
Makam Mustafa Kamal



Kami meneruskan perjalanan yang masih berbaki menuju bandar Bolu yang bakal menjadi tempat istirehat kami hari ini. Badan sudah terasa letih, tak sabar rasanya melabuhkan kepala di bantal, tetapi mata segar kembali melihat rumah-rumah serta gunung ganang yang diliputi salji. Semakin menghampiri Bolu, suhu semakin turun. Salji di musim bunga adalah sesuatu yang sangat indah, kerana tidak terlalu sejuk berbanding musim dingin. Sempat kami berhenti seketika di sebuah R&R kerana ada peserta yang perlu ke tandas. Cantik sungguh pemandangan salji yang suci murni, belum ada kaki-kaki manusia mahupun haiwan, yang menginjak-injak salji yang memutih ini. 












Kira-kira jam 7 petang, tatkala mentari mula melabuhkan sinarnya di ufuk barat, kami tiba di hotel kami iaitu Hotel Koru di Bolu. Kehadiran kami disambut oleh salji setebal 10cm di sekitar hotel. Biarpun agak lama, hotel ini selesa dan cukup memberikan kehangatan kepada kami yang sudah seharian keletihan dek perjalanan, kesejukan dek salju yang menghujani musafir kami kali ini. 














Selepas makan malam serba sederhana, kami masuk ke bilik untuk melepaskan lelah. Tinggal dua malam berbaki di bumi Turki ini. Hati belum puas melihat keindahan alam ciptaan Allah di bumi bertuah ini, namun sudah ada kerinduan pada suami dan anak-anak, yang mula menjentik rasa. 

Live in the present. Ini yang akan saya cuba lakukan. Inilah peluang saya menghabiskan masa sepuasnya dengan Mama Ayah yang sudah lanjut usia. Semoga Allah memberikan kekuatan buat kami semua untuk meneruskan jaulah ini dan semoga setiap langkah kaki kami dinaungi keberkatan dari Ilahi . Amin...

Bersambung...


No comments:

Post a Comment