Monday, 27 April 2015

Draisyahafiz in Turkey : Day 5 in Cappadocia, bandar purba yang romantis

Kumpulan kami di Uchisar, Cappadocia, berlatar belakangkan kota lama dari batu berusia 2000 tahun 


Travelog Day 5 : 9/4/2015

Jam menunjukkan pukul 9 malam ketika kami sampai di Hotel Altinyazi di Cappadocia. Melangkah masuk ke dalam hotel, seakan terasa aura 1980an. Mama tampak gembira dengan hotel ini, walaupun makanan yang tinggal di restoran tidak banyak yang tinggal . Ketika melangkah ke bilik, Mama berkata , " Alhamdulillah dengan tak sampai RM5000, kita dapat tiket kapalterbang, datang ke Turki, bas pelancong yang selesa, dan hotel yang agak mewah jugalah pada pandangan Mama. Mama tak boleh bayangkan nikmatnya kalau hotel yang RM25,000 satu malam tu? " 

Ayah menjawab , " Kalau orang sudah terlalu mewah, sudah tidak dapat merasai nikmat apa-apa. Sebab itu perlu sentiasa mengejar yang lebih mewah, hotel yang lebih mahal, beg tangan yang lebih canggih." Saya hanya mengangguk-angguk setuju sambil tersenyum. Nikmat dapat merasakan sesuatu nikmat dari Allah itu juga sebenarnya adalah satu nikmat. Nikmat bersyukur dan berqana'ah iaitu cukup dengan apa yang ada. 









Hotel ini sememangnya sudah agak lama, tetapi kami bersyukur kerana buat pertama kali kami mendapat bilik yang dikhaskan untuk tiga orang tetamu, tidak seperti sebelum ini yang mana bilik kami adalah bilik double yang ditambahkan katil, jadi agak sempit untuk berjalan dan bersolat jemaah. 




Teman setia



Seawal jam 4 pagi kami sudah terjaga dari tidur. Waktu solat subuh di sini lebih awal berbanding Istanbul iaitu pada pukul 4.41 pagi, dan syuruk pada pukl 6.15. pagi. Selepas subuh, mahu turun bersarapan, restoran belum buka, jadi kami berehat di kamar, melihat matahari terbit dari jendela kamar. Angin nampak agak kuat, tiada belon udara panas yang kelihatan diudara, seperti yang diberitahu oleh pemandu pelancong kami, bahawa tiada penerbangan dibenarkan pada hari ini kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. 




Usai bersarapan, kami bertolak ke destinasi pertama iaitu sebuah kedai perhiasan atau jewellery. Antara batu-batuan yang istimewa dari Turki adalah batu Sultan, yang berubah warna apabila terkena cahaya yang berbeza. Saya yang sudah banyak kali "terkena" apabila membeli barang hiasan di luar negara, baik jade dari Cina atau perak dari Indonesia, hampir semua tidak berkualiti tinggi, tidak terniat untuk membeli. Tetapi melihat Mama dan Ayah lama membelek satu bersatu cincin batu Sultan, saya bertanya jika mereka berkenan. Apatahlagi mereka baru sahaja menyambut ulangtahun perkahwinan mereka yang ke 44. Saya pun menawarkan untuk membelikan sepasang cincin untuk mereka, dengan syarat, tolak elaun bulanan hahahahahahah.... Mama Ayah setuju saja. Alhamdulillah gembira melihat mereka gembira. 









Dari sana, kami terus ke perkampungan Gureme yang tidak jauh dari tempat penginapan kami. Perkampungan yang berusia 2000 tahun ini, terbentuk hasil letupan gunung berapi tiga buah gunung iaitu Gunung Erciyes, Gunung Hasan dan Gunung Melendiz, yang memuntahkan lapisan demi lapisan larva di lembah ini. Dengan peredaran waktu , dengan hakisan dari angin dan hujan, batu-batu lembut ini terbentuk seperti permukaan bulan, dan menghasilkan cerombong asap pari-pari atau the "fairy chimneys". Apabila manusia mula datang ke kawasan ini, batu-batuan ini diukir dan dibentuk menjadi kawasan kediaman, sekolah, gereja dan juga bangunan-bangunan pentadbiran. Pada 1800 tahun yang lalu, hampir 80% daripada penduduk di kawasan Gureme ini tinggal di dalam rumah-rumah batu ini, dan hingga ke hari ini, masih ada 15% daripada penduduk yang tinggal di rumah-rumah unik ini. 









Di pinggiran kota Gureme ini, kami juga tidak ketinggalan untuk membeli lampu Turki yang cantik, kerana menurut pemandu pelancong kami, buatan lampu di sini lebih halus, dan diperbuat daripada kaca, berbanding sebahagian yang di jual di Grand Bazaar Istanbul, ada yang diperbuat daripada plastik sahaja. 



Dari Gureme, kami singgah ke sebuah lagi kota lama iaitu di Uchisar, sebelum meneruskan perjalanan kami ke muzium terbuka Gureme atau Open Air Museum of Gureme. Muzium ini merupakan kawasan penempatan orang-orang Kristian yang mula-mula mendiami kawasan ini, dan sebahagian besar batu-batuan di sini telah diukir menjadi gereja dan sekolah montessori. 





Uchisar 






Keluarga besar kami di Gureme Open Air Museum

Turkish Icecream yang sedap



Kami berhenti di Hans Restaurant untuk makan tengahari dan solat Zuhur serta Asar. Terlalu banyak pilihan yang ada, hingga bingung dibuatnya! Mujur saya masih mampu mengikuti plan diet saya dengan Myfitnesspal, jadi terkawal juga nafsu makan saya semasa melancong. Takut juga kalau di lapangan terbang KLIA nanti, suami tak kenal isterinya ini kerana tembam! 









Selesai bersolat, kami terus ke sebuah kedai permaidani Turki atau Turkish carpets yang terkenal. Di sini kami di beri demonstrasi bagaimana cara pembuatan karpet dengan tangan, dan dengan menggunakan bahan-bahan semulajadi sebagai bahan pewarna, contohnya bunga matahari untuk warna kuning, teh untuk warna coklat, kulit bawang untuk warna merah, dan sebagainya. Ada sebahagian permaidani ini mengambil masa sehingga setahun untuk disiapkan. 





Sutera yang digunakan di sini juga adalah sutera Turki yang lebih putih dan lebih halus berbanding sutera Cina. Kagum melihat demonstrasi permaidani yang dipersembahkan, ada yang berubah warna apabila dipusingkan, ada yang selembut kapas apabila dipijak, dan ada yang sangat halus buatannya hingga boleh digunakan pada kedua-dua belah. Di Turki, apabila ada rombongan meminang datang, jika tuan rumah suka dengan yang datang, mereka akan menghampar karpet dengan baik. Jika kedatangan itu tidak disukai, karpet itu akan diterbalikkan. Saya terfikir, aniaya juga kalau terlupa nak terbalikkan karpet semula jika semalam orang yang tidak disukai, tetapi hari ini orang yang ditunggu pula datang! 


Demonstrasi sutera

Sambil menghirup kopi Turki panas, satu demi satu permaidani dihampar, untuk memikat hati para pengunjung. 
Tiba saat yang dinanti, ada yang bertanya harga permaidani di sini. Tersedak kopi saya dibuatnya, apabila salah satunya berharga USD35,000 ! Lebih RM100,000 untuk sebuah permaidani! Ada peserta yang berlawak , " Tak mahal, doktor. Harga sebuah Innova sahaja." Saya menjawab, "satu Innova pun saya tak ada! " Detik hati saya, ini bukan karpet mampu milik, ini karpet mampu tengok sahaja! "Dunia, dunia..", saya memujuk hati. 










Karpet "mampu tengok" dan "mampu golek-golek atas dia" je lah.. Tak mampu milik! USD35,000 yang ni lah...

Karpet kecil dari sutera, dengan gambar Istanbul, USD6000 sahaja dik non!

Dari kedai karpet, kami terus ke bandar bawah tanah yang terletak di kawasan Cappadocia ini. Bandar ini dibina oleh orang Kristian yang ingin berlindung semasa mereka diserang oleh musuh. Bandar sedalam 7 tingkat di bawah paras bumi ini sungguh menakjubkan. Walaupun kami hanya boleh sampai ke tingkat ke 4 di bawah tanah, kerana 3 tingkat terbawah sedang dibaik pulih, letih juga menyelusuri jalan sempit dan gua-gua di dalam bandar ini. Mujur juga pemandu pelancong sudah memberitahu awal-awal, orang tua dan yang berbadan besar tidak digalakkan masuk kerana jalan yang sempit. Sempat kami bergambar kenangan selepas berjalan di bandar di bawah tanah ini, lambang kejayaan kami satu kumpulan (maaf gambar tidak jelas, ternyata GoPro tidak hebat dalam mengambil gambar tanpa pencahayaan yang cukup)




Baby cot di sebelah Zetty.. dalam sungguh baby cot, betul-betul tak benarkan anak panjat ni! 

The lowest level we could go, level 4 underground

Dapur

Ruang tamu



Persinggahan kami yang kedua terakhir adalah Mushroom Valley iaitu kawasan batu-batuan yang kelihatan seperti cendawan! Pada masa dahulu orang tempatan menggelarkan kawasan ini "kales" atau istana (castle), tetapi apabila menjadi kawasan pelancongan, orang memanggil batu-batuan tinggi dengan kon dihujungnya ini sebagai "cendawan". 








Encik suami tak ada, unta pun aku cium! Hahahahah...

Sebelum pulang ke hotel, kami singgah di sebuah tempat persembahan di mana kami berpeluang untuk melihat tarian Dervwish yang popular di Turki ini. Pada mulanya saya sangka ia adalah sebuah tarian sahaja. Tetapi apabila selawat mula dibacakan, saya jadi sangsi. "Ini zikir dalam tarian, yang tiada dalil dan nas ni!" Seakan berpadanan dengan isu hangat di Malaysia ketika ini iaitu zikir sambil menari. Malangnya sepanjang upacara kami tidak dibenarkan membuat bising dan tidak dibenarkan langsung untuk keluar dari dewan tersebut. 

Simbolik tarian ini katanya dengan mencapai tahap tertinggi, seolah-olah mereka terbang menuju ke tuhan di langit. Allahu Akbar... sesungguhnya zikir yang terbaik itu adalah zikir dalam keadaan senyap dari hati, bukan lisan semata-mata. Apatah lagi Rasulullah SAW tidak pernah berzikir dalam keadaan menari. 














Dari persembahan Dervwish, kami pulang ke hotel. Ada sedikit hampa hati apabila Mahmet memberitahu, tiada penerbangan belon udara panas dibenarkan untuk esok pagi kerana cuaca tidak baik. Mama berkata, "tak apa, Mama akan solat hajat. Mungkin ini peluang terakhir Mama nak dapat naik belon udara panas. Mudah-mudahan cuaca esok pagi elok. Allah Maha Kuasa. " 

Dalam diam saya mengaminkan doa Mama. Semoga Allah permudahkan apa yang terbaik bagi kami... in shaa Allah... 


No comments:

Post a Comment