Halusnya pekerti warga Turki, setiap penumpang pesawat dibekalkan selipar pakai buang & kit hygiene yang termasuk berus gigi, penutup mata & stokin, agar semua penumpang berasa selesa. Makanan yang disediakan juga menyelerakan
|
Pilihan makan malam nasi dan salmon |
|
Pilihan makan malam nasi dan ayam |
|
Sarapan pagi, |
Alhamdulillah
Allah memberikan nikmat kepada saya untuk tidur di hampir sepanjang perjalanan
yang memakan masa 11 jam. Sejam sebelum mendarat, kami menunaikan solat subuh
di dalam kapal terbang. Solat tiang agama, amalan pertama yang akan dihisab di mizan Allah di akhirat kelak. Wajar solat itu dititik beratkan melebihi segala-gala yang lain, seperti sabda Rasulullah SAW,
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ النَّاسُ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ أَعْمَالِهِمْ الصَّلَاةُ
“Sesungguhnya yang pertama kali akan
dihisab dari amal perbuatan manusia pada
hari kiamat adalah solatnya.”
[Shahih, HR Abu Daud: 964, At-Tirmizi:413,
Shahih Al-Jami’:2571 al-Albani]
Tiba di
Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul,keindahan fajar menyinsing dan dingin
hawa musim bunga menyapa ketibaan kami. Alhamdulillah urusan imigresen dan
pengambilan bagasi berjalan lancar, dan kesemua 25 orang peserta dalam kumpulan
kami, berjalan ke bas pelancong yang disediakan.
|
Terlihat wajah gembira Mama dan Ayah. Alhamdulillah touch down sahaja, Mama terus menitiskan air mata gembira |
|
Selfie pertama di bumi Turki :) |
|
Balai ketibaan Lapangan Terbang Attaturk Istanbul |
Bandar Istanbul masih sunyi, jam menunjukkan pukul 8 pagi pada pagi Ahad, bas kami meluncur membelah kabus. Panel suhu di dalam bas menunjukkan suhu 10 darjah celcius di luar. Tidak sampai 5 minit perjalanan, sudah kelihatan bunga tulips yang mekar indah di tepi-tepi jalan. Hati saya dan Mama melonjak riang. Laut Marmara yang tenang, menambahkan keindahan kota Istanbul yang permai. Hati tidak berhenti mengucapkan syukur di atas kurniaan Allah yang mengizinkan kami berpijak di bumi yang pernah menjadi pusat pemerintahan Khalifah Islamiah ini.
Perhentian kami yang pertama adalah Hippodrome Square yang terletak di hadapan masjid yang menjadi ikon Istanbul iaitu Masjid Biru. Hippodrome ini suatu masa dahulu adalah tempat lumba kuda, di mana ia di ambil dari perkataan Greek hippos (kuda) dan dromos (laluan). Pada hari ini, kawasan ini dinamakan Sultanahmet Meydani atau Sultan Mahmet Square kerana ia terletak di perkarangan Masjid Sultan Mahmet atau lebih dikenali sebagai Masjid Biru.
|
Tulip yang belum berkembang |
|
Laluan lumba kuda di Hippodrome. Saya tidak dapat menyembunyikan rasa teruja melihat bunga tulip yang sangat cantik, Subhanallah. |
|
Ayah bergambar kenangan bersama local tour guide kami iaitu Mehmet, dan Uncle Aziz, salah seorang peserta trip kami ini. |
Puas bergambar dengan bunga-bunga yang indah, kami bergerak ke Topkapi Palace yang berdekatan. Kami singgah sebentar bergambar di hadapan Masjid Biru, dan Ayah membeli roti Turki bersama Nutella yang enak dan murah , hanya Turkish Lira (TL) 2, iaitu RM3.60.
|
Masjid Biru atau Masjid Sultan Mahmet |
|
Hagia Sofya |
Sambil menikmati pemandangan yang indah, saya tersedar langkah Mama Ayah makin perlahan. Walaupun baru sejam berjalan kaki , pasti memamah sisa tenaga mereka yang sudah berusia 70an, apatah lagi belum berehat selepas penerbangan yang panjang. Kumpulan kami sudah bergerak ke hadapan. Mama sudah menyerah, katanya mahu berehat sambil melihat pemandangan sahaja. Saya meneruskan langkah menuju ke Topkapi Palace yang hari ini telah diubahsuai menjadi sebuah muzium.
Bayaran sebanyak 30 TL seorang dikenakan, dan pemandu pelancong kami iaitu Mehmet menceritakan serba sedikit tentang sejarah di sebalik istana Topkapi ini. Istana ini merupakan kediaman rasmi Sultan-sultan di zaman khaliafh Uthmaniah selama lebih 400 tahun,dari tahun 1465 hingga 1856. Pada satu ketika, seramai lebih 4000 orang pernah tinggal di dalam istana ini, pada masa yang sama. Selepas tahun 1856, Sultan Abdul Mejid 1 telah berpindah ke Istana Dolmabache yang lebih mewah, yang terletak di persisiran laut Bosphorus.
Antara yang menarik perhatian saya adalah barang-barang peninggalan para Rasul seperti tongkat Nabi Musa AS dan sepatu yang mempunyai telapak kaki Rasulullah serta janggut Baginda. Turut dipamerkan adalah perhiasan dan barang kemas bersejarah, termasuk berlian atau diamond kedua terbesar di dunia. Malangnya kami tidak dibenarkan mengambil gambar di dalam museum, maka tidak dapatlah saya kongsikan di sini.
Selesai melihat bahan-bahan tinggalan sejarah, saya mengambil peluang bergambar di sekitar istana Topkapi ini, termasuk laut Marmara yang cukup indah.
|
Laut Marmara dari balkoni Istana Topkapi |
Selepas lebih sejam berjalan, kami dibawa makan tengahari tidak jauh dari Masjid Biru. Langkah keluar kami dari istana Topkapi disambut oleh lautan manusia, yang beratur panjang untuk membeli tiket dan memasuki muzium ini. Mujur kami sampai di sini pada awal pagi. Jika tidak, mahu berpeluh juga beratur untuk mendapatkan tiket!
|
Bertemu "pahlawan kecil Turki", yang sedang diraikan untuk upacara berkhatan |
Mama ayah setia menanti di hadapan Aya Sofia, turut berjalan menuju ke restoran Sultan Garden. Makanan Turki serba sederhana, diserikan dengan jus delima yang diperah segar, berharga 5 TL.
Selesai makan, kami terus ke Masjid Biru untuk bersolat Zuhr & Asar secara jamak. Perkarangan masjid penuh sesak dengan pengunjung, kerana hanya orang Islam dibenarkan masuk pada waktu solat . Pengunjung bukan Islam diminta menunggu di luar sahaja.
Sejuk sungguh air paip yang dibuat berwudhu', mengimbau memori ketika saya menuntut di Ireland suatu masa dahulu. Hajat hati ingin berjemaah dengan imam masjid, tetapi hingga jam 1.15 ceramah yang sedang berlangsung belum juga selesai. Memandangkan kami harus berkumpul tepat jam 1.30, kami terus solat jamak dan qasar secara bersendirian.
|
Masjid ini dinamakan Masjid Biru, kerana hiasan dalamnya kebanyakannya menggunakan jubin berwarna biru. |
|
Bergambar kenangan bersama Auntie Aishah dan anak saudaranya Amalina, yang juga merupakan peserta trip ini, di hadapan pintu masuk utama Masjid Biru ini |
Daripada
Masjid Biru, kami bertolak meninggalkan Kota Istanbul untuk meneruskan
perjalanan ke Bursa. Pertama kali dapat melihat keindahan kota Istanbul, yang berbukit bukau dan penuh dengan bangunan lama yang bersejarah.
|
Suhu di luar 14 darjah celcius |
Sejam
setengah selepas bertolak dari Istanbul, kami tiba di pangkalan feri untuk ke Bursa. Antara perkara pertama yang saya lihat adalah sebuah superbike berwarna kuning, mirip motorsikal milik suami saya. Betullah pasangan suami isteri ini umpama manusia dan pakaian, saling melengkapi dan saling merasa kekurangan tanpa satu sama lain. Rindu mula menjetik hati, apatah lagi ketika melihat indahnya bumi Turki dari dalam feri, diiringi burung camar yang terbang bebas, umpama meluncur udara. Teringat saya kepada ayat 19 Surah Al-Mulk :
Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Leka menghirup kopi Turki yang panas dan pekat, tidak terasa perjalanan selama setengah jam dengan feri ini sudah berakhir. Kami kembali ke bas, dan meneruskan perjalanan ke kota Bursa. Masih ada sejam setengah perjalanan yang harus ditempuhi.
Jam 6 petang, kami tiba di Hotel Baia di Bursa. Di kejauhan, kelihatan pemandangan luar kota dan gunung ganang yang dilitupi salji yang memutih.
Alhamdulillah tidak terhingga rasa bersyukur, mendapat tempat tinggal yang selesa setelah lebih 24 jam di dalam perjalanan. Saya pun terasa letih, apatah lagi Mama Ayah yang sudah dua kali ganda usia berbanding saya.
|
Pemandangan dari jendela bilik hotel kami |
|
Setia bersama produk Hai-O walau di mana kami berada |
Makan malam di hotel terasa cukup menyelerakan, apatah lagi apabila disajikan pemandangan kota Bursa pada waktu malam. Mujur saya membawa iPhone saya bersama, kerana kamera semua sudah direhatkan untuk menjana bateri, dapatlah juga mengambil gambar suasana malam di Bursa, dari restoran hotel tempat kami menginap ini.
Perbezaan waktu selama lima jam dengan tanahair, menyebabkan kami mudah untuk melelapkan mata. Malam itu, entah sempat atau tidak saya menghabiskan bacaan tasbih, tahmid dan takbir sebanyak 33 kali sebelum tidur, dek kerana letih dan mengantuk yang amat. Sedar-sedar jam sudah berbunyi jam 4.30pagi.
Bersambung...
best nyer baca. lawa pulak tu bunga-bunga tulip kembang mekar
ReplyDelete