"Keluarga besar" kami di Ephesus, Turkey |
Bayu laut yang dingin mengejutkan kami seawal 4 pagi di Kusadasi. Alhamdulilah walaupun tidak dapat berjemaah untuk solat subuh kerana keadaan bilik yang agak sempit, kami bersyukur mendapat rezeki untuk sujud di muka bumi Allah di Turki ini. Mudah-mudahan di hari akhirat kelak, ada bahagian bumi ini yang akan menjadi saksi kepada Allah SWT bahawa kami pernah bersujud di atasnya, seperti di dalam surah Al-Zalzalah, ketika bumi ditanya :
Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,
Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,
Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?"
Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya:
Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku
demikian).
Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Sarapan pagi di Hotel Royal Palace tidak banyak bezanya dengan hotel sebelumnya. Jika di Malaysia, mewah dengan nasi goreng, nasi lemak, telur dadar dan kuih muih, orang Turki rupanya suka bersarapan keju, buah zaitun, dan roti. Selera tidak selera, makan jugalah untuk mengalas perut. Alhamdulillah syukur dengan rezeki yang tersaji. Kopi panas cappuchino dan pastry menjadi pilihan saya.
Selesai bersarapan, Mama berhajat untuk bergambar di sekitar hotel. Beg-beg kami yang sudah siap dikemas dan diletakkan di luar pintu bilik hotel, dibawa turun oleh bell boy atau porter. Suhu mencecah 10 darjah, terasa dingin dan nyaman.
Lobi hotel |
Ayah bersama Bouraq, pemandu bas kami. Orangnya kacak macam Richard Gere, saya ingatkan dia sudah 40an, rupanya baru 30 tahun! |
Perhentian pertama kami pada hari ini adalah kedai membuat jaket dan barangan dari kulit. Ini adalah signature product atau produk khas dari Turki. Kulit yang digunakan adalah kulit kambing biri-biri yang lembut. Ada yang senipis 0.4cm sahaja, dan selembut sutera, digelar silk leather. Jika dilipat, sehelai jaket boleh dimuatkan dalam sebuah beg tangan kecil.
Lebih menarik lagi, sebuah pertunjukan fesyen khas disediakan untuk kami. Uncle Musa dan anaknya Kamilah dijemput menjadi "model sambilan".
Bandar Selcuk |
Uncle Musa dan anaknya Kamilah |
Jaket ini berharga USD1300 kalau tidak silap saya. Tak dapat beli, dapat pakai pun jadilah :p |
Harga jaket di sini lebih murah berbanding di Eropah. Ada sebilangan pereka fesyen terkemuka seperti Gucci dan Prada, menempah jaket kulit mereka di Turki, dan kemudian apabila sampai di Eropah, ditampal label dan dijual pada harga yang dua hingga tiga kali lebih tinggi. Keyakinan pereka-pereka fesyen terkemuka ini dengan kualiti kulit dan hasil kerja yang halus, pastinya menimbulkan minat bagi pengunjung untuk memiliki sehelai jaket kulit ini.
Melihat-lihat di "showroom", harga jaket yang paling murah adalah USD1000 dan ke atas. Hampir RM4000! Saya berterus terang sahaja dengan jurujual, anggaran belanjawan saya hanya USD400 sahaja. Dengan pantas, beliau menunjukkan saya ruang pameran di tingkat atas, yang menjual jaket-jaket dari musim lalu, dan yang tinggal beberapa saiz sahaja. Anggaran harga pula antara USD 250 hingga USD350. Puas memperagakan beberapa jaket, Alhamdulillah dengan bantuan sahabat baru saya, Kamilah dan Amalina, dapatlah saya memiliki sehelai jaket kulit berwarna coklat, idaman hati saya.
Bersama Kamilah. Tadi di "runway", Kamilah memperagakan jaket seperti yang saya pakai tetapi berwarna hitam |
Jaket pilihan saya. |
Dari kedai barangan kulit, kami bergerak ke Kota lama yang bersejarah iaitu Kota Ephesus. Kota ini dibina sejak tahun 10 sebelum Masihi lagi, dan telah melalui beberapa zaman pemerintahan, termasuk pemerintahan Roman. Apa yang menarik hati saya adalah di sini terbinanya hotel yang pertama di dunia, untuk para pengembara. Turkish Bath atau spa Tukri bermula sejak zaman ini, dan antara orang yang pernah datang ke Ephesus ini adalah Cleopatra dari Mesir.
Ayah dengan topi Turki baru, bersama Uncle Dzul dan Uncle Aziz :) |
Bangunan hotel purba dan Turkish bath, yang pernah dilawati Ratu Cleopatra dari Mesir |
Peminat kucing tegar |
Bersama Amalina dan Kamilah. Mereka sedang belajar di UK, dan datang bercuti di Turki bersama ibu bapa Kamilah |
Tinggalan bangunan perpustakaan |
Stadium |
Kami berjaya berjalan selama dua jam di Ephesus ini! Auntie Zaimah yang sudah 50an pun ceria lagi... |
Saya pun keliru, tulen atau palsu? |
Makan tengahari buffet style |
Bergerak dari kawasan persisiran pantai, ke arah timur Turki, bentuk muka bumi mula berubah. Dari kejauhan saya terlihat satu kawasan gunung yang putih. Hati tertanya-tanya mengapa begitu? Ingin bertanya dengan pemandu pelancong, sedang tidur pula.
Semakin hampir, barulah saya faham itulah yang dinamakan Pamukkale atau Istana Kapas dalam bahasa Turki (Cotton Castle). Kawasan yang merupakan kawasan yang dipelihara oleh UNESCO sebagai salah satu World Heritage ini, terbentuk hasil aliran air panas, yang memendapkan kalsium di atas batu-batu, membentuk sebuah kawasan yang sangat menakjubkan.
Air panas yang membentuk Pamukkale ini bersuhu antara 35 hingga 100 darjah celcius! Tetapi semakin jauh dari sumber mata airnya, suhu turut turun, hingga selesa untuk merendam kaki di kawasan yang kami lawati ini. Suatu masa dahulu sebuah istana iaitu Istana Hierapolis juga pernah dibina di kawasan ini, dan katanya istana sebesar 2700 meter panjang, 600 meter lebar dan 160meter tinggi ini, boleh dilihat dari jarak 20km dari bandar terdekat iaitu bandar Denizli.
Berjalan kaki selama lebih kurang 10 minit dari pintu masuk, kami disajikan dengan padang yang menghijau sejauh mata memandang, tetapi belum kelihatan lagi Pamukkale.
Apabila terpandang sahaja kawasan Pamukkale, hati seakan berhenti berdegup, terlalu kagum dengan keindahannya. Terasa ingin melaungkan lafaz Subhanallah, atas Kebijaksanaan dan Keagungan Allah, mencipta kawasan secantik ini, yang tidak pernah saya lihat di mana-mana pun seumur hidup saya.
Kami diberitahu bahawa kami akan perlu berjalan sejauh lebih kurang 200meter untuk sampai di kawasan air panas itu, tetapi ternyata lebih dari itu! Saya kira, hampir setengah kilometer. Kasihan Mama Ayah, keletihan berjalan, selepas bergambar , mereka duduk sahaja menikmati pemandangan, sambil Mama menggalakkan saya untuk pergi mencuba merendam kaki di kawasan air panas berdekatan.
Puas merendam kaki, menikmati keindahan alam, saya berjalan pulang ke pintu masuk utama, di mana Mama dan Ayah sudah menunggu. Sahabat-sahabat lain masih di dalam, tetapi saya bimbang jika Mama Ayah perlu bantuan. Mujur Mama Ayah baik-baik sahaja, cuaca juga semakin hangat, sesuai dengan kita orang Malaysia
Bergambar bersama pemandu bas kami, Bouraq, sementara menunggu sahabat-sahabat lain kembali ke bas. |
Dari Pamukkale, kami terus ke hotel iaitu Hotel Richmond Pamukkale, yang terletak hanya 10 minit perjalanan dari sana. Hotel ini rupanya ada menyediakan hot spring pool atau kolam air panas untuk para pengunjung. Malangnya saya tidak membawa baju renang Muslimah saya. Kebetulan bilik tidur kami juga menghadap kolam renang utama. Saya yang memang sangat suka berenang, menyesal tidak membaca itinerari dengan teliti dan membuat sedikit kajian terlebih dahulu sebelum bertolak.
Makan malam serba mewah secara buffet, tetapi nasi juga menjadi tumpuan kebanyakkan dari kami. Sambal tempe Mama juga masih berbaki, tambah seleralah saya makan setelah seharian berjalan. Mujur juga saya sudah mula mengawal pemakanan saya sejak dari Malaysia, dalam usaha saya untuk menurunkan berat badan. Manisan dan pencuci mulut sahaja penuh beberapa meja! Alhamdulillah,di dunia pun sudah seenak begini, bagaimana di syurga nanti?
Esok hari, kami akan menempuh perjalanan paling jauh dalam trip ini iaitu dari Pamukkale ke Cappadocia, melalui bandar Konya. Belon udara panas di Cappadocia adalah salah satu kemestian bagi pengunjung, dan saya tidak sabar ingin mencuba bersama Mama dan Ayah. Semoga semuanya dipermudahkan in shaa Allah...
No comments:
Post a Comment