Kami di hadapan Muzium Maulana, Konya, Turki |
Travelog Day 4 : 8/4/15
Hari perjalanan yang sangat panjang. In shaa Allah hari ini kami akan meneruskan perjalanan ke Cappadocia (Kapadokya) yang terletak hampir 700km dari Pamukkale. Kalau diikutkan hati, rasa belum puas di Pamukkale, dan ingin meluangkan masa lagi di Cotton Castle itu, tetapi pastinya masih banyak yang dijanjikan oleh bumi Turki ini untuk kami rasai.
Selepas bersarapan secara buffet di hotel, kami memulakan perjalanan. Seperti biasa pemandu pelancong kami iaitu Encik Safuan akan membacakan doa perjalanan. Kami diingatkan sekali lagi agar berhati-hati dengan barang-barang berharga kami terutamanya wang, kerana ada peserta dari kumpulan lain yang telah kehilangan 3000 TL semasa di Masjid Biru tempoh hari. Sungguhpun nampak aman dan orangnya nampak baik-baik, bukan menjadi lesen untuk kita leka dan lalai.
Kami diberitahu bahawa bandar persinggahan kami untuk tengahari nanti, iaitu Konya, akan mencecah suhu 4 darjah celcius. Dengan informasi ini dan mengenangkan kami akan berjalan jauh, saya mengenakan pakaian yang ringkas dan selesa, serta hangat. Mama dan Ayah pun saya pesan agar berpakaian sedemikian.
Salah sebuah R&R . Ketika ini suhu 4 darjah! |
Semakin jauh perjalanan, semakin daftar suhu di panel bas menunjukkan penurunan suhu. Di dalam bas mewah yang dilengkapi pemanas (dan wifi!) pastinya tidak terasa. Namun apabila bas berhenti untuk berehat seketika, sejuknya itu menusuk hingga ke tulang sum-sum. Ke tandas juga satu cabaran untuk bersuci, airnya sesejuk ais!
Penat tidur dan bangun, membaca ma'thurat dan surah-surah pendek yang dihafaz, sambil melihat keindahan alam di bumi Konya, Alhamdulillah tidak membosankan. Saujana mata memandang, padang hijau yang mendamaikan, saya tertanya adakah itu rumput atau tumbuhan yang ditanam. Rupanya ia adalah gandum! Konya adalah pengeluar gandum terbesar di dunia. Saya terfikir juga, di negara pengeluar bunga tulip, mengapa tidak ada yang dijadikan ladang bunga tulip ibarat di Kaukenhoff di Belanda? Mama menerangkan, semasa zaman kesusahan di Turki dahulu, pemerintah mengambil keputusan untuk tidak menanam tulip, tetapi menanam gandum dan tumbuh-tumbuhan, kerana "tulip tidak mengenyangkan perut rakyat jelata", katanya. Benar sekali, saya kira.
Menjelang tengahari, perut kami mula berkeroncong. Apatah lagi pagi tadi saya kurang berselera untuk makan sarapan. Alhamdulillah apabila terpandang bangunan-bangunan dan menara-menara masjid, saya pasti inilah bandar Konya. Sangkaan saya tepat apabila kami melalui Stadium Konya. Cuma apa yang saya agak hairankan, jika berbanding dengan bandar-bandar lain yang telah kami lalui di Turki ini, semuanya bersih, tetapi di Konya ini ada kawasan yang bertebaran sampah sarapnya (tak ubah seperti Malaysia).
Makan tengahari kami Alhamdulillah sedikit berbeza berbanding sup kacang dhal dan kebab. Hari ini kami makan pizza Turki dan nasi! Walaupun lapar, saya tidak selera makan kerana ada "missed call" dari pihak sekolah anak. Bimbang saya dibuatnya. Hendak menelefon suami pula tiada liputan, wifi juga tidak dapat disambung di kedai makan. Rupanya pihak sekolah hanya ingin mempromosi seminar mereka. Terpaksa juga menanggung kos menelefon suami di Malaysia, hampir RM25 untuk panggilan tidak sampai 3 minit. Namun saya bersyukur semuanya selamat.
Dari restoran, kami bergerak ke Muzium Maulana, iaitu sebuha madrasah yang telah dijadikan muzium. Katanya Maulana ini adalah antara pendakwah yang mula-mula mengajarkan Islam di kalangan penduduk Turki. Kami sedikit resah kerana jam sudah menunjukkan jam 2.30petang, tapi kami masih belum bersolat Zuhur dan Asar. Apabila Mahmet, pemandu pelancong kami mencadangkan agar kami masuk dulu untuk mendengar kisah sejarah, dan kemudian keluar semula ke perkarangan muzium untuk berwudhu di tandas, saya tidak bersetuju. Kasihan Mama dan makcik-makcik yang sakit kaki berjalan jauh ke sana ke mari. Keutamaan solat memang tiada kompromi buat saya. Alhamdulillah Mahmet benarkan.
Selesai berwudhu di tandas (cabaran buat makcik-makcik untuk mengangkat kaki berwudhu di sinki!), kami masuk ke dalam muzium. Rupanya di satu bahagian muzium ini terletak makam Maulana ini bersama anak-anak muridnya. Dari luar bangunan ini kelihatan biasa sahaja, tetapi seni reka bentuk dan hiasan dalamanya memang mempersonakan. Cuma hati saya kurang setuju dengan adanya tempat solat, betul-betul berdekatan dengan makam (yang ditanda dengan binaan-binaan yang amat besar). Saya bimbang ini menimbulkan fitnah, kerana sabda Rasulullah SAW, dari Abu Said Al Khudri : " Bumi ini keseluruhannya tempat bersujud, kecuali kubur dan tandas"(Hadis riwayat Imam Abu Daud (hadis nombor 492)". Tetapi kerana saya kira kepentingan untuk bersolat fardhu itu lebih penting, saya bersolat sahaja di situ. Sekurang-kurangnya tempat ini tertutup dan ada penghalang antara kubur dan tempat solat . Semoga Allah mengampunkan kami andai ijtihad kami ini salah.
Terjumpa sahabat dari UiTM yang turut melancong ke Turki, Dr Fatim |
Maqam Maulana dan ahli keluarga beliau, berserban hijau dan saiznya paling besar. Maqam yang lebih kecil ada yang berserban putih, adalah kubur anak-anak murid Maulana. |
Banyak barang-barang peninggalan Maulana ini ditempatkan di muzium ini, tetapi saya kurang berminat untuk melihat dan tinggal lebih lama di kawasan tersebut, apabila saya melihat ada wanita-wanita yang berdoa sambil menangis-nangis di tepi kubur-kubur itu. Setahu saya tidak boleh berdoa menghadap kubur. Sedangkan di Maqam Rasulullah SAW , untuk berdoa pun harus membelakangkan maqam Baginda (jika berada di luar masjid), dan menghadap kiblat. Allahu alam.
Selesai bergambar dan berjalan-jalan di sekitar muzium, hujan turun dengan lebatnya, melambatkan perjalanan kami hampir setengah jam kerana bas diletakkan agak jauh dari muzium. Kasihan pula orang yang sudah berusia mahu "berlari" ke bas tanpa payung. Alhamdulillah apabila reda, kami meneruskan perjalanan ke Caravananseri yang terletak tidak jauh dari sana.
Tumpang berteduh di kedai cenderahati. Mama kata lelaki Turki ini mirip datuknya yang berdarah keturunan Turki. |
Caravananseri adalah tempat persinggahan untuk para pengembara yang melalui jalan dari Konya ke Cappadocia ini, yang merupakan sebahagian daripada Jalan Sutera (Silk Road) pada zaman dahulu. Caravananseri ini suatu masa dahulu ibarat "hotel" untuk mereka berhenti melepas lelah, tetapi apabila semakin ramai yang berhenti singgah di sana, Sultan ketika itu telah mengambil keputusan untuk membiayai penginapan secara percuma untuk 3 hari bagi semua pengunjung. Untuk apa? (Kalau di Malaysia, semakin banyak sambutan, harga semakin naik, bukan menjadi percuma). Rupanya inilah salah satu usaha dakwah Sultan, agar lebih ramai yang menginap di kawasan ini dan dapatlah mereka menyebarkan ajaran Islam kepada mereka. Subhanallah.. semoga Allah memberkati dan merahmati Sultan itu.
Bersama Auntie Zaimah, Syahida, Encik Safuan, Mama, Ayah & pasangan pengantin baru Khalifah dan Mira di hadapan Caravananseri |
Masih ada lebih 3 jam perjalanan dari Konya ke Cappadocia. Allahu akbar. Walaupun letih, saya cuba menceriakan Mama dan Ayah. Di hati dan fikiran saya sudah terbayang belon udara panas Cappadocia. Dengan diiringi awan yang mendung, hujan gerimis dan suasana petang yang semakin gelap, kami meninggalkan Konya untuk ke Cappadocia...
Bersambung...
No comments:
Post a Comment