Monday 31 December 2018

Ambang Tahun 2019


Entah kenapa malam ini, kenangan 2018 yang paling mengusik jiwa adalah bersama lautan manusia mendengar amanat seorang pemimpin berusia 90an di dalam  hujan renyai-renyai di waktu malam , di Desa Pandan pada Mei yang lalu. 


Semua orang tidak berpayung, kerana tidak mahu mengganggu orang sebelah mahu melihat pentas utama. Kepala bersarung beg plastik , kaki terendam di dalam becak, hati seperti mahu menangis tatkala video seorang atuk berkata kepada seorang cucu bernama Aisyah ," usia Atuk dah tak lama, Atuk nak gunakan sisa-sisa usia untuk tebus kesalahan atuk yang lama."

Begitulah lebih kurang skrip nya.

Malam itu, di celah-celah rumah flat, semua bangsa bersatu. Langsung tiada yang bertolak-tolak. Jika ada kerusi kosong, orang tua dan wanita diutamakan.

Semua mahu Malaysia Baharu.

Selesai berhimpun, semua pulang dengan aman, saya temankan suami pasang bendera pada batang-batang buluh yang panjang, kasar dan berat, di tepi jalan raya, di pondok panas. 

Sayu juga hati saya melihat seorang doktor dan sahabat-sahabat suami saya, ada jurutera, pegawai, businessman dan sebagainya, bertungkus lumus berusaha demi negara tercinta.

Namun, hakikatnya terlalu sedikit sumbangan kita ke arah sebuah negara yang baru.

Alhamdulillah sekarang sudah 7 bulan berlalu.

Dr Wan Azizah, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Baharu, menyeru agar tahun 2019 kita menjadi insan yang lebih baik dan lebih memelihara alam sekitar.

Tun M, Perdana Menteri kita menyeru agar kita menjadikan kejayaan dan kegagalan 2018 sebagai pengajaran untuk kita mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

Ternyata beliau sedang menunaikan janjinya untuk menebus kesalahan lampaunya, dengan sisa usianya.

Berapakah pula sisa usia kita?

Tak kiralah berapa pun yang tinggal, biarlah kita manfaatkan untuk memberi dan terus memberi,

seperti yang Rasulullah pesankan,
خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ

“Sebaik Baik Manusia Adalah Yang Paling Bermanfaat Bagi Orang Lain” ( Hadith Riwayat Imam Ahmad)

Dan firman Allah Subhanallahu Wa Ta'ala
إِنْ أَحْسَنْتُمْ أَحْسَنْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ
“Jika kalian berbuat baik, sesungguhnya kalian berbuat baik bagi diri kalian sendiri”
(Surah Al-Isra Ayat 7)

Semoga tahun 2019, bakal menjadi 

tahun yang paling banyak kita melakukan kebaikan, dalam apa pun bidang kita, dan paling mendekatkan kita dengan kejayaan sebenar, iaitu redha Allah.

In shaa Allah.

Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
31122018
22:41malam
Ambang Tahun Baru 2019

No comments:

Post a Comment