Minggu kedua saya di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah,
jadual sudah semakin sibuk. Hari Isnin, kami menjalankan pre-operative ward
round untuk kes-kes yang akan menjalani prosedur EUA iaitu examination under
anaesthesia pada hari Rabu. Pesakit kanak-kanak ini, ada yang datang dari Tawau, Sandakan, Kota Marudu dan sebagainya. Ada yang terpaksa menaiki kereta selama 7 jam untuk sampai ke hospital. Jika katil sudah ada, bolehlah mereka masuk ke wad. Jika tiada, terpaksalah mereka menumpang di rumah saudara mara di Kota Kinabalu dahulu, esoknya hari Selasa baru boleh masuk ke wad.
Hari Selasa adalah hari saringan mata untuk anak-anak yang
lahir pramatang, untuk kami kenalpasti siapa yang mengalami Retinopathy of
Prematurity. Jika di PPUM, biasanya pesakit di NICU kami periksa pada hari
Rabu, jumlahnya dalam 6-7 orang, dan di klinik pada hari Jumaat, jumlahnya
paling ramai pun dalam 10 orang. Di sini, oleh kerana ia adalah pusat rujukan
tertiary, wad NICUnya sahaja merangkumi seluruh tingkat 3!
Dari klinik hinggalah selesai memeriksa semua
pesakit-pesakit bayi di NICU, saya memeriksa bayi dari pukul 9.30 pagi hingga
3.30 petang, berhenti hanya untuk solat dan makan. Letih memang lah letih, tetapi saya tahu ini adalah satu pengalaman yang tidak akan dapat saya rasai lagi pada masa akan datang. Alhamdulillah juga hari ini kami memeriksa tidak sampai 30 orang bayi. Katanya ada ketika hingga 40 orang bati yang perlu diperiksa. Pastinya sakit juga tengkuk sepanjang hari menunduk memeriksa bayi-bayi kecil comel itu.
Bersama Dr Lee, Pegawai Perubatan , Jururawat Wing dari Klinik Mata & Jururawat Maria dari NICU, selepas selesai kami memeriksa semua pesakit pada pukul 3.30 petang |
Alhamdulillah oleh kerana
Teluk Likas hanyalah 5 minit dari rumah, saya mengajak anak-anak untuk bermain
di taman permainan sambil saya melepaskan lelah bekerja seharian.
Senja di Teluk Likas, yang terletak 5 minit sahaja dari Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah |
Hari Rabu adalah hari pembedahan tetapi semua adalah kes-kes EUA atau examination under anaesthesia. Ertinya anak-anak ini ditidurkan untuk membolehkan kami, doktor-doktor pakar mata, membuat pemeriksaan dengan lebih teliti.
Hari Khamis adalah hari klinik. Dan sememangnya pesakit
tersangat ramai, hingga ada pesakit yang terpaksa menunggu dari pukul 9 pagi
hingga 2 petang! Apa yang menyentuh hati saya, adalah ada pesakit yang datang
dari jauh, perlu bertolak seawal jam 4.30 pagi, mengeluarkan belanja yang besar hingga catar satu van sebanyak
RM200 untuk pergi balik dari Kota Marudu, kerana anaknya tercucuk ranting kayu
dan korneanya sudah ada parut hingga penglihatannya kabur. Bapa pesakit itu seorang petani sahaja. Tidak dapat saya bayangkan betapa susahnya mereka mendapatkan perbelanjaan sebanyak itu untuk mendapatkan rawatan Doktor Pakar. Mujur juga caj hospital kerajaan adalah minimal kerana mereka adalah warganegara.
Seorang lagi wanita muda berusia 22 tahun, anaknya mendapat jangkitan
Cytomegalovirus semasa dalam kandungan hingga mata anaknya tidak sempurna. Sebelah mata anaknya kecil iaitu microphthalmus, dan sebelah lagi juga tidak boleh melihat. Ternyata pemeriksaan kami mendapati anaknya buta kedua-dua belah mata, namun
Subhanallah wanita ini tetap bersemangat dan ceria. Katanya, “saya lihat orang
lain ada anak istimewa pun OK OK saja, mengapa saya nak sedih sedih.” Ma shaa
Allah. Saya ambil sedikit kekuatan beliau, untuk saya kenang sampai bila-bila in shaa Allah.
Sekitar jam 4 petang, ada seorang kanak-kanak berusia 3
tahun masuk ke klinik kami, dirujuk kerana ditumbuk oleh abangnya. Kasihan sungguh adik itu kerana matanya
bocor, ada luka dari satu hujung mata hingga ke hujung satu lagi. Adik itu
dipuasakan untuk dibedah matanya.
Saya pulang ke rumah , mengajak anak-anak bermain ke taman
dan pulang pada waktu Maghrib. Tepat jam 7, hospital menelefon saya memberitahu
yang adik tadi sudah sedia untuk dibedah. Maka saya pun terus ke hospital untuk
membedah adik itu. Rupanya menurut ayah adik itu, abangnya yang berusia 5 tahun
sedang memegang tin sardin ketika menumbuk adik ini, menyebabkan matanya
bocor. Jika tumbukan biasa sahaja, biasanya tidak akan menyebabkan kebocoran.
Dari pukul 8.50 malam, pembedahan selesai jam 11.45 malam.
Saya sudah lakukan yang terbaik, mudah-mudahan adik ini dapat melihat semula.
Oleh kerana sudah jauh malam, saya terpaksa meminta salah
seorang staff menemani saya pulang kerana kawasan rumah saya agak sunyi.
Alhamdulillah tersentuh hati saya apabil melangkah masuk ke dalam rumah, anak
kedua saya masih belum tidur dan dia terus memeluk saya dan menemani saya minum
teh. Anak -anak lelaki saya pula sudah tidur berdua, di dalam bilik saya.
Alhamdulillah saya dapat rasakan ini adalah hadiah dari Allah.
Tatkala saya
berusaha membantu anak orang lain, Allah berikan rasa “independent” terutamanya
pada anak bongsu saya yang berusia 3 tahun itu.
Jika sebelum ini dia akan tidur dengan saya atau dengan maid jika saya
tiada, ternyata sekarang sudah boleh tidur dengan abangnya.
Hari Jumaat, satu hari pembedahan yang menarik kerana kami
ada 4 pesakit katarak kanak-kanak, dan Dr Shuaibah mengajarkan teknik-teknik
pembedahan yang sangat baik, dan membenarkan saya membedah salah seorang
pesakit dibawah tunjuk ajar beliau.
Saya dapat mempelajari teknik pembedahan katarak kanak-kanak atau "lens aspiration" dengan kaedah bimanual iaitu menggunakan satu alat khas dengan kedua-dua tangan. Di PPUM, saya biasa menggunakan satu tangan sahaja. Kelebihan menggunakan kaedah bimanual ini adalah, ia dapat membantu Pakar Bedah membersihkan katarak dengan lebih baik. Dr Shuaibah juga menunjukkan kepada saya cara memasukkan kanta dengan kaedah "optic capture" iaitu jika kanta tiruan tidak dapat dimasukkan ke dalam beg asal, ia boleh diselitkan sahaja pada beg tersebut dengan cara yang istimewa.
Selesai membedah, kami melihat pesakit-pesakit di wad pula,
dan kami pulang sekitar 5.30 petang.
14 Disember sebenarnya adalah ulang tahun ke 3 anak bongsu
saya. Maka kami keluar ke Imago Shopping Complex selepas solat Isyak untuk
meraikan harijadinya.
Alhamdulillah a simple but memorable celebration, kerana
apabila menelefon ayahnya, dia tak henti-henti cerita tentang keknya dan lilin
yang dihembusnya
Dari rumah lagi si Uwais sudah meratib mahu makan kek. Alhamdulillah juga betul-betul berselera dia memakan kek hari lahirnya. Semoga Uwais membesar menjadi anak soleh ya sayang. |
15 Disember, selepas saya menjalankan ward round pada pagi
Sabtu, kami bertolak ke Tuaran. Perjalanan yang mengambil masa 40 minit itu,
agak menarik kerana melalui kawasan kampung, sungai dan bukit bukau. Anak-anak saya sudah beberapa hari asyik
mengajak mandi pantai. Ada beberapa staff di Dewan Bedah yang mencadangkan ke
Pantai Sabandar Tuaran ini, kerana katanya bersih. Nak ke Karambunai , mahal
pula hotelnya.
Perhentian pertama kami adalah Cowboy Town Tuaran. Tiket
masuk adalah RM10 untuk seorang dewasa dan RM5 seorang kanak-kanak. Untuk
menaiki kuda, adalah RM10 untuk satu pusingan dan Rm15 untuk dua pusingan. Pada
pukul 11.30 pagi, kuda akan berehat kerana terik tengahari.
Pada saya kawasan kuda itu biasa-biasa sahaja. Kalau di
kelas memanah anak-anak saya di Gombak, dua pusingan naik kuda baru RM 3
sahaja. Nak beri makan rumput pun , RM2 satu cekak rumput.
Tetapi apa yang menarik adalah Mangrove Park di sebelah
tempat kuda itu. Tempatnya redup, ada laluan untuk stroller, dan anak-anak juga
seronok melihat ketam di kawasan paya itu. Terdapat juga minuman percuma (teh O
ais) untuk setiap pengunjung, yang boleh di ambil di Kafe bamboo. Cumanya air
ini hanya boleh take away. Jika mahu minum di kafe, perlu memesan makanan. Makanannya
juga agak mahal. Satu set nasi dengan ayam percik Rm20, dan satu set makanan
contoh makanan Kadazan, RM 45. Jadi kami take away sahaja minuman kami, sambil
anak bongsu saya makan aiskrim
Sementara menunggu waktu Zuhr, anak-anak mengambil peluang
untuk mewarna batik. Selesa sungguh tempat untuk mewarna batik di sini. Satu
gambar pun murah sahaja iaitu Rm5 untuk gambar yang kecil , dan RM10 untuk
gambar yang besar.
Sempat bergambar kenangan di hadapan lobi utama Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah |
Cowboy Town Tuaran |
Antara kuda yang ada di sana |
Mangrove Park , Cowboy Town Tuaran |
Tempat mewarna batik. Tempatnya selesa, harganya pun murah. |
Selesai mewarna, kami bergerak ke Pantai Sabandar. Niat di
hati nak mencari masjid, tetapi terlepas pandang, sampai ke warung kecil di
tepi pantai. Memandangkan semua orang sudah lapar, kami pun berhenti makan ,
sambil menikmati angin bayu yang nyaman dan anak-anak bermain hammock yang
disediakan. Murah sungguh makanan di sini, nasinya pun banyak. Cuma RM7 satu
pinggan, boleh dikongsi berdua.
Nasi goreng seafood |
Selesai makan, kami singgah solat di Masjid Sabandar, dan
kemudian kembali ke pantai untuk anak-anak bermain dan mandi sepuasnya.
Alhamdulillah ada disediakan bilik mandi yang bersih dan selesa, dengan bayaran
RM2 sahaja seorang, untuk mandi selepas bermain pantai.
Selesai bersalin pakaian, kami singgah semula ke masjid untuk solat
Asar dan terus pulang semula ke Kota Kinabalu.
Pantai Sabandar Tuaran yang bersih |
Bersama anak-anak tersayang. |
Si kakak menakut-nakutkan adiknya yang tak suka air |
Si bongsu dengan bendera Sabah di belakangnya |
Selepas terkena air separas lutut inilah , Uwais terus taubat tak mahu masuk air sudah. Kelakar! |
Bermain pasir sepuas hati, di KL pantai terdekat sejam baru sampai |
Masjid yang terletak kira-kira 500 meter dari pantai. Sangat bersih dan luas, sangat selesa untuk beribadah di sini. |
Ahad 16 Disember, kami bangun seawal pagi untuk menunaikan
solat Subuh, dan bergerak dari rumah sekitar jam 6 pagi untuk ke pasar pagi di
Gaya Street. Jangan salah sangka ya, di Sabah ini 6 pagi tu sudah terang, macam
sudah 7 pagi di Semenanjung. Sengaja saya gerak awal kerana tidak mahu berpanas
di sana.
Dapat sahaja parking, kami terus meneroka Gaya Street.
Banyak sungguh cenderahati, baju-baju, sayur-sayuran, minuman dan kerongsang
yang terkenal di Sabah ini, dijual di sini dengan harga yang amat berpatutan.
Jika di kedai-kedai satu rantai kunci Rm3-5 satu, di sini 7 biji hanya Rm10.
Saya juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba makanan Sabah iaitu kocong
ayam dan kocong daging iaitu pulut yang berisi, yang menjadi juadah sarapan.
Anak lelaki saya pula memilih untuk bersarapan dengan sate.
Kuih muih tradisi Sabah |
Sarapan dulu! |
Kalau tak pegang tangan, boleh hilang anak-anak kat sini! |
Kasihan burung itu kan? |
Beg berbentuk katak. Saya harap bukan kulit katak asli lah. |
Lebih 2 jam kami di Gaya Street, kami ke Pasar Besar Kota
Kinabalu. Segar-segar sungguh ikan dan makanan laut di sini. Ikan masih
melenting-melenting, ketam masih merayap-rayap mahu kembali ke lautan. Udang
saiz sederhana yang di Kuala Lumpur harganya RM39 sekilogram, di sini hampir
separuh harga, RM24 sahaja. Kami sekeluarga memang minat ikan sebelah, dan di
sini ikannya kecil-kecil sahaja. Tetapi murah!
Selesai membeli barang dapur , kami singgah di Plaza KK
untuk membeli sedikit barang keperluan, dan kemudian pulang ke rumah, untuk
memasak makanan laut segar yang dibeli tadi.
Petang ini mertua saya datang in
shaa Allah. Teruja sungguh anak-anak nak dapat luangkan 10 hari dengan datuk
dan nenek tersayang mereka. Alhamdulillah alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment