Showing posts with label azlindarita. Show all posts
Showing posts with label azlindarita. Show all posts

Saturday, 20 July 2019

Pengalaman baru rakaman episod sendiri.

Alhamdulillah semalam dapat merasai satu pengalaman baru, menjalankan pembedahan katarak sambil dirakam oleh pihak media.

Berdebar memang lain macam, dari malam berdoa mudah-mudahan semua OK.

Syukur semua berjalan lancar.





Selesai pembedahan di Dewan Bedah, sambung wawancara dan shooting di klinik pula.

Begini rupanya produksi satu episod. Berbeza dengan wawancara sebahagian dari episod, berita atau majalah seperti sebelum ini.

Belum lagi rekabentuk grafik, voice over dan sebagainya yang akan dijalankan di studio kelak oleh tim produksi.





Tabik saya pada kru media dari Epixaa Film. Sangat professional dan peramah. Dari pagi hingga ke petang bekerja dengan saya, sangat hormat dengan pesakit-pesakit dan staff-staff.

Terima kasih Fakulti Perubatan UiTM & @uitmprivatespecialist atas peluang ini. Semoga ilmu yang dikongsikan akan memberi manfaat kepada masyarakat.


Bila akan disiarkan?

Tunggu semua geng Medical Mythbusters Malaysia selesai shoot 13 episod dokumentari kesihatan kami dengan Epixaa Film, dengan tajuk kami masing-masing ya. In shaa Allah akan kami maklumkan.

Sementara itu produksi video pendek Sembang-sembang Oftalmologi akan diteruskan secara berkala in shaa Allah

Terima kasih atas sokongan kalian.

#draisyahafiz
#oftalmologiUiTM  @ UiTM Private Specialist Centre

Wednesday, 29 May 2019

Tips menyambut Hari Raya bagi ibu ayah bersama bayi kecil





Alhamdulillah lebaran bakal menjelma.

Bagi ibu bapa yang baru menimang cahaya mata, pasti perasaan teruja nak bergambar raya dengan si kecil, ada pertambahan ahli keluarga baru, bercampur baur dengan perasaan berdebar kan?

Apatah lagi sekarang semakin banyak kes penyakit berjangkit seperti demam campak, diphtheria, dan sebagainya akibat ramai orang tidak memvaksinkan anak-anak kerana terpengaruh dengan golongan anti vaksin.

Bayi yang belum mendapat imunisasi yang lengkap, terutamanya bayi pramatang, amat terdedah kepada jangkitan kuman, dan jika jatuh sakit, amat mudah mendapat komplikasi seperti radang paru-paru, jangkitan selaput otak iaitu meningitis, malah keadaan mata mereka boleh menjadi teruk iaitu retinopathy of prematurity semakin merosot.

Saya ingin kongsikan sedikit tips bagi ibu ayah yang ada bayi baru lahir, dan juga orang ramai menjelang hari raya ini.

1) Jika ada bayi baru lahir, terutamanya kurang dari 2 bulan, imunisasi bayi anda belum lengkap lagi.

Sebaiknya tidak perlu ke tempat yang ramai orang berkumpul bagi mengurangkan risiko jangkitan kuman. Kita tidak tahu siapa yang sudah divaksin, siapa yang tidak divaksin, siapa yang sedang sakit dan sebagainya

Faham, raya setahun sekali. Tetapi bayi anda juga kecil sekali seumur hidup sahaja. In shaa Allah tahun depan kita boleh raya sepuas hati ya?

2) Jika tetamu datang ke rumah, sebaiknya mereka tidak perlu mendukung bayi kecil anda. Pakaian dari luar belum tentu bersih. Mungkin sudah terkena asap kenderaan dan sebagainya.

Sebaiknya biar si ibu sahaja yang mendukung bayi. Anggap sahaja bayi itu permata berharga di dalam kaca display ya.

3) Ibu ayah boleh sediakan hand sanitiser untuk para tetamu, letakkan di sebelah katil bayi. Untuk lebih comel, letakkan tanda "Sila cuci tangan anda jika anda sayang saya " dengan satu smiley face.

Kita tak tahu tangan pengunjung sudah menyentuh dan bersalaman berapa ramai orang lain, sebelum mereka mahu menyentuh pipi comel bayi kita yang masih merah ini, kan?

4) Para tetamu juga, mesti mengambil tanggungjawab jika ada batuk, selsema sama ada diri sendiri mahu pun anak-anak, jauhkan diri dari bayi kecil pada jarak sekurang-kurangnya 5 meter. Paling baik, jangan masuk langsung ke dalam bilik yang ada bayi kecil.

Iyalah takut terbatuk di wajah bayi itu, terkena jangkitan, kasihan bayi itu.

Batuk biasa pada kita, jika terkena pada bayi pramatang, boleh menyebabkan jangkitan paru-paru yang serius hingga perlu alat bantuan pernafasan di ICU!

5) Para tetamu, elakkanlah mencium bayi baru lahir pada wajah mereka, terutamanya jika anda ada batuk dan selsema. Ini bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Jika geram sangat dengan kecomelan bayi itu, boleh saja pegang sedikit di tangan atau badan bayi, dan doakan bayi itu mengikut sunnah Rasulullah SAW:

وَإِنِّي أُعِيْذُهَا بِكَ وَذُرِّيَتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

“Dan aku meminta perlindungan untuknya kepada-Mu dan juga untuk anak keturunannya dari syaitan yang terkutuk”

Hadith Riwayat Al-Bukhari (3/110 –As-Sindi) dan Muslim (15/128 Nawawi)

Lebih selamat, pahala pun dapat, kan :) Doa ini adalah dari Surah Ali Imran ayat 36.

6) Pastikan anak-anak kita divaksinkan mengikut jadual imunisasi Kementerian Kesihatan Malaysia, bagi memastikan mereka mendapat perlindungan yang secukupnya dari jangkitan kuman yang merbahaya seperti batuk kokol, demam campak, rubella dan sebagainya.

Pencegahan adalah lebih baik dari merawat.

7) Para ibu yang tersayang, usah bimbang digelar paranoid kerana mahu melindungi bayi kita, ya.

Mungkin ibu bimbang ada suara yang berkata "macam dia seorang yang ada bayi!",  tapi memanglah kita seorang sahaja yang ada bayi kita kan!

In shaa Allah kita hanya mahu yang terbaik untuk bayi kita.

Teruskan penyusuan susu ibu untuk memberikan imuniti pasif kepada permata hati kita, di samping mengambil langkah-langkah penjagaan di atas demi keselamatan dan kesihatan anak-anak kita in shaa Allah.

Walaupun di musim perayaan, jika anak-anak ada sebarang simptom tidak sihat seperti demam yang berpanjangan, sesak nafas, batuk yang berlarutan dan sebagainya, segeralah bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berdekatan.

Semoga Allah melindungi keluarga kita sentiasa in shaa Allah, amin.

Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Pakar Mata,
Ibu kepada 3 anak pramatang.

#draisyahafiz
#sembangsembangOftalmologi
#MedicalMythbustersMalaysia

Alhamdulillah artikel ini telah di kongsikan di page Medical Mythbusters Malaysia dan mendapat 200,000 reach, serta di kongsikan di Majalah Pa & Ma online dan mendapat lebih 28,000 share dalam masa 3 hari ia diterbitkan. Alhamdulillah semoga ia menjadi ilmu yang dimanfaatkan. 

Tuesday, 25 December 2018

Minggu ke dua di Hospital Wanita dan Kanak-kanak, pengalaman yang menginsafkan


Minggu kedua saya di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, jadual sudah semakin sibuk. Hari Isnin, kami menjalankan pre-operative ward round untuk kes-kes yang akan menjalani prosedur EUA iaitu examination under anaesthesia pada hari Rabu. Pesakit kanak-kanak ini, ada yang datang dari Tawau, Sandakan, Kota Marudu dan sebagainya. Ada yang terpaksa menaiki kereta selama 7 jam untuk sampai ke hospital.  Jika katil sudah ada, bolehlah mereka masuk ke wad. Jika tiada, terpaksalah mereka menumpang di rumah saudara mara di Kota Kinabalu dahulu, esoknya hari Selasa baru boleh masuk ke wad. 

Hari Selasa adalah hari saringan mata untuk anak-anak yang lahir pramatang, untuk kami kenalpasti siapa yang mengalami Retinopathy of Prematurity. Jika di PPUM, biasanya pesakit di NICU kami periksa pada hari Rabu, jumlahnya dalam 6-7 orang, dan di klinik pada hari Jumaat, jumlahnya paling ramai pun dalam 10 orang. Di sini, oleh kerana ia adalah pusat rujukan tertiary, wad NICUnya sahaja merangkumi seluruh tingkat 3! 

Dari klinik hinggalah selesai memeriksa semua pesakit-pesakit bayi di NICU, saya memeriksa bayi dari pukul 9.30 pagi hingga 3.30 petang, berhenti hanya untuk solat dan makan. Letih memang lah letih, tetapi saya tahu ini adalah satu pengalaman yang tidak akan dapat saya rasai lagi pada masa akan datang. Alhamdulillah juga hari ini kami memeriksa tidak sampai 30 orang bayi. Katanya ada ketika hingga 40 orang bati yang perlu diperiksa. Pastinya sakit juga tengkuk sepanjang hari menunduk memeriksa bayi-bayi kecil comel itu. 

Bersama Dr Lee, Pegawai Perubatan , Jururawat Wing dari Klinik Mata & Jururawat Maria dari NICU, selepas selesai kami memeriksa semua pesakit pada pukul 3.30 petang


Alhamdulillah oleh kerana Teluk Likas hanyalah 5 minit dari rumah, saya mengajak anak-anak untuk bermain di taman permainan sambil saya melepaskan lelah bekerja seharian.

Senja di Teluk Likas, yang terletak 5 minit sahaja dari Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah

Kepak ayam adalah sajian snek kegemaran kebanyakan orang di sini. Di Teluk Likas ini juga ada gerai yang menjual kepak ayam bersama sate ayam, kambing dan daging. Kepak ayam RM2 satu, sate RM1 secucuk harganya. 


Hari Rabu adalah hari pembedahan tetapi semua adalah kes-kes EUA atau examination under anaesthesia. Ertinya anak-anak ini ditidurkan untuk membolehkan kami, doktor-doktor pakar mata, membuat pemeriksaan dengan lebih teliti.  


Hari Khamis adalah hari klinik. Dan sememangnya pesakit tersangat ramai, hingga ada pesakit yang terpaksa menunggu dari pukul 9 pagi hingga 2 petang! Apa yang menyentuh hati saya, adalah ada pesakit yang datang dari jauh, perlu bertolak seawal jam 4.30 pagi, mengeluarkan belanja yang besar hingga catar satu van sebanyak RM200 untuk pergi balik dari Kota Marudu, kerana anaknya tercucuk ranting kayu dan korneanya sudah ada parut hingga penglihatannya kabur. Bapa pesakit itu seorang petani sahaja. Tidak dapat saya bayangkan betapa susahnya mereka mendapatkan perbelanjaan sebanyak itu untuk mendapatkan rawatan Doktor Pakar. Mujur juga caj hospital kerajaan adalah minimal kerana mereka adalah warganegara. 

Seorang lagi wanita muda berusia 22 tahun, anaknya mendapat jangkitan Cytomegalovirus semasa dalam kandungan hingga mata anaknya tidak sempurna. Sebelah mata anaknya kecil iaitu microphthalmus, dan sebelah lagi juga tidak boleh melihat. Ternyata pemeriksaan kami mendapati anaknya buta kedua-dua belah mata, namun Subhanallah wanita ini tetap bersemangat dan ceria. Katanya, “saya lihat orang lain ada anak istimewa pun OK OK saja, mengapa saya nak sedih sedih.” Ma shaa Allah. Saya ambil sedikit kekuatan beliau, untuk saya kenang sampai bila-bila in shaa Allah. 

Sekitar jam 4 petang, ada seorang kanak-kanak berusia 3 tahun masuk ke klinik kami, dirujuk kerana ditumbuk oleh abangnya.  Kasihan sungguh adik itu kerana matanya bocor, ada luka dari satu hujung mata hingga ke hujung satu lagi. Adik itu dipuasakan untuk dibedah matanya.

Saya pulang ke rumah , mengajak anak-anak bermain ke taman dan pulang pada waktu Maghrib. Tepat jam 7, hospital menelefon saya memberitahu yang adik tadi sudah sedia untuk dibedah. Maka saya pun terus ke hospital untuk membedah adik itu. Rupanya menurut ayah adik itu, abangnya yang berusia 5 tahun sedang memegang tin sardin ketika menumbuk adik ini, menyebabkan matanya bocor. Jika tumbukan biasa sahaja, biasanya tidak akan menyebabkan kebocoran.

Dari pukul 8.50 malam, pembedahan selesai jam 11.45 malam. Saya sudah lakukan yang terbaik, mudah-mudahan adik ini dapat melihat semula.

Oleh kerana sudah jauh malam, saya terpaksa meminta salah seorang staff menemani saya pulang kerana kawasan rumah saya agak sunyi. 

Alhamdulillah tersentuh hati saya apabil melangkah masuk ke dalam rumah, anak kedua saya masih belum tidur dan dia terus memeluk saya dan menemani saya minum teh. Anak -anak lelaki saya pula sudah tidur berdua, di dalam bilik saya. Alhamdulillah saya dapat rasakan ini adalah hadiah dari Allah. 

Tatkala saya berusaha membantu anak orang lain, Allah berikan rasa “independent” terutamanya pada anak bongsu saya yang berusia 3 tahun itu.  Jika sebelum ini dia akan tidur dengan saya atau dengan maid jika saya tiada, ternyata sekarang sudah boleh tidur dengan abangnya.

Hari Jumaat, satu hari pembedahan yang menarik kerana kami ada 4 pesakit katarak kanak-kanak, dan Dr Shuaibah mengajarkan teknik-teknik pembedahan yang sangat baik, dan membenarkan saya membedah salah seorang pesakit dibawah tunjuk ajar beliau.  

Dr Shuaibah memberikan tunjuk ajar kepada saya dengan teknik pembedahan yang baru. Semasa pembedahan katarak, memang dewan bedah akan digelapkan sedikit bagi memberikan imej retina atau refleks merah (red reflex) yang lebih baik kepada Pakar Bedah. 

Saya dapat mempelajari teknik pembedahan katarak kanak-kanak atau "lens aspiration" dengan kaedah bimanual iaitu menggunakan satu alat khas dengan kedua-dua tangan. Di PPUM, saya biasa menggunakan satu tangan sahaja. Kelebihan menggunakan kaedah bimanual ini adalah, ia dapat membantu Pakar Bedah membersihkan katarak dengan lebih baik. Dr Shuaibah juga menunjukkan kepada saya cara memasukkan kanta dengan kaedah "optic capture" iaitu jika kanta tiruan tidak dapat dimasukkan ke dalam beg asal, ia boleh diselitkan sahaja pada beg tersebut dengan cara yang istimewa. 

Selesai membedah, kami melihat pesakit-pesakit di wad pula, dan kami pulang sekitar 5.30 petang.

14 Disember sebenarnya adalah ulang tahun ke 3 anak bongsu saya. Maka kami keluar ke Imago Shopping Complex selepas solat Isyak untuk meraikan harijadinya. 

Alhamdulillah a simple but memorable celebration, kerana apabila menelefon ayahnya, dia tak henti-henti cerita tentang keknya dan lilin yang dihembusnya


 
Dari rumah lagi si Uwais sudah meratib mahu makan kek. Alhamdulillah juga betul-betul berselera dia memakan kek hari lahirnya. Semoga Uwais membesar menjadi anak soleh ya sayang. 


15 Disember, selepas saya menjalankan ward round pada pagi Sabtu, kami bertolak ke Tuaran. Perjalanan yang mengambil masa 40 minit itu, agak menarik kerana melalui kawasan kampung, sungai dan bukit bukau.  Anak-anak saya sudah beberapa hari asyik mengajak mandi pantai. Ada beberapa staff di Dewan Bedah yang mencadangkan ke Pantai Sabandar Tuaran ini, kerana katanya bersih. Nak ke Karambunai , mahal pula hotelnya.

Perhentian pertama kami adalah Cowboy Town Tuaran. Tiket masuk adalah RM10 untuk seorang dewasa dan RM5 seorang kanak-kanak. Untuk menaiki kuda, adalah RM10 untuk satu pusingan dan Rm15 untuk dua pusingan. Pada pukul 11.30 pagi, kuda akan berehat kerana terik tengahari.

Pada saya kawasan kuda itu biasa-biasa sahaja. Kalau di kelas memanah anak-anak saya di Gombak, dua pusingan naik kuda baru RM 3 sahaja. Nak beri makan rumput pun , RM2 satu cekak rumput.

Tetapi apa yang menarik adalah Mangrove Park di sebelah tempat kuda itu. Tempatnya redup, ada laluan untuk stroller, dan anak-anak juga seronok melihat ketam di kawasan paya itu. Terdapat juga minuman percuma (teh O ais) untuk setiap pengunjung, yang boleh di ambil di Kafe bamboo. Cumanya air ini hanya boleh take away. Jika mahu minum di kafe, perlu memesan makanan. Makanannya juga agak mahal. Satu set nasi dengan ayam percik Rm20, dan satu set makanan contoh makanan Kadazan, RM 45. Jadi kami take away sahaja minuman kami, sambil anak bongsu saya makan aiskrim

Sementara menunggu waktu Zuhr, anak-anak mengambil peluang untuk mewarna batik. Selesa sungguh tempat untuk mewarna batik di sini. Satu gambar pun murah sahaja iaitu Rm5 untuk gambar yang kecil , dan RM10 untuk gambar yang besar.

Sempat bergambar kenangan di hadapan lobi utama Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah

Cowboy Town Tuaran

Antara kuda yang ada di sana
Mangrove Park , Cowboy Town Tuaran

Tempat mewarna batik. Tempatnya selesa, harganya pun murah. 

Selesai mewarna, kami bergerak ke Pantai Sabandar. Niat di hati nak mencari masjid, tetapi terlepas pandang, sampai ke warung kecil di tepi pantai. Memandangkan semua orang sudah lapar, kami pun berhenti makan , sambil menikmati angin bayu yang nyaman dan anak-anak bermain hammock yang disediakan. Murah sungguh makanan di sini, nasinya pun banyak. Cuma RM7 satu pinggan, boleh dikongsi berdua.




Nasi goreng seafood

Selesai makan, kami singgah solat di Masjid Sabandar, dan kemudian kembali ke pantai untuk anak-anak bermain dan mandi sepuasnya. Alhamdulillah ada disediakan bilik mandi yang bersih dan selesa, dengan bayaran RM2 sahaja seorang, untuk mandi selepas bermain pantai.

Selesai bersalin pakaian, kami singgah semula ke masjid untuk solat Asar dan terus pulang semula ke Kota Kinabalu.

Pantai Sabandar Tuaran yang bersih
Bersama anak-anak tersayang.


Alhamdulillah gembira melihat anak-anak ketawa riang bermain pantai

Si kakak menakut-nakutkan adiknya yang tak suka air

Si bongsu dengan bendera Sabah di belakangnya

Selepas terkena air separas lutut inilah , Uwais terus taubat tak mahu masuk air sudah. Kelakar!

Bermain pasir sepuas hati, di KL pantai terdekat sejam baru sampai 


Masjid yang terletak kira-kira 500 meter dari pantai. Sangat bersih dan luas, sangat selesa untuk beribadah di sini. 

Ahad 16 Disember, kami bangun seawal pagi untuk menunaikan solat Subuh, dan bergerak dari rumah sekitar jam 6 pagi untuk ke pasar pagi di Gaya Street. Jangan salah sangka ya, di Sabah ini 6 pagi tu sudah terang, macam sudah 7 pagi di Semenanjung. Sengaja saya gerak awal kerana tidak mahu berpanas di sana.

Dapat sahaja parking, kami terus meneroka Gaya Street. Banyak sungguh cenderahati, baju-baju, sayur-sayuran, minuman dan kerongsang yang terkenal di Sabah ini, dijual di sini dengan harga yang amat berpatutan. Jika di kedai-kedai satu rantai kunci Rm3-5 satu, di sini 7 biji hanya Rm10.

 Saya juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba makanan Sabah iaitu kocong ayam dan kocong daging iaitu pulut yang berisi, yang menjadi juadah sarapan. Anak lelaki saya pula memilih untuk bersarapan dengan sate.

Kuih muih tradisi Sabah

Sarapan dulu!

Kalau tak pegang tangan, boleh hilang anak-anak kat sini!

Kasihan burung itu kan?

Beg berbentuk katak. Saya harap bukan kulit katak asli lah. 

Lebih 2 jam kami di Gaya Street, kami ke Pasar Besar Kota Kinabalu. Segar-segar sungguh ikan dan makanan laut di sini. Ikan masih melenting-melenting, ketam masih merayap-rayap mahu kembali ke lautan. Udang saiz sederhana yang di Kuala Lumpur harganya RM39 sekilogram, di sini hampir separuh harga, RM24 sahaja. Kami sekeluarga memang minat ikan sebelah, dan di sini ikannya kecil-kecil sahaja. Tetapi murah!




Selesai membeli barang dapur , kami singgah di Plaza KK untuk membeli sedikit barang keperluan, dan kemudian pulang ke rumah, untuk memasak makanan laut segar yang dibeli tadi.

Petang ini mertua saya datang in shaa Allah. Teruja sungguh anak-anak nak dapat luangkan 10 hari dengan datuk dan nenek tersayang mereka. Alhamdulillah alhamdulillah.

Monday, 12 June 2017

Ketumbit Oh Ketumbit oleh draisyahafiz

Ketumbit tu sebab "mengintai" orang ke? 👀

Sebagai doktor mata, saya selalu dapat soalan ini. 

Jawapannya: TIDAK 

Heheheh (phew!)

Ketumbit adalah akibat bukaan kelenjar air mata dari akar bulu mata tersumbat akibat

1) kelemumur pada bulu mata (blephritis)

2) eyeliner yang tidak dibersihkan

3) habuk dan sebagainya (contoh penunggang motorsikal, pekerja tapak binaan dan sebagainya)

Nama saintifiknya adalah

CHALAZION jika tidak sakit

STYE jika sakit , merah dan dijangkiti kuman

Bagaimana cara merawatnya?

Sila rujuk gambar ya 😁

Jemput share kalau bermanfaat & kenal ramai orang yang selalu kena ketumbit heheh
Ni masa saya kena ketumbit beberapa bulan yg lepas




Peralatan yg diperlukan adalah cotton bud, air suam, baby syampoo yg tak pedihkan mata (janji jgn Johnsons sbb Johnson pro Israel 😑)

Titiskan beberapa titis syampu ke dlm air suam, jadi kan macam air sabun, celup cotton bud dalam air itu
 


Bersihkan kelopak mata di kawasan bulu mata 

Langkah ini dinamakan LID HYGIENE


Dah bersih, ambil air suam yg bersih (bukan air sabun tadi), dlm mangkuk kaca, dan sebatang sudu besi 


Celupkan sudu dlm mangkuk supaya sudu jadi suam


Test atau cuba rasa kepanasan sudu itu. Agak-agak boleh tahan panas & tidak melecur , boleh guna 

Melecur karang panjang cerita pulak 




Tuamkan sudu tadi pada kelopak mata yg ada ketumbit itu. Dalam
3 minit

Kalau nak lebih bagus, guna stop watch ⌚️

Fungsi langkah ini adalah untuk kembangkan saluran kelenjar yg tersumbat & beri laluan utk kekotoran itu keluar
 


Ini antibiotic , jgn beli sendiri, dapatkan dari DOKTOR ya


Ini Cara masukkan ubat ke dalam mata . Tarik kelopak mata bawah dan masukkan


Pegang sekejap dalam 30 saat supaya ubat meresap masuk. Kalau terus tutup nanti ubat terkeluar. 

Kalau lepas 2 minggu ketumbit belum sembuh, mungkin perlu operation sikit untuk keluarkan nanah. 

Bolehlah buat temujanji jumpa doktor mata anda atau call +60 3 6144 1600 Kalau nak jumpa Dr Aisyah heheheh


SEMOGA BERMANFAAT 

#Artikel ini turut disiarkan di dalam OH BULAN dan Medical Mythbuster Malaysia (Disember 2016)

#semua gambar adalah hak milik draisyahafiz.com