Alhamdulillah sedar tak sedar, sudah masuk dua minggu saya bertugas di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah di Likas ini, sebagai sebahagian daripada attachment semasa latihan subkepakaran Oftalmologi Pediatrik saya .
Perkenalan saya dengan Ketua Jabatan Oftalmologi Dr Shuaibah
Ab Ghani hospital ini bermula melalui Dr Mansor Shariff iaitu Ketua Jabatan
Oftalmologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. Melalui perkenalan ringkas
semasa salah satu konferens di Kuala Lumpur Disember tahun lalu, Dr Shuaibah
dengan tangan terbuka, mengalu-alukan hasrat saya untuk datang menimba pengalaman
di hospital beliau, yang merupakan pusat rujukan tertieri untuk seluruh negeri
Sabah Negeri di Bawah Bayu.
![]() |
Kenangan pertama kali berjumpa Dr Shuaibah di Kuala Lumpur, 8 Disember 2017 |
Alhamdulillah juga mentor-mentor saya di Pusat Perubatan Universiti
Malaya (PPUM) semua memberi keizinan untuk saya ke sini selama sebulan.
Pelbagai cabaran juga untuk saya ke sini, terutama dalam mengumpulkan dana dan
mengaturkan logistik, kerana saya mahu membawa semua anak-anak saya sempena
cuti sekolah.
Setahun juga saya berjimat cermat, mengumpul duit untuk membeli
tiket anak-anak, maid dan ibu ayah saya serta untuk membayar sewa rumah di Kota
Kinabalu ini. Oleh kerana sepanjang pengajian dua tahun saya di PPUM,
sebahagian gaji saya dipotong kerana cuti belajar bergaji penuh, saya perlu
merancang perbelanjaan sebaik mungkin.
Sewa rumah di Kota Kinabalu ini agak mahal. Saya cari di AirBnB
dan laman Homestay di Facebook. Jika mahu rumah yang agak murah, sekitar
RM1500-2000 sebulan untuk 3 bilik, terletak agak jauh dari hospital dan saya
akan perlu menyewa kereta. Setelah berbincang dengan suami, kami memutuskan
untuk menyewa rumah homestay, rumah teres 2 tingkat dengan 4 bilik, terletak
betul-betul di hadapan hospital. Sewanya adalah RM3000 sebulan , dan deposit bil
elektrik dan air sebanyak RM500.
Alhamdulilah juga ada salah seorang anak murid saya , alumni
Fakulti Perubatan UiTM , Dr Solehah, yang akan pulang ke Semenanjung pada awal Disember untuk
walimah beliau, maka beliau tinggalkan kereta beliau untuk kegunaan saya di
sini. Alhamdulillah sangat di atas rezeki ini yang amat memudahkan untuk kami
membeli barang keperluan dan sebagainya. Semoga Allah membalas dengan kebaikan jua
buat beliau dan keluarga.
Seminggu sebelum berlepas, ada pertukaran perancangan pula,
apabila ibu ayah saya tidak dapat menyertai saya ke Sabah atas sebab-sebab
tertentu. Pada mulanya suami saya mencadangkan agar saya pergi sendiri sahaja
selama 2 minggu, dan anak-anak akan datang kemudian dengan ibu bapa mertua saya
pada pertengahan bulan. Saya cuba juga bertanya jika ada rumah doktor yang saya
boleh tumpangi selama 2 minggu, kerana tidak berani pula nak tinggal di homestay
seorang diri.
Tapi sehingga 2 hari sebelum berlepas, masih belum ada
kepastian tentang tempat tinggal. Maka suami saya yang risau jika saya pergi
bersama anak-anak dan maid sahaja, takut tidak terkawal anak-anak di lapangan
terbang kelak, beliau pun menempah tiket dan memutuskan untuk mengambil cuti
dan menemankan saya di Kota Kinabalu beberapa hari.
Alhamdulillah penerbangan berjalan lancar, dan ada salah
seorang anak murid alumni Fakulti Perubatan UiTM, Dr Syaniza, turut menjemput kami di lapangan
terbang, dan terus menghantar kami ke homestay kami.
Minggu pertama di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas, Dr
Shuaibah bercuti, jadi jadual tidak terlalu sibuk.
![]() |
Hari pertama di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, bersama di Dr Jessica & Dr Zulhisham, di bilik pemeriksaan di klinik mata |
![]() |
Sebahagian daripada staff Klinik Mata dan Klinik ENT |
Nak dijadikan cerita, anak
kedua saya pula diserang demam dan asthma pada hari ke tiga kami di Kota Kinabalu,
dan terpaksa dimasukkan ke wad pada hari Rabu, yang mana suami saya sepatutnya
pulang ke Kuala Lumpur pada malamnya.
Oleh kerana kasihan melihat saya yang
baru sahaja lapor diri untuk bertugas dan terpaksa bercuti, suami saya sambung
cuti, dan memutuskan untuk tidak pulang ke Kuala Lumpur untuk sama-sama
membantu menjaga anak di wad. Saya ambil tugasan jaga anak pada waktu malam,
kerana siang saya kerja, dan pada waktu siang suami saya yang jaga. Ma shaa
Allah semoga Allah mengganjari kebaikan suami saya.
Alhamdulillah selepas 2 hari, anak kami boleh pulang ke
rumah, dan saya dapat bekerja dengan baik pada hari Khamis dan Jumaat itu.
![]() |
Peralatan yang kami gunakan untuk membuat pemeriksaan kepada pesakit kanak-kanak selepas mereka dibius |
![]() |
Hari Jumaat itu kebetulan ada Christmast Party di Operation Theatre. Kami pun dijemput makan sekali |
Tapi dugaan datang lagi, anak bongsu kami pula yang demam
sehingga 4 hari. Suami saya pula tidak boleh meninggalkan klinik beliau terlalu
lama, tetapi beliau tetap tidak mahu meninggalkan kami anak-beranak selagi
anak-anak kami belum betul-betul sihat. Pada hari Sabtu, kami membawa anak bongsu
kami untuk pemeriksaan di HWKKS. Alhamdulillah juga ada Klinik Pesakit Luar
yang beroperasi hingga pukul 10 malam pada hari Sabtu. Alhamdulillah ujian
darah menunjukkan anak kami tiada demam denggi atau pneumonia yang teruk
seperti kakaknya.
![]() |
Selepas pemeriksaan darah di hospital, kami ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu untuk solat Asar |
Maka pada Sabtu malam, barulah suami saya membeli tiket
penerbangan untuk beliau pulang ke Kuala Lumpur pada hari Ahad. Sudahlah tiket
hari Rabu terpaksa “burn” kerana tidak boleh ditukar jika dalam masa 48 jam
penerbangan, tiket Ahad juga harga sudah melambung tinggi. Mujurlah suami saya
penyabar orangnya. Katanya, “duit boleh dicari, yang penting kesihatan
anak-anak kita.”
Pada hari Ahad pagi, sebelum suami saya pulang ke Kuala Lumpur, sempatlah kami membawa anak-anak ke Muzium Negeri Sabah, melihat keunikan budaya dan tradisi rakyat Sabah, melihat rumah-rumah warisan di Sabah dan merasai pengalaman menaiki jambatan gantung. Anak-anak pun sudah semakin sihat Alhamdulillah.
Pada hari Ahad pagi, sebelum suami saya pulang ke Kuala Lumpur, sempatlah kami membawa anak-anak ke Muzium Negeri Sabah, melihat keunikan budaya dan tradisi rakyat Sabah, melihat rumah-rumah warisan di Sabah dan merasai pengalaman menaiki jambatan gantung. Anak-anak pun sudah semakin sihat Alhamdulillah.
![]() |
Luas kawasan Muzium Sabah ini dan banyak yang menarik untuk dilihat. Dengan bayaran RM 2 seorang dewasa sahaja, saya rasa sangat berpatutan |
![]() |
Antara pameran yang menarik iaitu tradisi "Head Hunter" oleh suku kaum Murut |
![]() |
Suami membawa anak-anak menyeberangi jambatan gantung yang menghubungkan kawasan muzium dan kawasan Kampung Warisan |
![]() |
Rumah Lotud adalah salah sebuah rumah warisan yang ada disini. |
![]() |
Dulu-dulu saya sangka hanya di Sarawak ada rumah panjang, rupanya di Sabah pun ada . Yang ini adalah rumah panjang kaum Rungus yang kebanyakannya tinggal di kawasan Kudat |
Petang itu anak kedua dan ketiga menemani saya menghantar
suami ke lapangan terbang. Mujur juga ada anak-anak. Jika tidak pasti air mata
saya sudah mengalir. Tak terbalas jasa baik suami saya yang amat menyokong dan
memahami perjuangan saya untuk menjadi seorang Pakar Mata Kanak-kanak ini.
Sanggup ambil cuti, berhabis duit membeli tiket, sewa kereta, berjauhan dengan kami
sementara. Hanya Allah yang dapat membalas jasanya in shaa Allah.
Semoga Allah permudahkan semua urusan kami selepas ini in
shaa Allah. Hasbunalllah wanikmal wakeel in shaa Allah.
![]() |
My hero |
No comments:
Post a Comment