Thursday, 28 February 2019
Doa seorang surgeon
Tidak pernah sekali pun, apabila hari operating, hati ini tidak berdebar.
Dari malam lagi sudah tidur awal supaya badan dan minda segar.
Berdoa agar dipermudahkan urusan, jika teringat doa dalam sujud juga semasa solat Subuh.
Doa supaya Allah sembuhkan pesakit, pesakit dapat melihat dengan baik, pembedahan tiada komplikasi.
Sebelum mula scalpel menyentuh pesakit,
Bismillah, doa doa dan doa.
يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ، وَأَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ وَلاَ تَكِلْنِيْ إِلَى نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ
“Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu aku minta pertolongan, perbaikilah segala urusanku dan jangan diserahkan kepadaku sekali pun sekejap mata (tanpa mendapat pertolongan dariMu).”
Jika pesakit Muslim, kita ajak istighfar & zikir juga.
Sepanjang membedah, zikir dan berdoa agar Allah tidak jadikan diri ujub dan riak dengan kebolehan diri.
Serah diri kepada bantuan Allah SWT.
Tak mahu jadi seperti Qarun yang percaya kejayaannya adalah hasil usahanya.
Jika semua berjalan lancar, syukur dan terus berdoa agar pesakit terus sembuh dengan baik.
Ilmu yang Allah beri, minda yang memahami, tangan yang membedah, semua dari Pencipta Sekelian Alam.
Saya yakin begitulah kebanyakan doktor-doktor Muslim.
Tetapi ada juga orang kata perubatan moden ini tidak Islamik, doktor agen Yahudi, semua agenda kaut keuntungan, duit duit duit.
Entahlah.
Saya serah kepada Allah Yang Maha Adil untuk menghakimi.
Siapa kita yang hendak menghukum, sedangkan kita yang akan dihakimi di akhirat kelak.
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Sering terasa paling dekat dengan Allah ketika membedah pesakit.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment