Saturday 23 November 2019

Anugerah Fail Plastik?



Majlis Takrim Sekolah 2019, membawa satu kelainan tahun ini.

Tak lain dan tak bukan, sebab awal pagi saya tinggalkan gelaran doktor (sebab hospital telefon untuk refer case), saya sarungkan vest  hijau terang untuk menjadi AJK keselamatan, bersama barisan Parents Teachers Support Group (PTSG) yang lain.



Tak sampai 15 minit kemudian, tiba-tiba Guru Besar minta saya jadi wakil VIP pula, sebab Presiden PTSG sedang sibuk, maka saya pun masuk bersama paluan kompang ke dalam dewan.


Anak lelaki saya menjadi MC cilik persembahan silat.

Selesai persembahan, terus disambung dengan penyampaian hadiah

Alhamdulillah hari ini detik bersejarah, Allah anugerahkan saya dengan satu perasaan baru.

Ketika penyampaian hadiah, saya ternanti-nanti nama
anak saya Umar.

Satu demi satu saya baca nama yang terpapar di skrin, namanya tiada dalam senarai anugerah cemerlang akademi.

Tiada juga dalam anugerah cemerlang subjek Diniyyah.

Saya tunggu dan tunggu, anak-anak makin sedikit di atas pentas, saya harap dia dapatlah anugerah syakhsiah.

Rupanya tiada juga.

Saya risau juga namanya tercicir, kasihan malu pula dia nanti berdiri di atas pentas.

Ma shaa Allah.

ALHAMDULILLAH, anak saya Umar yang selalu mengingatkan kalau naik kereta, supaya semua orang baca doa naik kenderaan.

Apabila hujan, baca doa hujan.

Apabila saya nak pergi usrah, sentiasa nak temankan sebab katanya "Umar tak suka tengok Ummi seorang-seorang."

Umar yang kalau kuih tinggal satu, akan tanya SEMUA orang nak tak kuih itu dan minta izin untuk makan, kerana dia seorang yang "thoughtful" .

Umar yang selalu "dibuli" dengan adik, tapi tak pernah balas. Apabila adiknya (yang baru 3 tahun) pukul, apabila Umar marah, dia melepaskan marah dengan cara menangis dan bukan memukul kembali.

Pernah dibuli di tempat tuisyen tetapi  dia sabar, kerana saya kata Rasulullah pesan, orang yang kuat bukan yang kuat bertarung, tetapi yang menahan sabar.

Umar memilih untuk memaafkan semua orang yang pernah membulinya.

Mungkin orang lain akan kata dia "lembik", tetapi saya kata dia KUAT.

Umar ini tiada mendapat anugerah pencapaian akademi, subjek diniyah mahupun syakhsiah.

Namun,

Alhamdulillah namanya akhirnya dipanggil untuk Anugerah Pelajar Harapan.

Tiada sijil, tiada hadiah alat tulis seperti kawan-kawan.

Hanya satu fail plastik bertanda "Anugerah Pelajar Harapan."

Bagi orang lain, ini adalah hadiah saguhati sahaja.

Tapi bagi saya, ini satu inisiatif yang bagus dari pihak sekolah, agar semua pelajar diraikan.

Bagi saya, ia cukup menggembirakan hati seorang murid, namanya disebut di sebuah majlis yang dihadiri ibu bapa, dan dapat menerima sebuah hadiah dari tangan seorang murabbi.

Dan yang paling penting, ia satu tarbiyah atau pendidikan hebat, satu jentikan hati yang menusuk qalbu paling dalam, dari Allah SWT buat saya.

Selama ini dua orang anak-anak perempuan saya alhamdulillah cemerlang akademi.

Apabila mendapat anak lelaki yang berbeza, baru saya faham apa erti kata-kata guru "raikanlah anak-anak walau apa pun kejayaan mereka"

Alhamdulillah Umar, Ummi tersangat bangga dengan Umar.

Hari ini semasa dalam kereta, dalam perjalanan pulang dari Majlis Takrim, sekali lagi Ummi sebut, "Ummi bangga dengan semua anak-anak Ummi. Bukan harga hadiah itu yang penting, tapi nilai kejayaan dan akhlak anak-anak Ummi yang penting."

Jawapan Umar sekali lagi hampir membuatkan Ummi menangis sambil memandu.

Umar kata, "Ummi, Umar tahu apa yang lebih bernilai. Iaitu pahala."

Subhanallah, Umar.

Umar amat cemerlang di mata Ummi.

Alhamdulillah.

Haza min Fadhli Rabbi.

Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Ratu Airmata di majlis-majlis anugerah sekolah anak.

No comments:

Post a Comment