Tuesday 8 November 2022

Layan Mak macam puteri raja?

 Hari ini saya amat bersyukur, Allah pilih saya untuk menjadi seorang doktor.


Kenapa?


Bukan kerana saya dapat membedah mata seorang pesakit yang berusia 81 tahun.


Tetapi kerana saya dapat menjadi saksi, kasih sayang seorang anak kepada ibunya.


Seorang anak yang melayan ibunya, seperti melayan seorang puteri raja.


Ibunya bimbang nak menjalani pembedahan, beliau pujuk dengan suara yang lembut.


Ibunya tak larat nak berjalan dari kerusi roda ke katil, beliau dukung ibunya walaupun beliau seorang wanita yang bertubuh kecil.


Apabila wajah ibunya muram sahaja, cepat-cepat beliau kata, "Along ada sini, Mak. You don't worry OK."


Beliau seorang bergelar Dato, tetapi di sisi ibunya, beliau merendahkan diri, serendah-rendahnya.


Ma shaa Allah, semasa menjalankan pembedahan buat ibunya, kataraknya agak keras dan sukar dikeluarkan.


Saya berdoa," Ya Allah, kau tolonglah aku ya Allah. Orang ini baik, ya Allah. Anaknya baik. Mesti mereka sedang berdoa ya Allah."


Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar. Pastinya berkat doa semasa hujan juga, di bumi Shah Alam ini. 


Saya bersaksi, bahawa anak itu adalah anak solehah. Mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusan keluarga ini in shaa Allah. 


Amin ya Allah.


Terima kasih ya Allah atas peringatan ini.


Dari Abdullah bin Mas”ud katanya, “Aku bertanya kepada Nabi Shallallahu alaihi wa sallam tentang amal-amal yang paling utama dan dicintai Allah ? Nabi Shallallahu alaihi wa sallam menjawab, "Pertama solat pada waktunya (dalam riwayat lain disebutkan solat di awal waktunya), kedua berbakti kepada kedua orang tua, ketiga jihad di jalan Allah”.


[Hadits Riwayat Bukhari I/134, Muslim No.85, Fathul Baari 2/9]


Semoga kita semua juga dapat berbakti kepada ibu bapa kita sehingga akhir hayat mereka in shaa Allah.



#drazlindarita

#ophthalmologist

#kisahkehidupanDrAzlindarita

No comments:

Post a Comment