Thursday 24 November 2022

Pesanan Ayah buat sahabat yang gagal.

 Pesanan Ayah buat sahabat yang gagal.


November 2011, saya menduduki peperiksaan Masters of Ophthalmology bahagian 2 di HUSM Kubang Kerian, Kelantan.


Sejak dari peperiksaan bahagian pertama semasa tahun satu lagi, saya memang "the underdog" . Tiada siapa sangka saya akan lulus dengan satu kali percubaan kerana saya memasuki alam Sarjana Oftalmologi dengan pengalaman 3 bulan sahaja.


Kawan-kawan yang lain, ada yang sudah 3 tahun dalam bidang Oftalmologi.


Saya, semasa masuk Masters, jangankan buat pembedahan katarak, buat laser pesakit pun belum pandai.


Antara mentor yang saya tak akan lupakan adalah Dr Fiona Lee Min Chew, yang rajin membebel dan mengajar saya macam-macam ilmu di klinik.


Alhamdulillah, peperiksaan bahagian pertama, saya lulus. Kemudian saya lalui tahun dua dan tiga dengan pelbagai cabaran, termasuk pendarahan semasa hamil dan melahirkan Umar, anak ketiga kami. 


Peperiksaan bahagian ke dua, yang berlangsung pada tahun ke tiga, adalah ujian sebenar kelayakan seseorang bergelar Pakar Oftalmologi.


Kami diuji secara teori dan klinik. Ada kes pendek, kes panjang dan viva voce. Peperiksaan berlangsung hampir 2 minggu. 


Banyak betul dugaan saya semasa peperiksaan itu, saya kena kongsikan waktu lain in shaa Allah.


Tetapi, alhamdulillah, semua atas takdir Allah, hari keputusan keluar, saya lulus!


Malah menurut kerani Jabatan Oftalmologi yang melihat markah, beliau kata saya mendapat markah tertinggi untuk viva voce, untuk semua pelajar Masters yang menduduki peperiksaan dari seluruh Malaysia (UM, UKM & USM) untuk November itu.


Alhamdulillah, syukur.


Haza min fadhli Rabbi. 


Saya masih ingat dengan jelas, pada hari itu, selesai solat Zuhr dan sujud syukur, saya terus menelefon rumah.


Ayah yang menjawab telefon.


Apabila saya menyampaikan khabar gembira itu, suara Ayah sebak.


Ayah ucapkan tahniah.


Pastinya hati saya berbunga ria dan bangga. Maklumlah, saya memang anak Ayah. 


Namun, apa yang Ayah saya katakan seterusnya, amat mengejutkan dan menginsafkan saya.


Ayah tanya, "How's your other friends? Semua lulus? All 7 of you passed?"


Ma shaa Allah itulah Ayah. Ayah seorang yang sangat berjiwa besar.


Saya maklumkan kepada Ayah, daripada 7 orang, hanya 3 orang lulus kali ini. Antara yang belum lulus adalah study buddy saya.


Ayah terus berpesan," You must see your friends who didn't make it. Or at least call them. Calm them down, and tell them not to give up. Bagi semangat pada mereka."


Kalau tadi, suara Ayah sebak. Kali ini, hati saya yang sebak.


Ayah mengajarkan saya, satu pelajaran yang jauh lebih penting dari kejayaan saya dalam Masters.


Iaitu empati.


Meletakkan kita di tempat orang yang dilanda kesedihan. Dan tidak berbangga dengan kejayaan di saat ada kawan kita yang mungkin sedang patah semangat.


Inilah kisah yang saya ceritakan kepada anak-anak saya, tentang bagaimana cara kita meraikan sebuah kejayaan.


Ya, pastinya tidak salah meraikan sebuah kejayaan, kerana kejayaan itu adalah anugerah dari Allah. Seperti kejayaan Rum yang dijanjikan Allah dalam surah Rum ayat 4 hingga 6.


Allah SWT boleh memenangkan sesiapa yang Dia mahu, dan mengalahkan sesiapa yang Dia mahu.


Jadi bukankah kemenangan itu sesuatu yang baik? 


Mari kita renungkan hadith Rasulullah ini.


Dari Abu Yahya Suhaib bin Sinan radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:


عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

“Sangat ajaib keadaan seseorang yang beriman, sesungguhnya segala urusannya adalah baik, dan itu tidak terjadi kepada seseorang kecuali hanya bagi orang yang beriman. 


Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur, maka demikian itu kebaikan buatnya. Dan jika dia mendapat kesusahan, dia bersabar, maka demikian itu adalah kebaikan buatnya.”


(HR Muslim)


Rasulullah SAW pun takjub dengan orang mukmin, tetapi yang baik itu bukan KEBAIKAN seperti sebuah kemenangan atau kesusahan seperti kekalahan.


Tetapi yang baik itu adalah sebuah SYUKUR dan SABAR seorang mukmin.


Kesusahan, jika ia mendekatkan kita kepada Allah, ia sebenarnya adalah rahmat Allah.


Namun kebaikan, jika ia menjauhkan kita daripada Allah, ia sebenarnya adalah musibah.


Allahu Alam.


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Coretan pasca 24.11.2022


#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita



No comments:

Post a Comment