Thursday, 22 August 2019

Maldives : Bagaimana menikmati percutian di resort persendirian tanpa perlu bayar RM16,000 satu malam seperti artis ?



Jika kita Google gambar percutian di Maldives, pastinya gambar yang paling banyak keluar adalah gambar-gambar percutian di pulau-pulau persendirian atau resort . 

Di Maldives, rupanya ada dua jenis percutian, seperti yang saya ceritakan dalam post sebelum ini, iaitu "resort based" dan "guest house based" . 

"Resort based" ini kebiasaannya lebih mahal, satu malam jika mahu tinggal di vila di atas air, paling murah pun RM3000 satu malam. Ada artis macam Hanis Zalikha dengarnya pernah ke Maldives dan tinggal di resort yang satu malam RM16,000 ya? 

Tapi itu bukan resort paling mahal tau. 

Paling mahal? 

Fuuuhhh...

Tarik nafaasss...

Lepasss...

USD 50,000 satu malam ! RM200,000++! 

YA! Resort ini dimiliki oleh pemilik Louis Vuitton , dan satu bilik adalah satu pulau kecil, siap dengan personal butler, amekaw! Boleh tengok gambarnya di sini 

Ini pengalaman sahabat kami, Mr Abdul Rasheed seorang usahawan Maldivian yang pernah dijemput ke pulau tersebut suatu masa dahulu. Kata beliau satu bilik tu, lengkap segala kelengkapan, dari pencungkil gigi, setem, minuman, makanan , bath robe, segala-galanyalah. Sampai kata beliau tak terfikir apa yang tak ada. 

Tak payahlah mewah sangat kan, kita bukan nak semewah itu. 

Bercuti ala rakyat marhaen macam kami ni, kami ambil pakej guest house, dan naik Air Asia, boleh juga bercuti ke pulau persendirian. Mari saya ceritakan bagaimana. 

Kenangan manis di Adaaran Club Rannalhi

Penerbangan Air Asia kami dari KL bertolak 6.55 petang, tetapi kerana ada perbezaan waktu 3 jam, kami sampai di Velana International Airport lebih kurang jam 8.30 malam. 

Sampai sahaja di Arrival, ada gadis Maldives yang memegang board dengan nama “Arena Hotel”. Saya pun angkat tangan dan senyum padanya. Dia pun terus menunjukkan saya tempat menunggu.

Sepatutnya bot bertolak jam 9.30 malam, Tetapi kerana ada 2 orang tetamu Hotel kami yang belum sampai, boat kami akan hanya bertolak, pukul 10 malam. Saya pun mengambil peluang membeli sim kad Dhiraagu USD 20 yang membolehkan saya menggunakan 17GB data dalam masa 7 hari. Jika mahu 10GB sahaja, adalah USD15, tapi saya tamak hahahaha. 

Wifi disediakan di hotel (guest house) tempat tinggal nanti dan di resort yang akan dilawati dan kelajuannya pun ok, tetapi saya jenis tidak suka internet terputus-putus dan suka buat coverage LIVE haha. Maka apalah sangat USD 20 tu kan. Lagipun senang sedikit nak whatsapp videocall dengan anak-anak . 


Alhamdulilllah seronoknya melancong ke negara Islam ini adalah ada tempat solat yang selesa. Cuma di sini tiada tempat ambil wudhu, maka perlu ambil wudhu di toilet. Lucunya, saya masih belum sedar yang warga Maldives atau Maldivian tidak cakap Melayu. Mentang-mentanglah muka mereka ala-ala Melayu, saya bantai cakap Melayu dengan mereka hahahah.

Di surau mereka ada disediakan selipar untuk mengambil wudhu.

Bilik solat di Velana International Airport, Male Maldives 

Semasa di dalam kapal terbang, kami duduk di sebelah warga Maldives yang baru pulang menziarahi anaknya di UIA. Beliau memaklumkan kepada kami yang Maldives ada 1190 buah pulau! Wow! Tapi hanya 190 buah pulau yang ada didiami penduduk. 

Saya pun bertanya, berapa jauh pulau Maafushi iaitu pulau di mana hotel kami berada, dengan pulau Male. Kata beliau, naik bot 45 minit ! Huhuhuuuuu  seriaauuuu…. Saya baru tahuuuu… 

Maka masa solat Maghrib dan Isyak jamak tu saya doa lebih sikit lah. Heheh 

Inilah Encik Shareef yang baik hati, baru berkenalan di dalam kapal terbang, siap tunggu hingga barang kami sampai, kemudian beri kami duit, whatsapp pastikan kami dah sampai hotel, kemudian ajak kami visit beliau di Male. Baik sungguh ma shaa Allah 


Gambar-gambar sekitar Balai Ketibaan Velana International Airport 

Ruang menunggu 




Alhamdulillah pukul 10 malam, kami pun dibawa ke bot. Kagum juga bot tu kelihatan eksklusif, siap ada nama Arena Hotel. Sampai tepi jeti kawasan berbatu, mereka suruh tinggalkan beg, nanti mereka angkatkan. Baik sungguh.



Menaiki bot pada waktu malam gelap, bot pula laju. Huuuu keciiil sangat rasa diri ini. Saya dan suami pakai lah life jacket. Iyalah apa-apa jadi ada jugalah tempat mengapungkan diri. Saya pandang langit, harap-harap nampak bintang, tapi cuaca mendung. 

Lebih kurang 25 minit dalam perjalanan, HUJAN ! 

Laut bergelora, tapi hati saya lagilah bergelodak! 

Ma shaa Allah masa itu Allah saja yang tahu, rasa dalam hati. 

Kalau karamlah, jumpa tak mayat saya agaknya. 

Huhu jauh sungguh imaginasikan?

Tapi Alhamdulillah tidak lama lepas tu saya nampak daratan. Saya doa sungguh-sungguh harap-harap itulah pulau kami. Alhamdulillah dah sampai Maafushi Island. Sampai sahaja jeti, hujan pun dah renyai-renyai

Sesudah mengucapkan syukur kerana selamat sampai berpijak di bumi nyata, terus selfie. Haaa nampak tak penyakit di situ hahahahahah

Kami check in, waktu dah pukul 11 malam di sana. Di Malaysia dah pukul 2 pagi tu. Tapi Alhamdulillah mereka tetap sambut, ada welcome towel, ada welcome drink, ada makanan lagi mereka tapau untuk kami. Yang paling penting, ada wifi password  hehe.

Alhamdulillah sampai sahaja, beg mereka bawakan naik motor , kami jalan kaki redah becak. Tapi ok lah, we are not fussy. Air oren pun best . 

Di lobi ni, kena bagi passport sebentar untuk mereka ambil rekod, kemudian mereka akan pulangkan semula. Ada staff akan terangkan waktu sarapan pagi (7 -10 pagi), waktu untuk pergi resort esok pagi (10 pagi jadi 9.45 dah kena ada di lobi), waktu untuk romnatic dinner boleh pilih (kami pilih pukul 7 petang lepas Maghrib) 

Ada blog kata makanan kat sini "hit and miss", ada kala sedap, ada kala tak. Saya kata SEMUA SEDAP. Mungkin saya baka seleraaaa je sebab tu BMI susah nak turun dari 24. Akak redha 

Baru sampai dah double chin. Udara tepi pantai membuatkan manusia mengembang barang kali. 



Alhamdulillah lebih kurang midnight, selamatlah kami masuk ke bilik kami yang dihias indah dengan daun pandan dengan perkataan “Happy Honeymoon”. Cuma saya tak faham sikit kenapa ada lambang bintang Israel kahkahkah.


Ok esoknya, sebelum kami sarapan, jalan-jalan tengok matahari terbit . Orang kata kalau nak ambil gambar cantik, waktu pagi sebab manusia ramai belum bangun tidur. Saya bercita-cita nak baca ma'thurat tepi pantai lah. Sudahnya bergambar je lebih. Astaghfirullah insaflah wahai kakak... 

Entah kenapa gambar ni nampak nacam sunset huhu



Kami sempat ambil satu gambar ni sahaja tanpa orang lain, kemudian dah ramai umat nak ambil gambar dengan buaian ini . Mujurrr




Selepas sarapan pagi yang sangat meriahnya, siap dengan chapati dan kari ikan,  kami pun menaiki bot ke Adaaran Resort Rannalhi. 

Resort ini tak jauh dari pulau Maafushi iaitu lebih kurang 25 minit dengan bot. Resort ini adalah pulau persendirian , jika nak pergi perlu bayar USD105 seorang, untuk bayaran masuk, minuman all day, snack pagi dan petang serta buffet lunch. 

Ahaaaa untuk orang yang kurang mampu nak duduk resort mahal macam ni (macam kami), dapat lawati pun kira ok lah kan. Kalau lihat di Agoda, bilik standard iaitu bilik di atas tanah di pulau ini adalah lebih kurang RM700 satu malam, dan banglo di atas air adalah RM5000 satu malam, selepas diskaun adalah RM1300-RM1700 satu malam full board iaitu termasuk sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. (Biar benar Agoda ni diskaun banyak tu.. hmmm)

Alang-alang sekali seumur hidup sampai di sini, kami pun ambil peluang ambil gambar lah sebanyak-banyaknya hahahaha.

Layaaan....

Gambar ni saja tour guide ambilkan setibanya kami di pulau ini. Yang lain kami selfie atau pakai tripod. Ya tripod ya. Gigih!




Welcome drink, ice lemon tea pun macam extra sedap di sini heheh. Sampai sahaja, selepas dipakaikan gelang pengenalan sebagai day guest, kami diberi briefing tentang tempat-tempat di pulau ini.  Peralatan snorkeling, daybed, tuala semua disediakan jika mahu gunakan, semua percuma (sudah termasuk dalam bayaran) 


Di belakang saya itu adalah standard rooms yang harganya RM700 satu malam. Di pulau ini rata-rata penghuninya mat saleh dan orang Arab sahaja

Kawan-kawan yang kami berkenalan di pulau ini, Mas Henry dan isterinya dari Jakarta, dan sahabat dari China (bertopi) 

Minum pagi di cafe

Pemandangan dari kafe

Air ini percuma sepanjang hari 

Snacks 

Samosa sedap, iyalah rempah ratus mereka import dari Sri Lanka dan India kan 

Password Wifi diberikan begini

Tengahari buta pun nak posing kahkahkah 

Ada juga kawasan yang rimbun dan redup




Dah puas posing, kita makan tengahari 


Daging halal!



Sibuk je tangan orang ni nak photobomb. Tapi bagus juga ada gambar gelang tangan tu 


Nampak sedap kan kambing ni?

Ahaaa kena hati hati sebab kambing ni dimasak dengan alkohol jadi tak halal... sila baca label 



















Aiskrim pun punya lah banyak perisa sampai tak tahu nak pilih perisa apa 




Punyalah sedap daging tu ma shaa Allah sampai saya nak nangis makan .Tak pernah pergi holiday dapat makan puas macam kat Maldives ni. Pergi Krabi makanan tak halal jadi kena hati-hati kalau packed lunch pun. Pergi Koh Lipe makanan halal mahal. Ni dah termasuk pakej 

Ni panduan label dia. Ada juga pork kengkadang sila hati-hati


Selepas jalan-jalan dan makan tengahari, saya ke spa untuk merehatkan badan, dan Encik Suami pun dapatlah berehat daripada melayan saya haha . 

Sebenarnya dah tak tahu nak buat apa pun iya juga kahkahkah. Nak berenang panas berdenting. 

Encik Suami solat di surau, saya pun ambil peluang mandi di spa tumpang solat di sini kemudian berurut. Tukang urut pun dari Indonesia. 

Harganya USD48 untuk 50 minit, memang agak mahal, tetapi pengalaman lah berspa di Maldives, sambil dengar bunyi ombak, dan dibayar oleh Encik Suami kan. Itu yang penting. Bukan selalu nak paw suami kan 





Selepas berurut ingat nak pergi berenang, tapi panas, jadi malas 

Encik Suami muka happy dapat main phone selama sejam masa saya berurut hahahah
Antara hammock dan daybed yang disediakan untuk kegunaan day guest, secara percuma

In shaa Allah satu hari nanti kami akan datang lagi

Minum petang dengan cekodok jagung yang sedap ya ampun 


Waktu petang selepas minum petang, kami bertolak balik ke Maafushi Island semula, dan kami menyaksikan sunset yang cantik Subhanallah .

Waktu Maghrib di sini adalah awal iaitu pukul 6.15 petang. Selepas solat, kami turun untuk romantic dinner. Seronok betul di layan seperti VIP. Tengoklah video ini. Hehe jakun sungguh saya dengan hiasan meja makan yang sungguh istimewa ini.



Sweet kan hiasan meja ini

Pertama kali dalam hidup saya dapat romantic dinner secantik ini 


Bulan mengambang yang cantik ma shaa Allah 

Waiter kami malam itu, Sudeep dari India yang sangat ceria. Terima kasih kepada Arena Hotel kerana menyediakan servis yang sangat baik 

Alhamdulillah begitulah pengalaman saya untuk hari ke dua di Maldives. In shaa Allah nanti saya kongsikan pula pengalaman snorkelling di Maldives ya

Sunday, 18 August 2019

Maldives, nak ikut travel agency ke nak jalan sendiri?


Maldives

Jika anda masukkan kata kunci “10 pulau peranginan tercantik di dunia”, PASTI Maldives akan tersenarai dalam mana-mana senarai laman web yang anda lawati.

Saya cuba masukkan di Google, di themysteriousworld.com , Maldives tersenarai di tempat pertama. Begitu juga di planetware.com. Di www.islands.com, Maldives turut tersenarai sebagai 16 pulau tercantik di dunia, bersama-sama Bora-bora, Fiji dan Hawaii.

Minat untuk melancong ke pulau-pulau ini bermula pada tahun 2012. Mungkin kerana saya pernah belajar di Eropah dan berpeluang untuk melancong ke beberapa buah negara di sana, saya ingin mencuba untuk melancong dan melihat suasana yang berbeza pula. Tidak dapat dinafikan, kos untuk berlibur ke tempat-tempat yang jauh pasti lebih tinggi berbanding kawasan sekitar Asia .

Bermula dengan Krabi , saya berjinak-jinak dengan snorkelling ke Koh Pi Pi, bersiar-siar ke James Bond Island di Thailand, tahun seterusnya saya ke Koh Lipe Thailand dan minat saya semakin membuak-buak untuk melihat keindahan alam di bawah laut, melihat batu karang yang berwarna warni, menyaksikan ikan yang berlainan spesis dan warna menari-nari di celah-celah terumbu karang yang indah. 

Pengalaman berjalan di dasar laut atau sea walking di Bali, dan seterusnya melihat betapa menakjubkan flora dan fauna dasar laut di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, saya tekad untuk memanjangkan langkah saya ke Pulau tercantik dunia iaitu ke Maldives.

Kenangan terindah di Adaaran Resort Rannalhi bersama suami tercinta 

Sebelum ke sana, saya membaca beberapa coretan blog, dan kisah-kisah pengalaman sahabat-sahabat yang sudah menjejakkan kaki ke sana. Ada yang memilih untuk tinggal nun jauh ke selatan Maldives untuk berenang dengan whale sharks, hingga sanggup menaiki feri selama 7-8 jam dari Male iaitu ibu negara Maldives.  Ada yang memilih untuk menghabiskan RM50,000 untuk percutian seminggu kerana mahu tinggal dengan mewah di resort banglo di atas air dan makan di restoran di bawah air.

Semuanya bergantung kepada apa kemahuan dan kemampuan masing-masing. Tepuk dada, tanya selera.
Kalau saya, tepuk dada , tanya poket sendirilah haha.
Takkan sampai nak berhutang semata-mata untuk bercuti, kan?

Ok tujuan saya nak ke Maldives, nombor satu adalah sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan saya dan suami yang saya cintai , yang ke 16. Terlalu banyak jasa dan pengorbanan beliau selama beliau menjadi suami saya. Dari saya sebagai pelajar perubatan, sambung Masters, sambung sub kepakaran, sekarang sedang nak membina kerjaya di bahagian UITM Private Specialist Centre pula, kadang kerja hari Sabtu, hingga malam hari. 

Beliau sentiasa sabar dan menyokong saya. 

Saya nak ke persidangan, beliaulah yang selalu sokong saya. Temankan saya, jika tak mampu temankan, akan galakkan saya pergi untuk tambah ilmu. Pendek kata tak terbalas dengan kata-kata. Sekali sekala saya nak hadiahkan beliau dengan masa saya yang tidak berbelah bagi , hanya untuk beliau.



Nombor dua, pastinya untuk menambah pengalaman saya snorkelling, belajar budaya saudara seagama kita di Maldives, di samping menikmati keindahan alam ciptaan Allah Subhanahu wa Taala.

Ok bila dah tetapkan matlamat, kita kena ada plan . Perancangan saya, saya budget sekitar RM7000-8000 sahaja, dan saya ada masa sekitar 5-6 bulan untuk kumpul duit. Macam mana nak kumpul duit? Kalau perlu locum, locum lah. Jika nak kumpul dari duit gaji, silakan. Jangan pula swipe credit card berlebihan kemudian berhutang ya. Tak bijak begitu.

Oleh kerana ini kali pertama kami nak ke negara asing, saya kurang gemar nak back packing atau mencari jalan sendiri. Entahlah mungkin faktor usia dah nak masuk ambang 40an, kami lebih suka pergi dalam keadaan relaks. Jadi saya ambil keputusan untuk mengambil tour agency semasa MATTA FAIR bulan Mac, kerana saya merancang untuk pergi pada bulan anniversary kami iaitu Ogos

Mengapa cari di Matta Fair? Kan sesak? Online kan senang?

Kerana jika di Matta Fair, saya yakin syarikat itu berdaftar, dan saya tahu mereka ada office yang saya boleh kunjungi kemudian. Kalau di online, saya tak pasti mereka ni scam ke, apa ke kan.

Lagipun di Matta Fair saya boleh bandingkan harga. Cuma memang kena sabar lah sedikit pusing-pusing tu.

Jadi selepas survey punya survey, saya lihat D Asia Travel ini antara yang paling murah, dan booth nya juga agak besar. Staff nya juga friendly, bersungguh-sungguh melayan pertanyaan saya walaupun saya pakai agak sempoi masa tu. 



Ada banyak pilihan, ikut budget masing-masing. Kalau nak tinggal di water villa, RM3000 satu malam. Saya ambil pakej 4 hari 3 malam di Arena Hotel (3 bintang tapi orang Maldives panggil guest house), full board iaitu siap makan, untuk 2 orang, RM3750 . Semasa booking, bayar 30% sahaja, selebihnya bayar 30 hari sebelum berlepas. Jadi ada masa lah nak kumpul duit ya.

Terbaik adalah masa nak booking itu, dah ada tarikh yang dijangka nak pergi. Oleh kerana saya nak pergi waktu cuti sekolah, harga tiket Air Asia agak mahal iaitu RM3200 untuk 2 orang termasuk bagasi 20kg seorang , makanan dan seat. Jika bukan cuti sekolah , harga tiket lebih murah.





Antara pakej-pakej yang ditawarkan D Asia Travels


Apa yang termasuk dengan pakej ini adalah:

-          
    - Airport transfer dari airport di pulau Male ke Maafushi (35 minit) . Sampai sahaja di Arrival, ada orang akan pegang board tulis “ARENA HOTEL”. Dia akan beri instruction di mana nak tunggu, ke mana nak jalan ambil boat. Dekat sahaja jetinya, jalan kaki pun tak sempat peluh. Beg besar jangan risau, nanti mereka akan tolong bawakan ke bot. Bot pun eksklusif, bukan macam bot dari Kuala Besut ke Pulau Perhentian. (Bukan kutuk ya, ni sebagai perbandingan sahaja) Kalau bayar asing bukan dalam pakej USD 25 seorang one way.



Bot milik Hotel Arena yang membawa kami ke Maafushi dari Male


-   - Makanan – Dinner, breakfast and lunch. Saya sertakan screenshot itinerary pakej saya. Kiranya sepanjang di Maldives ni kami tak payah beli food langsung lah kecuali selepas check out dari hotel. Kalau nak snacking antara waktu makan, sila bawa snack beli kat Mydin rumah korang sebab murah sikit. Kat Maldives Tong Garden juga kacangnya tapi dalam USD kahkahkah


 Gambar-gambar sekitar Hotel Arena





    - Hotel 3 bintang, bilik menghadap laut. Bilik kami best laaa siap ada hiasan “Happy Honeymoon” dan bilik tu ada 1 katil single extra. Cumanya menghadap construction sedikit tapi kami tak lah fussy sebab bukan kita duduk dalam bilik lama sangat pun. Banyak aktiviti di luar. Staff di hotel ini pun tersangatlah baiknya, hospitality memang tip top , kita nak pergi jetty untuk snorkelling depa hantar, kita balik depa teman, kita nak check out depa hantar lagi walapun jalan kaki. Alah dah 3 hari tu kami tahu dah jetty kat mana, tapi depa hantar juga sambil borak- borak


Hiasan bilik tidur kami 
  
Pemandangan dari bilik tidur kami 



-    - 1 kali romantic dinner tepi laut. Ok makanan buffet dinner sama macam orang lain tapi depa siapkan meja khas untuk kita laaa. Rasa special sangat laaa macam terawang-awang. Cuba pergi kat Jimbaran Bali tu, nasi goreng pun sampai RM60, rasa macam nak telan pun tak lalu hahah. Maldives best la weh!

-   - Half day snorkelling trip termasuk snorkelling mask, fin, towels, air mineral, packed lunch, payung untuk picnic di sandbank dan tour guide untuk bawa you all cari penyu yang comel tu. Ini nanti saya cerita lebih masa entri snorkelling

-    - Night fishing trip. Ok trip ini termasuk juga, kiranya balik snorkelling dalam pukul 2.45, 4.45 petang you all pergi la fishing dengan depa. Kami tak larat, jadi kami tak pergi. Heheh maaf lah tak dapat nak cerita macam mana pengalaman. Kami tak minat fishing.

-    - Snorkelling gear untuk guna di keliling pantai hotel, ini boleh minta anytime sahaja

-    -  Beach towel dan day bed untuk guna keliling hotel. Ini pun percuma boleh minta anytime

-    - 1 day Resort Visit – yang ini kami pergi Adaaran Resort Rannalhi. 1 hari boleh lah merasa jadi orang kaya duduk resort. Yang ini nanti saya cerita lebih dalam next entry ya. Kalau tak ambil pakej, ini USD105 seorang



Kalau you all nak datang sendiri, nak book Arena Hotel ni, dia ada private beach sikit lah dan lokasi dia cantik sebab boleh nampak both matahari terbit dan terbenam.




Hotel lain yang terkenal di sini: 

-          - Kaani Hotel – Nampak matahari terbenam – dekat dengan Arena Hotel

-          - Crystal Sand Beach Hotel  - Nampak matahari terbenam – tapi menghadap public road jadi agak tak privacy

-         -  Sunrise Hotel – Nampak matahari terbit tapi pantai ni tak best sebab ombak tak kuat, jadi air nya agak stagnant dan bau hamis sikit.


Inilah sunrise beach. Pada waktu pagi airnya tiada ombak dan agak berbau ikan. Di hadapan pantai ini ada Sunrise Hotel 


Jadi kalau nak datang dan book sendiri, saya cadangkan datang lah Arena Hotel ni ok.

Oh ya pakej half day snorkelling + night fishing + resort visit + romantic dinner tu kalau you all tak ambil pakej adalah USD 165 seorang



Buffet lunch adalah USD 10 seorang without tax

Buffet dinner adalah USD 10- 12 seorang without tax




Kami dah kira-kira kalau seorang kos pakej kami tak termasuk bilik adalah USD251 = RM1054

Kami tengok kat Booking.com bilik macam kami , plus breakfast & dinner pun RM2200 (selepas tax)

Jadi jumlah RM4394.

Kami ambil pakej dengan D Asia Travels RM3750. Macam lebih murah kan kan kan .

Hehe.

Ok itu dulu entri saya untuk kali ini. Esok saya share tentang pengalaman jalan-jalan Resort Visit pula, in shaa Allah 

Friday, 2 August 2019

Tahukah anda saya bekas pelajar Fakulti Perubatan UKM?

Suatu masa dulu, saya nak masuk Fakulti Perubatan UKM, sebab saya bercita-cita nak jadi doktor sejak umur saya 9 tahun.

Maka saya pun masuk lah matrikulasi UKM.

Punya lah stress, sebab punya lah ramaaaiiii orang pandai! Semester pertama tu berbelas-belas orang dapat pointer 4.0!

Tapi saya pun teruskan belajar, belajar, belajar. Kadang dari pukul 5 pagi sampai 11 malam.

Jumpa pula jodoh sumber inspirasi masa matriks tu. Tapi dia belum tahu dia bakal imam saya tapi saya dah doa nama dia dah kahkahkahkahkah.

Alhamdulillah saya lulus matrikulasi, dan dapat masuk Tahun 1 Fakulti Perubatan UKM.

Ahaaa.... Baru tahu kan saya pernah masuk UKM? Tetapi masa tu kampus bukan di Cheras, tetapi di Titiwangsa.

Kemudian, saya rasa alamak banyak nyaaaaa nak kena study!

Anatomy
Physiology
Biochemistry
Kena belajar apa itu anterior, posterior, caudal, ventral

Apa ni???
Tak faham??

Kemudian,
Kena minta sign 60 orang senior,
buat persembahan,
ada sukan,
Ada orientasi kamsis
Ada orientasi Fakulti

Banyaknyaa aktiviti!

Saya pun rasa nak nangis. Tapi saya tak mahu give up sebab saya betul-betul nak jadi doktor.

Dengar pula bakal imam saya tu nak pergi Indonesia buat medic di sana.

Tiba-tiba saya dapat panggilan sambung medic di Ireland.

Alhamdulillah!

Maka saya pun keluar lah dari Fakulti Perubatan UKM selepas sebulan di sana.

Di Ireland belajar sama juga, tapi tiada minggu orientasi, tiada kena ambil tandatangan senior, tak perlu buat persembahan hehe.

Yang ada hanyalah kena pergi rumah semua senior-senior untuk makan, makan, makan.

Sampai sekarang saya respect sangat graduan medic dalam negara.

Mereka memang sangat TOUGH! Tabik!

Hari ini saya datang sini ambil race kit saja. Tapi tetap menggamit kenangan pernah bergelar pelajar Fakulti Perubatan UKM selama sebulan



Ps. Mujur sempat selfie sebelum kena photobomb. Cheh.

Sekian sahaja cerita hari ini. Alhamdulillah "bakal imam" tu dah jadi imam saya 16 tahun dah. Bulan ni bulan anniversary, tu yang jiwang sikit kehkehkeh.

Morale of the story :

1) Work hard if you really want something

2) Doa pun kena sungguh-sungguh juga. Macam saya doa sungguh-sungguh nak kahwin dengan Encik Suami hahahah. OK gurau. Doa untuk berjaya dunia akhirat la kan.

3) Senior Ireland best hahahahah

Saturday, 20 July 2019

Pengalaman baru rakaman episod sendiri.

Alhamdulillah semalam dapat merasai satu pengalaman baru, menjalankan pembedahan katarak sambil dirakam oleh pihak media.

Berdebar memang lain macam, dari malam berdoa mudah-mudahan semua OK.

Syukur semua berjalan lancar.





Selesai pembedahan di Dewan Bedah, sambung wawancara dan shooting di klinik pula.

Begini rupanya produksi satu episod. Berbeza dengan wawancara sebahagian dari episod, berita atau majalah seperti sebelum ini.

Belum lagi rekabentuk grafik, voice over dan sebagainya yang akan dijalankan di studio kelak oleh tim produksi.





Tabik saya pada kru media dari Epixaa Film. Sangat professional dan peramah. Dari pagi hingga ke petang bekerja dengan saya, sangat hormat dengan pesakit-pesakit dan staff-staff.

Terima kasih Fakulti Perubatan UiTM & @uitmprivatespecialist atas peluang ini. Semoga ilmu yang dikongsikan akan memberi manfaat kepada masyarakat.


Bila akan disiarkan?

Tunggu semua geng Medical Mythbusters Malaysia selesai shoot 13 episod dokumentari kesihatan kami dengan Epixaa Film, dengan tajuk kami masing-masing ya. In shaa Allah akan kami maklumkan.

Sementara itu produksi video pendek Sembang-sembang Oftalmologi akan diteruskan secara berkala in shaa Allah

Terima kasih atas sokongan kalian.

#draisyahafiz
#oftalmologiUiTM  @ UiTM Private Specialist Centre

Saturday, 13 July 2019

Restoran 39 di PNB Perdana Park. Pengalaman pertama fine dining di KL


Teringin nak dating dengan Encik Suami sambil tengok pemandangan Kuala Lumpur yang cantik?

Saya pasti ada banyak sahaja pilihan di KL ini

Tetapi malam tadi saya pertama kali makan "fine dining" dengan kawan-kawan di salah sebuah restoran yang agak mewah.

Saya ingin mencadangkan sebuah restoran yang baik dan  indah.

Restoran 39 ini terletak di PNB Perdana Park, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

Asalnya kami survey dahulu di website ini. Ia tersenarai antara 10 restoran romantik di KL. 


Walaupun kami sesama sahabat, sengaja kami mahu memilih restoran yang istimewa untuk meraikan persahabatan kami.

Sebelum pergi, saya telefon dahulu untuk menempah tempat duduk. Manalah tahu penuh, kan. Saya menempah tempat duduk dengan pemandangan cantik iaitu di tepi tingkap.

Baru saya tahu restoran ini tutup agak awal iaitu pukul 10.30 malam dan pesanan terakhir  adalah pukul 10 malam.

Lokasi PNB Perdana Park ini sangat dekat dengan KLCC. Pada waktu malam tidaklah sesak. Tempat parkir di besmen juga banyak.

Sesuai namanya, Restoran 39 terletak di tingkat 39. Ruang makannya agak sedikit sempit, namun balkoni yang disediakan untuk pengunjung bersiar-siar menikmati pemandangan Kuala Lumpur pada waktu malam, memang sangat luas dan cantik.


Seleksi makanan yang disediakan adalah dari citarasa Melayu, dan harga sekitar RM 30 untuk pembuka selera kekapis atau sate, RM45 untuk sepinggan nasi goreng bersama filet ikan kerapu atau kambing panggang bersama kentang lecek, dan RM20 untuk jus mangga atau oren. Harganya berpatutan, bersesuaian dengan suasana "fine dining" yang disediakan, dan rasanya juga enak, tidak menghampakan.








Sedikit kecewa cappuccino saya agak kurang panas apabila sampai kepada saya di penghujung waktu makan, tetapi secara keseluruhan, ia satu pengalaman baru bagi seorang anak penoreh getah yang suatu masa dahulu merasakan makan KFC itu sudah tersangat mewah.
Alhamdulillah apa yang penting adalah kehangatan dan kasih sayang yang terjalin dengan sahabat-sahabat tersayang, di Restoran 39 malam tadi. 

Simbolik, restoran ini, pertama kali saya jejaki, dan pertama kali pengalaman fine dining (bayar sendiri), di Malaysia pada usia saya menginjak 39 tahun.
Sebelum ini hanya memenuhi jemputan daripada konferensi sahaja.

Alhamdulillah alaa kulli hal.
Alhamdulillah.

Teringin untuk kembali lagi, dengan Encik Suami tersayang, mungkin untuk sambutan ulang tahun kami yang ke 39 Disember nanti?

In shaa Allah.